Thursday, June 02, 2011

Transformasikan rakyat jika mahu tawan Putrajaya

SHAH ALAM, 1 Jun: Menyedari hakikat Pilihan Raya Umum ke-13 sangat hampir, Dewan Pemuda PAS perlu bekerja keras menggerakkan kesedaran kepada rakyat untuk membuat perubahan bersama Pakatan Rakyat," kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Katanya, kuasa rakyat perlu digerakkan secara maksimum kerana hanya undi mereka yang bakal menentukan sama ada Pakatan Rakyat mampu merialisasikan hasrat mengusai Putrajaya atau sebaliknya.

“Ingatlah rakyat jelata yang membuang undi semasa pilihan raya itulah yang bakal menentukan kemaraan kita mendaki Putrajaya melalui sistem demokrasi berparlimen yang sama-sama kita pegang berdasarkan Perlembagaan Negara.

“Kita mesti mencari kaedah terbijak untuk melakukan transformasi kepada rakyat yang bakal mengtransformkan kerajaan Umno-BN sedia ada kepada PAS-PR,” kata beliau dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini malam tadi.

Tambahnya, walaupun pilihan raya umum ke-12 lalu menyaksikan tsunami politik berlaku, namun untuk mengekalkannya atau menjadikannya lebih besar, memerlukan kerja kuat daripada ahli PAS khususnya pemuda.

“Kita sedar gelombang tsunami politik kedua ini memerlukan gemblengan tenaga yang lebih kuat untuk merangkul semula takhta pemerintahan daripada pemerintah sedia ada yang sejak tahun 1955, gagal melaksanakan tanggungjawab dan akauntabilitinya kepada rakyat jelata,"katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata BN juga sebenarnya gusar menghadapi pilihan raya umum akan datang sehingga terpaksa menggunakan pelbagai serangan terhadap parti lawan khususnya PAS.

Ianya termasuk memainkan isu negara Islam sebagai tidak dipersetujui DAP dalam Pakatan Rakyat, bagi menggambarkan wujud perpecahan dalam Pakatan.

Sehubungan itu, menjadi tugas pemuda untuk memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.

Beliau juga mengingatkan dewan pemuda PAS menyediakan calon berpotensi tinggi, disegani rakyat dan turut dihormati musuh, pada pilihan raya umum nanti jika serius mahu menang.

“Jika kita telah menerima pentas politik sebagai sebahagian daripada medan dakwah kita secara serius, maka kita juga kena serius menyediakan bakal-bakal calon pilihanraya berpotensi tinggi hatta dihormati musuh politik kita sekalipun,” katanya.

No comments: