KUALA LUMPUR, 27 Okt: Bermula esok, 28 Oktober jam 4.30 petang hinggalah 30 Oktober, Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi bakal melakar sejarah menelusuri episod perjuangan Islam di Malaysia, apabila anak-anak muda yang cintakan Islam, sahabat seperjuangan yang rindukan ikatan ukhuwwah Islamiah dan pejuang yang perlukan sentuhan tarbiah ruhiah harakiah dari para murabbinya akan berhimpun dengan penuh ‘persediaan’ untuk ditarbiyah aqidah, pemikiran dan keperibadian mereka di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar.
Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, sekurang-kurangnya ada tiga tumpuan yang perlu diberikan oleh setiap peserta ijtimak.
Pertama, katanya setiap pengisiannya yang terdiri dari taujihat, amanah, wasiat, kertas kerja, forum dan arahan pimpinan, antara cara memberi tumpuan ialah dengan rakaman audio, menulis dan menghafaz poin-point penting.
Di samping itu, katanya aktiviti dan amali sepanjang ijtimak seperti al-mathurat, solat jamaah, qiamulail, munajat, taaruf, makan bersama, rehat bersama dan pelbagai aktiviti yang bersifat secara langsung atau tidak secara langsung mestilah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk nilai tambah kepada pengisian yang kita perolehi melalui agenda dan tentatif yang telah disusun.
“Yang ketiga ialah ujian dan cabaran yang bakal dihadapi sepanjang program malah ia akan berterusan sepanjang masa perjuangan kita,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Justeru, katanya jangan lepaskan peluang keemasan itu dengan menyerap sebijak mungkin hikmah dan ibrah (pengajaran) dari ujian dan cabaran yang ditempuh, lantaran ia adalah suatu anugerah Allah SWT yang tidak dapat dibekalkan oleh sekretariat Ijtimak Tarbawi 2011 kelak.
“Sama-samalah kita berdoa agar Ijtimak Tarbawi 2011 yang bakal berlangsung esok, benar-benar berjaya, bukan sahaja penganjuran aktivitinya tetapi juga menepati matlamat dan objektif yang telah digariskan.
“Suatu yang saya mahu ialah lahirnya pemuda-pemuda yang ikhlas berjuang, gigih menunaikan amanah perjuangan, cekal menghadapi rintangan, berjaya mengurus diari gerak kerja yang menepati piawaian ansorullah,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment