Thursday, March 01, 2012

The Star tidak hirau sensitiviti umat Islam


KUALA LUMPUR, 29 Feb: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah keras penyiaran gambar artis Amerika Syarikat, Erykah Badu di akhbar The Star yang secara jelas tidak langsung menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Sehubungan dengan itu, PKPIM melihat bahawa isu ini sangat berkait rapat mengenai kebebasan media-media yang semakin hari meracuni pemikiran golongan pelajar terutamanya dalam pembentukan pemikiran dan pembacaan yang negatif,” kata setiausaha agungnya, Mohd Shazni Abdullah (gambar).

Katanya, PKPIM khuatir jika perkara itu tidak dibendung dari awal secara serius akan menyebabkan wabak itu timbul lagi pada masa akan datang.

Beliau menambah, PKPIM melihat bahawa kenyataan maaf yang dikeluarkan sebelum itu sememangnya tidak cukup untuk sekadar melepaskan batuk di tangga.

Menurutnya, merujuk kepada artikel juadah berbuka puasa yang juga sebelum ini dikeluarkan oleh The Star, mereka seolah-olah cuba memulakan permainan mereka.

Katanya lagi, walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mendapatkan keterangan, tetapi dengan hanya menyiarkan kenyataan maaf sudah cukup untuk membisukan umat Islam di Malaysia.

Akibatnya, tambah beliau mereka sekali lagi berani mencuba untuk memaparkan gambar Erykah Badu yang bertatoo dengan kalimah Allah di dadanya dan meminta maaf buat kali kedua.

Justeru, ujarnya PKPIM sekali lagi menegaskan bahawa pembentukan generasi pada masa hadapan perlu didasari dengan ilmu-ilmu pengetahuan dan pemahaman yang jelas tentang kefahaman Islam.

“Kita tidak mahu pelapis pada hari ini sering dibaja dengan bahan-bahan bacaan umum yang bersifat tidak langsung mendidik pemikiran yang sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembinaan budaya kefahaman Islam yang  sering dilakukan pada hari ini kadang kala diruntuhkan juga oleh pelbagai pihak dan anehnya  mendapat sokongan luar biasa pihak berwajib.

Oleh itu, tegasnya PKPIM mendesak agar tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar perkara itu tidak berulang lagi.

“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua golongan yang berada di arus perdana agar mereka peka dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan,” ujarnya.

No comments: