Thursday, July 19, 2012

Umum awal tarikh PRU: PKR dan DAP sokong


KUALA LUMPUR: PKR dan DAP turut menyokong kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Pakatan Rakyat akan menetapkan terus tarikh pilihan raya umum ke-14 jika menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, mengumumkan tarikh PRU awal tanpa ada teka-teki menunjukkan kerajaan benar-benar bersedia dalam apa jua keadaan menghadapi pilihan raya yang adil dan telus.

Katanya, mengumumkan tarikh pilihan raya awal merupakan perkara biasa yang diamalkan sebuah negara demokrasi, mantap, telus dan terbuka.

Tegasnya,  Malaysia mesti menuju ke arah politik yang matang dengan mengumumkan tarikh PRU lebih awal tanpa perlu menjadi teka teki seperti yang menjadi amalan kerajaan Umno BN mana hari ini.

"Negara-negara yang mengamalkan demokrasi sudah lama melakukan perkara ini, selalunya pemerintah memberi hak kepada rakyat secara terbuka untuk menentukan tarikh pilihan raya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Iaitu, katanya tarikh pilihan raya tidak menjadi teka-teki pemerintah semata-mata untuk menjadi strategi kerajaan bagi mendapatkan kelebihan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw menyifatkan tempoh mandat genap lima tahun sebagaimana diperuntukan dalam perlembagaan adalah satu cara untuk selesaikan masalah menentukan tarikh PRU.

Namun yang terpenting, katanya proses dan prosedur PRU mesti adil dan saksama sama ada Pakatan Rakyat mengumumkan tarikh cepat atau lewat.

"Umum tarikh PRU, lain kira. Apa yang kita buat PRU nanti mesti adil dan saksama. Tidak kira bila, semua mesti berjalan dengan betul," katanya dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak membantah sebaliknya menyerahkan kepada rakyat sekiranya mereka mahukan tarikh pilihan raya diumumkan lebih awal.

Terdahulu,  Takiyuddin Hassan berkata, jika PR mengambil alih kerajaan pusat antara perkara yang diberi perhatian utama ialah menetapkan tarikh pilihan raya umum selepas itu.

“Jika PR menang sebagai sebuah kerajaan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri, insya Allah PR akan mengisytiharkan segera tarikh pilihan raya umum berikutnya," katanya.

Takiyuddin berkata, Pakatan Rakyat boleh memberi tempoh sama ada sekurang-kurangnya akhir lima tahun atau empat tahun setengah.

Misalnya, PRU mesti diadakan dalam tempoh enam bulan sebelum berakhir penggal atau sebagainya.

No comments: