Sunday, July 15, 2012

Tarik balik karikatur hina pemimpin Pakatan


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menerima satu 'mock up' komik karikatur yang menghina pemimpin Pakatan Rakyat, selain berbaur fitnah.

Naskhah karikatur yng dianggarkan setebal 50 muka surat itu diterima oleh salah seorang exco Pemuda PAS dan diserahkan kepada Ketua Pemuda, Ustaz Nasruddin Hassan, hari ini.

Ketika menunjukkan karikatur itu kepada wartawan, Nasruddin berkata pihaknya tidak mengetahui siapakah yang bertanggungjawab di sebalik penerbitan karikatur tersebut.

"Karikatur ini diterima oleh salah seorang exco kami yang berada di Kuala Lumpur. Kami percaya, ia belum diterbitkan lagi dan mungkin ada pihak yang ingin kami tahu lebih awal," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah beliau, karikatur yang dihantar melalui pos itu jelas menghina dan memfitnah pemimpin Pakatan Rakyat dengan pemaparan karikatur yang jelek dan tidak bermaruah.

Sambil tidak menuntut sesiapa untuk menjelaskan penerbitan karikatur itu, Nasruddin menyebut terdapat cetakan pada belakang naskhah komik tersebut yang tercetak 'Diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Umno Malaysia, Tingkat 38, PWTC'.

Beliau yang kesal dengan penerbitan komik karikatur itu bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dengan cetakan tersebut, sebaliknya meminta pihak yang bertanggungjawab menerbitkan karikatur itu menarik semula komik tersebut,

Selain itu, beliau juga menggesa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Pakatan Rakyat untuk bertemu bagi berhujah secara matang, dan tidak bertindak tidak matang dengan menghina sedemikian.

"Saya percaya, jika inilah sikapnya (membuat fitnah), rakyat akan semakin meluat," tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar memantau perkara tersebut dengan kadar segera.

No comments: