Sunday, July 15, 2012

Noh kata tidak salah terlibat projek udang


KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (gambar) mengakui mempunyai pegangan dalam projek penternakan udang di Tanjong Karang tetapi menegaskan ia bukan satu kesalahan.

"Jadi, seorang menteri perumahan tidak boleh beli rumah. Apakah itu juga konflik kepentingan?" soal beliau balik apabila ditanya wartawan mengenainya.

Menurut laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini, beliau mendakwa ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak dimilikinya, beliau belum lagi dilantik sebagai menteri pertanian.

Dewan Negeri Selangor baru-baru ini digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tahan 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.

Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) (gambar) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.

Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

“Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang,” katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan itu.

"Tambahan pula, tanah itu bukan milik saya sendiri. Ya, saya menjalankan perniagaan penternakan udang bersama dengan ahli perniagaan lain, ini pun tidak boleh ke?" katanya ketika menjawab soalan wartawan selepas melancarkan satu program Bank Pertanian semalam.

"Saya mesti menegaskan bahawa perniagaan ini dikongsi dengan orang lain. Ia adalah sesuatu yang saya lakukan sebelum menjadi menteri. Saya membuat perniagaan itu bukan kerana Kementerian Pertanian, jadi apa yang salahnya?" kata Noh sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Cina itu.

Mengenai sama ada perniagaan penternakan udang itu akan menimbulkan isu konflik kepentingan kerana kedudukan portfolio beliau, Noh menyangkal.

Sebab beliau menjalankan perniagaan penternakan udang ialah keinginan untuk merasai kehidupan seorang petani dan beliau sendiri berminat dalam pertanian.

Sementara itu, pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck menafikan dakwaan bahawa ia berniaga dengan Noh dalam projek usahasama ternakan udang itu.

Bercanggah dengan Noh, Chu sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa menteri berkenaan hanyalah pemilik sebahagian projek penternakan udang itu seluas 100 ekar di Tanjung Karang, dan syarikatnya adalah penyewa.

No comments: