Sunday, March 24, 2013

PRU13: ‘Perlis Era Baru - Mensejahterakan Rakyat’


Mohamad bersama pimpinan Pakatan Rakyat Perlis selepas melancarkan manifesto.

KANGAR: Pakatan Rakyat Perlis melancarkan manifesto malam tadi yang bertemakan ‘Perlis Era Baru - Mensejahterakan Rakyat’ sempena PRU13.

Majlis pelancaran manifesto berlangsung di Dataran Restoran Anjung Keli di Behor Pulai dekat sini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin yang memulakan ucapan dalam majlis tersebut telah membentangkan mukadimah manifesto, diikuti wakil-wakil parti yang membentangkan tawaran-tawaran Pakatan Rakyat Perlis.

Pengerusi PKR Perlis, Mohamad Faisol Abdul Rahman; Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir dan Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan mengambil giliran masing-masing untuk membentangkan intipati manifesto kepada sekitar 5,000 orang yang hadir dalam majlis tersebut.

Dalam manifesto tersebut, Pakatan Rakyat Perlis berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh mensejahterakan rakyat; mempertahankan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan memperkasakan amalan Ahli Sunnah-Wal Jamaah serta menjanjikan sebuah pentadbiran professional yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Untuk itu, Pakatan Rakyat Perlis membentangkan tujuh agenda awal kepada rakyat Perlis iaitu:

1. Menginstitusikan Jaringan Keselamatan Sosial bagi melindungi dan memastikan bantuan sampai kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan rentan (kumpulan yang berpendapatan mudah terjejas)
2. Mengusahakan hak pemilikan tanah dan lot-lot kediaman menerusi pemberian geran dan prasarana asas.
3. Mengkaji semula kadar cukai pintu bagi mengurangkan beban rakyat.
4. Memilih ketua dan ahli jawatankuasa kampung tradisional, kampung baru dan taman-taman perumahan secara demokratik.
5. Kajian sistem pengairan pertanian sekaligus menangani masalah banjir.
6. Mewujudkan pusat sehenti dan patusan petugas khas bagi mempercepatkan proses dan mengurangkan birokrasi pentadbiran.
7. Memperkukuhkan badan dan lembaga pendidikan Sekolah Agama Rakyat, Cina dan Tamil.

No comments: