Wednesday, June 01, 2011

Pemuda PAS bantah Konsert MTV Word Stage

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membantah penganjuran satu program hiburan bertaraf antarabangsa, Konsert MTV Word Stage di i-City, Seksyen 7 Shah Alam, 24 Julai depan yang dikatakan bertujuan mempromosi bandaraya Shah Alam di peringkat antarabangsa.
DPPNS mahu Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan menarik balik kelulusan program tersebut kerana bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Selangor.
Ketuanya, Hasbullah Ridzwan (gambar) berkata, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ataupun pengurusan i-City dapat mematuhi garis panduan hiburan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri serta mencari kaedah yang lebih sesuai untuk mempromosi Bandaraya Shah Alam selain daripada menganjurkan konsert secara terbuka.
"Dewan Pemuda PAS Negri Selangor melahirkan rasa kecewa dan terkilan di atas kenyataan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam satu sidang media pada 18 Mei lalu yang mengatakan konsert ini untuk memperkenalkan Bnadaraya Shah Alam di peringkat antarabangsa," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, DPPNS amat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir yang disiarkan dalam satu protal berita tentang kemungkinan wujudnya pengaruh negatif berbanding positif hasil daripada penganjuran konsert tersebut.
"Janganlah kita menggadaikan maruah anak bangsa dan negara hanya semata-mata untuk mendapatkan sedikit pengiktirafan dunia antarabangsa.
"Penganjuran konsert yang membabitkan artis-artis barat dan artis tempatan yang pro barat sudah pastilah berlawanan dengan hasrat Kerajaan Negeri di dalam melahirkan modal insan yang terbaik untuk negeri Selangor," katanya.
Tambahnya, DPPNS yakin bahawa penganjuran konsert ini pasti akan menimbulkan rasa resah, gelisah dan amarah khususnya kepada penduduk setempat.
"Kami dimaklumkan telah ada persatuan penduduk di persekitaran tersebut yang telah menyatakan bantahan mereka terhadap konsert tersebut," katanya.
Antara artis yang mengesahkan penyertaan pada konsert itu ialah '30 Second To Mars' iaitu pemenang Band Rock Terbaik di MTV Europe Music Award 2010 dan band tempatan Pop Shuvit.
Sehubungan itu, DPPNS akan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung penganjuran konsert ini kepada Datuk Bandar Shah Alam dan Menteri Besar dalam masa terdekat ini.
"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap semoga Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengambil tanggungjawab terhadap usaha-usaha mencalar imej dan agenda Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat," katanya.

Elektrik: BN bela IPP, bebankan rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Barisan Nasional (BN) yang menguasai kerajaan sekarang terus membela syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).
Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen berkata, beban subsidi mereka kini ditanggung oleh rakyat dan pemain industri yang lain dengan kenaikan berterusan tarif elektrik secara puratanya sebanyak 7%.
Katanya, IPP yang ditubuhkan pada tahun 1996 menjadi pengeluar utama sumber bekalan tenaga elektrik negara dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula bertindak sebagai pemborong menyebabkan kos pengeluaran sumber tenaga ini begitu tinggi kerana margin keuntungan dikaut oleh dua pihak sebelum sampai kepada rakyat.
Ini, ujarnya belum termasuk lagi pemain industri lain yang dijangkakan akan menaikkan harga jualan produk mereka selaras dengan kenaikan tarif eletrik yang dikenakan ke atas kilang-kilang mereka.
Semalan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui mengumumkan kenaikan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun (esok) sebagai sebahagian daripada pengurangan subsidi.
Menurut Herman, IPP menjana elektrik mengunakan janakuasa yang dioperasikan dengan gas asli yang dibeli dari Petronas dengan hanya perlu membayar sebahagian sahaja kosnya dan bakinya disubsidi oleh kerajaan mengunakan wang rakyat.
“Walaupun menerima subsidi yang tinggi namun IPP masih lagi menuntut kenaikan tarif. Kerajaan yang dalam rangka mengurangkan beban subsidi negara kini mengalihkan beban itu kepada rakyat pula,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, kenaikan tarif 7% mungkin kecil kepada pemimpin BN kerana bil mereka ditaja oleh Kerajaan Malaysia menggunakan duit rakyat.
Tambahnya, tetapi nilai itu amat besar kepada pemain industri dan rakyat yang mengunakan elektrik 301kW ke atas.
“Bagaimana pengusaha restoran dan peniaga-peniaga runcit pula?” soalnya.
Menurutnya, mereka juga antara pengguna sumber yang banyak kerana beroperasi lebih dari 12 jam sehari.
Maka, katanya tidak mustahil mereka akan meningkatkan nilai harga jualan mereka yang akhirnya rakyat sebagai pelanggan akhir juga terbeban.
Beliau menambah, pelepasan bil elektrik untuk pengguna yang menggunakan kurang daripada RM20 sebulan yang ditamat pada Disember 2011 pula akan menyebabkan sebahagian besar isi rumah dari 5.94 juta akan terkesan.
Katanya, rakyat masih boleh menerima kadar yang lebih rendah jika Kerajaan memberikan hak pengeluaran sumber tenaga elektrik terus kepada TNB dan menghapuskan IPP sebenarnya.
Tambahnya, untuk apa BN masih mahu terus menyara dan membela IPP sedangkan sebelum 1996, kualiti sumber elektrik negara tidaklah teruk sangat dan TNB pun telah menjalankan penambahbaikan dalam perkhidmatan mereka.
Manurutnya, apabila pengeluaran sumber tenaga diberikan secara mandatori kepada IPP maka kos elektrik bertambah dua kali ganda dan sampai bila-bila pun rakyat akan terus menjadi mangsa.
Oleh itu, katanya DPPWP menuntut penjelasan Kerajaan berhubung nilai sebenar subsidi yang dibayar kepada IPP dan juga TNB.
“Sudah sampai masanya Kerajaan mengambil alih aset dan kepentingan dalam IPP melalui TNB bagi mengurangkan kos pengeluaran,” ujarnya.
Katanya, dengan menghapuskan peranan IPP sahajalah tarif eletrik dapat dikurangkan dan rakyat mampu menerima kadar yang lebih murah dari hari ini.
“Rakyat hanya ada satu pilihan untuk mencapai impian menghapuskan IPP ini iaitu dengan menolak BN dan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat melaksanakan dasar-dasar yang lebih menguntungkan rakyat,” katanya lagi.

Persiapan Muktamar PAS ke-57 hampir selesai

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Jika sebelum ini Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm) yang terletak di Taman Melewar, di sini, agak sunyi, sepanjang 3 hingga 5 Jun ini, suasananya pasti akan berubah sama sekali dengan kunjungan orang ramai dari seluruh negara.
Kolej tersebut yang turut menempatkan Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor akan menjadi tempat berhimpun 1,150 perwakilan PAS dari seluruh negara, manakala di persekitarannya pula dimeriahkan dengan gerai-gerai perniagaan yang pasti mencetuskan hiruk pikuk dan riuh rendah suara orang ramai yang berkunjung ke gerai-gerai yang disediakan.
Suasana tersebut berlaku lantaran Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang akan berlangsung di kolej itu selama tiga hari, mengiringi suara para perwakilan membahaskan pelbagai perkara bagi memantapkan lagi perjuangan parti, sekali gus menyemarakkan lagi semangat para pemimpin dan ahli-ahli PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.
Menjelang hari-hari akhir muktamar, pihak panitia dan para petugas semakin sibuk melaksanakan persiapan berlandaskan bidang tugas masing-masing, bagi memastikan segala penyusunan kerja dan perancangan yang diatur berjalan lancar dan sempurna.
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad yang sebelum ini merupakan Markas Tarbiyah PAS Pusat, ternyata telah berubah wajah setelah dijadikan kolej, bagi menyesuaikannya dengan keperluan semasa sebagai pusat pengembangan ilmu.
Bangunan setinggi dua tingkat itu dibahagikan kepada dua bahagian utama. Di tingkat atas ditempatkan bilik-bilik kuliah dan asrama para pelajar, manakala di tingkat bawahnya dikekalkan dewan besar untuk dimanfaatkan sebagai tempat perhimpunan yang dinamakan Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor.
Nama dewan tersebut dipadankan dari nama Presiden PAS sebelum ini yang telah kembali ke rahmatullah, sebelum digantikan Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Allahyarham yang cukup besar terhadap perjuangan PAS.
Bagi Muktamar PAS Ke-57, dewan tersebut yang sebelum ini telah menampung pelbagai perhimpunan besar dalam PAS, akan kembali menyaksikan detik bersejarah bagi parti, dengan suara-suara lantang para perwakilan membahaskan pelbagai usul penting untuk dirumuskan.
Justeru, bagi pihak panitia muktamar dan para petugas, perlaksanaan kerja-kerja utamanya pasti turut tertumpu ke atas dewan itu untuk dihias indah, dilengkapi pelbagai keperluan termasuk pentas utama, pemasangan sistem pembesar suara, sistem hawa dingin yang sempurna.
Begitu juga dengan keperluan utama lain termasuk pemasangan lampu-lampu yang bersesuaian serta mencukupi, penyusunan kerusi yang teratur untuk diduduki para perwakilan, hiasan landskap yang indah dipersekitarannya dan sebagainya.
Selain itu, tumpuan kerja juga turut terarah pada tingkat atas bangunan itu kerana di tingkat itulah nanti yang menempatkan ruang rakan-rakan media melaksanakan tanggungjawabnya dan tempat duduk para muslimat.
Tinjauan Harakahdaily hari ini mendapati kerja-kerja tersebut sudah hampir selesai, dengan anggaran melebihi 90 peratus telah terlaksana, untuk menyambut mesra dan ceria kedatangan para pemimpin utama parti dan para perwakilan yang mewakili 180 kawasan PAS dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Begitu juga dengan penyediaan tempat parking kenderaan kepimpinan utama PAS di luar bangunan Kolej dan tapak 105 buah gerai perniagaan untuk disewa para peniaga, kini telah terlaksana dengan baik yang antara lainnya dengan pemasangan khemah-khemah bersesuaian berwarna putih dan agak ceria bagi mewarnai suasana.
Pada muktamar tahun ini, pihak panitia turut terpanggil membuka kaunter derma darah yang ditempatkan di suatu penjuru, bagi membolehkan orang ramai menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan darah.
Sepanjang tinjauan dilakukan, para petugas kelihatan bertungkus lumus melaksanakan kerja masing-masing, dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan dan rakan-rakannya yang diamanahkan dengan kerja-kerja persiapan di dalam dewan, turut berpeluh menyiapkan kerja-kerja yang masih berbaki.
Bagi memastikan segalanya berjalan lancar, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi sendiri turut berkunjung ke kolej tersebut kelmarin, untuk meninjau tahap persediaan yang telah terlaksana dan dimaklumkan cukup berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh para petugas.
Muktamar Tahunan PAS Ke-57 akan bermula 3 Jun dengan agenda pertama selepas perasmian pada sebelah pagi mengesahkan peringatan muktamar yang lalu, berakhir dengan pemilihan kepimpinan dalam parti yang berjalan mengikut susunan berperingkat-peringkat, manakala pada sebelah malamnya, bermula jam 9.00 malam akan diadakan persembahan kebudayaan.
Pada hari Sabtu, 4 Jun, bermula jam 8.30 pagi dengan usul terima kasih kepada presiden dan perbahasan ucapan dasar, manakala pada sebelah malamnya, bermula jam 9.00 malam, akan diadakan ceramah umum yang akan disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan Pakatan Rakyat. 
Ahad, 5 Jun, bermula jam 8.30 pagi dengan agenda kelima berupa perbahasan usul-usul, sebelum ditutup dengan agenda keenam mulai jam 2.00 petang dengan penggulungan dan ucapan penangguhan serta doa.

Monday, May 23, 2011

Pertembungan Najib dan Anwar hampir kemuncak

BUKIT MERTAJAM, 22 Mei: Pertembungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kian sampai ke kemuncaknya tidak lama lagi kata, Pengerusi  Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisyam Sharin.

Menurutnya, kerajaan mana yang akan mendaki Putrajaya juga akan terjawab bila rakyat sendiri menilai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat yang mana memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Pertembungan Najib dan Anwar sudah melepasi tahap kedua di mana masing-masing merangka strateji politik cuma perbezaan BN main politik tidak sihat mempergunakan semua kesempatan untuk menekan Pakatan Rakyat.  Itulah politik Umno dan BN mereka tidak akan duduk diam buat kejahatan, " jelasnya ketika menyampaikan ceramah di Juru, Bukit Mertajam semalam.

Namun apa pun, rakyat yang cintakan kebenaran mesti yakin dan melaksanakan kerja menjatuhkan BN cara terhormat melalui pilihanraya serta menyampaikan maklumat terkini sehingga ke akar umbi, kata beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Bard (gambar bawah).

Sekarang ini BN cuba memperbanyakan program kepemudaan menerusi Belia di mana kemunculan konsert dan rancangan realiti yang tidak membawa manafaat kepada wawasan yang ingin dibina.

Mereka tahu tambahnya, lagi banyak program seumpama itu bermakna sokongan golongan muda terhadap BN tetapi jangan bimbang Pakatan Rakyat juga mempunyai ageda yang tersendiri untuk mengajak anak muda bersatu di bawah satu payung kebenaran.

"Memang tidak dinafikan BN banyak adakan rancangan bermotif politik namun jangan bimbang Pakatan Rakyat juga ada agenda untuk menyusun beberapa program demi menyelamatkan golongan terbabit daripada terus menjadi hamba kepada politik kotor BN, " terangnya yang juga Ketua Cabang Parti KeAdiLan Rembau, Negeri Sembilan.

Bagi beliau, kemampuan Dato' Seri Anwar lebih menyerlah walaupun beliau ditekan dengan berbagai isu yang kadang-kadang jika dilihat Anwar akan kalah awal sebelum bertarung pada pilihanraya umum nanti.

Sebenarnya Najib lebih tertekan dengan isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat seperti kes Antantuya, pembaziran Datin Seri Rosmah Mansor, kes liwat atau video lucah yang bakal dibicarakan bulan depan.

"Terdapat kelebihan pada Pakatan Rakyat sebab itu BN cuba mengalih pandangan masyarakat pada isu yang tidak rasional seperti percubaan mengharamkan Parti KeAdiLan, " katanya lagi.

Justeru itu, rakyat yang mahukan kemenangan muklak mesti bekerja keras dengan parti dalam gabungan Pakatan Raykat bagi memastikan kerusi parlimen atau negeri di semenanjung Malaysia dikekalkan atau menambah banyak kerusi manakala rakyat di Sabah dan Sarawak wajar memenangkan sepuluh kerusi parlimen berbanding lapan yang menjadi sasaran sebelum ini.

Berceramah sama dalam program anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tengah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Komuniti (JKKK) Kampung Sekolah, Juru ialah Ketua Srikandi Malaysia, Siti Aishah Sheikh Ismail dan Yang Dipertua PAS Kulim Bandar Baru, Ustaz Haji Hasan Abdul Razak.

Ulama Aceh minta pertahan kerajaan Kelantan

KOTA BHARU, 22 Mei: Rakyat Kelantan diseru mempertahankan kerajaan Islam yang didokongi PAS, memandangkan pemimpin parti itu menjadi model pada umat Islam di negara lain.

Pengetua Majlis Permesyuaratan Ulama Acheh Besar, Ustaz Fakhruddin Lahmuddin, berkata sejak 21 tahun lalu Kelantan yang dipimpin Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadi model pada negara-negara lain, termasuk Acheh.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas majlis pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, Kelantan satu-satunya contoh negeri yang dipimpin seorang ulama sebagai Menteri Besar yang tidak memisahkan agama dari politik.

“Inilah yang dilakukan di zaman Rasulullah sebelum ini dan ulama yang memimpin Kelantan ini telah mewarisinya.

“Kerana itu saya berharap rakyat seluruhnya memberi sokongan pada kerajaan Islam Kelantan kerana pentadbirannya menjaga kebajikan manusia menurut kacamata Islam,”ujarnya.

Tambahnya, beliau juga berharap rakyat Acheh turut berdoa untuk kemenangan kerajaan PAS Kelantan sampai bila-bila.

Katanya, beliau tidak dapat menahan sebak apabila mendengar ucapan Tuan Guru yang lebih menjaga kebajikan rakyat sehingga menolak kepentingan diri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru menjelaskan tindakan paling sukar baginya sepanjang menjadi seorang Menteri Besar, menjaga diri sendiri dari terjebak dalam sebarang salahlaku.

Sambungnya, menjadi pemimpin tertinggi dalam sebuah kerajaan negeri ujian begitu besar kerana mudah terdedah dengan penyelewengan, salah laku lain seperti rasuah.

“Untuk menjaga  itu semua ia bukan sesuatu perkara yang senang kiranya kurang keimanan dalam jiwa kita”,ujarnya.

15k sertai majlis Ipon 10k Pemuda


KOTA BHARU, 22 Mei: Biarpun dianggarkan 10,000 akan hadir pada majlis Munajat Rakyat Kelantan (Ipon 10k Pemuda), namun seramai 15,000 orang hadir pada majlis yang penuh bersejarah itu.

Mereka hadir untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan Kelantan agar terus kekal mentadbir negeri setelah 21 tahun kepimpinan ulama mewarnai pentadbiran kerajaan negeri itu.
(GAMBAR: Bob Lokman antara tetamu yang hadir)

Majlis berkenaan bermula kira-kira jam 3.00 petang pada majlis yang diadakan di Padang Perdana.

Majlis pada sebelah malam itu bermula dengan solat Maghrib, diikuti bacaan al-Quran 30 juzuk beramai-ramai bagi menjayakan 100 kali khatam al-Quran yang dibacakan sendiri oleh golongan pemuda termasuk pelajar tahfiz al-Quran dan pelajar-pelajar pondok.

Majlis seterusnya diteruskan dengan solat sunat hajat bagi memohon pertolongan dari Dia agar mengekalkan pentadbiran kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan ulamak disamping dijauhi segala usaha jahat pihak lawan untuk menghancurkan pentadbiran keajaan negeri.

Kesemua program munajat termasuk solat sunat hajat, Maghrib dan Isyak diimamkan oleh Mudir Pondok Darilnaim, Ustaz Mohd Aziz Che Man.
(GAMBAR: Muslimat turut serta)

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun, pemimpin masyarakat dan lain-lain jemputan.

Majlis disebelah malam bertambah meriah bukan hanya setakat bacaan al-Quran kehadiran pimpinan tertinggi parti dan kerajaan negeri, sebaliknya Bob Lokman yang turut diberi kesempatan berucap pada malam itu.

Turut berucap pada majlis disebelah malamnya, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Abdul Fatah Mahmood.

Husam ketika berucap pada majlis itu menyelar kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan subsidi minyak adalah candu kepada rakyat.

Katanya, kenyataan sedemikan jelas membuktikan kebajikan untuk rakyat langsung tidak ada sebaliknya untuk membenankan mereka sehingga mengistiharkan sabsidi adalah seumpama candu kepada rakyat.

“Macamana Perdana Menteri boleh berkata demikian, sepatutnya membela rakyat,”ujarnya.
(GAMBAR:Ikrar para pemimpin PAS mempertahankan kerajaan negeri Kelantan)

Bagaimanapun beliau berpendapat rasuah dan korupsi adalah candu sebenar yang mampu merosakkan kebajikan rakyat.

Tambahnya, kerana rasuah negara boleh tergadai akibat diterajui oleh pemimpin yang tidak beramanah.

”Saya harap rakyat di seluruh negara menilai balik kepimpinan kerajaan BN hari ini, kita buat perhitungan segera khususnya menjelang pilihanraya umum akan datang,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memuji program yang dianjurkan oleh anak muda itu kerana ianya juga antara tanggungjawab jamaah Islam bagi mempertahankan kerajaan yang membela kebajikan rakyat.

Sambungnya, semua lapisan masyarakat wajar mempertahankan kerajaan Kelantan yang banyak membela kebajikan untuk mereka.

Sunday, May 22, 2011

Mahfuz sah pertahan jawatan Naib Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 22 Mei: Datuk Mahfuz Omar (gambar) hari ini mengesahkan beliau menerima pencalonan untuk jawatan naib presiden iaitu jawatan yang sedang disandangnya kini.
Pengesahan ini menyaksikan beliau mungkin berdepan dengan 13 lagi calon lain sekiranya kesemuanya menerima pencalonan untuk jawatan itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-57, bulan depan.
Mereka ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Mohamad Sabu, Idris Ahmad, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Mazlan Aliman, Datuk Mohd Amar Abdullah, Dr. Mohd Hatta Ramli, Mujahid Haji Yusof Rawa, Nik Zawawi Nik Salleh dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
"Saya menerima pencalonan sebagai naib presiden untuk meneruskan khidmat saya membantu presiden untuk melakukakan lonjakan ke arah PRU ke 13," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan menganggap keputusan itu sebagai mempertahankan jawatan kerana menurutnya jawatan bukan milik individu, tapi milik parti.
Sebaliknya tegas Mahfuz, beliau akan terus memberi tumpuan kepada gerak kerja parti,terutama untuk menumbangkan Umno BN.
"Saya tak suka guna istilah mempertahankan jawatan kerana jawatan bukan milik individu tapi milik parti.
"Kalau saya menumpukan soal pemilihan, saya akan hilang fokus sebenar. Jadi saya serahkan kepada kawasan untuk membuat penilaian," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Mahfuz turut menekankan '5K' yang menjadi prinsipnya dalam memastikan PAS terus diterima masyarakat dan mampu bersama-sama Pakatan Rakyat memerangi politik perkauman yang kembali dimainkan Umno BN untuk mewujudkan rasa tidak senang antara kaum.
'5 K' tersebut ialah kejujuran, ketelusan, kebijaksanaan, kesaksamaan, dan keprihatinan/kebajikan.
"5K ini yang saya nak bawa. Jadi menjadi tanggungjawab besar bagi saya, untuk menerima pencalonan untuk bawa PAS ke dalam 'green politic' di Malaysia," katanya.
Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatan presiden parti tanpa bertanding.
Ini katanya menunjukkan ahli memberikan sepenuh kepercayaan kepada Abdul Hadi untuk terus meneraju PAS bersama Pakatan Rakyat.
"Kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai presiden parti akan melicinkan lagi perjalanan PAS bersama Pakatan Rakyat.
"Ahli ternyata memberi penghargaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau," katanya.
Sebanyak 152 kawasan menghantar pencalonan untuk jawtan tertinggi parti namun hanya 146 diterima selepas enam borang yang dihantar tidak lengkap.

Bantulah rakyat bukan minta persiap mental

PARIT BUNTAR, 22 Mei: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim mengkritik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengingatkan rakyat agar bersedia secara mental bagi menghadapi tekanan ekomoni yang bakal berlaku sambil menggambarkan ia sebagai satu lagi kelemahan BN mentadbir negara.
"Kenapakah rakyat disuruh bersedia menghadapi masalah tekanan ekonomi sedangkan pemimpin BN belum menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk bantu rakyat?" katanya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik menyeru rakyat Malaysia supaya mempersiapkan mental masing-masing untuk menghadapi kenaikan harga pelbagai produk berikutan kenaikan harga minyak dan penurunan jumlah bekalan makanan yang diakibatkan oleh perubahan iklim sejagat.
“Kerajaan yang dikuasai oleh BN telah untung besar melalui Petronas berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia, keuntungan tersebut sepatutnya boleh disalurkan kepada rakyat," katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, contoh lain negara sepatutnya telah memiliki kekuatan dan lonjakan kemajuan dalam bidang  pertanian yang hebat setanding negara jiran seperti Thailand yang tidak bergantung harap dengan bekalan makanan dari negar luar secara total.
Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, kelesuan BN mentadbir negara kian terserlah berikutan langkah demi langkah yang diambil kononnya sangat mengambil berat isu serta soal kebajikan rakyat namun terbukti ianya satu pembohongan kepada rakyat.
“Pada hemat saya usaha BN untuk membela rakyat yang sebetul tidak dibela sejak 50 tahun, tetapi ditutup mata melalui media pro BN untuk mengaburi rakyat dari mengatahui perbuatan terkutuk Umno BN yang lebih suka merompak wang rakyat secara terhormat selepas setiap kali diberi mandat untuk memerintah,” ujarnya.
Katanya, pemimpin Umno BN sepatutnya mempersiapkan mental untuk menjadi pembangkang di Malaysia selepas PRU 13 kerana rakyat telah muak dengan lakonan mereka.

PRU 13: Umno Pulau Pinang bakal hilang kerusi

BAYAN LEPAS, 22 Mei: Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan bermimpi untuk merampas kembali Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum yang akan datang.
“Rakyat negeri ini telah celik dan sedar selama ini mereka telah dibohongi oleh parti pemerintah sebelum 2008,” kata Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim (gambar) pada majlis jamuan teh di padang awam, Permatang Damar Laut, petang semalam.
Menurutnya, PR bukan saja mampu mengekalkan kedudukan 29 kerusi yang telah berjaya dirampas dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu, sebaliknya yakin boleh membolos kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.
"Kita telah membuat kajian dan penyelidikan mengenai kedudukan kerusi-kerusi yang mampu dimenangi dan ditawan oleh PR dalam pilihan raya yang akan datang.
"Berdasarkan kepada percaturan yang dibuat, PR yakin bukan saja 29 kerusi yang ada dikekalkan milik PKR, PAS dan DAP, sebaliknya kerusi-kerusi Umno yang sudah tidak layak diterajui oleh mereka akan jatuh ke tangan PR," tegasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, tidak menolak kemungkinan ini berdasarkan kepada kenyataan sedia ada, di mana rakyat semakin condong untuk menyokong PR jika dibezakan dengan BN.
"Hentakan, serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh Umno dan BN terhadap PR menyebabkan rakyat semakin menolak mereka. Dasar perkauman yang bersifat cauvanis diamalkan oleh BN memberi impak yang negatif kepada mereka.
"Umno dan BN menyedari hakikat penolakan rakyat di Pulau Pinang terhadap kepimpinan mereka, tetapi ia cuba dinafikan melalui provokasi yang dilakukan melalui pelbagai elemen, semata-mata untuk mengkaburkan pandangan rakyat," ujarnya lagi.
Malah katanya, niat Umno dan BN tidak akan kesampaian selagi kepimpinan PR mengamalkan sistem pentadbiran berdasarkan kepada amalan cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).

Tanah runtuh: 16 meninggal dunia

KAJANG, 22 Mei: Kesemua 25 mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat semalam akhirnya berjaya dikeluarkan.

Dari kesemua jumlah itu, 16 mangsa meninggal dunia manakala 9 yang lain berjaya diselamatkan.

Mangsa terakhir dikeluarkan kira-kira jam 5.05 pagi tadi.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua mangsa.

Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada pukul 5.05 pagi.

Bagaimanapun ia akan diteruskan jam 8 pagi ini bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap.

Mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat, katanya.

Pasukan mencari dan menyelamat membabitkan seramai 754 anggota daripada pelbagai agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Smart, tentera 4 Divisyen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan St John.

Kira-kira jam 2.30 petang semalam, seramai 25 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat.

Difahamkan ketika itu, kesemua kanak-kanak itu berada dewan makan rumah anak-anak yatim itu membuat latihan persembahan bagi satu program yang akan diadakan di madrasah itu.

Tanah runtuh: MB Selangor arah bantuan segera

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat untuk memberikan bantuan segera.
“Sedih dengan berita kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang menyebab kematian. Kerajaan negeri akan sedia tabung bantuan mangsa dengan segera,” tulisnya di laman twitter petang tadi.
Sementara Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar memaklumkan Khalid serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.
Kerajaan Negeri telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.
Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.
Menteri Besar telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.
Buat sementara waktu, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.
Menteri Besar menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan di laman sama memberitahu, Unit Amal bergegas ke Lembah Azwin Sungai Semungkis di mana tanah runtuh menimpa rumah anak yatim.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berharap Unit Amal dapat menyelamatkan mangsa sambil mengiringi doa agar tidak ramai yang terkorban.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.
Dilaporkan tiga mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan telah dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 6.30 petang tadi.

Tanah runtuh: Presiden PAS rakam takziah

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.
“Bersabarlah dengan ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” tulis beliau di laman twitter malam ini.
Kejadian itu juga turut mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Selain mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang terkorban, beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar mangsa diberi ganjaran terbaik oleh Allah SWT.
"Takziah saya rakamkan kepada mangsa nahas tanah runtuh di Hulu Langat petang tadi.
"Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang terbaik untuk yang terkorban dan keluarga yang kehilangan ahlinya," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 24 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat.
Dilaporkan lima mayat kanak-kanak rumah anak yatim berkenaan yang berumur antara 11 hingga 14 tahun telah berjaya dikeluarkan dari tanah runtuh sehingga jam 8.00 malam ini.

Tanah runtuh: Angka korban meningkat 10

KAJANG, 21 Mei: Sehingga jam 11 malam tadi, angka korban dalam tagedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat meningkat kepada 10 orang.
Dalam perkembangan terbaru juga, sembilan orang yang berjaya ditemui dengan keadaan cedera dibawa untuk dirwat di Hospital Ampang.
Pasukan penyelamat kini sedang berusaha mengesan enam lagi mangsa yang masih tertimbus.
Kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 25 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat.
Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kajang.

Difahamkan ketika itu, kesemua kanak-kanak itu berada dewan makan rumah anak-anak yatim itu membuat latihan persembahan bagi satu program yang akan diadakan di madrasah itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada satu sidang akhbar di sini berkata, 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja.

Dalam insiden malang itu, sebanyak 25 orang terselamat sementara 20 pelajar dan 4 penjaga menjadi mangsa.

Tambahnya, kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya.

Saturday, May 21, 2011

Ikrar Kami Pemuda PAS Kelantan


Fahami, hayati dan usahakan dengan sedaya upaya melunasi Ikrar dan Baiah ini...yang dibaca pada Himpunan 10k Pemuda PAS Kelantan

Bahawasanya kami
pemuda-pemuda PAS Negeri Kelantan
sedar dan yakin
Tiada Tuhan melainkan Allah
Nabi Muhammad pesuruh-Nya

Kami
Pemuda PAS Negeri Kelantan
yang berhimpun pada hari ini
dengan ini berikrar
Allah matlamat hidup kami
Nabi Muhammad Ikutan kami
Al Quran perlembagaan kami
Jihad jalan kami
Mati syahid cita-cita kami

Kami berjanji
tidak berundur walau setapak
bekerja dengan penuh istiqamah
sama ada senang atau susah
kaya atau miskin
aman atau darurat
demi mencapai kemenangan

Kami berikrar
tidak akan mengkhianati perjuangan 
patuh kepada segala keputusan parti
Hanya PAS wadah perjuangan kami
Hanya PAS tumpuan wala' kami

Kami berbaiah dengan Islam
Kami berbaiah dengan pimpinan Islam
Untuk memperjuangkan Islam
Darah dan jasad kami jadi taruhan
Demi menegakkan kedaulatan Islam...

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar...

Gegar ajak rakyat desak Petronas bayar royalti

KOTA BHARU, 21 Mei: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) menyeru orang ramai tanpa mengira fahaman politik, agama, latar belakang kaum dan jantina supaya sama-sama bangkit menuntut royalti petroleum dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan.

Seruan sama ditujukan kepada semua pihak termasuk anak Kelantan di perantauan yang berada di seluruh Malaysia.

“Sama-sama kita menuntut royalti petroleum itu supaya dibayar kepada Kerajaan Kelantan demi kesejahteraan rakyat, selaras dengan perjanjian yang telah disepakati bersama,” satu kenyataan media Gegar yang dikeluarkan di sini pagi tadi.

Serentak dengan itu pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusoff dan Mohamad Fauzi Abu Samah dalam satu kenyataan medianya bertarikh 20 Mei 2011 (semalam) mempertikaikan pembayaran royalti petroleum yang dibuat kepada kerajaan Terengganu sebanyak RM938 juta (secara berperingkat sehingga Jun 2011).

Mereka mendakwa, pembayaran itu ‘cukup mengelirukan’. 

Ini kerana royalti kepada kerajaan Kelantan tidak dapat dibayar sedangkan hujahnya sama dengan Terengganu iaitu ‘di luar perairan’ (lebih tiga batu nautika)  digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menafikan hak rakyat Kelantan dan Terengganu bagi mendapatkan royalti petroleum dalam jawapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Jika hujah itu digunakan, maka selama ini Perdana Menteri telah menipu dan cuba memperbodohkan rakyat sendiri dalam kes Terengganu dibayar royalti petroleum itu, tetapi Kelantan tidak dibayar,” dakwanya.

Akta Kemajuan Petroleum 1974 Seksyen 4 telah menetapkan supaya perbadanan (Petronas) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi ‘pemunyaan’ dan hak bagi negeri tersebut.

Dan berasaskan kepada perjanjian yang sama yang telah dibuat antara Petronas dengan Kerajaan Persekutuan, Petronas dengan Terengganu, Petronas dengan Kelantan, Petronas dengan Sabah dan Petronas dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru, Gegar  menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan segera ke atas orang yang memukul aktivis Gegar  berhampiran Masjid Kampung Sireh dekat sini baru-baru ini ketika aktivis itu sedang memasang banner royalti petroleum.

“Kami difahamkan, pemukul terbabit ialah Penyelia Mukim dan bekas Ketua Cawangan Umno Kampung Sireh.

“Bagi kami, tindakan memukul aktivis Gegar itu merupakan tindakan tidak bertamadun dan ketinggalan zaman,” tegasnya.