Sunday, June 05, 2011

Pemuda minta 40 peratus kerusi untuk calon muda

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Pemuda PAS Malaysia meminta PAS Pusat memberikan 40 peratus kerusi kepada calon-calon muda bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Permintaan tersebut diharap diberikan pertimbangan serius oleh PAS Pusat bagi kepentingan parti dan selaras dengan keperluan semasa serta tidak hanya tertakluk kepada lelaki, tetapi juga muslimat.

Ketua Pemuda PAS, Nasarudin Hassan Tantawi menegaskan, keperluan PAS Pusat memberikan petimbangan serius terhadap permintaan itu berdasarkan kehendak masyarakat kini yang lebih mengutamakan kepada calon-calon muda.

Menurut beliau, pada pilihanraya di Singapura baru-baru ini, golongan muda mendapat sambutan hebat sehingga berjaya memenangi beberapa kerusi yang ditandingi.

Katanya, begitu juga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru yang jelas menunjukkan pencapaian baik yang diperolehi PAS bagi kerusi yang ditandingi yang diwakili golongan muda.

"Selain itu, walaupun kalah, PAS turut mencapai kejayaan baik dalam pilihanraya kecil di Tenang baru-baru ini yang diwakili Cikgu Mala yang juga mewakili golongan muda.

"Kehadiran Cikgu Mala yang mewakili golongan muda dari muslimat telah membuatkan PAS berjaya mengurangkan undi yang diperolehi BN dengan begitu banyak," katanya pada sidang media di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, menurut beliau, walaupun kalah, PAS turut mencapai kejayaan besar sehingga berjaya mengurangkan undi yang diperolehi BN dengan begitu ketara pada beberapa kerusi yang ditandingi PAS yang diwakili golongan muda.

"Contohnya di Beting Mero yang diwakili calon muda, walaupun kalah tetapi PAS berjaya menarik sokongan pegundi cukup besar sehingga hampir berjaya," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, permintaan tersebut tidak bermakna beliau menafikan kehebatan calon-calon yang telah berusia dari PAS.

"Kami cukup sedar dengan kehebatan golongan yang telah berusia sebab itulah kami hanya meminta 40 peratus sahaja kerusi untuk calon-calon muda yang berkelayakan.

"Tapi dalam masa yang sama, kami berharap agar golongan muda turut diberikan tempat oleh PAS kerana selain golongan yang telah berusia, masyarakat kini ternyata lebih berminat kepada calon-calon muda," ujar beliau.

Ramai lagi artis akan sertai PAS - Nasrudin

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Kesediaan beberapa orang artis untuk menyertai PAS, selepas Bob Lokman, membuktikan PAS sudah semakin diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di tanah air.

Perkembangan yang memberangsangkan ini diyakini akan menarik minat lebih ramai anggota masyarakat negara ini untuk menyertai PAS menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, sejajar dengan perjuangan PAS untuk kepentingan semua kaum.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasarudin Hassan Tantawi menegaskan, kesediaan golongan artis untuk menyertai PAS sudah dimaklumkan oleh golongan artis sendiri kepada beliau secara jujur baru-baru ini.

Menurut beliau, artis-artis tersebut sudahpun dikenalpasti dan mereka sememangnya terdiri daripada artis-artis ternama yang melibattkan pengarah, penyanyi, pelakon dan pelawak.

Katanya, bagaimanapun beliau tidak mahu menyebut nama-nama artis terbabit kerana mahu menyerahkan kepada artis-artis itu sendiri untuk mengumumkannya nanti.

"Saya difahamkan buat masa ini mereka masih belum bersedia untuk mengumumkannya. Tetapi mereka memang mahu menyertai PAS seperti juga Bob Lokman," katanya pada sidang media di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Selain golongan artis, beliau juga menjelaskan bahawa perjuangan PAS kini sudah semakin diterima oleh golongan muda di tanah air dan ia ternyata amat berbeza berbanding masa lalu.

Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan golongan muda di tanah air sudah semakin terbuka dalam politik, sehingga menyebabkan mereka memilih PAS yang berada dalam Pakatan Rakyat bagi melakukan perubahan politik di negara ini.

"Ini secara langsung menolak dakwaan Umno BN yang mengatakan golongan muda semakin ramai yang menyokong mereka, dengan mengambil perkiraan pada majlis Sejuta Belia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
(Gambar: Nasrudin dalam sidang media bersama timbalannya yang baru dipilih, Nik Abduh)

"Pada hal dakwaan Perdana Menteri atau pemimpin Umno mengenai perkara itu ternyata amat jauh menyimpang dari sasarannya.

"Beliau yang hadir pada majlis itu sebenarnya bukan sejuta, tetapi hanya sekitar 8,000 hingga 10,000 orang sahaja," katanya.

Perkara itu ternyata amat berbeza dengan majlis himpunan yang diadakan oleh PAS, dengan kehadiran yang sememangnya mencapai jumlah yang disasarkan.

"Antaranya termasuklah Himpunan 30,000 yang diadakan oleh PAS di Kedah baru-baru ini dengan kehadiran sememengnya 30,000 seperti yang kita target.

"Begitu juga dengan Himpunan 10,000 di Kelantan untuk majlis 100 kali khatan al-Quran, juga memeng dihadiri 10,000 orang seperti yang kita target," jelasnya.

Dengan perkembangan itu, jelasnya, anak-anak muda yang juga pengundi-pengundi muda kini ternyata lebih tertarik kepada PAS daripada Umno kerana mereka sendiri lebih percaya kepada PAS berbanding BN untuk membela nasib mereka.

Mohd Sabu: Akar tunjang yang menjalar merata

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Penulis dan pemimpin veteran PAS, Subky Latif (gambar)  menyifatkan Mohamad Sabu umpama akar selepas rotan (ulama yang sesuai) tidak ada tetapi 'akar ini akar tunjang yang menjalar merata'.

"Ulama tak menang kerana tidak ada yang sesuai umpama rotan tidak ada, jadi akar yang menjadi pilihan...tetapi Mohamad Sabu ini umpama akar tunjang yang cabangnya merayap merata," kata Subky.

Beliau mengulas kemenangan Mohamad dalam pertandingan jawatan timbalan presiden PAS hari ini.

Mohamad menang apabila mendapat 420 undi berbanding Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharudin Mat Isa (224).

Mohamad memecah rekod kepimpinan PAS apabila menjadi timbalan presiden pertama dari kalangan bukan ulama selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan PAS pada tahun 1983.

Subky adalah antara pemimpin PAS yang yakin, PAS perlu dipimpin oleh ulama. Dalam pemilihan 2009 lalu, Subky antara pemimpin PAS yang bercakap agar perwakilan memilih timbalan presiden di kalangan ulama.

"Saya berpendapat, Mohamad perlu diletakkan di situ sebagai pemimpin PAS bukan untuk sementara sahaja misalnya untuk hadapi pilihan raya tetapi sampai bila-bila.

"Jangan pula tahun depan ada usaha untuk menukar beliau pula. Biarlah sampai rotan yang dicari benar-benar ditemui barulah ditukar," kata beliau penuh kiasan.

Untuk menstabilkan kedudukan beliau dalam hiraki kepimpinan PAS, Subky menasihatkan agar Mohamad Sabu melantik ramai ulama di sekeliling beliau untuk menjadi penasihat-penasihatnya.

"Dia jangan pula jadi macam sesetengah kerajaan, tidak dengar cakap mufti, sesetengah kerajaan ambil mufti tetapi mufti yang dengar nasihat kerajaan," katanya.

Warna Warni Muktamar PAS Pusat Ke 57











Saturday, June 04, 2011

Mohamad Sabu, Salahudin, Husam, Mahfuz menang

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang asalnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.

Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Kesemua mereka akan menerajui kepimpinan PAS bersama Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menang tanpa bertanding.

Keputusan rasmi itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS 2011-2013, Datuk Abdul Halim Abd Rahman kira-kira jam 10.15 pagi tadi.
Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013:

1) Mazlan Aliman (804)
2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
3) Datuk Kamarudin Jaafar (739)
4) Hanipa Maidin (735)
5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
6) Dr Zulkefly Ahmad (702)
7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
8) Khalid Samad (643)
9) Abdul Ghani shamsuddin (579)
10) Amiruddin Hamzah (576)
11) Abdul Wahid Endut (556)
12) Abu Bakar Chik (527)
13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
14) Dr Siti Mariah Mahmud (445)
15) Datuk Mahfodz Mohamed (449)
16) Datuk Hassan Ali (437)
17) Abdul Ghani Abd Rahman (430)
18) Nuridah Salleh (416)

Friday, June 03, 2011

Bubarlah sekarang kalau Najib berani

BIAR pun Harakah edisi cetak keluaran Isnin lepas menggunakan tajuk ‘PRU Julai’, namun Perdana Menteri nampaknya masih teragak-agak. Kenaikan tarif elektrik menjadi bebanan baru buat Datuk Seri Najib Razak.
Kenaikan sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen bagi kilowat jam (kwj) menyebabkan bil sebelumnya tentu bertambah lagi. Cuma bil elektrik tidak berubah apabila rumah tidak ada penghuni.
Paling minima disebut RM20 bagi pengguaan elektrik 91.7 kwj. Itu pun hanya terpakai setakat 31 Disember depan. Selepas itu mungkin kerajaan akan mengkaji balik kadar terbabit.
Namun, pada pengumuman 31 Mei lalu, kerajaan tidak menyebut kajian akan dibuat dalam tempoh setiap enam bulan, seperti didakwa banyak pihak sebelum ini.
Aneh juga berdasar iklan disiar media 1 Jun lalu, TNB menyifatkan sumber tenaga boleh baharu seperti hidro, biomass dan solar disifatkan tidak berdaya saing.
TNB juga menyebut sumber tenaga konvensional iaitu penjanaan elektrik berskala besar lebih berdaya saing.
Nampak sangatlah tenaga boleh baru yang mampu menjimatkan wang rakyat bukan pilihan utama kerajaan BN. Betullah seperti didakwa bekas akauntan Petronas, Mohd Rafizi Ramli kewujudan penjana tenaga bebas (IPP) hanya projek menguntungkan kroni.
Dan apabila kroni laba tentunya untung akan mengalir juga kepada pemimpin politik.
Maka tidak hairanlah awal-awal lagi Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan meminta jangan dipolitikkan kenaikan tarif baru.
Nada itu samalah seperti acap kali diulang-ulang sebelum ini. Menteri tidak mahu harga barangan dinaikkan, sedangkan harga bahan api bertambah. Ini seperti cerita pak pandir.
Teori lama itu tidak mampu diguna pakai lagi. Apa yang rakyat hendak tahu  Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan pemilik IPP.
Malangnya Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin awal-awal lagi memberitahu kerajaan tidak boleh memaksa didedahkan kepada umum PPA yang dimeterai.
PPA ditandatangani antara beberapa IPP dan TNB. "Siapa kita untuk beritahu mereka supaya mendedahkannya” kata Peter kepada kepada sebuah laman berita baru-baru ini.
PPA ialah kontrak undang-undang antara pengeluar dan pembeli tenaga. Sekarang perjanjian itu diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Rafizi ketika berceramah di Kampung Kubur Kuda di Kota Bharu malam Sabtu lalu mendedahkan kewujudan IPP berpangkal kisah di sebalik gangguan bekalan elektrik di seluruh negara pada 1996.
Ketika itu gangguan disebabkan sistem penghantaran (transmission line) terjadi tripping. Hanya berasas masalah teknikal tiba-tiba Tun Dr Mahathir Mohamad mencetus idea besar melahirkan IPP.
Ani Arope jadi mangsa
Alasan diberi Dr Mahathir kerana TNB tidak mampu membekal elektrik mencukupi.
Pengerusi TNB yang cukup dikenali ketika itu, Tan Sri Ani Arope dijadikan mangsa. Beliau dihentam Perdana Menteri, akhirnya meletak jawatan.
Rafizi juga mendakwa TNB menjadi mangsa apabila dipaksa membeli tenaga dibekal IPP dengan harga mahal. Kesannya kerajaan terpaksa menanggung subsidi antara RM19 hingga RM21 bilion.
“Kerajaan memilih untuk menghukum pengguna dan pemilik industri tanpa menghiraukan keuntungan dikecapi IPP,” katanya.
Sedangkan harga gas di Malaysia 1 Jun lalu masih murah berbanding di negara ASEAN lain. Di negara kita ialah RM13.70 mmBtu, sedangkan di Thailand (RM18.23 per mmBtu), Singapura (RM43.32) dan Indonesia (RM21.04).
Berpandu kepada kedudukan harga gas tersebut Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menyifatkan kenaikan tarif elektrik tidak adil.
Pengguna dipaksa menanggung bebanan akibat kegagalan pengeluar tenaga membekalkan tenaga yang murah.
Presiden FMM, Mustafa Mansur dalam kenyataannya berkata, walaupun pengurangan subsidi gas sebanyak RM3 bagi setiap mmBtu, harga gas di Malaysia masih jauh lebih rendah berbanding negara lain di rantau ini.
Hairannya biar pun harga gas lebih tinggi di Thailand, namun bagi voltage rendah, sederhana dan tinggi, tarif elektriknya lebih rendah. Bagaimanapun tarif elektrik komersil di Thailand hanya 0.4 peratus lebih tinggi daripada RM37.85 kw/j di Malaysia.
Berasas kepada perkiraan itu ramai mendakwa IPP meraih keuntungan lumayan daripada kontrak yang cuba dirahsiakan kerajaan.
IPP menikmati subsidi gas sedangkan sebahagian besar mereka disenaraikan orang paling kaya di Malaysia. Dalam senarai billionaire 2011 ada nama mereka. Malangnya kerajaan BN masih bermurah hati sedekahkan subsidi kepada billionaire.
Berpangkal kepada kemelut yang dicipta Najib 1 Jun lalu, maka petanda pilihan raya umum ke-13 kini menjadi semakin samar.
Umno belum tempah poster
Hujah itu disokong pula dengan dakwaan sumber, ibu pejabat Umno di PWTC belum lagi menempah material kempen daripada luar negara sebagaimana lazim dilakukan.
Kata sumber itu biasanya segala peralatan kempen termasuk poster ditempah dari China. Andaian itu ada asasnya.
Sebaliknya seorang pegawai jabatan pusat pula memberitahu ada arahan daripada ibu pejabat supaya jabatannya mendekati kelompok penduduk.
”Perjumpaan dengan mereka perlu diadakan bagi mengetahui apa yang kehendaki daripada kerajaan,” ujar pegawai terbabit.
Pegawai lain pula memberitahu penjawat awam yang berminat bertugas sebagai pembantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari mengundi sudah disenaraikan.
Tindak tanduk tersebut seperti menggambarkan SPR sudah bersiap sedia menghadapi pengisytiharan PRU-13 pada bila-bila masa. Cuma Najib sahaja nampak gelabah.
Malah agenda setting Umno memperkudakan Utusan sudah rapat ke siling.
Utusan hari ini benar-benar mempraktikkan teori yang digunapakai bekas Menteri Penerangan Itali zaman Hitler iaitu Joseff Goeble.
Joseff menyebut ”kerajaan hendaklah berbohong kepda rakyat dan pembohongan itu hendaklah diulang-ulang supaya rakyat percaya. Jangan sama sekali rakyat tahu kebenaran. Kebenaran adalah musuh negara.”
Inilah yang sedang berlaku di hadapan kita sekarang. Video seks adalah bukti Umno menggunapakai teori Hitler bagi menghalang kebangkitan Pakatan Rakyat.
Biar pun Wata Hawari disingkir, Umno lupa masih ramai lagi refomis journalist berada di bawah bumbung Utusan Melayu.
Sekarang siapa yang terjerat dalam isu tarif baru elektrik. Dendam rakyat pastinya akan dizahirkan pada kertas undi. Bubarlah parlimen sekarang kalau Najib berani.

Nik Abduh Timbalan Ketua Pemuda PAS

SHAH ALAM, 2 Jun: Nik Abduh Nik Abdul Aziz dipilih menjadi timbalan ketua Dewan Pemuda PAS selepas beliau mengalahkan tiga lagi calon untuk jawatan itu.
Naib ketua pula dimenangi oleh Raja Al Hiss Raja Yaakob, iaitu bekas Setiausaha Politik Datuk Mahfuz Omar ketika beliau menjadi Ketua Pemuda PAS sebelum ini.
Yang menarik juga, 13 dari 17 pemimpin Pemuda PAS yang terpilih sessi ini adalah berpendidikan agama.
Berikut adalah senarai Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat untuk Sesi 2011/2013:

Pengerusi Tetap: Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki

Timbalan Pengerusi Tetap: Ustaz Kamal Ashaari

Ketua: Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

Timbalan Ketua: Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Naib Ketua: Raja Al Hiss  Raja Yaakob

Ahli Jawatankuasa:
1) Ustaz Riduan Mohd Noor
2) Khairul Faizi Ahmad Kamil
3) Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah
4) Adram Musa
5) Ustaz Kamaruzzaman Mohamad
6) Ustaz Ahmad Fadley Shaari
7) Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi
8) Ustaz Nazri Chik
9) Ustaz Yusni Mat Piah
10) Mohd Sany Hamzan
11) Ustaz Syed Abdul Qadir Al Jufri
12) Ustaz Mohd Noor Hamzah

Siti Zailah dinobat Ketua Muslimat

SHAH ALAM, 2 Jun: Pemilihan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) bagi sesi 2011/2013 menyaksikan Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) menang jawatan Ketua DMPP menewaskan penyandang sebelumnya, Nuridah Salleh.
Perkara tersebut diumumkan timbalan pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS Pusat, Datuk Wan Mutalib Embong sebentar tadi.
Bagi jawatan timbalan ketua pula dimenangi Dr. Siti Mariah Mahmud menewaskan pencabarnya Wan Hasrina Wan Hassan.

Manakala jawatan naib ketua kekal dengan Mumtaz Md Nawi menewaskan tiga pencabar lain iaitu Mastura Mohamad, Normala Sudirman dan Dr. Najihatussalehah Ahmad.

Berikut adalah senarai Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat untuk Sesi 2011/2013:

Pengerusi Tetap

Nor Hashimah Deraman
Timbalan Pengerusi Tetap
Fatimah Ismail
KETUA
Siti Zailah Mohd Yusof, YB

TIMBALAN KETUA
Siti Mariah Mahmud, Dr  

NAIB KETUA
Mumtaz Mohd Nawi

JAWATANKUASA KERJA
1. Aiman Athirah Al-Jundi
2. Halimah Ali, Dr. YB
3. Asiah Ali, Dr.
4. Aida @ Nurul Huda Yusof Rawa
5. Wan Ubaidah Omar, YB
6. Kartini Ahmad
7. Mastura Mohamad
8. Normala Sudirman
9. Azizah Khatib Mat
10. Rosni Adam
11. Najihatussolehan Ahmad, Dr.
12. Siti Aisyah Ghazali, YB

Pemeriksa kira-kira
1. Basmatul 'Uyun Yusof
2. Normilan Mamat

Thursday, June 02, 2011

Ikhwan Mesir ucap tahniah, mahu PAS terus maju

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Parti Ikhwan Muslimin Mesir mendoakan agar PAS akan terus maju dalam perjuangannya untuk Islam dan rakyat supaya Islam terserlah sebagai 'rahmat kepada seluruh alam'.

Dalam masa yang sama, parti itu juga turut merakamkan ucapan tahniah kepada PAS di bawah kepimpinan Mursyidul Amnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan mengadakan Muktamar Ke-57nya mulai 3 hingga 5 Jun ini.

Murshid Ikhwan Muslimin Mesir, Mohamed Al-Badie’ berkata, beliau berharap agar Muktamar PAS Ke-57 berjalan dengan penuh kejayaan dan perlindungan Allah.

Menurutnya, beliau mendoakan agar setiap pendokong PAS sentiasa istiqamah dalam perjuangan Islam, sentiasa tabah menghadapi segala bentuk halangan dan ujian dalam dakwah serta politik yang diceburi dan sentiasa meletakkan keyakinan akan pertolongan dari Allah. 

Katanya, bagi Ikhwan Muslimin di Mesir, mereka bersyukur kepada Allah kerana telah berjaya mencipta sejarah baru, apabila telah berjaya mengadakan Muktamar Senawi secara terbuka, aman dan bebas baru-baru ini selepas kejatuhan rejim diktator Mubarak.

"Sejarah baru ini tercipta setelah kami dari Ikhwan telah menghadapi ujian besar sejak berpuluh-puluh tahun lalu di Mesir. Ikhwan diharamkan, kami dipenjarakan, kami dibuang negeri, tetapi perjuangan kami tetap mekar di hati dan sanubari rakyat Mesir yang cintakan Islam.

"Perubahan yang sedang kami nikmati di Mesir kini semuanya adalah hasil dari berkat kesabaran, keyakinan serta pertolongan dari Allah SWT," katanya menerusi perutusan khasnya sempena Muktamar PAS Ke-57 yang disampaikan melalui Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Syed Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Adun Batu Buruk dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam berkata, menerusi perutusan itu, Mohamed Al-Badie’ turut mengingatkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS tentang tiga cabaran besar yang dihadapi oleh gerakan Islam di seluruh dunia.

Pertama, cabaran dalam bentuk global yang menyaksikan dunia Islam kini diserang dengan pelbagai tuduhan dan ancaman dengan meletakkan Islam dikandang orang salah.

Kedua, gerakan Islam di serata dunia akan terus ditekan tanpa mengira belas kasihan.

Ketiga, pertembungan yang sedang berlaku kini di antara gerakan Islam dan kuasa-kuasa Barat bukan hanya pertembungan pemikiran, tapi lebih merupakan pertembungan tamadun yang amat mencabar.

Tegas Mohamed, namun kita amat yakin dengan perkembangan politik baru sekarang. 'Kuasa Rakyat’ telah merubah pola politik Mesir dan Timur Tengah.

Perkembangan itu, katanya, tidak mungkin akan mumpu disekat oleh mana-mana pihak termasuk kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Britain. Rakyat di seluruh dunia kini mahukan kebebasan dan hak mereka dikembalikan.

"Akhirnya saya mendoakan agar setiap pendokong PAS sentiasa bersabar menghadapi ujian besar ini. Persiapan yang mendalam perlu dilakukan oleh semua ahli PAS bagi menghadapi situasi politik baru ini.

"Hanya dengan keimanan yang mendalam, persiapan ilmu yang cukup serta pengorbanan yang besar sahaja yang akan menjamin kemenangan serta masa depan Parti Islam.

"Sekali lagi saya mewakili seluruh kepimpinan dari Ikhwan Muslimin mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS). Melangkahlah kamu semua dengan keberkatan dari Allah SWT," ujar beliau. 

Semua jawatan menang tanpa bertanding

KUALA LIMPUR, 2 Jun: Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 mencatat sejarah apabila kesemua jawatan dalam dewan itu diumumkan menang tanpa bertanding.

Jawatan-jawatan yang diisytiharkan menang tanpa bertanding meliputi jawatan Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong Setiausaha 1,2 dan 3, Bendahari, AJK dan pemeriksa kira-kira bagi sessi 2011-2013.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Dewan Ulama, Ustaz Hamdan Mohamad sekitar jam 9.00 pagi ini.

Dewan Ulama PAS Pusat mengadakan Muktamar Tahunan Ke-50 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar di sini, hari ini bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Ucap utama disempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama bagi mewakilo Ketuanya, Datuk Harun Taib yang turut hadir mengikutinya.

Pada sessi perbahasan ucap utama bermula jam 11.30 pagi tadi yang dipengerusikan oleh Ustaz Hamdan Mohamad,  seramai 7 peserta telah mengambil bahagian.

Peserta terbabit terdiri daripada perwakilan Dewan Ulama PAS Terengganu, Hamzah Ngah, Kedah (Mohd Lutfi Ariffin), Perlis (Idris Yaakub), Johor (Ustaz Arif Salim Osman), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Ustaz Mohd Nazmi Kamaruddin), Perak (Muhammad Nuri Al-Amin Endut) dan Pahang (Ahmad Nazri).

Perbahasan ucap utama akan disambung jam 2.30 petang dengan dimulaikan perwakilan Dewan Ulama PAS Selangor setelah muktmar berehat jam 1.00 tengahari. 

Indonesia turun harga petrol, Malaysia?

KUALA LUMPUR, 2 Jun: PAS mempersoal sikap kerajaan Malaysia yang hanya berfikir mahu menaikkan harga petrol temasuk RON 95 sedangkan Indonesia bertindak menurunkan harga bahan bakar itu kali kedua dalam tempoh seminggu.

Kelmarin, PT Pertamina Indonesia mengambil tindakan untuk kali kedua dalam tempoh seminggu iaitu menurunkan harga petrol antara Rp 200 hingga Rp 600 per liter atau dalam RM0.07 hingga RM0.21 seliter.

Ketua Penerangan PAS Perak ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan yang diambil oleh Kerajaan Republik Indonesia itu merupakan satu jawapan yang jelas kepada apa yang telah dikatakan oleh Pakatan Rakyat di Malaysia bahawa harga minyak boleh diturunkan.

"Pakatan Rakyat menegaskan berulang bahawa Malaysia mampu menurunkan harga minyak bila BN jadi pembangkang selepas PRU ke 13 nanti.

"Malah ada isu yang mengatakan sepatutnya harga minyak di Malaysia sekiranya pengurusan ekonomi negara tidak pincang selama 50 tahun lebih sebenarnya boleh sampai ke tahap RM 0.60 seliter dan tidak semahal sekarang,"katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau turut mempersoal apa penjelasan yang mahu diberikan Umno BN dengan tindakan terbaru negara jiran itu.

Sebelum ini kata Khalil, pemimpin Umno BN sering mengatakan ekonomi Malaysia lebih baik dari Indonesia namun Malaysia dia tidak mampu untuk membela rakyatnya dengan menurunkan harga minyak.

"Ternyata Pemimpin BN berbohong kepada rakyat Malaysia dengan tidak mampu membela nasib rakyatnya yang duduk dalam keadaan tertekan dan dihimpit resiko kenaikan harga barang apabila setiap kali harga minyak naik.

"Realitinya pemimpin BN sekarang menjadi penghisap darah kepada rakyat dengan sewenangnya menaikkan harga minyak RON 97 dan pada bila-bila masa RON 95 akan mengalami kenaikan harga,"tegasnya.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat memastikan dalam PRU ke 13 akan datang BN diletakakan sebagai pembangkang dan memberi harapan kepada Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia yang semakin kritikal.

Pertembungan PAS dan Umno pertembungan akidah

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Pertembungan antara PAS dan Umno perlu difahami dengan jelas oleh setiap pihak sebagai bukan hanya sekadar pertembungan politik, tetapi adalah pertembungan akidah.

Oleh iitu, para ulama dalam PAS di semua peringkat perlu memainkan peranan dengan berkesan bagi menerangkan perkara itu bukan hanya kepada ahli-ahli PAS, tetapi juga kepada orang ramai di seluruh negara.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Terengganu, Hamzah Ngah berkata, realiti itu tidak perlu disembunyikan oleh ulama PAS apabila ditanya oleh seseorang tentang perbezaan antara PAS dan Umno.

Menurut beliau, sebalik perbezaan itu perlu dinyatakan dengan jelas dan tegas agar difahami setiap pihak, selaras dengan perjuangan PAS untuk Islam, manakala Umno atas dasar nasionalis.

Namun dalam hubungan ini, beliau kesal kerana terdapat ulama PAS di peringkat kawasan sendiri enggan menjelaskan perkara itu dengan mengatakan terpulanglah kepada kefahaman sendiri untuk menanggapinya.

"Begitu juga jika ditanya tentang kepentingan mendaftar diri untuk menjadi pengundi, ada ulama di kawasan hanya memberikan jawapan seperti itu, pada hal ia perlu dicantas terus dengan menjelaskan perbezaan pertembungan antara PAS dan Umno sebagai pertembungan akidah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan ucap utama pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 di Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Bagi mengatasi perkara itu, beliau menyarankan agar para ulama bukan sekadar memilkii pelbagai ilmu, tetapi juga memiliki sifat keberanian untuk menyatakan kebenaran dan melakukan perubahan.

Sejajar dengan itu, beliau menegaskan penolakan PAS untuk bersatu dengan Umno BN sememangnya tepat kerana kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat ternyata jauh lebih menguntungkan PAS dan umat Islam dari sudut dakwah dan pelbagai sudut lain.

Sementara itu, perwakilan Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Lutfi Ariffin berkata, kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat memerintah di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang merupakan satu cabaran penting kepada para pemimpin dan ahli-ahli PAS agar tidak terpedaya dengan kemewahan hidup.

Beliau berharap agar kemenangan itu pula jangan menimbulkan kepuakan dalam PAS.

Manakala perwakilan Dewan Ulama PAS Perlis, Idris Yaakub berkata, kemenangan yang sebenar bagi umat Islam adalah berpegang kepada ajaran Allah.

Perwakilan Dewan Uilama PAS Johor, Ustaz Arif Salim Osman mengingatkan golongan ulama agar memainkan peranan derngan berkesan kepada masyarakat dengan ilmu yang dimiliki kerana ia merupakan amanah Allah kepada mereka.

Manakala perwakilan Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Nazmio Kamaruddin berharap agar PAS mewujudkan Majlis Penyelidikan dengan segera bagi kepentingan seluruh ahlinya.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Perak, Muhammad Nuri Al-Amin Endut pula meregaskan kekuatan Islam antara lain terletak pada prinsip.

Oleh itu, beliau berharap agar para pemimpin dan ahli-ahli PAS terus cekal dengan prinsip perjuangan Islam bagi membolehkan PAS terus maju mendepani pelbagai cabaran.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Pahang dalam ucapannya menyarankan agar rakyat Pahang mengKelantankan Pahang dengan antara lain melakukan pengusaan terhadap masjid dengan mengimartahkan masjid.

Selain itu, beliau juga berharap agar rakyat Pahang turut mencontohi negeri Kelantan menerusi keilmuan dengan berusaha memperbanyakkan pusat penyebaran ilmu di negeri itu.

Muslimat: 'Tawan' pengundi, rakan dan musuh

SHAH ALAM, 2 Jun: Muslimat PAS di semua peringkat diseru mempraktikkan segala ilmu dan kepakaran berkaitan pilihan raya yang diperoleh sebelum ini bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketuanya, Nuridah Salleh berkata, sudah sampai masanya segala pengalaman yang diperoleh melalui kursus dan bengkel yang dianjurkan parti selain melalui 16 siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak digunakan sebagai persedian akhir menghadapi PRU ke-13.

"Gendang PRU ke-13 sudah dipalu dan mulai hangat kedengaran ke seluruh pelusuk negara. Umno BN telah mula mengembar-gemburkan slogan-slogan “Satu Malaysia”, transformasi ekonomi dan sebagainya serta telah menabur janji-janji manis.

"Marilah kita tekadkan azam, kuatkan semangat, merancang dan melaksanakan gerak kerja PRU dengan penuh komitmen. Tiada alasan menasabah untuk kita masih bertangguh-tangguh.

"Kita memerlukan komitmen semua ahli-ahli PAS seluruhnya dan para muslimat adalah satu komponen penting jamaah kita dalam menguruskan gerak kerja bagi mencapai kejayaan," katanya sewaktu menyampaikan ucap tema di muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-51, di Dewan Bankuet bangunan SUK Shah Alam, dekat sini hari ini.

Dalam ucapan bertema "Memimpin Perubahan, Meneraju Kebangkitan", Nuridah mensasarkan tiga golongan untuk 'ditawan' melalui tiga pendekatan sebagai persediaan PRU ke-13 iaitu, pertama; menawan hati pengundi-pengundi melalui penerangan dan dakwah berhikmah.

Menurut Nuridah, muslimat seharusnya telah turun padang mengenal pasti pengundi-pengundi, mendaftarkan pengundi-pengundi muda dari kalangan kita dulu, jiran tetangga dan rakan taulan termasuk menziarahi setiap rumah di bandar-bandar, pinggir-pinggir bandar, di setiap kampung dan desa menyeru dan meraih mereka agar memilih Islam yang syumul.

"Kita ketuk pintu-pintu hati mereka dengan penuh keinsafan dan kesedaran beragama serta keharmonian bermasyarakat. Kita jelaskan juga cita-cita perjuangan PAS – PAS For All – PAS untuk semua dan terangkan kepada mereka segala tawaran Pakatan Rakyat seperti yang tertera pada Buku Jingga," katanya.

Muslimat juga tegasnya harus menjelaskan perubahan dan pembaikan yang telah dilakukan terhadap negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat terutamanya peranan muslimat PAS khususnya dan wanita Pakatan Rakyat amnya dalam urusan pentabdiran kerajaan dengan menerajui portfolio yang mencabar seperti pelaburan dan perindustrian, pendidikan tinggi dan pembangunan insan di Selangor. Juga menerajui portfolio kesihatan, kebajikan masyarakat dan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Kedua; menawan hati rakan melalui ketulusan hati.

Nuridah berkata, bagi menawan hati rakan, semangat setiakawan bersama-sama rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat, semua wanita ahli-ahli dan penyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS, PKR, PSM dan DAP harus diperkukuhkan bagi berganding bahu melaksanakan strategi serta muafakat setempat.

"Fokuskan kepada kepentingan dan matlamat bersama dan kecilkan segala salah faham dan pekara titik-bengik yang menghalang kita dapat bergerak maju dengan penuh kesepaduan. Kejayaan Pakatan Rakyat adalah kejayaan kita bersama," katanya.

Ketiga; menawan hati lawan melalui strategi bijaksana.Nuridah menyeru seluruh muslimat mematuhi segala arahan pimpinan dalam melaksanakan strategi menghadapi pihak lawan dan tidak terburu-buru mengambil keputusan sendiri serta tidak menangguhkan sesuatu pelaksanaan.

"Contoh teladan para sahabat Rasulullah yang setia mematuhi segala arahannya. Ambillah tugasan yang kita ukur dengan kemampuan kita janganlah cemburu dengan kemampuan sahabat  dan rakan seperjuangan. Juga kita perlu berani mencuba dan jangan ragu-ragu dengan segala keputusan yang telah dimuafakatkan," katanya.

Justeru ujarnya, seluruh muslimat samaada golongan muda atau veteran harus bersama-sama berjuang untuk kelangsungan parti tanpa ada sikap suka berlengah-lengah.

"Mari kita bergerak di dalam satu saf jamaah bersepadu secara terancang dan tersusun mengikut kemampuan kita dan terus mara ke medan jihad. Selagi kita tidak bermula dengan mengharapkan orang lain, selagi itu kita tidak akan mampu menahan gelombang dakyah kehidupan sekular yang membawa dosa dan kemaksiatan secara berseorangan," katanya.

Tambah beliau lagi, sudah tiba masanya muslimat mengurangkan atau meninggalkan terus segala aktiviti yang tidak bermanfaat sebaliknya menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk membantu jemaah melawan Umno Bn.

"Masa untuk bersenang-senang, sembang-sembang di atas tangga, membeli-belah tanpa menghirau masa di pasaraya, bersantai-santai dengan teman membiar masa berlalu begitu saja, duduk berjam-jam di depan tv, melayari internet tanpa tujuan perlulah dihentikan segera.

"Masa untuk sibuk dengan agenda peribadi sahaja telah berakhir! Marilah kita bersama-sama turun padang mengharungi segala onak dan duri. Masa untuk kita terlalu singkat sedangkan terlalu banyak perubahan dan pembaikan yang perlu dilakukan. Kerana kematian dan pertemuan dengan Allah sangat hampir. Kita amat bimbang amanah yang dipikul ini tidak sempat ditunaikan dengan baik," katanya. 

Transformasikan rakyat jika mahu tawan Putrajaya

SHAH ALAM, 1 Jun: Menyedari hakikat Pilihan Raya Umum ke-13 sangat hampir, Dewan Pemuda PAS perlu bekerja keras menggerakkan kesedaran kepada rakyat untuk membuat perubahan bersama Pakatan Rakyat," kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Katanya, kuasa rakyat perlu digerakkan secara maksimum kerana hanya undi mereka yang bakal menentukan sama ada Pakatan Rakyat mampu merialisasikan hasrat mengusai Putrajaya atau sebaliknya.

“Ingatlah rakyat jelata yang membuang undi semasa pilihan raya itulah yang bakal menentukan kemaraan kita mendaki Putrajaya melalui sistem demokrasi berparlimen yang sama-sama kita pegang berdasarkan Perlembagaan Negara.

“Kita mesti mencari kaedah terbijak untuk melakukan transformasi kepada rakyat yang bakal mengtransformkan kerajaan Umno-BN sedia ada kepada PAS-PR,” kata beliau dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini malam tadi.

Tambahnya, walaupun pilihan raya umum ke-12 lalu menyaksikan tsunami politik berlaku, namun untuk mengekalkannya atau menjadikannya lebih besar, memerlukan kerja kuat daripada ahli PAS khususnya pemuda.

“Kita sedar gelombang tsunami politik kedua ini memerlukan gemblengan tenaga yang lebih kuat untuk merangkul semula takhta pemerintahan daripada pemerintah sedia ada yang sejak tahun 1955, gagal melaksanakan tanggungjawab dan akauntabilitinya kepada rakyat jelata,"katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata BN juga sebenarnya gusar menghadapi pilihan raya umum akan datang sehingga terpaksa menggunakan pelbagai serangan terhadap parti lawan khususnya PAS.

Ianya termasuk memainkan isu negara Islam sebagai tidak dipersetujui DAP dalam Pakatan Rakyat, bagi menggambarkan wujud perpecahan dalam Pakatan.

Sehubungan itu, menjadi tugas pemuda untuk memberi penjelasan sebenar kepada rakyat.

Beliau juga mengingatkan dewan pemuda PAS menyediakan calon berpotensi tinggi, disegani rakyat dan turut dihormati musuh, pada pilihan raya umum nanti jika serius mahu menang.

“Jika kita telah menerima pentas politik sebagai sebahagian daripada medan dakwah kita secara serius, maka kita juga kena serius menyediakan bakal-bakal calon pilihanraya berpotensi tinggi hatta dihormati musuh politik kita sekalipun,” katanya.

'Jangan hanya jadi 'yes man' kepada pemerintah'

SHAH ALAM, 1 Jan: Selagi orang muda hanya menjadi 'yes man' terhadap apa yang dilakukan pemerintah, selagi itulah kerajaan BN akan terus bermaharajalela menindas rakyat untuk kepentingan mereka, kata Nasrudin Hassan.

Beliau mengingatkan demikian sewaktu memnyampaikan Ucapan Dasar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada Muktamar dewan itu di sini malam ini.

Katanya, anak muda perlu berani menyatakan bantahan terhadap dasar yang mengainaya rakyat yang dibuat kerajaan.

Keberanian itu tegasnya harus diterjemah atas kertas undi pada pilihan raya umum nanti.

"Anak muda perlu berani untuk menterjemahkan hak sivil mereka untuk tidak menjadi ‘tukang angguk’ atau ‘yes man’ kepada segala apa yang dipercaturkan oleh pemerintah.

"Anak muda mestilah menterjemahkan kehendak mereka secara assertif melalui peti undi di bawah slogan bersama “undi untuk perubahan ke arah kesejahteraan”,katanya.

Untuk mencapai matlamat itu, beliau memberikan beberapa tugasan kepada pemuda PAS agar menyedarkan golongan belia bahawa mereka mempunyai peluang menegur kerajaan melalui undi.

Antaranya beliau mahu anak muda menjadi agen penyebar maklumat yang aktif melalui facebook, blog, twitter dan lain-lain.

Selain itu beliau menyeru agar anak muda menyuarakan inspirasi mereka secara kolektif melalui wacana dan forum serta membentuk ikatan (coalition) supaya suara mereka lebih didengari.

Di samping itu juga menyeru kerajan BN melihat bagaimana kesan kuasa kebangkitan anak muda di Timur Tengah termasuk di Tunisia dan Mesir sehingga kerajaan masing-masing dijatuhkan melalui jalan raya.

Kesan sama berlaku apabila anak muda bangkit pada pilihan raya Singapura baru-baru ini.

"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS memberi peringatan kepada kerajaan yang memerintah, samaada kerajaan BN diperingkat persekutuan mahupun kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri termasuk Kelantan yang telah sekian lama ditadbir oleh PAS, supaya tidak memandang rendah kehadhiran generasi Milenium ini,"tegasnya.