Wednesday, December 12, 2012

Felda saman, Mazlan sedia ke mahkamah


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempertahankan dakwaan bahawa Felda menjual minyak sawit mentah kepada syarikat Israel.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga tidak akan memohon maaf, menarik balik dan menawarkan pampasan setimpal kepada Felda seperti yang diminta Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Samad.

"Kalau Felda minta saya minta maaf dalam masa 14 hari, saya tak akan buat begitu.

"Saya tak akan berganjak dari dakwaan saya dan saya bersedia dengan bukti lengkap untuk dibawa ke mahkamah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Felda pada semalam dan kelmarin menghantar notis tuntutan kepada Mazlan, akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Dalam notis tersebut, Felda memberi tempoh 14 hari kepada pihak terbabit untuk memohon maaf, menarik balik kenyataan itu dan menawarkan pampasan yang setimpal kepada Felda di atas tindakan mereka.

Jika pihak terbabit gagal berbuat demikian, Felda akan mengarahkan pihak peguam meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tindakan tersebut menunjukkan Felda berada dalam keadaan terdesak.

"Ini hanya menampakkan Felda terdesak sehingga mengambil tindakan undnag-undang sedangkan kita ada bukti.

"Saya juga berasa lucu dengan kenyataan Isa Samad bahawa invois yang saya dedahkan itu berkaitan getah, bukan kelapa sawit.

"Bagaimana dia seorang pengerusi tidak tahu urusan jual beli yang dilakukan Felda," katanya.

Solat Hajat & Ceramah Perdana Di PUTIK.



























MCA tidak ada moral benchmark - Mustafa


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini menyifatkan MCA tidak mempunyai angka rujukan (benchmark) yang jelas dalam isu moral di negara ini.

Atas dasar itulah, MCA tidak kesah dengan apa-apa isu moral di negara ini.

Beliau mengulas tindakan MCA yang selalu menjadikan isu kawalan moral di negara ini sebagai menganggu hak-hak bukan Islam.

Mustafa mengulas apa yang berlaku di Kota Bharu apabila dua pasangan orang bukan Islam di saman oleh pihak berkuasa tempatan adalah tidak tepat sebagaimana digambarkan oleh akhbar MCA, The Star.

Akhbar The Star melapurkan tindakan kedua-dua pasangan itu sebagai berkhalwat padahal apa yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan adalah bertindak ke atas Indecent behaviour (kelakuan tidak senonoh) di tempat awam.

"Indecent behaviour ini ada. Tapi apa benchmark yang kita nak pakai? Yang dipakai di DBKL ialah bercumbu di tempat awam.

"Di Barat, mungkin kissing (bercium) boleh, tapi kalau telanjang tak boleh. Nak berlari dengan tak ada pakaian, itu saya rasa salah di Barat.

"MCA apa dia? MCA saya tak pakai benchmark MCA ini. Sebab MCA tak ada benchmark. Sebab pemimpin dia buat teruk daripada itu pun ok. MCA tak ada morale benchmark. Itu MCA," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini yang sangat tidak berpuashati dengan laporan media MCA, The Star.

Agak teruk sikit

Dalam sidang medianya itu juga, Mustafa juga berkata beliau mendapat "cerita kelakuan sebenar" mengenai individu yang disaman pihak berkuasa tempatan Kelantan sehingga mencetus sensasi di media sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan kelakuan individu berkenaan ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

"Yang ini (individu terbabit) mungkin agak teruk sikit. Saya tak nak cerita kelakuan sebenar walaupun telah diceritakan kepada saya," katanya.

Tambahnya, kes itu juga bukan tindakan pertama yang dikenakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ke atas orang bukan Islam di negeri itu.

Katanya, sebelum ini juga terdapat kes denda ke atas individu bukan Islam bagi kesalahan berkelakuan tidak sopan.

"Saya dah periksa di Kelantan, bukan semua yang diberi begini (saman). Banyak kes yang diberi nasihat.

"Cuma MPKB belum ambil langkah saman (kes sebelum ini). Mereka guna budi bicara. Sebelum ini ada kes. Tapi mereka bayar kompaun. Jadi isu ini disensasikan sahaja," katanya lagi.

Umno sabotaj iklan gergasi kerajaan negeri?

GUA MUSANG: Usaha kerajaan negeri membantu masyarakat Orang Asli dengan meluluskan tanah rezab dan rancangan pembangunan untuk mereka tidak disenangi pihak tertentu.

Sebelum ini kerajaan negeri mewartakan kawasan rezab Orang Asli bagi mengelakkan kawasan tersebut diceroboh dan menjaminkan masa hadapan mereka.

Bagaimanapun usaha tersebut tidak disenangi pihak tertentu dipercayai ada kaitan dengan Umno apabila merosakkan iklan gergasi mengenai cadangan pembangunan masyarakat Orang Asli di Pos Jedip, Lojing.

Iklan tersebut memaparkan prasarana yang akan dibina untuk manfaat Orang Asli bersama gambar Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim.

Dua iklan gergasi tersebut dipasang berhampiran dengan Masjid Keputeraaan, sedang dalam pembinaan di Jajahan Kecil Lojing.

Dan iklan kedua dipasang berhampiran simpang tiga jalan Lojing-Gua Musang-Kuala Betis. Iklan berkenaan dipasang Tabung Amanah Tok Kenali  pada akhir November lalu.

Pengurusnya, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata, setiap satu papan iklan tersebut bersaiz 20 x 40 kaki melibatkan kos lebih RM10,000 dipasang bagi memaparkan program pembangunan yang akan dilaksanakan di Pos Jedip.

Katanya, Tabung Amanah Tok Kenali diberi peranan memastikan kebajikan masyarakat terbabit termasuk kawasan yang akan dibangunkan kepada Orang Asli.

“Kita cuba gambarkan usaha-usaha tersebut dalam dua papan iklan gergasi yang dipasang di dua lokasi di lebuh raya Gua Musang-Simpang Pulai.

“Bagaimanapun apa yang kerajaan negeri lakukan tidak disenangi pihak tertentu sehingga mereka mengoyakkan papan iklan berkenaan hanya seminggu selepas dipasang,” katanya di sini.

Program K 10 Anak Perantauan Dun Temangan














PR berjaya tembusi kubu BN kawasan Ali Rustam

BUKIT KATIL: Pakatan Rakyat berjaya memecahkan kubu kuat BN di Peti Undi Tambak Paya, apabila satu ceramah penerangan anjuran DAP berjaya diadakan di Taman Tambak Paya di sini malam tadi.
Sebelum ini Pakatan Rakyat sukar untuk mengadakan program di kawasan Ketua Menteri itu disebabkan tiada pihak yang berani membenarkan pekarangan rumah mereka dijadikan tapak ceramah.

Pakatan Rakyat juga menghadapi situasi yang sama untuk mengadakan program tersebut sehingga tapak program terpaksa ditukar tiga kali kerana tuan rumah telah diugut pihak tertentu yang dipercayai mendapat arahan pimpinan BN.

Pengarah Program, Gandhi Rajan (gambar) berkata kejayaan PR mengadakan program malam tadi membuktikan bahawa rakyat sudah berani membuat perubahan walaupun mereka diugut.

"Rakyat sudah buka mata, mereka tidak takut lagi, apa yang penting mereka mahu buat perubahan demi masa depan anak cucu mereka dalam semua bidang termasuk ekonomi, pendidikan, maruah dan sebagainya.

"Walaupun ada gangguan dan provokasi malam tadi, kita tetap meneruskan program kerana kita tahu program ini aman dan bukan mahu buat kacau," ujar Gandhi yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Dickson, M Ravi dalam ucapannya kesal kerana kerajaan Barisan Nasional terus mengamalkan dasar perkauman dan diskriminasi terhadap sekolah-sekolah Tamil di mana ianya seolah-olah sekolah kelas kedua.

"Pasal apa sekolah itu diberi nama 'Jenis Kebangsaan’ apa itu ‘jenis’, kita pun tidak faham.

"SJKT, SJKC semuanya ada 'jenis' nampak macam sekolah ini kelas kedua, ini diskriminasi kepada rakyat kaum India,"ujar Ravi penuh semangat.

Adun Senawang,  Gunasekaran pula berkata tindakan kerajaan yang menafikan hak kaum India untuk mendapat kerakyatan Malaysia adalah satu pengkhianatan dan kezaliman kepada mereka yang terlibat.

"Ada ratusan ribu orang India yang layak tetapi tidak dapat kad pengenalan, mereka ini fasih bercakap Bahasa Malaysia dan sudah tinggal lama di Malaysia, tetapi orang Filipina yang ada di Sabah cakap Melayu pun tak tahu boleh dapat MyKad.

"Jelas kerajaan BN zalim dan tidak menjaga kebajikan rakyat sendiri dan mereka menafikan hak rakyat," tambahnya.

Tok Guru Nik Aziz setuju nikahkan Apex


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju menikahkan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dengan pasangannya, Leuniey Natasha Nazri pada 28 Disember ini.

Demikian dinyatakan dalam surat daripada Pejabat Menteri Besar Kelantan kepada Nazri.

Menurut surat bertarikh 10 Disember yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Rushdee Abdullah itu, majlis akad nikah akan diadakan di rumah keluarga Leuniey jam 10.00 pagi.

Bertam: PM bohong atau salah maklumat?


TEMERLOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta tampil memberikan penjelasan mengenai pertelingkahan mengenai hak telaga minyak PM 307-Bertam yang dijumpai oleh Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil baru-baru ini antara negeri Pahang dan Terengganu.

“PAS Pahang mendesak Perdana Menteri menjelaskan kedudukan sebenar kawasan telaga minyak PM307-Bertam, samada  berada di dalam perairan Pahang atau Terengganu.

Ini kerana ia turut dituntut oleh kerajaan Terengganu, sedangkan Perdana Menteri telah mengumumkan penemuan medan Bertam sebagai hak bagi negeri Pahang,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar atas) dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim turut memetik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 31 Oktober, 2012:

"Medan minyak ini terletak kira-kira 160 km di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan negeri Pahang, pada kedalaman air 76 meter. Penemuan ini telah membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Penyu Basin. Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua di dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Berasaskan pertimbangan yang adil dan saksama, dan mengambil kira negeri-negeri yang telah dibayar wang ehsan sebelum ini, serta komitmen kerajaan untuk terus memastikan pembangunan serta manfaat dapat dirasai oleh negeri-negeri, dalam hal ini, bergantung kepada anggaran pengeluaran, negeri Pahang dijangka akan menerima wang ehsan sekitar 100 juta setahun apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.”


Di sidang DUN Terengganu, timbul maklumat baru yang menyatakan bahawa telaga minyak tersebut dijumpai di perairan Terengganu dan bukannya Pahang.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat, kerana ia memalukan negara.

“Perdana Menteri bukan sahaja mengumumkan penemuan kawasan telaga baru tersebut, bahkan turut menyatakan dengan penuh komitmen bahawa Pahang akan diberi  wang ehsan sebanyak RM100 juta setahun,” kata Tuan Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata pengumuman Najib sebelum ini dilihat satu perkembangan baru yang menarik, untuk usaha penerokaan kawasan minyak di Pahang yang turut disahkan mempunyai kawasan minyak dan gas.

"PAS Pahang berharap PM tidak bermain politik dalam hal ini. Penegasan dari beliau akan meredakan ketegangan antara dua negeri yang turut menuntut medan Bertam sebagai hak negeri mereka.

"Kerajaan Pahang seharusnya turut menjalankan kajian bagi pengesahan kawasan penemuan minyak tersebut, dan sekiranya benar ia di perairan Pahang, kerajaan negeri harus menuntut pembayaran dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagai royalti,” tegasnya lagi.

Thursday, December 06, 2012

Umno hidupkan kembali budaya samseng era 1969

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan masih lagi mengingati aksi ganas kumpulan samseng yang dinamakan Pemuda Tahan Lasak digunakan Umno bagi menghalang kemaraaan PAS di Kelantan.

Kumpulan samseng tersebut digunakan secara meluas terutamanya di Rantau Panjang sehingga mereka menghalang penduduk mahu keluar mengundi dengan membakar sebuah jambatan.

Penduduk veteran di kampung tersebut memberitahu mereka terpaksa dikawal anggota tentera untuk balik daripada mengundi di Gual Periuk pada 1969.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, situasi yang pernah berlaku di sini pada 1960-an kini seperti mahu dihidupkan kembali pihak terbabit.

“PAS ada banyak pengalaman pada 1969 apabila Umno dalam keadaan hampir kalah pilihan raya mereka mencetuskan budaya samseng bagi mewujudkan suasana takut dalam kalangan rkayat.

“Tanda-tanda Umno kehilangan kuasa semakin jelas sehingga mereka melakukan sesuatu seperti orang hilang pedoman. Mereka terlalu takut dengan kekalahan.

“Rakyat mesti menolak parti yang mengamalkan budaya politik samseng termasuk mengganggu ceramah-ceramah Pakatan Rakyat,” katanya di sini.

Malam semalam sekumpulan samseng yang sebahagiannya membawa bendera BN dilaporkan mengganggu ceramah Pakatan di Dataran Sharuddin, Batu 8 Gombak sehingga ada penyokong parti yang cedera.

Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sindrom takut dan rimas Umno terbawa-bawa kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Abdul Razak sehingga was-was bagi mengisytiharkan pilihan raya umum ke-13.

“Ini perkara luar biasa yang berlaku di negara kita sekarang. Ia menimbulkan persoalan besar kepada masyarakat. Tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia pilihan raya lewat macam ini,” ujarnya.

Hancurkan kuasa Umno BN jalan terbaik hapus rasuah


KUALA LUMPUR: Menghancurkan kuasa Umno Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya jalan untuk menghapuskan rasuah di negara ini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Tidak ada dua jalan, hanya itu sahaja satu-satunya cara untuk mengurangkan rasuah ke tahap minimum di negara ini, iaitu dengan menghancurkan kuasa Umno BN," kata beliau ketika menyatakan kebimbangannya tentang laporan terbaru mengenai rasuah yang kian kronik di negara ini.

Pengerusi Transparency International-Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan mendedahkan maklumat kaji selidik yang menunjukkan separuh dari syarikat yang beroperasi di Malaysia melaporkan bahawa mereka kehilangan kontrak atau peluang perniagaan kepada pesaing mereka akibat rasuah sejak setahun lalu.

"(Bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri yang mengingatkan kita bahawa Umno sudah jadi parti perasuah.

"Apa yang dilaporkan oleh Transparency International-Malaysia tentang betapa kroniknya rasuah di negara itu ternyata adalah akibat langsung dari pemerintahan Umno BN," kata Mahfuz sambil menyifatkan pemerintahan Umno BN adalah pemerintahan untuk rasuah, demi rasuah dan dengan rasuah.

Serentak dengan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menolak rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya jangan menukar kerajaan dengan alasan "jangan kerana marah kepada nyamuk, kelambu dibakar".

"Pelik sungguh Najib. Dia tak tahukah rakyat bukan nk bakar kelambu, tapi nak tukar tilam dan katil?

"Kalau paksa juga diri tidur atas tilam dan katil yang reput dimakan anai-anai, bila katil itu runtuh, dengan kita sekali sama-sama melingkup.

"Sebelum melingkup, baik rakyat buang jauh-jauh katil dan tilam Umno yang busuk dan reput, barulah selamat dari melingkup dan tidak lagi sakit belakang," kata Mahfuz yang turut memberikan tamsilan.

Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kedah esok


KUALA LUMPUR: Himpunan Kebangkitan Rakyat terus bersemarak lagi esok, 7 Disember bertempat di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.

Himpunan Kebangkitan Rakyat bagi peringkat negeri Kedah ini akan dimulakan seawal jam dua petang dengan segmen Bicara Wanita Pakatan Rakyat.

Kemudian diikuti persembahan kebudayaan, konvoi dan pidato kira-kira jam tiga petang, dan seperti biasa segmen kuliah perdana Ustaz Azhar Idrus dijadualkan jam lima petang.

Tujuh malam, para peserta himpunan bersolat Mahgrib, diikuti munajat perdana dan solat Isyak berjemaah.

Selepas itu, sesi ceramah oleh pimpinan Pakatan Rakyat diadakan jam sembilan malam.

Antara mereka yang akan menyampaikan ceramah pada malam itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak.

Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kedah merupakan siri keempat selepas di Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor.

Bajet agama naik 300%: MCA tuduh DAP menuju Islamisasi


PULAU PINANG: Pengerusi MCA Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang menuju ke arah Islamisasi apabila menaikkan peruntukan hal ehwal agama Islam sebanyak 300 peratus.

"Lim lebih takut kepada PAS. Mereka hanya menang satu kerusi di Pulau Pinang, kenapa mereka perlu takut (kepada PAS) seperti ini?" katanya dalam satu majlis makan malam anjuran MCA di Bagan – kawasan parlimen yang diwakili Lim Guan Eng (gambar) – pada Isnin lepas.

Ia disiarkan oleh sebuah akhbar Cina baru-baru ini.

Ekoran laporan itu, Lim Guan Eng menolak laporan sebegitu dan menyifatkan ia sebagai kenyataan resis, lapor Malaysiakini.

"Ini adalah satu sentimen rasis yang sangat jahat kerana ia memberi gambaran bahawa hak orang bukan Melayu atau bukan Islam dipinggirkan".

Lim berkata kenyataan daripada pemimpin BN itu tidak akan disiarkan dalam akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia yang dimiliki Umno.

Sebaliknya, akhbar tersebut (Utusan), akan menggambar beliau sebagai "anti-Melayu dan anti-Islam", kata Lim.

"Bagaimanapun, dalam akhbar berbahasa Cina, kita dituduh anti-bukan Melayu dan anti-bukan Islam," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP dalam satu sidang media semalam.

"Jika Umno dan Gerakan atau MCA di pentas sama, mereka tidak tahu apa untuk dikata, mereka akan berdiam diri.

"Apabila Umno meruntuhkan satu tokong Hindu di Prai, Gerakan dan MCA juga berdiam diri. Dalam hal ini, nampaknya Umno akan berdiam diri".

Mengulas kenyataan Teng berhubung isu peruntukan untuk majlis agama Islam yang lebih kecil di bawah Koh, Lim berkata setiausaha agung Gerakan itu mengakui hakikan bahawa masyarakat berkenaan kurang diberi perhatian.

"Kita peruntuk dana mengikut keperluan, terutama untuk golongan yang dipinggirkan oleh pentadbiran sebelum ini, memandangkan wang tersebut tidak masuk ke poket rakyat tetapi poket mereka sendiri," kata Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.