Wednesday, March 13, 2013

Ribuan rakyat Kelantan sambut jenazah wira negara


(Menteri Besar turut mengaminkan doa yang dibaca sejurus jenazah dibawa keluar dari pesawat tentera pagi ini.)

KOTA BHARU: Kepulangan jenazah dua wira negara Ahmad Hurairah Ismail, Ahmad Farhan Roslan yang terkoban ketika misi menghapuskan penceroboh bersenjata di Lahad Datu disambut ribuan rakyat Kelantan hari ini.

Turut menanti kepulangan wira negara yang juga anak Kelantan itu adalah Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sejak awal pagi.

Selain Tuan Guru, antara pimpinan kerajaan negeri yang sempat dirakam hadir termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Speaker Dun Kelantan Datuk, Nasrudin Daud, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof serta Adun Mengkebang Abdul Latiff Abdul Rahman.

Beberapa pemimpin pusat juga turut kelihatan hadir termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Sri Mustapha Mohamed serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Jenazah kedua-dua anggota tentera itu tiba di sini kira-kira jam 9.45 pagi dengan menaiki Pesawat Charlie C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bertolak dari Pangkalan TUDM Subang pagi tadi.


Suasana suram mengiringi kepulangan jenazah wira yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan.

Keluarga kedua-dua anggota juga turut hadir.

Prebet Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas Sulu di Kampung Sungai Nyamuk, Lahad Datu, awal pagi semalam manakala Prebet Ahmad Farhan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Cenderawasih dekat Lahad Datu ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan Op Daulat.

Jenazah Allahyarham Ahmad Hurairah akan disemadikan di kampung halamannya di Bayu Lalang, Pasir Mas, sementara Ahmad Farhan di Taman Desa Darul Naim 2, Pasir Tumboh.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa kini berada di kediaman keluarga Allahyarham Ahmad Farhan di Pasir Tumboh menanti untuk proses pengkebumian.

Pemimpin Umno kena rasional macam Musa Hitam

KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang mengatakan negara tidak akan bangkrap jika diambil alih Pakatan Rakyat membuktikan manifesto Pakatan bersifat rasional dan realistik.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pengalaman Musa sebagai bekas orang nombor dua negara itu juga perlu dijadikan panduan kepada pemimpin BN dan ahli-ahlinya untuk tidak terus menakut-nakutkan rakyat.

"Apa yang dikatakan beliau itu merupakan satu pandangan yang rasional dan objekif. Yang juga bersifat negarawan, berbanding pemimpin BN lain yang sudah bersara seperti Tun Mahathir yang lebih emosional," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah Salahuddin, kenyataan Musa itu perlu diterima pemimpin BN dan ahli-ahlinya bahawa jika berlaku sebarang perubahan kerajaan sekalipun, ia akan berada dalam suasana yang biasa.

"Mereka perlu terima hakikat jika berlaku perubahan kerajaan sekalipun, tiada apa yang luar biasa berlaku.  Malah, kebiasaannya apabila bertukar kerajaan ia akan menjadi lebih baik dari kerajaan sebelumnya," tegas beliau.

Tun Musa, dalam kenyataannya berkata sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, gabungan tersebut akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara berkembang dengan baik.

Malah, beliau juga berkata tidak adil jika menganggap negara akan bankrap jika pembangkang berjaya memerintah negara.

Jika Wong Tack menang: Bukan saja kerusi, telinga pun dapat

KUALA LUMPUR: DAP mengumumkan akan meletakkan pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack untuk bertanding di Parlimen Bentong atas tiketnya.


(Wong Tack diumumkan sebagai calon DAP di Bentong hari ini)

"Kami akan berdepan dengan gergasi di Bentong, jadi kita tidak boleh meletakkan sebarangan calon, jadi meletak seluruh organisasi Himpunan Hijau," umum Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya hari ini.

Beliau yakin, jika Pakatan Rakyat menang di Bentong, BN akan jatuh di Putrajaya.

“Jika Pakatan Rakyat boleh menang di Bentong, sudah pasti BN akan jatuh di Putrajaya," kata Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulang Pinang.

Sebelum ini, Wong mengumumkan sedia untuk bertanding atas tiket Pakatan Rakyat di Parlimen Bentong.

Jika BN kalah di Bentong, BN bukan sahaja bakal kehilangan Bentong dan Putrajaya, bahkan Pengerusi BN Pahang bakal kehilangan telinga.

Ini kerana, Datuk Seri Adnan Yaakub sebelum ini pernah berkata, jika BN kalah di Bentong, "Potong telinga saya."

Namun selepas itu beliau menjelaskan ia hanya gurauan dan analogi sahaja tentang betapa kuatnya BN di Bentong, tempat beliau bertanding.

Wong dalam sidang media hari ini berkata, dia akan mempastikan kilang Lynas di Kuantan akan ditutup jika dia menang di Bentong.

Bagaimanapun, beliau menambah, jika kilang milik syarikat Austaralia itu berjaya memenuhi segala prosedur dan syarat, barulah ia akan dibenarkan beroperasi.

Syarat ini juga telah dinyatakan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Tuesday, March 12, 2013

Ceramah Umum Isu - Isu Semasa 14hb Mac 2013

Ambil iktibar insiden Lahad Datu - Syura PAS

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS mahu semua pihak mengambil iktibar dengan insiden pencerobohan bersenjata yang berlaku di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Datuk Nik Muhammad Zawawi Saleh mengharapkan, insiden seperti itu sebolehnya tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan kerajaan Malaysia perlu memastikan kawalan keselamatan negara pada tahap terbaik.

"Majlis Syura Ulamak menganggap kewajipan menjaga keamanan negara adalah tanggungjawab bersama. Majlis Syura Ulamak juga menentang sebarang ancaman keselamatan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, samaada  dari dalam mahupun luar negara.

"Majlis Syura Ulamak menyarankan agar Kerajaan Malaysia memastikan tiada lagi ancaman keselamatan terhadap rakyat dan negara di masa hadapan. Jika berlaku juga, Majlis Syura Ulamak mendesak agar tindakan diambil dengan penuh kebijaksanaan dan lebih segera, agar keselamatan rakyat dan negara terjamin," katanya.

Pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah sejak sebulan lalu telah menyaksikan lapan anggota polis terkorban ditangan kumpulan tersebut.

Di pihak penceroboh bersenjata itu pula, seramai 54 orang mati di tangan anggota keselamatan manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Dalam pada itu, Majlis Syura Ulamak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dan menganggap mereka wira negara.

"Kita memandang serius peristiwa Lahad Datu dan merakamkan doa dan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa," kata Zawawi.

MB ziarah SU DHPP Kelantan di HUSM



KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan, Tharuman Arjunam yang masih tidak sedarkan diri akibat kemalangan jalan raya semalam.

Menteri Besar meluangkan masa menziarahinya di wad rawatan rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sekembali daripada menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur tengahari tadi.

Ketika menemui ayah mangsa, Arjunam Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta beliau dan keluarga bersabar ekoran kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya berharap Tharuman cepat sembuh,” katanya kepada keluarga mangsa. Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng.

Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan peribadi dan kerajaan negeri kepada Arjunam.

Tharuman, 35 terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira 2.30 pagi semalam di jalan Pasir Mas-Kota Bharu, dekat Salor ketika memandu sendirian pulang ke rumah di Jalan Kubur Kuda.

Sementara itu Arjunam kelihatan tidak dapat menahan sebak di atas kunjungan Tuan Guru Nik Abdul Aziz biar pun sibuk dengan tugasan harian.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kunjungan Menteri Besar. Menurutnya juga, biar pun anaknya masih tidak sedarkan diri namun keadaannya stabil.

Tharuman yang juga kakitangan Urussetia Penerangan Kerajaan Negeri turut patah tangan kiri akibat kemalangan tersebut.

Fitnah: Tian Chua akan ambil tindakan


KUALA LUMPUR: “Blogger seperti Papagomo seharusnya mengambil iktibar daripada tindakan undang-undang ini dan berhenti menerbitkan artikel-artikel fitnah tanpa asas atau bukti,” ujar Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya telah diserangi secara bertubi-tubi oleh media dan para blogger pro BN sejak Mac 2 lalu, terutamanya blogger Papagomo yang telah menerbitkan beberapa artikel yang mendakwa saya menghina Pasukan Keselamatan yang kini menjalankan tugas mereka di Sabah.

Saya ingin menyatakan bahawa saya akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah terhadap blogger Papagomo berkenaan dengan siri artikelnya yang menyerang nama saya dan kini menyebabkan siri ancaman dan ugutan terhadap keselamatan peribadi saya.

Tuduhan menghina Pasukan Keselamatan adalah suatu fitnah dan pembohongan semata-mata. Untuk menjelaskan sekali lagi saya tidak pernah menghina Pasukan Keselamatan dan tugas mereka, saya telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Para blogger seperti Papagomo seharusnya mengambil iktibar daripada tindakan undang-undang ini dan berhenti menerbitkan artikel-artikel fitnah tanpa asas atau bukti.

Sunday, March 10, 2013

Wacana Perdana 15hb Mac 2013

Pakatan jadikan media lebih adil untuk rakyat


GEORGE TOWN: Pakatan Rakyat berjanji akan menguruskan semua sistem media negara dengan lebih terancang, dinamik, mantap dan penuh dengan keadilan untuk rakyat, kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, pelaksanaan sistem media yang lebih telus memberikan impirasi kepada keseluruhan rakyat yang cintakan keamanan dan kemakmuran tidak seperti sekarang yang berat sebelah dan dimonopoli kerajaan yang memerintah.

"Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat berkuasa nanti langkah pertama yang saya akan pastikan ialah sistem medianya mesti telus dan dan mempunyai kredibiliti yang tinggi tidak seperti sekarang tidak amanah, menurunnya etika kewartawanan dan sukakan penyebaran fitnah, " terangnya semasa pembentangan Manifesto Pusat di Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang di Dewan Tunku, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), semalam.

Katanya, jika Pakatan Rakyat mengekalkan sistem yang sama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), pasti rakyat akan menghukum pula Pakatan Rakyat malah lebih hina daripada yang dihadapi oleh pemerintah yang zalim hari ini.

Maka, menurutnya menjadi tugasan berat PAS, PKR dan DAP, sebab selama 50 tahun rakyat dimomokkan dengan cerita 'bohong' kononnya pembangkang suka bercakap kosong serta mahu menjadikan Malaysia ke arah negara yang liberal.

Semua itu katanya, kena disekat kerana kebanyakan pemikiran orang Melayu terutamanya senang dihasut malahan seolah diikat supaya tetap memberikan undi kepada Umno BN setiap kali pilihanraya umum.

"Umno dan BN bukan parti yang kuat sebenarnya. Parti itu lemah, cuma kerana mereka menguasai media arus perdana apa yang ada dicakapkan itulah diulang tayang agar rakyat tetap dengan BN walaupun ianya karam di lautan, " jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Turut membentangkan manifesto mewakili PKR ialah Rafizi Ramli dan Zairil Khir Johari mewakili DAP.

Ceramah Umum 19hb Mac 2013

China Town pengiktirafan buat Cina Kelantan


 
KOTA BHARU: Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pentadbiran PAS, mewujudkan kawasan 'China Town' di Jalan Kebun Sultan adalah satu pengiktirafan kepada masyarakat Tioghua yang selama ini hidup harmoni bersama masyarakat Islam lain di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Jalan Kebun Sultan yang bermula semalam akan dikenali sebagai 'Jalan Haji Cheng Ho China Town', sejak sekian lama menyaksikan aktiviti masyarakat Tionghua berkembang di situ.

Pengisytiharan jalan itu sebagai China Town katanya sekaligus menaik taraf kawasan itu bukan sahaja sebagai kawasan perniagaan orang Cina malah bakal menjadi pusat pencongan baru bagi negeri itu.

"Program ini dibuat khas sbgai menghargai masyarat Tionghua yang hidup harmoni d negeri ini.

"Sebagaimana di negeri lain yang telah lama wujud China Town, Kelantan juga mahu berbuat demikian. Lagipun Jalan Kebun Sultan ini telah lama hidup aktiviti dari masyarakat Tiongua khususnya dalam perniagaan," katanya.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat peingisytiharan rasmi penukaran nama Jalan Kebun Sultan kepada Jalan Haji Cheng Ho China Town.

Sewaktu peristiharan itu, Tuan Guru meminta orang ramai mengulangi nama jalan itu sebanyak tiga kali ‘Jalan Haji Cheng Ho China Town' dan ianya diikuti oleh warga Bandar Kota Bharu tanpa mengira warna kulit pada malam bersejarah itu.

Walaupun namanya telah ditukar, namun nama asalnya masih dikekalkan sebagai memperingati sejarah asalnya.

Turut hadir pada majlis itu anggota-anggota exco kerajaan negeri, Takiyuddin Hassan, Datuk Anuar Tan Abdullah, Wan Ubaidah Omar, timbalan exco kerajaan negeri, Rohani Ibrahim, Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Nama Haji Cheng Ho dipilih untuk diabadikan pada jalan itu sebagai menghargai jasa pelayar berbangsa Cina muslim yang berasal dari Tanah Besar Negara China.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu berkata, perisytiharan itu dibuat bagi menzahirkan rakyat Kelantan termasuk golongan menoriti di negeri itu hidup dalam aman di bawah pentadbiran pemimpin Islam.

“Ianya juga sebagai membuktikan nasib golongan berkenaan termasuk India, Siam serta lain-lain bangsa tidak dipinggirkan oleh kerajaan negeri,”ujarnya.

Kuliah Maghrib 11hb Mac 2013

Suasana sekarang memihak kepada Pakatan - Idris


KUALA LUMPUR: Suasana politik yang berlaku sekarang disifatkan sebagi memihak kepada PAS, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar)

"Suasana sekarang permainan dikuasai oleh PR. Hanya menunggu masa untuk menyumbat gol sahaja," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Bagi beliau, Najib hanya berlagak hero di media kuno, konon BN kuat tetapi tidak berani membubar Parlimen.

Tarikh PRU 13 masih kabur, Najib tidak nampak petanda untuk bubar.  Strategi melambatkan tarikh nampaknya menyebelahi PR, kata Idris lagi.

Lambakan isu dan masalah terpaksa dipikul oleh Najib dan BN, sedangkan bagi beliau, PR mara  dengan bergaya dan meyakinkan.

"Pendedahan Deepak, kepulangan Balasubramaniam, isu keselamatan Lahad Datu telah menyulitkan Najib untuk kekal berkuasa.

"Lebih parah lagi tawaran menifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada 25 Febuari 2013 amat menekan Najib," katanya.

Semalam negara  pula di kejutkan dengan pendedahan En Azlan, bapa Saipul Bukhari yang mengatakan anaknya diperalatkan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat.

"Mungkin salah satu daripada transformasi Najib ialah Parlimen dan DUN bubar secara sendiri.

"Rekod yang tidak pernah dibuat oleh Perdana Menteri terdahulu," kata beliau dalam tulisannya.

PRU13: Sasaran 40% calon muda tercapai


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpuas hati apabila sasaran 40 peratus kerusi untuk calon-calon muda yang dimintanya sebelum ini tercapai.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, PAS pusat telah berjaya memenuhi target mereka agar kerusi-kerusi sama ada di peringkat parlimen atau Dun diberikan kepada calon-calon muda.

Bagaimanapun, Nasruddin tidak dapat memberi angka yang spesifik berhubung bilangan kerusi yang diberikan kepada calon muda itu.

"Kami berpuas hati, kerana target yang kami mahukan tercapai, cuma jumlah calon muda yang bertanding kami tidak ada angkanya kerana ianya ditentukann oleh PAS Pusat," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Sebelum ini pada tahun 2011, DPPM pernah menyatakan hasrat mereka agar PAS Pusat mempertimbangkan cadangan 40 peratus calon diberikan kepada orang muda. 

Nasruddin juga memberitahu kesemua jentera DPPM sama ada di peringkat national dan negeri sudah membuat persiapan akhir kerana mereka yakin PRU13 semakin hampir.

Sehubungan itu, DPPM akan menganjurkan Xpresi Ulama Muda Pelapis Haraki di Ehya As Sharif Gunung Semanggol Mac ini, yang mana ianya akan mengumpulkan kira-kira 1,000 ulama muda di sana nanti.

"Kita akan kumpulkan ulama muda daripada pelbagai bidang sama ada aktivis dan profesional sebagai persiapan sekaligus memenangkan Pakatan Rakyat dalam PRU nanti.

"Gunung Semanggol dipilih sebagai memperingati semula kelahiran ulama-ulama, dan di sinilah kita akan mula menggerakkan ulama muda kita yang bukan sahaja lepasa Timur Tengah bahkan juga lepasan tempatlan," katanya.

Di dalam program itu DPPM akan mengisytiharkan beberapa ulama muda yang menyokong perjuangan PAS serta bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Konsert Hiburan Alternatif