Jika anda rasa anda mampu untuk berjuang, anda adalah seorang pejuang! Jika anda yakin anda seorang pejuang, anda adalah pejuang! Jika anda hanya duduk berangan-angan tanpa merenung sebuah perjuangan, anda adalah musuh pejuang!
Wednesday, February 22, 2012
Adakah bekas hakim dapat projek RM2.2 bilion?
KUALA LUMPUR 21 Feb: PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan isu pemberian konsesi Lebuh raya Kinrara-Damansara (KIDEX) berharga RM2.2 bilion yang didakwa melibatkan keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan penasihat undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (gambar) membuat gesaan itu ekoran dakwaan mengaitkan mereka dengan tragedi rampasan kuasa BN di Perak pada Februari 2009.
Justeru, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menuntut Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ariffin Zakaria meminta Zaki mengisytiharkan asetnya dan keluarga secara bertulis berdasarkan peruntukan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009.
Menurutnya, Hafarizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut, Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd sementara isteri Zaki merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuh raya.
Katanya, mengambil kira kontroversi penganugerahan konsesi itu, Perdana Menteri mestilah respons segera berkenaan isu-isu berkaitan, antaranya pendirian berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009: “Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan”.
“Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Tan Sri Ariffin Zakaria mestilah meminta Tun Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini,” katanya lagi.
Selain itu, ujarnya PM perlu mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail.
“Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?” soalnya
Beliau turut mempersoalkan bagaimana pemberian konsesi dan pakej kontrak itu selari dengan dasar pentadbiran, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi.
“Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Menurutnya, di dalam sms kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek itu.
Menurutnya, malang sekali apabila sebuah isu tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban yang akan memberi impak kepada semua rakyat sekali lagi dilihat dari perspektif kaum.
Hakikatnya, ujar beliau sekiranya tuduhan itu terbukti benar, sekelompok kecil kroni akan sekali lagi mendapat durian runtuh sedangkan ramai rakyat Malaysia, termasuk majoriti masyarakat Bumiputera terpaksa menjadi mangsa projek itu.
Justeru, katanya terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek itu tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia mempunyai harapan besar terhadap konsesi generasi kedua dan ketiga memandangkan piawai-piawai baru yang dijanjikan kerajaan. Usah kita lupa rekod buruk Kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak ‘bail-out’ dan penswastaan semula.
Anwar jumpa Nik Aziz perjelas isu Israel
KUALA LUMPUR, 21 Feb: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berasa lega kerana dapat memberikan penjelasan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan kontroversinya tentang Israel.Beliau juga berkata dengan penjelasan itu, beliau mengaggap salah faham yang timbul sebelum ini selesai.
"Tok Guru Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya, dan saya pun faham pertimbangan PAS yang cukup tegas dan keras dalam soal Israel. Bagi saya, kita dah jelaskan dan perkara ini tidak berbangkit dan kita akan terus dengan program bersama seperti biasa.
"Saya rasa baik kerana telah beri penjelasan terhadap sedikit sebanyak keraguan dalam hal ini," katanya yang juga ketua pembangkang kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Pertemuan kira-kira 45 minit itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.
Turut serta pada pertemuan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Anwar, beliau menjelaskan kepada Nik Aziz bahawa salah faham isu itu timbul ekoran media Umno yang hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Wall Street Journal bulan lalu.
Ianya sekaligus memberi salah tafsiran terhadap pengiktirafan Israel sedangkan ia bukan bermaksud sedemikian.
"Masalahnya saya sebut, media Umno hanya guna bahagian pertama sahaja, bahawa ada kesediaan mengiktiraf dan mengawal keselamatan tetapi tidak ditekankan 'tertakluk kepada syarat-syarat, contingent'," katanya lagi.
Antara syarat tersebut katanya termasuk pengunduran tentera Israel dari Palestin dan negara arab lain, menghentikan kepungan terhadap Gaza dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.
Turut dikongsi kepada Nik Aziz katanya pendirian pemimpin Hamas Khaled Mashal yang menerima penjelasan beliau sebelum ini.
"Dalam perbincangan dengan Khaled Mashal dia sebut "I know the word contingent".
"Akhirnya saya bagi tahu (Nik Aziz), saya tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirunding di Doha dua minggu lalu," katanya.
Dalam pada itu, Anwar juga mendakwa pendiriannya dengan PAS bukan perbezaan ketara namun yang berbeza sebenarnya adalah dengan Umno.
Menurutnya, Umno hipokrit dalam isu Israel ini apabila mendabik dada kononnya mereka tidak mengiktiraf Israel sedangkan kata Anwar pada masa sama Umno juga mengadakan hubungan perdagangan dengan negara itu.
Malah perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan sendiri masing masing mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara itu, kata Anwar.
PAS ajaran sesat: Pemuda Kelantan buat laporan polis

(Pemimpin Pemuda PAS Kelantan bergambar selepas membuat laporan polis)
Laporan berkenaan dibuat Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini.
Turut hadir memberi sokongan laporan polis itu wakil-wakil pemuda PAS kawasan antaranya dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Kubang Kerian.
Semalam, Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan diketuai oleh timbalannya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi berkaitan kenyataan yang berbau fitnah oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Nuri Mat Yaacob, ketika memberitahu media berkata kenyataan tersebut merupakan suatu fitnah dan tidak berasas untuk mengundang provokasi dan perpecahan dikalangan masyarakat.
Katanya, PAS sebuah parti yang sah dan berdaftar sejak lebih 50 tahun di negara ini malah telah memerintah beberapa buah negeri termasuk Terengganu.
“Kenyataan itu juga menolak pengiktirafan rakyat terhadap kerajaan yang ditadbir PAS khususnya Kelantan.
“Justeru laporan ini dibuat supaya pihak polis membuat siasatan dan tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Ahmad Said, akhbar Berita Harian serta pihak lain yang terlibat menyiarkan laporan tersebut,”ujarnya.
Laporan polis itu dibuat berikutan laporan sebuah akhbar harian pada 9 Febuari lalu yang menyiarkan kenyataan Menteri Besar Terengganu itu yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat.
PAS kerah ahli ke Himpunan Hijau 2.0 Ahad ini

KUANTAN, 21 Feb: PAS Pahang mengarahkan setiap kawasan di negeri itu menghantar 1,000 ahlinya ke program Himpunan Hijau bagi membantah loji memproses nadir bumi Lynas, Ahad ini.
Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi penyokong-penyokong PAS yang berada di parlimen-parlimen Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan Pekan diminta hadir lebih ramai lagi."PAS, parti dalam Pakatan Rakyat, NGO dan individu diminta hadir bagi menyatakan sokongan membantah kilang yang kita anggap bom jangka itu kerana lesen sementara operasi telahpun dikeluarkan oleh kerajaan.
“Semua pihak termasuk daripada Umno kita pelawa untuk hadir menyatakan bantahan kerana isu ini melibatkan kepentingan dan keselamatan negara,” tambahnya.
Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, setakat ini kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti serta ahli PAS dari Terengganu telah memberikan komitmen untuk hadir.
Katanya, kumpulan mahasiswa dan aktivis alam sekitar juga akan turut hadir bagi menyatakan sokongan.
Perhimpunan membantah Lynas di Gebeng itu merupakan yang kedua selepas perhimpunan pertama pada 9 Oktober di pantai Taman Gelora, Kuantan.
Perhimpunan kedua Ahad ini diadakan di padang awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) iaitu bersebelahan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada 26 Februari mulai bermula jam 10 pagi.
Sementara itu, Pengerusi Mobilisasi Himpunan Hijau 2.0 Nasrun Amir, berkata Jumaat ini tiga buah masjid iaitu Masjid Al-Fatah Batu 3, Balok dan Balok Makmor akan mengadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat bagi memohon keselamatan dan kelancaran perhimpunan berkenaan.
Mengenai program pada Ahad ini Nasrun berkata ia akan diisi dengan pelbagai acara antaranya dendangan lagu Negaraku, bacaan doa selamatkan Malaysia, bacaan puisi oleh Sasterawan negara A. Samad Said dan pernyataan aspirasi kanak-kanak.
“Kami menjangkakan kehadiran sekitar 20,000 orang jika tanpa sebarang gangguan,” jelasnya
Sebelum ini Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob secara terbuka menyatakan kerajaan negeri tidak menghalang program berkenaan dan menganggapnya sah di sisi undang-undang.
Mat Sabu pulih semangat penduduk Manek Urai
KUALA KRAI, 21 Feb: Peristiwa cemas penduduk di Dun Manek Urai pada Julai 2009, diserang umpan kebendaan kini semakin dilupakan.Sebaliknya hari ini mereka bangkit mengumpulkan semula kekuatan lama, ketika PAS hanya tinggal dua kerusi Dun pada pilihan raya umum 1978 di Kelantan.
Ketika itu PAS hanya bertahan di Dun Manek Urai dan Sering (Panchor).
Longgokan duit dikatakan diangkut menggunakan helikopter ditabur menjelang hari pengundian pada 14 Julai 2009, menambah semangat penduduk bagi mempertahankan PAS.
Semangat lama dibangkit kembali apabila ramai penduduk memenuhi program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di padang Majlis Daerah Dabong di Manek Urai Lama petang semalam.
Semangat berkobar-kobar turut dipamerkan anak muda apabila seramai 100 belia menyambut dan mengiringi kedatangan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ke program berkenaan.
Perarakan motosikal kapcai sejauh dua kilometer dengan mengibarkan bendera hijau seperti menenggelamkan aura kedatangan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Manek Urai Baru dua minggu lalu.
Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, berbeza jauh apabila rakyat datang beramai-ramai tanpa perlu diangkut pada program yang diadakan di Markas PAS Kampung Manek Urai Lama.
“Berbeza dengan kehadiran TPM apabila guru-guru dan kakitangan kerajaan pusat dikerah hadir sehingga pelajar dibenarkan pulang awal pada hari berkenaan.
“Kita boleh lihat sendiri dua situasi yang berbeza. Saya nampak rakyat di Dun Manek Urai bangkit semula selepas mereka dikejutkan pada pilihan raya kecil lebih dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di program berkenaan.
Menurutnya kedatangan Timbalan Presiden PAS seperti memulihkan semula semangat penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di Dun Manek Urai.
Program Pemimpin Bersama Rakyat dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri bermula jam 3 petang. Hadir pegawai penerangan urusetia terbabit, Norhashimah Deraman.
Tuesday, February 21, 2012
Perintah injunksi mahkamah diserah kepada KPF
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Lapan pemegang saham (plaintif) Koperasi Permodalan Felda (KPF) hari ini secara rasmi menyerahkan perintah mahkamah yang telah membenarkan permohonan injuksi interim kepada pengurusan KPF.Penyerahan itu dibuat peguam yang mewakili mereka, Mohd Harris Abdullah kepada Pengurus Pentadbiran dan Operasi KPF Ahmad Tarmizi di ibu pejabat koperasi itu di Jalan Semarak di sini.
Turut serta pada penyerahan itu Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.
Pada 17 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan telah membenarkan injunksi interim melarang KPF (defendan) berbincang atau membuat keputusan untuk melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).
Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendengar Saman Dalam Kamar (Ex-Parte) yang dikemukakan lapan pemegang saham KPF tersebut.
"Pagi tadi injunksi itu telah dimetrai di Mahkamah Tinggi Kuantan dan secara elok kami serahkan kepada pengurus KPF tadi.
"Kami juga serahkan satu saman yang akan diuruskan di mahkamah pada 19 Mac manakala injunksi akan didengar kedua-dua pihak pada 8 Mac ini," kata Mohd Harris kepada media selepas penyerahan itu.
Sehubungan dengan perintah mahkamah itu, Mesyuarat Agung Khas (EGM) KPF yang akan berlansung 22 Februari ini juga tidak boleh menyentuh perkara berkaitan pelupusan ekuiti mereka kepada FGVH untuk tujuan penyenaraian di Bursa Saham.
Menurut Mohd Harris, jika perintah itu tidak dipatuhi, KPF boleh didakwa kerana menghina mahkamah.
Mahkamah juga turut membenarkan permohonan plaintif untuk melarang KPF menguatkuasakan sebarang keputusan (sekiraya sudah diperolehi) untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holdings dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holding kepada FGVH.
Selain itu, KPF juga dilarang untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holding dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holdings kepada FGVH.
Usul penyenaraian
Sementara itu, Mazlan pula mendakwa dalam notis EGM yang dihantar kepada perwakilan KPF itu turut mengandungi usul dan penerangan berkaitan penyenaraian.
Sehubungan itu beliau sekali lagi mendesak agar EGM KPF nanti tidak melanggar perintah yangg telah diputuskan mahkamah.
"Kita harap usul-usul yang berkait penyenaraian ini jangan dibincangkan sama sekali, kalau tidak mereka menghina mahkamah.
"Kita tak halang EGM, tetapi isu-isu yang hendak dibincang itu adalah perintah mahkamah yang harus dipatuhi," katanya.
Pemuda PAS buat laporan polis terhadap Ahmad Said
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini dengan diketuai oleh timbalannya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi berkaitan kenyataan yang berbau fitnah oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.Ini ekoran kenyataan Ahmad yang disiarkan di dalam akhbar Berita Harian pada hari Khamis, 9 Februari dalam ruangan Nasional pada halaman 10 yang menyatakan PAS "Parti Ajaran Sesat".
"Kenyataan tersebut jelas berbaur fitnah dan tidak benar," kata Nik Abduh ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad itu.
Selain ianya disifatkan berniat jahat, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga turut merasakan kenyataan tersebut mampu mengundang provokasi, hasutan, perpecahan di kalangan masyarakat, rusuhan rakyat serta kehilangan kepercayaan di kalangan ahli dan bukan ahli PAS kepada PAS kerana kenyataan tersebut menjurus kepada kerosakan aqidah dan sensitiviti umat Islam di negara ini.
"PAS sebagai sebuah parti politik yang berdaftar dengan sah di bawah undang-undang negara sejak lebih 50 tahun dan menjadi Kerajaan di beberapa buah negeri, kenyataan Datuk Seri Ahmad Said ini sangat tidak berasas dan langsung tidak bertanggungjawab," luah Ustaz Nasrudin Hassan selaku Ketua Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa agar siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap Datuk Seri Ahmad Said, Berita Harian serta pihak-pihak lain yang terlibat dalam mengeluar, mencetak, menerbit dan mengedarkan kenyataan fitnah tersebut.
"Saya percaya kenyataan fitnah jahat seperti in merupakan satu kesalahan yang jelas dan nyata di sisi undang-undang negara dan tindakan perlu diambil dengan segera oleh pihak Polis," tambah beliau lagi.
Mahfuz pula cabar Hishammuddin berdebat
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berdebat dengannya atas pelbagai topik yang boleh dipilih oleh Hishammuddin sendiri.Cabaran tersebut dibuat sebagai mengulangi perancangan mereka untuk berdebat 12 tahun lalu, tetapi dibatalkan kemudiannya akibat dihalang oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Mahfuz, kini keadaan telah berubah dan rakyat negara ini sudah mempunyai tahap kematangan yang tinggi sehingga pelbagai pihak sudah boleh menerima program debat dengan baik.
Katanya, jadi sekaranglah masa terbaik untuk meneruskan kembali debat antara beliau dan Hishammuddin itu setelah ia gagal dilangsungkan dulu walaupun telah dipersetujui pada peringkat awalnya.
"Dulu debat yang akan diadakan antara saya dan Datuk Hishammuddin itu atas kedudukan saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala Hishamuddin selaku Ketua Pemuda Umno Malaysia.
"Sekarang saya bukan Ketua Dewan Pemuda PAS lagi dan Datuk Hishammuddin juga bukan Ketua Pemuda Umno lagi, tetapi sama-sama menjadi Naib Presiden parti, jadi debat itu mestilah antara saya dan Hishammuddin juga sebagai mengulangi rancangan debat yang tak jadi dulu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Pada perancangan dulu, menurutnya, debat antara beliau dan Hishammuddin itu dicadangkan atas tajuk "Kedudukan Melayu, Siapa Pengkhianat: Umno atau PAS?".
Katanya, perancangan untuk mengadakan debat itu dulu adalah atas cabaran Datuk Hishamuddin sendiri dan beliau telah menyambutnya dengan menghantar sendiri surat persetujuan untuk berdebat dengan Hishamuddin ke Ibu Pejabat Umno di PWTC.
Selain itu, pemilihan mederatornya juga telah dibuat sehingga Prof Diraja Ungku Aziz juga telah pun bersetuju untuk menjadi mederatornya.
"Sekarang sekiranya Hishammuddin mahu berdebat dengan saya, debat itu bolehlah diteruskan atas tajuk itu juga atau sebarang topik lain yang diingini oleh Hishamuddin sendiri.
"Terpulanglah kepada Datuk Hishamuddin untuk menentukan tajuknya. Saya hanya bersedia sahaja atas pelbagi topik, bila dan di mana-mana sekalipun," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dalam konteks sekarang, debat merupakan sesuatu yang penting kerana ia akan memberikan pelbagai maklumat kepada rakyat bagi membolehkan rakyat membuat penilaian yang betul mengenainya.
Selain itu, ia juga akan membolehkan rakyat menilai dengan lebih jauh mengenai pemimpin dan parti yang patut dipilih oleh mereka pada PRU Ke-13 akan datang.
Beliau turut memuji langkah pihak terbabit yang yang menganjurkan debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Kehormat DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selama dua jam yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Awani kelmarin.
"Keberanian Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng menanggung risiko dari debat itu memang wajar dihargai. Pada dasarnya, debat mereka itu juga agak baik dan ilmiah," katanya.
Namun beliau turut kesal apabila Soi Lek juga turut memperlihatkan sikap hipokrit menerusi debat itu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina agar tidak menyokong DAP kerana dikatakan akan memberikan kuasa kepada PAS.
Lebih dikesali lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya selepas itu turut menonjolkan sikap tidak bertanggungjawab dan hipokrit perkauman dengan mengatakan orang Melayu memberi undi kepada PAS akan memberikan kuasa kepada DAP pula.
"Semua ini adalah sikap hipokrit yang nyata dan amat melampau untuk menakut-nakutkan rakyat yang tidak sepatutnya timbul dalam masyarakat kita," tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar turut diadakan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku ketua kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang kerana jika debat antara mereka itu diadakan pasti akan memberikan manfaat besar kepada rakyat.
NFC: Minit mesyuarat perlu kepada ahli parlimen
KUALA LUMPUR, 20 Feb: PAS amat kesal dengan sikap Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Azmi Khalid kerana berbolak-balik untuk mengeluarkan minit mesyuarat jawatankuasa itu kepada ahli-ahli Parlimen, khususnya berhubung National Feedlot Corporation (NFC).Sikap Azmi itu seolah-olah menafikan kepentingan ahli-ahli Parlimen untuk mengetahui lebih jauh mengenai sebarang isu berhubung NFC yang kini kelihatan amat meragukan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai ketelusannya dalam mengendalikan projek ternakan lembu negara.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pada hal surat permohonan supaya dikeluarkan minit mesyuarat tersebut telah pun dikemukakan oleh beliau kepada Azmi baru-baru ini seperti yang diminta oleh Azmi sendiri.
Menurutnya, sekarang setelah surat itu dikemukakan oleh beliau, Azmi memberikan alasan tidak boleh mengemukakan minit mesyuarat tersebut, kecuali dengan penyertaan surat yang ditandatangani Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, selepas itu, Azmi memberikan alasan mesti disertakan pula dengan surat yang ditandatangani sama oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
"Jadi, apa maknanya itu semua? Saya sendiri dah hantar surat, tapi Datuk Azmi ternyata berbolak-balik. Pada hal dia sendiri dah akui ada yang tak kena mengenai projek NFC itu.
"Lagi pun, apa perlunya surat yang ditandatangani oleh semua ahli-ahli Parlimen barulah boleh dikemukakan minit mesyuarat itu? Pada hal surat daripada saya seorang pun sudah mencukupi, manakala kewujudan PAC itu sendiri adalah atas kehendak dan persetujuan ahli-ahli Parlimen," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Minit mesyuarat PAC yang dimohon untuk dikemukakan oleh Azmi itu, menurutnya, adalah yang dicatatkan pada mesyuarat jawatankuasa itu pada 23 November tahun lalu di Bilik Mesyuarat 1 bangunan Parlimen.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan tentang projek ternakan lembu negara yang berada di bawah tanggungjawab NFC, dengan dihadiri ahlli-ahli jawatankuasa PAC yang mewakili pelbagai parti, pegawai-pegawai kerajaan dari pelbagai agensi terbabit dan saksi-saksi yang terlibat dengan perjalanan projek itu.
Menurut Mahfuz, minit mesyuarat tersebut amat penting dikemukakan oleh PAC kepada ahli-ahli Parlimen kerana ia jelas melibatkan kepentingan seluruh rakyat dan negara.
Katanya, atas kesedaran itulah beliau mengemukakan permohonan tersebut, manakala Azmi pula sepatutnya memberikan kerjasama yang baik kepada kesemua ahli-ahli Parlimen untuk mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut.
"Pelbagai perkara ingin diketahui oleh ahli-ahli Parlimen dan rakyat negara ini mengenai projek ternakan lembu negara di bawah NFC itu.
"Antaranya, kenapa ia diberikan kepada syarikat keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, Agro Science? Berapa jumlah pinjaman yang dikeluarkan kepada syarikat itu? Bagaimana pinjaman itu diberikan? Bagaimana dengan perjalanan projek itu dan sebagainya," tegasnya.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat juga ingin tahu siapakah sebenarnya yang membuat cadangan bagi pemilihan syarikat keluarga Shahrizat untuk melaksanakan projek tersebut.
Penyerahan projek tersebut kepada syarikat keluarga Shahrizat, tambahnya, berpunca dari cadangan beberapa jawatankuasa terbabit termasuk Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Kemajuan Projek yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan kini menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yakin perkara itu turut terbabit dengan keputusan Muhyiddin, manakala kemampuan dan keupayaan Muhyiddin dalam memilih syarikat untuk mengendalikan projek tersebut amat mendukacitakan.
"Kini projek itu ternyata gagal dan turut terbabit dengan pelbagai penyelewengan sehingga negara mengalami kerugian amat besar. Jadi apa alasan Muhyiddin memberikan projek itu kepada Agro Science?" ujarnya.
Perkara itu, tegasnya, perlu disiasat dengan menyeluruh dan sehubungan itu, beliau mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu, termasuk dengan memanggil Muhyiddin memberikan keterangan berhubung pemilihannya ke atas syarikat Agroo Science.
"Seperti yang kita maklum, selain Agroo Science, terdapat lima lagi syarikat yang turut memohon untuk melaksanakan projek itu? Kenapa Agroo Science yang dipilih? Apa muslihatnya?" katanya.
Kini setelah kegagalan itu, kesalahan tidak boleh diletakkan ke atas Shahrizat semata-mata, katanya, malah kesemua pemimpin Umno atau BN yang terbabit perlu bertanggungjawab mengenainya.
Najib ajak rakyat pilih PAS
KUALA LUMPUR, 20 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyarankan umat Islam di negara ini memilih parti politik yang benar-benar dapat memartabat dan menjamin kesucian agama Islam di negara ini.
Justeru, DPPM menganggap Datuk Seri Najib baru sedar atau insaf bahawa menjadi kewajipan serta tanggungjawab umat Islam untuk memilih pemimpin dan parti politik yang benar-benar memartabatkan agama Islam.
“Selama ini, pemimpin-pemimpin Umno lebih bercakap soal politik dengan mengenepikan kepentingan Islam dalam politik. Malah Islam dianggap terpisah dari pemerintahan dan pentadbiran negara
“Islam dianggap perkara sampingan yang hanya duduk di masjid dan upacara keagamaan dan tidak boleh dicampurkan dengan politik,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) kepada Harakahdaily.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib yang menyebut demikian sewaktu berucap di majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaaan di Kuala Lumpur, semalam.
Tambahnya, pemimpin PAS yang bercakap soal Islam dituduh mempergunakan agama demi kepentingan politik sedangkan itulah tuntutan agama Islam.
Oleh yang demikian, ujarnya DPPM menyarankan supaya umat Islam memilih PAS sebagai wadah perjuangan dan pilihan mereka.
Ini, katanya kerana PAS sejak dahulu sehingga kini memperjuangkan Islam sebagai teras perjuangannya.
“Dengan namanya Parti Islam Se-Malaysia, latar belakangnya Islam, Perlembagaannya serta dasarnya untuk menegakkan agama Islam di negara ini, malah kepemimpinannya diterajui Majlis Syura Ulamak,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, sifat perjuangan PAS juga menyeluruh dengan menjadikan semua umat Islam sebagai saudara seperjuangannya tanpa mengira warna kulit mahupun bangsa atau kaum.
“Justeru, apakah alasan lain bagi menafikan PAS sebagai parti Islam yang wajar diterima dan dipilih oleh rakyat?” tanya beliau.
Selain itu, katanya kepemimpinan yang amanah dan bersih diterapkan sesuai dengan dasar Islamnya.
Menurutnya lagi, Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 20 tahun dahulu memperlihatkan kebersihan pemimpinnnya dari rekod rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Katanya, Negeri Kedah menyusul kini dengan juga mencatat rekod bersih pemerintahannya.
Jelasnya, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS juga memperlihatkan kehidupan seperti yang dituntut oleh Islam dengan hidup serba sederhana, sifat itu juga dicontohi oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Sebaliknya, kata beliau Umno bukanlah parti yang boleh memartabatkan dan menjamin kesucian agama Islam di negara ini kerana ia parti perkauman yang hanya khusus untuk bangsa Melayu semata-mata, dasar dan matlamat perjuangannya hanyalah untuk bangsa Melayu sahaja.
Lebih dari itu, ujarnya pemimpin-pemimpin mereka sering dipalitkan dengan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pemborosan, bermewah, ketirisan dan lain-lain lagi.
Pemimpin Islam, jelasnya tidak akan bersikap sedemikian kerana ianya jelas melanggar syariat Islam dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Justeru, katanya kenyataan Najib secara jelas meminta umat Islam memilih PAS sebagai parti politik pilihan menjelang PRU13 nanti.
Justeru, umat Islam khususnya penyokong Umno tidak perlu lagi berfikir panjang kerana presidennya sendiri telah meminta PAS sebagai parti pilihan rakyat.
Justeru, DPPM menganggap Datuk Seri Najib baru sedar atau insaf bahawa menjadi kewajipan serta tanggungjawab umat Islam untuk memilih pemimpin dan parti politik yang benar-benar memartabatkan agama Islam.
“Selama ini, pemimpin-pemimpin Umno lebih bercakap soal politik dengan mengenepikan kepentingan Islam dalam politik. Malah Islam dianggap terpisah dari pemerintahan dan pentadbiran negara“Islam dianggap perkara sampingan yang hanya duduk di masjid dan upacara keagamaan dan tidak boleh dicampurkan dengan politik,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) kepada Harakahdaily.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib yang menyebut demikian sewaktu berucap di majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaaan di Kuala Lumpur, semalam.
Tambahnya, pemimpin PAS yang bercakap soal Islam dituduh mempergunakan agama demi kepentingan politik sedangkan itulah tuntutan agama Islam.
Oleh yang demikian, ujarnya DPPM menyarankan supaya umat Islam memilih PAS sebagai wadah perjuangan dan pilihan mereka.
Ini, katanya kerana PAS sejak dahulu sehingga kini memperjuangkan Islam sebagai teras perjuangannya.
“Dengan namanya Parti Islam Se-Malaysia, latar belakangnya Islam, Perlembagaannya serta dasarnya untuk menegakkan agama Islam di negara ini, malah kepemimpinannya diterajui Majlis Syura Ulamak,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, sifat perjuangan PAS juga menyeluruh dengan menjadikan semua umat Islam sebagai saudara seperjuangannya tanpa mengira warna kulit mahupun bangsa atau kaum.
“Justeru, apakah alasan lain bagi menafikan PAS sebagai parti Islam yang wajar diterima dan dipilih oleh rakyat?” tanya beliau.
Selain itu, katanya kepemimpinan yang amanah dan bersih diterapkan sesuai dengan dasar Islamnya.
Menurutnya lagi, Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS sejak 20 tahun dahulu memperlihatkan kebersihan pemimpinnnya dari rekod rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Katanya, Negeri Kedah menyusul kini dengan juga mencatat rekod bersih pemerintahannya.
Jelasnya, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS juga memperlihatkan kehidupan seperti yang dituntut oleh Islam dengan hidup serba sederhana, sifat itu juga dicontohi oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Sebaliknya, kata beliau Umno bukanlah parti yang boleh memartabatkan dan menjamin kesucian agama Islam di negara ini kerana ia parti perkauman yang hanya khusus untuk bangsa Melayu semata-mata, dasar dan matlamat perjuangannya hanyalah untuk bangsa Melayu sahaja.
Lebih dari itu, ujarnya pemimpin-pemimpin mereka sering dipalitkan dengan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pemborosan, bermewah, ketirisan dan lain-lain lagi.
Pemimpin Islam, jelasnya tidak akan bersikap sedemikian kerana ianya jelas melanggar syariat Islam dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Justeru, katanya kenyataan Najib secara jelas meminta umat Islam memilih PAS sebagai parti politik pilihan menjelang PRU13 nanti.
Justeru, umat Islam khususnya penyokong Umno tidak perlu lagi berfikir panjang kerana presidennya sendiri telah meminta PAS sebagai parti pilihan rakyat.
Subscribe to:
Posts (Atom)









