Tuesday, April 03, 2012

Mengapa pengundi tidak tahu alamat ditukar?


KUALA LUMPUR, 2 April: “Bagaimanakah SPR boleh menukarkan tempat mengundi seseorang pemilih secara sembrono tanpa ada siasatan yang teliti terhadap borang permohonan seseorang pemilih,” kata Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Sany Hamzan (gambar).

Sehubungan itu, tegasnya pihaknya mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang cuba melakukan perbuatan khianat dengan memindahkan seseorang pemilih berdaftar dari Dun atau kawasan Parlimen sedia ada ke Dun dan Parlimen yang lain tanpa pengetahuan pemilih tersebut.

Seorang pengundi, Zawawi Abdul terkejut apabila semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati alamat tempat mengundinya telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Beliau yang merupakan pengundi di Peti Undi Bukit Lintang dalam Dun Ayer Molek sejak tahun 1970-an lagi kini ditukar menjadi pengundi di Dun Duyong.

"Sejak dari tahun 70-an saya mengundi di Sekolah Kebamgsaan Bukit Lintang tidak pernah pindah tempat mengundi, saya terkejut bila menyemak di laman web nama saya ada di Dun Duyong," kata Zawawi kesal.

“Adakah ini satu cara penipuan secara halus yang cuba dilakukan oleh SPR untuk mempastikan kekalahan Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya umum yang akan datang?” soal Mohd Sany.

Katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan sepenuh kesalahan dan kelalaian ini ke pundak SPR sebagai entiti yang bertanggungjawab ke atas akses dan maklumat pemilih yang telah berdaftar.

Menurutnya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan kemungkinan masih banyak lagi kes yang melibatkan pengundi berdaftar “dipindahkan dan dilenyapkan” tanpa pengetahuan mereka.

“Maka Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan kepada semua pemilih-pemilih yang telah berdaftar supaya menyemak semula status pengundian mereka dan membuat laporan polis sekiranya berlaku perubahan status tanpa disedari,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau mengingatkan Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan perlu memainkan peranan untuk membantu menyemak status pengundi di setiap Dun dan parlimen masing-masing.

Pihaknya juga, kata Sany ‘menasihatkan’ pihak SPR supaya lebih bertanggungjawab dan berintegriti di dalam melaksanakan tanggungjawab mereka supaya tidak berlaku penipuan di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“SPR perlu menjadi pihak yang benar-benar berkecuali dan bukan menjadi ‘budak suruhan’ untuk memenangkan Umno dan Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

Tanah rizab Melayu di Kelantan kekal sejak 1930

KOTA BHARU, 2 Apr: Pada 1960 negeri-negeri di Semenanjung mewujudkan Enakmen Tanah Rizab Melayu bertujuan menyekat orang Melayu menjual tanah mereka sewenang-wenangnya kepada bangsa lain.

Sedangkan di Kelantan Enakmen Tanah Rizab Melayu diwujud pada 4 November 1930 semasa di bawah pentadbiran Inggeris.

Sejak tempoh itu tanah rizab Melayu di Kelantan kekal seperti mula diwujudkan iaitu seluas 1,309,153.38 hektar atau 85 peratus, manakala bukan rizab Melayu seluas 195,197 hektar (15 peratus).

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, di Kota Bharu ada kawasan digazet sebagai tanah rizab Melayu dan bukan rizab Melayu sejak 1930.

“Tanah di kawasan tebing Sungai Kelantan di bandar ini termasuk dibangunkan hotel adalah bukan tanah rizab Melayu,” katanya ketika membentang kertas kerja pada Seminar Masa Depan Tanah Rezab Melayu di Kota Bharu, kelmarin.

Program tersebut dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan diadakan di Kelantan Trade Centre. Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah, Datuk Prof Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof turut membentang kertas kerja.

Baru-baru ini akhbar milik Umno mendakwa Kelantan menggadai tanah rizab Melayu kepada bukan Bumiputera sehingga melibatkan ribuan hektar asalnya berstatus tanah pertanian.

Malah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad dilaporkan mendakwa kerajaan Kelantan menggadai tanah rizab Melayu kepada sebuah syarikat bukan Melayu di Mengkebang.

Bagaimanapun Husam menjelaskan tanah di daerah Mengkebang yang dimaksudkan pemimpin terbabit bukan tanah rizab Melayu yang digazet sejak 1930.

Sedangkan kata beliau tanah-tanah rizab Melayu di negeri-negeri lain semakin berkurangan kerana kerajaan BN tidak berminat menjaga kepentingan orang Melayu.

“Walhal menurut Enakmen Tanah Rizah Melayu secara jelas menyebut mana-mana tanah yang diambil hendaklah diganti di tempat lain menurut nilai harga tanah yang diambil,” katanya.

Sementara itu Dr Nik Mohd Zain berkata, beberapa negeri di bawah BN tidak berminat mengganti kawasan tanah rizab Melayu yang diambil untuk projek awam.

604 huffaz cipta rekod khat terpantas




(Para peserta tekun menulis khat di Kota Bharu)
KOTA BHARU, 2 April: Karnival Khat  berjaya dicatatkan dalam Malaysian Book of Rekords apabila seramai 604 Huffaz telah berjaya menulis 604 muka surat al-Quran melalui tulisan khat terpantas selama sejam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, mewakili pihak berkenaan menyampaikan sijil tersebut kepada Yang Dipertua Alumni Maahad Muhammadi, Ustaz Muhammad Yunan.

Seramai 604 orang peserta yang terdiri dari pelajar Maahad Muhammadi Lelaki, Perempuan dan sekolah-sekolah tahfiz di Kelantan mengikuti program berkenaan yang bermula kira-kira 11.00 pagi.

(Datuk Takiyudin menulis khat sebagai gimik perasmian)

Karnival itu diadakan sempena sambutan Jubli Intan Maahad Muhammadi dan Tahun Melawat Kelantan (TMK@2012).

Datuk Takiyuddin telah merasmikan program yang diadakan di Maahad Muhammadi Perempuan itu.

Sebagai tanda majlis perasmian, beliau menulis ‘bismillahirrahmanirrahim’ juga teknik tulisan khat.

Takiyuddin ketika berucap merasmikan Seminar Seni Khat Kebangsaan (Seminar Haji Wan Solleh Fathi) berkata, seni khat warisan bangsa yang semakin pupus perlu digilap sentiasa agar ianya tidak hilang lenyap dek masa.

Menurutnya,  kerajaan Kelantan akan mempertahankan seni khat ini melalui latihan, seminar dan kursus kepada pelajar di sekolah masing-masing.

“Hasil tulisan khat ini akan ditempatkan di Muzium Islam, berhampiran Masjid Muhammadi,”ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga mengutamakan tulisan jawi.

Tambahnya, kerana itu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mempunyai unit tulisan jawi sendiri bagi memperbetulkan ejaan iklan yang dipohon melalui perlesenan.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohd Yusof Abu Bakar.

Seminar berkenaan diambil bersempena Haji Wan Solleh merupakan guru pertama seni khat Maahad Muhammadi (1940-1949).

Sementara itu, peserta dari Selangor Abdul Baki Abu Bakar memenangi hadiah RM3,000 setelah mendapat tempat pertama dalam pertandingan menulis tulisan khat.

Tempat kedua RM2,000 disandang Mohd Fadhil juga dari Selangor, ketiga Mohd Zulfitri Mohd Sabri juga dari Selangor untuk kategori dewasa.

Manakala kategori remaja tempat pertama Mohd Yaziz Shamsuddin dari Terengganu mendapat wang tunai RM1,500, kedua, RM1,000 Mohd Nazri Mohd Rashid dari Selangor dan tempat ketiga RM500 dimenangi Mohd Afifuddin Sabri, RM500.


Tiga hadiah saguhati kategori dewasa mendapat RM400, manakala remaja RM200.

Sunday, April 01, 2012

Ceramah Isu - Isu Semasa

Negara ini sudah berubah, kata Hadi kepada Kuan Yew





(Abdul Hadi menerima papan tanda penubuhan DHPP Taman Dato' Dr Tan Tiong Hong dari Mr Chan)

SELAYANG, 31 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew bahawa masyarakat negara ini sudah berubah.

"Kalau dahulu mereka berpisah antara kaum-kaum, kini mereka sudah boleh bertemu dan bekerjasama. Buktinya pilihan raya 2008, mereka bersatu menolak BN," kata Abdul Hadi.

Beliau menceritakan perkara ini kepada masyarakat Cina Taman Daya, Kepong yang menyertai majlis hi tea bersama beliau petang tadi.

(Abdul Hadi berucap di Taman Daya, Selayang)

Lebih 300 masyarakat Cina, India dan Melayu tempatan menyertai majlis bersama beliau itu. Turut serta Tian Chua, Naib Presiden PKR.

Di majlis itu, beliau turut merasmikan pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS cawangan Taman Datuk Dr Tan Tiong Hong.

Ia dibuat melalui penyerahan papan tanda dewan itu oleh Mr Chan, Pengerusinya.

Mr Chan mempunyai hubungan yang sentimental dengan Abdul Hadi sejak tahun 2004 lagi.
Ketika itu, kawasan perumahan beliau di Kepong Hulu (yang terletak bersebelahan Taman Daya) sentiasa sahaja berlaku banjir kilat akibat dari peparitan dan sungai tidak baik.

(Mr Chan berkata sesuatu kepada Abdul Hadi dengan diperhatikan bekas YDP PAS Selayang Haji Mohamad [kiri sekali] dan Zaidi, YDP PAS Selayang sekarang)


Abdul Hadi selaku ahli Parlimen telah membangkitkan perkara itu dan menyebabkan ia telah dibaiki.

Sejak itu, banjir kilat jarang berlaku di kawasan perumahan yang didiami Mr Chan.

Hari ini, Mr Chan adalah pihak yang paling gembira kerana hajat beliau untuk membawa Abdul Hadi ke kawasannya berhasil.

Dalam pertemuan hari ini, Abdul Hadi memberitahu, tiga bulan lalu beliau menemui Lee Kuan Yew di Singapura.


Ia sebagai kunjungan balas beliau ke atas kunjungan Lee terhadap beliau dan pemimpin PAS yang lain sebelum ini.
Abdul Hadi juga memberitahu hadirin, kekayaan negara ini adalah milik semua rakyatnya.

(Hasil lukisan kanak-kanak Taman Daya)

"Islam mengajar kami kena hidup bersatu padu. Kita mesti campur dengan semua orang kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain.

"Ada bangsa yang tanam sayur, ada yang memotong getah, ada yang tanam padi dan ada yang berniaga dan ada juga yang jadi nelayan...kita semua perlu berkerjasama antara satu sama lain untuk keperluan kita bersama," kata beliau.

Beliau juga menolak hanya Barisan Nasional sahaja yang boleh membuat pembangunan.

"Masalah yang kita hadapi sekarang adalah bagaimana mahu membuat pembangunan tanpa menipu rakyat.

"Kita sudah bagi peluang lebih 50 tahun kepada BN, banyak orang yang susah kerana pemerintahan mereka yang penuh tipu," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua yang hadir mengajak rakan-rakan mereka yang tidak hadir untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum ini.

Tian Chua dalam ucapannya juga membawa tema yang sama iaitu tipu.

Bagi beliau, BN terus kekal memerintah negara ini dengan cara tipu.

"Kali ini, ada lebih 390 buah rumah di negara ini yang mempunyai pengundi 100 orang lebih pada rumah berkenaan.


(Antara orang ramai yang memenuhi padang awam Taman Daya bagi mendengar ucapan pemimpin Pakatan)

"Nampaknya negara kita begitu miskin...sebuah rumah, lebih 100 orang rakyat tinggal di atasnya...lembu pun sudah tinggal di banglo," sindir beliau disambut tepukan gemuruh hadirin.

Tian Chua, anggota Parlimen Batu berkata demikian ketika memberitahu betapa BN cuba menipu dengan mendaftarkan lebih 100 orang di atas satu alamat yang sama.

"Sekarang Parlimen sedang bersidang. Atas meja kami ada satu rang undang-undang untuk memohon perbelanjaan tambahan.

"Bayangkan, kerajaan sudah terlebih belanja RM10 bilion dari bajet mereka tahun lalu," kata Tian Chua.

Bagi beliau, Pakatan Rakyat bukannya gilakan kuasa sangat tetapi yang boleh menyelesaikan masalah negara sekarang adalah dengan sistem politik yang bebas dan telus.

Selain mendengar ucapan, orang ramai yang datang juga memeriksa tahap kesihatan mereka di samping menyemak nama mereka dalam daftar pemilih.

Pertandingan melukis dan mewarna di kalangan kanak-kanak juga diadakan.

Nik Aziz: Dari 'anak pondok' jadi menteri besar


KOTA BHARU, 31 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa umat Islam di negara ini supaya berhujah dengan  ‘menggunakan fikiran’ ketika berhadapan dengan pihak tertentu yang sewenang-wenang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mempertahankan pemerintahannya.
“Ketahuilah bahawa Islam menggesa supaya menggunakan ‘fikiran’. Haatuu…. burhaanakum, bukannya ‘haatuu….ISA’.  Tidak, tidak. Haatuu…gari tangan, tidak.

(Gambar: Tuan Guru melihat replika Masjid Maahad Muhammadi Perempuan.)

“Sikit-sikit, ISA, terutama kepada pejuang Islam dan penyokong PAS terdiri dari ulama dan tuk guru pondok,  suatu masa dahulu.

“Pejuang PAS dan tuk guru Pondok ramai telah dikenakan ISA, bahkan berada dalam tahanan ISA itu sendiri tidak boleh diziarahi keluarga, tidak boleh dihubungi peguam. Punya ganas perbuatan itu, lebih daripada komunis," katanya.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS mendakwa demikian ketika mengkisahkan kezaliman dilakukan pihak pemerintah masa lalu terhadap ahli dan penyokong PAS di negeri ini, menguatkan tekadnya berjuang dalam PAS.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Maahad Muhammadi, Pelancaran Logo Jubli Intan, Penganugerahan Tokoh Jubli Intan dan Pelancaran Tabung Pembinaan Masjid Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) di sini tengah hari tadi.

Turut hadir Speaker Dewan Negeri Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri , Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan timbalannya Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad.

Pengarah Yayasan Islam Kelantan Tengku Azmi Tengku Jaafar, Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan serta Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar Maahad Muhammadi (Alumni MM) Muhammad Yunan Mahmood.

Tuan Guru Nik Aziz turut mengkisahkan sejarah awal pembabitannya dalam PAS apabila dicalonkan bertanding di Dewan Undangan Negeri Kelantan Hilir melawan calon Perikatan, Tengku Noor Asiah.

Kekosongan kerusi itu kerana kematian Allahyarham Haji Mat Prai.

“Justeru, apabila pilihanraya berlangsung, saya menang dengan kelebihan 3,000 undi. Dan mulai hari itulah saya menjadi wakil rakyat sehingga ke hari ini, dan nak berhenti  bila, tidak tahu," ujarnya.

Mursyidul Am PAS itu berkata, dalam perkembangan terbaru politik PAS, beliau dikunjungi rombongan kaum Cina merayu supaya beliau terus bertanding walaupun Umno BN sangat anti beliau menjadi Menteri Besar.

“Perkembangan terbaru, kaum Cina datang berjumpa saya.  Mereka kata, Tuk Guru kena bertanding, menjadi Perdana Menteri dan Tuk Guru jangan mati.

“Cina tak beri saya mati. Umno tidak setuju kepada saya, tapi Cina setuju. Mereka kata, Tuk Guru jangan mati, bahkan bertanding di Dun dan Parlimen," katanya.

Beliau melahirkan kebangaannya kini menjadi Menteri Besar, dari seorang ‘anak pondok’ kemudian menjadi Menteri Besar dan melakukan banyak dasar negeri yang diselaraskan dengan Islam dan PAS.

Beliau telah mengarahkan supaya wang simpanan kerajaan negeri yang disimpan dalam bank yang mengamalkan riba disimpan dalam Bank Islam.

Menteri Besar turut mengarahkan penggubalan Undang-Undang Hudud yang kemudiannya diluluskan Dewan Undangan Negeri sebagai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993.

Pada majlis itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diisytiharkan Tokoh Jubli Intan, Maahad Muhammadi.