Wednesday, May 02, 2012

Rakyat boleh dibelasah kerana mahu jaga Dataran?


Perhimpunan Duduk Bantah – Bersih 3.0 ternyata telah berjaya mencapai matlamatnya. Mesej dan tuntutan yang mahukan pilihanraya yang bersih dan adil telah disampaikan dengan jelas dengan berkumpulnya lebih 250,000 orang penyokong pada 28 April 2012 yang lalu. Rakyat telah berkumpul di tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pihak penganjur. Mereka kemudiannya bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

Pergerakan menuju ke Dataran Merdeka berjalan lancar dan dilakukan bagai sebuah pesta. Ada yang memukul gendang, ada yang bernyanyi dan ada yang membawa pelbagai kain rentang dan poster yang mempamerkan tuntutan agar pilihanraya dilaksanakan dengan besih dan adil.

Perhimpunan Bersih 3.0 tersebut telah dihadiri oleh rakyat dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang; Melayu, Cina, India serta pelbagai bangsa lain. Tua dan muda, lelaki dan wanita tidak ketinggalan. Mereka juga terdiri dari pelbagai fahaman politik dan ada di kalangan mereka adalah merupakan rakyat biasa yang cintakan keadilan dan kebenaran. Ternyata seruan ke arah pilihanraya yang adil dan bersih telah merentas batas kaum, agama dan fahaman politik.

Perhimpunan telah berjalan secara aman dan penuh disiplin sehinggalah ada pihak yang merempuh masuk ke Dataran Merdeka. Apabila ini berlaku pihak polis mula  bertindak dengan menyimbah air berasid dan menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai. Ini diikuti dengan tindakan-tindakan polis yang ganas yang mengejar para peserta perhimpunan tersebut dan membelasah mereka. Terdapat banyak klip video di youtube yang boleh disaksikan yang menunjukkan betapa ganasnya pasukan polis membelasah peserta perhimpunan.

Persoalannya kenapa pihak polis bertindak begitu ganas kepada para peserta perhimpunan? Adakah kerana terdapat sebahagian daripada peserta yang telah membolosi dan memasuki Dataran Merdeka yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh mahkamah?

Namun jika kita teliti, hampir semua tindakan-tindakan polis yang membelasah para peserta himpunan telah dilakukan di luar Dataran Merdeka. Malah kita hampir pasti mereka yang dibelasah ini pun kebanyakannya tidak menjejakkan kaki mereka di Dataran Merdeka pada hari tersebut. Ini adalah kerana jumlah peserta perhimpunan yang memasuki Dataran Merdeka amatlah sedikit dan itupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa sebahagiannya merupakan anggota keselamatan yang menyamar sebagai peserta perhimpunan yang telah mencetuskan provokasi.

Selain daripada itu, daripada laporan-laporan yang diterima, ada peserta perhimpunan yang dipukul ketika mereka sedang makan malam di restoran-restoran sekitar Masjid Jamek dan Masjid India sekitar pukul 7.00 hingga 7.30 malam; lama selepas semua peserta bersurai.

Kenapa tanah sekangkang kera yang dinamakan Dataran Merdeka itu dijadikan isu yang besar oleh pihak kerajaan dan polis? Bukankah Dataran Merdeka itu merupakan tempat berkumpul semua rakyat jelata? Tidakkah semua rakyat jelata berhak untuk berhimpun di situ? Kenapakah ia perlu dijadikan isu sehingga satu perintah mahkamah khusus perlu diambil bagi menghalang peserta Bersih 3.0 berhimpun di situ?


Malah, kalau benar Dataran Merdeka sahaja merupakan kawasan larangan, kenapa pula polis membelasah perserta himpunan yang berada di luar Dataran Merdeka?
 
Selain daripada itu, wajarkah kerana mempertahankan Dataran Merdeka, rakyat dibelasah sehingga setengah mati?

Inilah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh pihak polis dan pihak kerajaan. Kita menuntut penjelasan daripada mereka.

Polis ganas apabila pemimpin BN zalim


Bersama ratusan ribu rakyat, saya berada di celah-celah lautan manusia menuju ke tempat perhimpunan Bersih 3 berdekatan Dataran Merdeka. Kami datang dari jauh dan dari seluruh pelosok tanahair bukan untuk merusuh, mengganas, memukul dan menendang dan membuat huru-hara. Kami datang dengan satu niat mahu memberitahu kerajaan zalim BN bahawa kami mahukan pilihanraya yang adil dan bersih, yang terkandung dalam 8 tuntutan.

Regim BN hanya memekakkan telinga sedangkan mereka mempunyai peluang untuk membuktikan kesungguhan dan ketelusan berpilihanraya melalui suara majoriti dalam parlimen. Namun, persidangan Parlimen dan apa-apa yang diluluskan dalam Parlimen itu kelihatan hanya memburukkan sangkaan terhadap regim BN. Lantas, di antara cara mengingatkan BN tentang kesombongan ini ialah melalui perhimpunan aman Bersih 3.0.

Betapa Bersih 3.0 ini sememangnya mahukan keamanan boleh dilihat dalam artikel-artikel dalam harakah sebelum Bersih 3.0 yang mahukan rakyat turun ke Bersih 3.0 dengan aman, facebook Presiden PAS yang dicatat pada 24 April 2012: ‘Sekali lagi saya ingin mengesahkan insya Allah saya akan bersama sama di dalam Himpuan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini, saya juga menyeru kepada semua ahli untuk sama berhimpun pada tarikh dan lokasi tersebut, berhimpun dengan penuh kedamaian.’, juga ucapan Dr Syed Azman (dengan kehadiran bersama Salahudin Ayub, Dr Hatta dan lain-lain) yang saya dengar di hadapan Pejabat Agung PAS sebelum kami berjalan menuju ke Dataran Merdeka supaya berjalan dengan baik, mendengar arahan dan jangan membuat perkara di luar arahan pemimpin.

Perkara ini diperkukuh dengan penegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bahawa ahli PAS diajar dengan disiplin yang tinggi. Ini juga yang saya lihat berlaku sepanjang perarakan tersebut. Penuh harmoni, ceria walaupun dalam keadaan agak panas mentari. Cina, Melayu, India dan bangsa lain bersama-sama menyatakan hasrat mahukan pilihanraya adil dan bersih.

Utusan dan TV1,2,3 silap besar apabila menggambarkan Bersih 3.0 itu ganas. Kepala para editor dan ketua pengarangnya dan rakan media yang selubuk dengannya yang dimasuki air itu rupanya masih berda pada tahun 60an. Mereka menyangka rakyat semuanya bodoh seperti mereka mahu menelan apa yang dibohong dan disembunyikan. Ratusan rakaman dalam youtube menjadi saksi kepada kezaliman sebuah regim di bawah pemimpin BN.

Tendang, terajang, dera, pukul. Inikah SOP PDRM? Saya tahu bahawa ada anggota polis yang baik. Namun, sebahagian anggota muda (mung lulus dok SPM?) inilah barangkali yang agresif membaham rakyat yang tidak bersenjata dan lemah ini. Saya hanya mahu ingatkan anda bahawa Allah Maha Adil. Kezaliman yang dibuat tetap ada balasannya, kalau tidak di dunia tentunya di akhirat.

Dalam keadaan polis yang bertugas dengan penuh ‘dedikasi’, pemimpin BN sedang leka mengaut untung harta negara yang ‘dikasi oleh daddy’.


Kalau ada Umar bin Abdul Aziz, serigala dan kambing boleh berkawan. Tetapi apabila pemimpinnya adalah BN, rakyat dan polis diajak berlawan.

Elok juga Najib rasa nikmatnya gas pemedih mata


KUALA LUMPUR, 30 April: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang sinis kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pihak polis mengendalikan perhimpunan Bersih 3.0 dengan baik dan profesional.

Beliau juga menyatakan bahawa gas pemedih mata dan water cannon merupakan suatu option yang tidak memudaratkan kesihatan.

Justeru, Timbalan Ketua DPPWP, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pihaknya merasakan PM bercakap tanpa berpijak di bumi nyata dalam keadaan rakyat menjadi mangsa belasahan anggota polis, ramai warga emas, wanita, dan kanak-kanak ditembak dengan gas pemedih mata dan air kimia, para wartawan dicederakan dan dirampas peralatan mereka.

Beliau berkata, suasana pula bagai berada di zon perang atau di sempadan Israel di mana rakyat Palestin diperlakukan sesuka hati.

“Ramai juga menyaksikan polis bertindak ganas terhadap orang awam selepas dua jam tamatnya perhimpunan aman ini sehingga ramai terpaksa dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

“Dalam keadaan begini, PM masih lagi memberikan markah tinggi kepada PDRM,” ujarnya kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, ujarnya merasa terkilan kerana kenyataan PM menggambarkan gas pemedih mata dan water cannon adalah sesuatu yang tidak berbahaya, seolah-olah bahan itu sesuatu yang menyeronokkan rakyat.

“Kenyataan ini menggambarkan beliau seorang yang sombong, angkuh serta tidak tahu kesusahan yang ditanggung oleh rakyat,” ujarnya lagi.

Menurutnya, rakyat terpaksa mengharungi episod malang dengan disimbahi air kimia yang amat menyakitkan serta gas pemedih mata yang amat memeritkan dan menyesakkan nafas bagi mencari erti keadilan sebenar dalam sebuah negara demokrasi.

“PM memandang apa yang berlaku pada pandangan mata kasarnya sahaja. Sepatutnya PM bertanya mengapa perhimpunan Bersih 3.0 ini berlaku dan apa yang rakyat inginkan.

“Beliau perlu melihat mengapa ratusan ribu rakyat tanpa mengira jantina, bangsa dan keturunan sanggup bersesak dan berdepan dengan risiko gas pemedih mata, air kimia serta ditangkap atau dipukul,” ujarnya.

Sebalik kesemua itu, kata beliau Najib perlu menilai sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya.

“Adilkah atau zalimkah beliau kepada ratusan ribu bahkan jutaan rakyat di negara ini?” soalnya.

Justeru, kata Mohamad Suhaimi, DPPWP mensarankan agar PM menonton video yang dirakam sendiri oleh rakyat dan saksikan bagaimana kejamnya pihak polis terhadap rakyat.

“Nilaikan sendiri bagaimana pembantaian dibuat oleh polis terhadap orang awam tanpa perikemanusiaan.

“Elok juga PM merasa sekali gas pemedih mata dan water cannon dan rasai betapa ‘nikmatnya’ penangan bahan itu,” ujarnya lagi.

Jelasnya, gas pemedih mata dan water cannon mungkin tidak memudaratkan kesihatan tetapi pedihnya amat terasa jika terkena.

Jijiknya pemimpin peralat polis untuk kekal kuasa


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapati jelas kini polis terbawa- bawa dengan cara seluruh polis di dunia membelasah demonstran. Dari Barat hingga Timur, tidak ada beza polis dalam bertindak. Yang mereka tahu ialah membelasah, memukul dan menembak ke arah demonstran yang tidak bersenjata.

Di Malaysia tindakan polis sejak dari penjajah hingga 55 tahun selepas merdeka masih sama. Pokoknya polis yang melakukan tindakan masing-masing akan dipertahankan oleh ketua mereka. Paling tidak kerajaan akan tetap mempersalahkan demonstrasi rakyat kerana takut kuasa yang dipegang selama ini akan terlepas akibat kemarahan rakyat terhadap pelbagai kepincangan.

Tindakan ganas polis selalunya dijustifikasi oleh pihak atasan dan pemimpin parti politik pemerintah. Akhirnya rakyat jugalah yang dipersalahkan. Kadang-kadang menambahburukkan lagi polis yang berpakaian awam turut bertindak ganas membelasah dan menangkap orang ramai secara rambang.

Di Malaysia hal inilah yang disaksikan setiapkali demonstrasi diadakan atas pelbagai isu.

Bersih 3 .0 memperlihatkan senario yang sama. Polis cuba mempertahankan sebuah bidang dataran yang kosong hanya kerana arahan kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di lokasi paling ikonik di negara itu.

Dari apa yang dilihat ketika Bersih 3.0 diadakan pada 28 April yang lalu  polis kelihatan bertindak bukan sahaja untuk menghalang pendemonstran ke Dataran Merdeka , malah menembak gas pemedih mata dan air kimia di luar kawasan Dataran Merdeka.

Tindakan polis nampaknya hilang pertimbangan malah tidak lagi mempedulikan prinsip undang-undang negara yang membenarkan rakyat berhimpun dengan aman.

Perhimpunan itu pasti aman jika polis tidak bertindak menembak dan mula mengejar dan memukul peserta demonstrasi. Malah secara membabi buta menangkap dan memukul siapa sahaja ikut suka, tidak kira ia wartawan atau orang biasa.

Tidak mungkin semua pemerhati dan saksi yang melihat dengan mata kepala sendiri cara polis bertindak ganas dapat menutupi kejadian sebenar. Apatah lagi jika dikumpul semua yang menjadi mangsa kepada tindakan polis memberi keterangan mengenai apa yang berlaku.


Ini bukan kali pertama kita menyaksikan senario polis bertindak keterlaluan. Dari demonstrasi menentang Israel dan US, penghinaan terhadap Islam, menentang ISA, membantah PPSMI, tuntutan Bersih, rakyat dapat melihat keganasan yang berlaku oleh polis.

Demonstrasi biasanya bermula dengan aman menuju ke lokasi. Namun polis dan FRU siap dengan water cannon, belantan  dan senapang penembak gas pemedih mata sering mengintimidasi demonstran, yang sering berakhir dengan tembakan dan memburu peserta demonstrasi.

Dengan tidak menafikan bahawa dalam puluhan  ribu  yang hadir sudah tentu ada yang bertindak secara sendirian kerana tidak dapat menahan kemarahan, namun bila polis mula bertindak menembak dan memukul serta membelasah peserta, keadaan pasti tidak boleh dikawal lagi.

Mapim menyelar ada polis yang dibiar oleh pegawai tinggi yang turut serta, tidak membuat apa-apa bila ada polis yang memukul, menendang dan melakukan keganasan ke atas peserta secara keterlaluan.

Kenyataan PM mengatakan bahawa polis yang menjadi mangsa, bukan peserta demonstrasi adalah kenyataan yang menghina puluhan rakyat yang dipukul tanpa belas kasihan. Bila beliau mengatakan semua pihak jangan membuat rumusan sebelum siasatan dilakukan bermakna beliau juga sepatutnya tidak dengan mudah menuduh mereka yang berdemonstrasi dengan kata-kata keras.

Mapim juga menyelar pemimpin kerajaan yang memperalat anggota polis bila berhadapan dengan kemarahan rakyat. Memperguna polis untuk berhadapan dengan rakyat hanya kerana mahu mengekal kuasa adalah tindakan yang jijik.

Tuesday, April 24, 2012

Presiden PAS sahkan turun Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan akan turun ke Dataran Merdeka bersama seluruh rakyat untuk menyertai 'Duduk Bantah' sempena himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Dalam satu kenyataan yang dikirim oleh setiausaha akhbar beliau Mohd Nasaie Ismail, beliau berkata ianya sebagai tanda sokongan padu PAS terhadap usaha NGO yang bergabung dengan Bersih 3.0 untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

"Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Dataran Merdeka pada himpunan Duduk dan Bantah Bersih 3.0.

"Begitu juga dengan seluruh ahli PAS diminta berhimpun secara damai di Dataran Merdeka pada tanggal 28 april," katanya.

Pejabat agung PAS juga, ujarnya sudah membuat arahan kepada semua ahli untuk hadir sama ke himpunan tersebut.

Sejak Bersih mengumumkan untuk mengadakan Bersih 3.0, PAS telahpun menjalankan usaha mobilisasi ahli dan penyokongnya dari seluruh negara untuk hadir.

Semua negeri telah menyatakan komitmen sementara PAS Terengganu dan Selangor secara rasmi mengumumkan masing-masing akan mengerahkan 50,000 ahli mereka.

Sementara itu, Bersih malam tadi mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan himpunan itu diadakan di Dataran Merdeka.

Kempen Bersih dalam mesyuarat agung PAS



(Zaharudin [kanan] menyerahkan baju Bersih 3.0 dan mafla kepada Zaidi)

SELAYANG: Kempen untuk mempastikan ahli-ahli dan penyokong PAS seluruh negara turun ke Dataran Merdeka 28 April ini untuk perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 turut berjalan di mesyuarat agung PAS.

Ahad lalu, semua perwakilan PAS yang menyertai mesyuarat agung PAS kawasan Selayang telah diberikan lencana khas Bersih 3.0.

Yang Dipertua PAS Selayang Zaidy Talib pula dikalungkan baju dan mafla Bersih oleh Ustaz Zaharudin Mohamad, ahli Majlis Syura PAS yang merasmikan mesyuarat itu.

Semua perwakilan dikerah agar mempastikan semua ahli dan penyokong PAS turun beramai-ramai bagi mempastikan pihak berkuasa mendengar tuntutan mereka agar pilihan raya dijalankan dengan bersih dan adil.

Di samping kempen dalam mesyuarat agung, penggerak PAS juga berkempen ke seluruh tempat bagi memastikan Bersih 3.0 berjaya.

10 resolusi konvensyen hala tuju Felda

SHAH ALAM: Konvesyen hala tuju Felda yang berlangsung di Universiti Industri Selangor semalam membuat 10 resolusi khas bagi menentukan kedudukan Felda pada masa hadapan.

Presiden Anak, Mazlan Aliman menjelaskan resolusi yang diperolehi ini adalah hasil kesepakatan semua yang hadir sama ada melalui perbentangan kertas kerja oleh panel, ulasan mahupun soal jawab peneroka yang hadir.

"Hari ini lahirlah satu resolusi khas untuk kita membawa menentukan hala tuju Felda pada masa hadapan apatah lagi setelah Pakatan Rakyat diberi mandat untuk memerintah negara ini.

"Melalui resolusi ini juga kita dapat menaikan martabat Felda pada tahap yang sepatutnya bukannya menjadikan Felda sebagai satu gadaian untuk memperolehi wang secara segera," jelasnya sewaktu membaca resolusi hala tuju Felda.

10 resolusi yang dicapai semalam adalah:

1. Menentang penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di atas tiga perkara utama;

a. Penglibatan syarikat yahudi yang merangkumi 20%;

b. Melibatkan tanah Felda Plantation yang sepatutunya diagihkan kepada generasi kedua; dan

c. Melibatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

2. Tanah Felda Plantation mesti diagihkan kepada generasi kedua Felda dan rakyat yang layak;

3. Koperasi Felda di peringkat rancangan diberi peranan utama mengendalikan kebun-kebun peneroka dan bukannya Felda Technoplant;

4. Membuka peluang pekerjaan kepada generasi kedua dalam perladangan, perniagaan dan seluruh pengurusan Felda;

5. Jawatan pengerusi Felda hendaklah diberikan kepada anak peneroka;

6. Memperuntukkan kuota ahli lembaga pengarah Felda dan 47 anak-anak syarikat Felda kepada generasi kedua Felda sebanyak 50%;

7. Mewujudkan Universiti Felda untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan dan pakar-pakar dalam bidang perladangan, bioteknologi dan sebagainya dari anak-anak peneroka;

8. Mewujudkan perumahan generasi kedua Felda melalui projek Bandar baru Felda;

9. Memberi pembiayaan mudah melalui institusi-institusi kewangan kepada peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda untuk menambah caruman saham dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF); dan

10. Menghapuskan hutang-hutang peneroka yang tidak munasabah.

Dalam pada itu, resolusi tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak selewat-lewatnya Mei depan untuk diambil tindakan.

Kartunis Independen cabar kartunis hantu berdebat


(Kartunis Indipendan cabar Kartunis Hantu berdebat)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Kartunis Independen (KKI) mencabar 'kartunis hantu' berdebat ekoran tindakan mereka merelakan diri mereka dipergunakan untuk kepentingan tertentu.

Ini kerana, tindakan 'kartunis hantu' ini mencemarkan nama baik kartunis Malaysia dan ia perlu dihentikan.

Cabaran ini dikemukakan oleh Zulkiflee SM Anwarul Haque (atau nama penanya Zunar), pemimpin Kumpulan Kartunis Independen yang disertai oleh 11 lagi kartunis.

Kenyataan ini turut ditandatangani oleh kartunis Nor Azlin Ngah (Jonos), Azmie Md Taha, Johnny Ong, Azman Md Noh (AMN), Mohd Afendi Ramli (Ronasina), Abdullah Jones, Amier Hamzah Hashim (Ibnukaduk), Azhar Saad (Art), Azlan Isa (Orang2), Sham Saimun Ezil (Along) dan Lili Zam (Haili).

KKI adalah sebuah kumpulan kartunis yang mempertahan hak kartunis berkarya dan kepentingan kartunis untuk berkarya secara bertanggung jawab.

"Kami juga menolak budaya rasuah," kata kenyataan itu.

Sejak akhir-akhir ini semakin banyak muncul kartun-kartun yang dihasilkan dalam bentuk risalah dan diedarkan di tempat-tempat awam seperti di masjid dan di sekolah-sekolah.

Kandungan di dalam kartun-kartun ini menyerang peribadi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpin Bersih.

"Sementara kami menghormati hak setiap kartunis untuk bebas berkarya, kami juga berpendirian bahawa setiap kartunis mestilah bertanggungjawab terhadap setiap mesej yang mereka terapkan dalam karya-karya mereka.

"Tetapi didapati di dalam karya-karya tersebut, kartunis-kartunis berkenaan menyembunyikan identiti dengan tidak menandatangani atau meletakkan nama mereka di dalam lukisan tersebut.

"Dengan bersikap begini, kartunis-kartunis berkenaan mempamerkan sikap tidak bermoral, tidak bertanggungjawab, perlecehan etika serta merendahkan martabat mereka sebagai seorang artis," kata Zunar dan rakan-rakannya dalam satu kenyataan hari ini

Bagi beliau, etika kartunis ialah bagi setiap karya mesti ditandatangani atau diletakkan tanda pengenalan sebagai membuktikan kartunis benar-benar tahu apa yang dilukis, bertanggungjawab terhadap mesej dan bersiap menghadapi risiko atas lukisan tersebut sekiranya berbangkit.

Kartunis-kartunis hantu ini mencemarkan nama baik kartunis Malaysia dan ia perlu dihentikan, tegas beliau.

"Kami dapati juga semua kartun-kartun tersebut menyokong Barisan Nasonal yang mengamalkan budaya rasuah seperti dalam kes NFC dan Scorpene, misalnya.

"Sehubungan itu, kami mencabar kartunis-kartunis ini supaya mengambil pendekatan bermoral dan tampil memperkenalkan diri serta indentiti mereka," katanya.

Mereka juga ingin mencabar kartunis-kartunis tersebut supaya membuat kenyataan terbuka apakah mereka mempertahankan idealisme menyokong rasuah yang mereka terapkan dalam karya-karya mereka.

"Kami juga mencabar kartunis-tersebut supaya berdebat dengan ahli-ahli Kumpulan Kartunis Independen mengenai idealogi dan etika melukis kartun politik di mana dan bila-bila masa jua," katanya.

Presiden PAS tetamu khas Malam anak Johor


SHAH ALAM: Satu Majlis Makan Malam Perdana anak-anak Johor di perantuan akan diadakan pada hari Ahad, 29 April jam 8.00 malam di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7 Shah Alam, Selangor.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Johor untuk mengumpul dana pilihan raya akan datang.

Para pemimpin PAS yang akan menjadi tetamu dan berucap di majlis tersebut ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang (gambar), Timbalannya, Haji Muhamad Sabu, Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Pesuruhjaya PAS Negeti Johor, Datuk Dr. Mahfodz Muhamad.

Pada malam tersebut, para perantau dari negeri Johor dan sahabat handai mereka akan mendengar saranan penting Presiden dan pimpinan lain di majlis tersebut, yang dilihat sebagai tanda dorongan terhadap usaha PAS Johor yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13.

Tiket untuk majlis tersebut berharga RM100, boleh dapat dari Rosli: 0197298901, Abu Bakar: 01662173223, Ghazali: 0137474600 dan Roslan: 0199587979.

Pesuruhjaya PAS Johor menyeru anak-anak Johor di perantauan dan sahabat mereka menghadiri majlis ini untuk menyokong mengumpul derma PRU Ke-13.

Johor kini menjadi barisan depan dalam usaha Pakatan Rakyat untuk melangkah ke Putrajaya.

Sokongan terhadap Pakatan di negeri meningkat begitu ketara sekali sejak kebelakangan ini.

Bersih 3.0: Pak Samad mahu kekal di Dataran Merdeka


KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk A. Samad Said secara peribadinya mahu mengekalkan himpunan 'Duduk Bantah' diadakan di Dataran Merdeka, 28 April ini.

Mengulangi pendiriannya berulangkali, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad (gambar), menegaskan beliau dan Datuk S. Ambiga  mempunyai sikap yang sama berhubung perkara tersebut.

"Setakat ini, Ambiga dan saya mempunyai sikap yang sama, iaitu mahu 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka. Tapi, kita ada jawatankuasa yang lebih ramai yang perlu dirujuk.

"Saya secara peribadinya ingin mengekalkan 'Duduk Bantah' ini diadakan di Dataran Merdeka.  Sikap saya konsisten.  Saya harapkan seluruh jawatankuasa masih bersedia untuk kekal di situ (Dataran Merdeka)," tegas beliau pada sidang media Jawatankuasa Bersih 3.0, di Dewan Perhimpunan Cina, pagi tadi.

Himpunan itu, tambah Pak Samad hanya menyaksikan hadirin duduk sahaja selama dua jam, dan ia tidak akan mendatangkan sebarang ancaman keselamatan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0, Dr Subramaniam Pillay berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan lokasi alternatif 'Duduk Bantah' itu.

Ia susulan penolakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membenarkan himpunan itu diadakan di lokasi bersejarah tersebut.

"Kita akan bermesyuarat malam ini bersama semua gabungan NGO.  Mungkin esok akan ada keputusan konklusif daripada kami," kata beliau.

Bagaimanapun, tegas seorang lagi jawatankuasa pemandu, Maria Chin Abdullah, DBKL tidak menawarkan alternatif kepada Bersih dalam surat penolakan tersebut.

Sambil menegaskan Dataran Merdeka adalah 'milik rakyat', Maria berkata tidak ada sebab mengapa DBKL menolak program tersebut, sedangkan pelbagai program diadakan di lokasi tumpuan pelancong itu.

Antaranya program McDonald's Olympic Day Fun Run pda 17 Julai 2011, Standard Chartered KL Marathon 2011 (26 Jun 2011), BN Youth Ride Fest 2012 (17 dan 18 Februari 2012), World Kidney Day Run 2012 (3 Mac 2012), Nestle 100 Years Celebration (18 dan 19 Mac 2012) dan Konsert DiRaja (21 April 2012).

Minggu lepas, DBKL menolak permintaan Bersih untuk mengadakan himpunan di Dataran Merdeka atas alasan ia bukan satu acara nasional.

2 soalan 'maut' bakal buat Najib 'kecut perut'

PERMATANG PAUH: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berdepan dua soalan maut dari wartawan dalam dan luar negara apabila menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia nanti.

Soalan pertama adalah kenapa harga minyak boleh diturunkan apabila Pakatan Rakyat memerintah negara sedangkan ketika Barisan Nasional (BN), bukan hanya mustahil untuk diturunkan, malah berdepan kenaikan setiap tahun.

Soalan kedua kata Anwar, bakal ketua pembangkang itu akan ditanya adakah Malaysia akan bankrap selepas harga minyak diturunkan Pakatan Rakyat.

"Dua soalan itu pasti menjadi fokus utama takkala Najib menduduki kerusi Ketua Pembangkang.

"Wartawan seluruh dunia inginkan penjelasan Najib yang selama ini memberitahu rakyat bahawa kerajaan pimpinanya akan kekurangan wang ataupun boleh bankrap jika mengisytiharkan penurunan harga minyak, " kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Rakyat Permatang Pauh di Taman Cermai, Sama Gagah, semalam.

Menurutnya, dua soalan itu sudah memadai untuk Najib 'kecut perut' kerana selama ini dia membohongi rakyat semata-mata mahu mengekalkan kuasa dan hegemoni BN.

Adalah mustahil kata Anwar, jika pendapatan Petronas RM80 bilion setahun tidak boleh membantu rakyat dengan menurunkan harga minyak.

"Najib bila kena soalan itu pasti kecut perut sebab nak kata sokong takut Umno marah, (kalau) kata tak sokong rakyat marah.

"Begitu juga dengan persoalan tentang adakah negara akan bankrap kalau minyak diturunkan. Najib akan jadi serba salah, " ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Mengulas isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Anwar turut membawa contoh sikap Perdana Menteri Turki.

Menurutnya, apabila perdana menteri Turki berjaya memerintah negara, beliau membuat perubahan dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dan berbeza dengan pemerintahan sebelum ini.

Adalah satu kelemahan besar bagi perdana menteri Turki jika tidak mampu berikan pendidikan percuma pada anak bangsanya.

Namun kata Anwar, Perdana Menteri Malaysia langsung tidak timbul perasaan belas kasihan terhadap pelajar yang terpaksa menanggung hutang untuk belajar.

"Perdana Menteri Turki kata dia nak letak muka di mana jika tidak boleh berikan pendidikan percuma pada rakyat sebab ramai yang berada di pedalaman Turki tidak mampu.

"Cara hutang menghadkan rakyat yang miskin memasuki univesiti. Itu baru sikap seorang pemimpin " terangnya diikuti laungan reformasi beberapa kali.

Turut serta berucap dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan.

Kadir, Catriona meriahkan makan malam PAS Titiwangsa

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa akan menganjurkan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Dana PRU ke 13 Parlimen Titiwangsa pada 30 April 2012.

Majlis yang akan bermula jam 8.30 malam itu akan diadakan di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut akan dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir.

Selain beliau, seorang lagi adalah Puan Catriona Ross, selebriti terkenal yang telah berhijrah ke dunia dakwah.

Antara pemimpin PAS yang akan hadir pula termasuk Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, yang juga ahli parlimen angkat untuk parlimen Titiwangsa.

Selain beliau Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud serta AJK PAS Pusat Ustazah Nuridah Saleh dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad.
Difahamkan Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir yang akan menyampaikan pidatonya turut akan mengumumkan suatu kejutan pada majlis itu.

Bagi mereka yang ingin membeli kupon dengan harga serendah RM100 untuk satu kupon dan RM1,000 semeja, boleh menghubungi pihak penganjur di talian 012 4646292 atau 019 9988997.

Penyenaraian: Felda jerat leher sendiri


SHAH ALAM: Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menyifatkan tindakan kerajaan mahu menyenaraikan Felda Global Ventures Ventures Holding Berhad (FGVH) ke Bursa Malaysia sebagai cuba menjerat leher Felda sendiri.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang banyak syarikat gergasi yang sedang cuba keluar dari penyenaraian untuk lebih bebas, namun Felda pula mengambil sikap sebaliknya.

"Ini perlu diperjelaskan kenapa," katanya yang merupakan bekas menteri penerangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvesyen Halatuju Felda anjuran gabungan NGO Selamatkan Felda di Dewan Serbaguna, Universiti Industri Selangor pagi tadi.

Selain itu beliau turut melemparkan persoalan, sekiranya benar kedudukan kewangan Felda kukuh, kenapa FGVH perlu disenaraikan dan sanggup berdepan resiko begitu besar.

"Syarikat bertindak melakukan penyenaraian adalah untuk mendapatkan duit tunai bagi mengembangkan perniagaan tetapi Felda sudah mempunyai jumlah aliran tunai yang banyak serta aset yang besar kenapa perlu disenaraikan.

"Kalau ingin mengembangkan perniagaan, Felda boleh menggunakan wang tunai yang dimiliki oleh mereka (Felda) dan tidak perlu berada dalam Bursa Saham bagi tujuan mendapatkan modal," katanya.

Konvesyen Halatuju Felda hari ini dihadiri hampir 1,000 peneroka dari seluruh negara.

Selain Kadir, turut akan membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan bekas Adun Pulau Manis Datuk Ariff Sabri Abd Aziz.

Pak Samad cadang desawan adakan Bersih 4.0

SHAH ALAM: Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk A. Samad Said hari ini menyarankan agar masyarakat desawan mengadakan Bersih 4.0 jika tidak berpuas hati dengan apa-apa tindakan kerajaan.

Beliau yang juga sasterawan negara berkata, sebaik-baiknya himpunan itu diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) dan selepas Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Kita melihat 28 April nanti merupakan satu himpunan yang dilakukan oleh golongan kota ataupun kotawan, kita akan melihat satu sejarah baru negara apabila bantahan dilakukan melalui Bersih 3.0.

"Tapi dalam masa yang sama untuk kita melihat momentum bantahan saya sarankan agar Himpunan Bersih 4.0 di laksanakan segera dan perlu dilakukan di desa-desa," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum mendeklamasikan puisi di Konvesyen Hala Tuju Felda di Universiti Industri Selangor (Unisel) hari ini.

Tambahnya, beliau percaya dengan wujudnya Bersih 4.0 dari kalangan desawan, matlamat dan hasrat rakyat lebih didengari oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.

"Mood rakyat akan dapat dirasai apabila golongan desa melaksanakan Himpunan Bersih 4.0," sambung beliau lagi.

Menurutnya lagi, jika ini lambat dilakukan seluruh rakyat akan menjadi 'Al-Fakir' kerana terus dipermainkan oleh kerajaan yang ada sekarang,

Sasterawan Negara itu juga sempat menyampaikan Puisi bertajuk 'Melelong Rimba' sebagai menyatakan usaha kerajaan yang bukan sahaja sanggup melelong tanah milik rakyat tetapi juga sanggup melelong hutan rimba demi mencari wang dengan cara yang mudah.

Sunday, April 15, 2012

PTPTN: Mahasiswa berhimpun hingga suara mereka didengari



(Mahasiswa berkhemah menuntut kerajaan memenuhi tuntutan mereka)

KUALA LUMPUR, 14 April: Sekumpulan mahasiswa yang menuntut pendidikan percuma di negara bertindak memasang khemah di Dataran Merdeka, sementara menunggu perhimpunan Bersih 3.0, 28 April ini.

Mereka juga bernekad tidak akan berganjak dari Dataran sehingga pihak kerajaan turun padang menemui mereka bagi mendengar keluhan mahasiswa terhadap isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu pada mulanya berkumpul di persekitaran Masjid Jamek Kuala Lumpur, sebelum berarak ke kompleks membeli-belah Sogo.
Sepanjang Jalan Raja Laut menuju Sogo, kumpulan lebih 500 mahasiswa itu melaungkan pelbagai slogan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya, antaranya 'Hidup Mahasiswa', 'Jahanam Kapitalis', 'Najib Altantuya', 'Mansuh PTPTN', 'Bangkit Mahasiswa' sambil memegang pelbagai kain rentang.

Tiba di Sogo, kumpulan tersebut mula berucap bagi menyatakan pendirian mereka terhadap PTPTN yang disifatkan mereka hanya melahirkan 'graduan hutang'.

Sebelum itu, mereka meletakkan kalungan bunga pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tindakan tersebut dikatakan sebagai simbolik  kepada 'kematian' peranan dua menteri tersebut dalam usaha menyelesaikan isu PTPTN yang dibantah mahasiswa.

Antara pemimpin mahasiswa yang berucap Pengerusi SMM, Mohd Safwan Anang; dan mahasiswa yang digantung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim.

Kumpulan itu kemudiannya kembali berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, dan memasang lima buah khemah di Dataran serta mendirikan solat Asar berjemaah.

Kira-kira 30 anggota polis hanya memerhatikan kumpulan mahasiswa tersebut berhimpun tanpa sebarang provokasi daripada mereka.

Sementara itu, Safwan ketika ditemui media, berkata himpunan hari ini sebagai tanda amarah rakyat terhadap isu PTPTN yang didakwa lebih memberi keuntungan kepada kapitalis, sekaligus membebankan mahasiswa.

Ketika ditanya mengapa perhimpunan hari ini turut mengaitkan isu PTPTN dengan kepimpinan kerajaan sedia ada, Safwan berkata sekiranya mahasiswa mahu mengubah kerajaan, itu merupakan hak mereka sebagai pengundi.

"Kita tidak tahu bebanan masing-masing, tapi fokus isunya ialah PTPTN.  Kalau mahu ubah kerajaan, itu hak mereka.  Kita pun setuju, kalau kerajaan tidak mahu memberikan komitmen tentang hal (PTPTN) ini.  Kita kata kerajaan perlu diubah,  dan ia mesej jelas daripada mahasiswa," tegas beliau.

Justeru, kata beliau mahasiswa akan terus berkhemah di Dataran Merdeka sehingga pihak kerajaan respons terhadap tuntutan mereka.

"Kita akan teruskan protes ini di sini.  Kalaupun dihalau, kita akan meneruskan protes.  Kalau bukan di sini, di tempat lain yang akan diputuskan nanti," kata beliau.

Himpunan mahasiswa ini turut disertai pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Tian Chua; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat RasipRozan; dan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Jeyakumar Devaraj.

Manakala, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dijangka hadir ke Dataran Merdeka, malam ini bagi menyatakan sokongan kepada golongan mahasiswa.