Thursday, July 26, 2012

Tok Guru seru rakyat doa untuk royalti Kelantan

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru masyarakat Islam khususnya rakyat Kelantan memperbanyakkan doa sempena bulan Ramadan ini termasuk doa untuk royalti Kelantan.

Katanya, rakyat Kelantan perlu berdoa semoga Allah memberikan petunjuk kepada pihak yang menyekat pemberian royalti Kelantan agar tidak terus melakukan kezaliman terhadap negeri ini.

“Oleh yang demikian saya minta kepada rakyat doa beramai-ramai moga kezaliman ini diangkatkan dan minta Allah memberi kefahaman kepada menteri terbabit termasuk pegawai Petronas. Kerja menyekat itu suatu dosa,” ujarnya.

"Kalau boleh sebutkan nama menteri atau pegawai terbabit sewaktu sujud ketika solat," katanya lagi.

Menurutnya, pembayaran royalti telah diputuskan oleh Perdana Menteri sebelum ini Tun Abdul Razak, bagaimanapun ianya masih disekat hingga kini.

Pada masa yang sama, katanya Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V sendiri bertitah ketika pembukaan sidang Dun Kelantan 1 Mac lalu, agar pendaratan gas dan petroleum perlu didaratkan di Kelantan dan royalti diselesaikan dengan segera.

“Tetapi reaksi dari menteri sepatahpun berhubung perkara itu langsung tidak ada, ianya betul-betul memalukan orang Melayu yang tidak hormat pada rajanya sendiri.

Tambah Tuan Guru, dosa menyekat royalti bukan seperti dosa dengan individu, sebaliknya melibatkan rakyat Kelantan lebih 1.4 juta orang.

“Kalau menteri berkenaan yakin ianya (menyekat royalti) suatu dosa, elok percepatkan pembayaran royalti pada Kelantan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, keberkatan Ramadan katanya perlu diisi sebaiknya dengan ibadah termasuk berzikir, bertasbih dan bersedekah kerana ibadat suatu perkara yang mudah tidak perlu mengambil waktu, tempat yang khusus.

“Berdoa ni tidak semestinya sewaktu sembahyang (solat) di luar sembahyangpun boleh dan tidak semestinya di masjid, sambil memandu kenderaanpun boleh atau berjalan kaki juga boleh,”ujarnya.

Sambungnya, amat rugi sekiranya umat Islam membiarkan Ramadan berlalu pergi tanpa meningkatkan amalan masing-masing.

Ramadan: Kelantan sumbang RM640,000



(Husam menyampaikan cek kepada Farah isteri kepada arwah Kamarulzaman)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melalui agensi serta anak syarikatnya menyalurkan sumbangan kepada enam penerima serentak sempena bulan Ramadhan ini yang membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM640,000.
Sumbangan diberikan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (Sawit), Kelantan Golden Trade (KGT) termasuk melalui program kebajikan kerajaan negeri sendiri.

Antara penerima isteri allahyarham Kamaruzzaman Abdullah (Pegawai Khas Datuk Husam Musa),
Farah Mat Wi, isteri bekas Adun Chetok, (Ustaz Hussin Ibrahim), Siti Marjan Salleh.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, di pejabatnya semalam.

Turut menerima sumbangan sembilan mangsa kebakaran di Wakaf Che Yeh pada 1 Mac lalu yang melibatkan sumbangan sebanyak RM30,000.

Husam berkata, turut menerima sumbangan hari ini Tabung Amanah Tok Kenali sebanyak RM200,000 yang disumbangkan KGT.

"Selain itu Baldah Toyyibah turut menerima sumbangan sebanyak RM4,720, lebihan wang bidaan KGT sempena ekspo baru-baru ini,”ujarnya.

Katanya, moga sumbangan ini dapat membantu mereka khususnya bulan Ramadan dan Aidilfitri akan datang.

Farah ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas keperihatian terhadap keluarganya selepas arwah suaminya meninggal.

Bagaimanapun, bagi Farah wang tersebut bukan untuk dirinya, sebaliknya beliau hanya pemegang amanah ke atas yang lebih berhak.

“Terima kasih banyak pada semua,”ujarnya.

Kamaruzzaman meninggal dunia sewaktu pulang dari program menuntut royalty dari kerajaan Pusat pada 11.11.11 lalu.

Polis tutup kes KGT: Tindakan undang2 kekal


KOTA BHARU: Tindakan undang-undang akan tetap dikenakan kepada pihak tertentu sebagaimana yang telah didedahkan sebelum ini berhubung dakwaan skandal Kelantan Golden Trade (KGT) walaupun isu itu telah berakhir.

(Husam ketika menunjukkan laporan akhbar Umno, Utusan sebelum ini)

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata walaupun Polis Kelantan telah menutup kes terbabit, namun tindakan undang-undang terhadap pihak tertentu sama ada melalui KGT atau dirinya sendiri tetap akan diteruskan.

Pada masa yang sama beliau mengucapkan terima kasih kepada akhbar Sinar Harian, kerana meletakkan di muka hadapan akhbar berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, Husam meminta akhbar yang menyiarkan KGT mempunyai skandal di muka hadapan sebelum ini hendaklah berlaku adil dengan meletakkan isu itu juga di muka hadapan akhbar mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini tengahari tadi.

“Akhbar berkenaan kena berlaku adillah, letaklah juga berita polis tutup kes skandal KGT ni di muka hadapan, macam dulu juga.

“Saya juga meminta bloger, ngo serta mereka yang tidak berpuas hati terhadap KGT sebelum ini perlu membuat penilitian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dengan lebih professional.

“Jangan sekali-kali ada unsur berniat jahat, dendam kesumat terhadap kerajaan negeri,”ujarnya.

Beliau juga turut mengkritik kenyataan sebuah bloger dan NGO yang membuat kenyataan berhubung KGT sebelum ini yang mendahului polis.

Sambungnya, mereka meminta polis membuat kenyataan yang cepat berhubung perkara itu, tetapi hari ini, apa yang mereka kehendaki telah ditunaikan dengan suatu pengumuman skandal KGT: polis tutup kes.

“Saya nak tengok reaksi mereka selepas ini secara gentelman. Jadi munasabah jugalah sebelum ini saya tidak menjawab persoalan remeh yang tidak tentu fasal ditimbulkan pihak mereka.

“Ini semua memang jelas tidak ada kes penyelewengan, sesiapa yang menyeleweng kalau hati langsung tidak ada niat untuk menyeleweng,”ujarnya.

Sambungnya, penyelewengan berlaku hasil niat seseorang, jadi sekiranya syarikat ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kerajaan atau syarikat, sudah tentu penyelewengan tidak akan berlaku.

Husam berharap NGO yang diketuai Wan Mohd Kairul Mohammad, lebih gentelman berhubung isu tersebut.

“Polis dah siasat tak ada bukti penyelewengan, tetapi bila dia (Wan Khairul) kata ada penyelewengan, bukti yang ada padanya adalah kosong,”ujarnya.

Sepatutnya, bulan Ramadan bulan keinsafan, bulan yang diusahakan oleh umat Islam dari terpalit dari dosa.

Untuk itu, katanya kenyataan yang tidak berasas harus insaf dan kembali ke pangkal jalan bersama roh Ramadan.

Jangan 'nafi' hak rakyat balik mengundi

KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan peratusan undi akan rendah jika pilihanraya umum (PRU) ke -13 diadakan selepas cuti umum Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia kerana pengundi tentunya sukar dan berfikir panjang untuk pulang kali kedua selepas pulang bercuti Aidilfitri.

"Jika benar ia diadakan pada bulan September maka peratusan mengundi akan merosot kerana majoriti pengundi baru sahaja balik dari bercuti selain faktor utama adalah dari segi kewangan mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, jika perkara itu benar-benar berlaku, ianya juga seolah-olah cuba untuk menafikan hak rakyat khususnya pengundi luar untuk pulang mengundi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus banyak pihak bahawa kemungkinan PRU-13 akan diadakan selepas cuti Aidilfitri atau lebih spesifik pada September ini.

"Kita dapat lihat pihak yang menyokong Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin)mendesak agar pilihanraya diadakan pada tahun ini, namun bagi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan pengikutnya berpendapat agar ia diadakah pada tahun hadapan.

"Tetapi melihat kepada senario yang berlaku sekarang yang mana bajet tambahan sudah diluluskan maka saya pasti ia akan diadakan pada tahun ini," sambungnya lagi.

Gerakkan kempen balik mengundi


Sementara itu beliau memberitahu, PAS akan melancarkan kempen besar-besaran menyeru rakyat keluar mengundi pada pilihan raya itu nanti.

Pihaknya juga jelas Tuan Ibrahim, akan mengerakkan seluruh jentera agar menemui serta memberi penerangan kepada ahli dan juga pengundi-pengundi yang berada diluar agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

"Jadi atas sebab itulah kita akan melancarkan kempen balik kampung agar setiap ahli PAS dan pengundi dapat menggunakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bagi menentukan siapa pemerintah pada masa yang akan datang," jelasnya.

Katanya lagi, isu yang paling besar jika pilihanraya diadakan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri adalah bebanan kepada rakyat yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih sedangkan mereka terpaksa menanggung bebanan yang lain lagi.

"Kalau fenomena ini berlaku maka Umno-Barisan Nasional akan menggunakan wang sebagai umpan mereka agar pengundi dapat balik mengundi," katanya.

Hidayah Centre akan rai 300 saudara baru


(Pengerusi Hidayah Centre, Sylvester, bersama rakan-rakannya menunjukkan poster majlis iftar perdana)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 saudara baru akan diraikan dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Hidayah Centre (MIPHC) pada 8 Julai nanti di Dewan Seri Siantan, Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Majlis berbuka puasa meraikan saudara baru diadakan setiap tahun dan pada tahun ini adalah kali ke-8 majlis seumpama itu diadakan.

Majlis yang bertemakan 'Journey to Jannah' akan bermula jam 5.00 petang turut mengundang beberapa selebriti antaranya, Imam Muda Azhar, Sham Kamikaze dan personaliti TV Hijrah Loo To Yee.

Di samping itu, persembahan nasyid turut disajikan kemudian dikuti solat tarawih, tazkirah dan moreh mengakhiri majlis kira-kira jam 11.00 malam.

Pengerusi Hidyah Centre Foundation, Nicholas Sylvester berkata, majlis ini adalah satu usaha menjana dana oleh Hidayah Centre dalam membangunkan saudara baru melalui sokongan kewangan dan bimbingan.

Katanya, pihaknya juga memainkan peranan dalam penganjuran program-program dakwah kepada masyarakat belum Islam serta menyantuni dan membimbing saudara baru.

"Malah majlis ini adalah satu usaha Hidayah Centre sebagai sebuah institusi yang berfungsi menguruskan hal ehwal saudara baru dan program-program dakwah kepada bukan Islam untuk mengumpul dana pengoperasian, agihan bantuan kepada saudara baru dalam satu majlis melalui jualan pakej meja dan kerusi sempena majlis berbuka puasa," katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru, beliau berharap sokongan daripada masyarakat dan segala sumbangan wang ringgit, ide, nasihat demi menjayakan majlis ini.

"Kita bukan sahaja buat di Kuala Lumpur, kita turut raikan saudara baru di Kota Kinabalu, Negeri Sembilan, Bayan Lepas Pulau Pinang dan Kuantan Pahang," katanya.

1,500 anak muda tamu Ramadan di Masjid Beijing


RANTAU PANJANG: Seramai 1,500 anak muda di kawasan parlimen Rantau Panjang menyertai program Tadarus Anak Muda Tamu Ramadan di Masjid Beijing semalam.

Antara yang hadir pelajar-pelajar sekolah agama, pusat pengajian pondok, maahad tahfiz dan golongan belia tempatan.

Setiap mereka yang hadir diberi senaskah al-Quran sebagai cenderahati. Program tersebut dianjur Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Beijing.

Program berkenaan bermula jam 10 pagi dan berakhir selepas solat Zohor, dirasmikan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Anak muda terbabit turut diraikan anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, Adun Gual Periok, Mohamad Awang, Pengarah TATOK, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan Penolong Kanan Ketua Jajahan Pasir Mas, Mohd Hariff Ghazali.

Husam berkata, al-Quran dianggap sebagai peti rahsia kepada manusia yang mengandungi banyak maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai hal-hal dunia dan akhirat.

“Membaca al-Quran bukan setakat untuk mengetahui pelbagai cerita, tetapi untuk mengetahui  rahsia  tertentu  mengenai  khazanah Tuhan berkaitan dengan kehidupan manusia.

“Pelajaran yang kita dapat dari al-Quran lebih tinggi jika dibandingkan dengan ilmu yang dipelajari daripada saluran lain,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Menurutnya al Quran juga menceritakan sebuah kerajaan Islam yang canggih boleh kita jadikan model hari ini, iaitu kerajaan Nabi Sulaiman a.s. sangat besar, hebat dan masyhur.

Nabi Sulaiman menggalakkan manusia mempelajari  pelbagai bahasa bagi memudahkan komunikasi dan perhubungan.

“Hatta bahasa burung dan semut sekali pun digalakkan belajar dan difahami,” ujar beliau.

Nabi Sulaiman juga menggalakkan kakitangan pentadbiran melakukan gerak kerja dengan cepat dan pantas.

Ini dapat dilihat bagi mengangkat istana Puteri Balqis, Nabi Sulaiman a.s memilih Jin Efrit yang menawarkan diri untuk mengangkatnya dalam tempoh sekelip mata.

Sementara itu, Mohd Khir Zahri berkata, program berkenaan merupakan siri kedua, di mana tahun lepas diadakan di Qaryah Ramadan, Dataran Stadium, bertujuan mendekatkan anak-anak muda dengan masjid.

Wednesday, July 25, 2012

Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya


Sedarlah Hisham kata Bersih haram ramai ditahan


TEMERLOH: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Kuala Lumpur membatalkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai pertubuhan haram sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan BN supaya tidak bertindak sesuka hati pada masa hadapan.
Ketika bercakap kepada Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata rakyat masih ingat bagaimana deklarasi Bersih sebagai haram tahun lepas oleh kerajaan BN telah disusuli dengan pelbagai tindakan drastik seperti merampas baju kuning, sekatan jalanraya dan tindakan menangkap mereka yang menyertai Bersih dan memakai baju kuning menjelang perhimpunan 9 Julai 2011 yang digelar sebagai Bersih 2.0.

“Tindakan membuat pengisytiharan yang bercanggah dengan undang-undang sekurang-kurangnya menjadi satu peringatan masa depan, dan seharusnya beliau (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein) menyedari betapa ramainya peserta himpunan yang ditahan akibat pengisytiharan tersebut,” kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata walaupun keputusan mahkamah itu kini bersifat akademik kerana perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 telah berlalu, namun keputusan itu membawa erti yang amat besar kepada perjuangan rakyat dalam menuntut sebuah sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam pada itu, jawatankuasa bertindak Bersih menyeru kerajaan BN untuk tidak merayu keputusan tersebut walaupun mengakui ia adalah hak untuk mereka melakukannya.

Mereka menyeru agar kerajaan BN menerima realiti politik tanah air dan bekerjasama dengan Bersih sebagai satu pertubuhan yang sah menuntut satu pilihan raya yang adil dan bebas atas pihak rakyat.

“Untuk kebaikan negara, kami secara ikhlas meminta mereka untuk tidak menfailkan rayuan dan menarik balik semua kes sivil terhadap kami kerana ia membazir duit rakyat,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa bertindak Bersih 2.0 mempunyai 14 anggota dan diketuai oleh Datuk Ambiga Sreevenasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Hishammuddin pula berkata kementeriannya akan berbincang dengan Peguam Negara untuk menentukan sama ada perlu menfailkan rayuan terhadap pembatalan deklarasi bahawa Bersih adalah pertubuhan haram.

Bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar pula meremehkan tuntutan untuk perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Hishammuddin untuk meminta maaf terhadap Bersih dan peserta perhimpunan aman itu dengan menyatakan bahawa ia adalah dalam bidang kuasa Hishammuddin untuk melabelkan Bersih sebagai haram.

Sebelum ini, Najib juga telah menggelar peserta Bersih sebagai mufsidun.

Tarik cacian, gugur dakwa peserta Bersih – PAS


KUALA LUMPUR: Ekoran keputusan Mahkamah  yang membatalkan bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram, PAS menyeru para pemimpin BN untuk menarik balik tuduhan jijik mereka pada Bersih selama ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa Bersih adalah satu pertubuhan yang sah selama ini.

“Memang sah Bersih bukan diwakili pertubuhan haram dan peserta himpunan tidak menggunakan senjata,” kata beliau secara ringkas kepada Harakahdaily.

Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa  Ali pula menyeru semua pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik balik tuduhan dan cacian jijik mereka terhadap Bersih dan peserta himpunan Bersih selama ini.

“Segala yang mereka pernah tuduh secara jijik terhadap Bersih dan para pesertanya perlu ditarik balik kembali secepat mungkin. Dan ini termasuk kenyataan Najib yang menggelar peserta Bersih sebagai mufsidun,” katanya.

Mustafa juga berkata BN seharusnya berhenti daripada mengelirukan rakyat terhadap Bersih.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Hishammuddin Hussein pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang.

Hakim Datuk Rohana Yusof ketika membacakan keputusannya hari ini berkata, Bersih telah berjaya membuktikan kes dalam mencabar pengisytiharan kerajaan.

Beliau juga memutuskan perisytiharan Menteri Dalam Negeri sebagai ‘tercemar’.

“Oleh itu, kami membenarkan permohonan pemohon (untuk semakan kehakiman perisytiharan kerajaan) dengan tiada perintah tentang kos,” katanya.

14 Anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih yang diketuai oleh Ambiga Sreenevasan telah menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Selain dari Ambiga, plaintif termasuk Dr Ahmad Farouk Musa, S Arul Prakkash, K Arumugam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Andrew Khoo Chin Hock, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, SP Subramaniam.

Turut serta adalah Toh Kin Woon, Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh, Yeoh Yong Woi dan Zaid Kamaruddin.

Pada 1 Julai tahun lalu, Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan gabungan itu menyalahi undang-undang, sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar menyeru Najib, Hishamuddin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia, terutamanya peserta Bersih dengan serta-merta.

“Semua kes pendakwaan terhadap peserta Bersih mesti digugurkan, ekoran bermula dari provokasi tuduhan bahawa Bersih adalah satu pertubuhan haram,” kata ahli parlimen Pokok Sena itu.

Bersih sah, tindakan kasar kerajaan pula haram


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sepatutnya menghukum Bersih sebagai haram hanya kerana ia adalah pertubuhan yang tidak selari dengan selera kerajaan serta bersuara bagi pihak rakyat seluruhnya.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun  lalu bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) adalah sebuah pertubuhan haram.

“Bagi DPPM, keputusan ini adalah kejayaan kepada Bersih dan kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan perjalanan sistem pilihanraya yang adil dan bersih,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Katanya, keputusan itu menjadi bukti bahawa tindakan kerajaan yang menghukum dan mengasari peserta perhimpunan Bersih adalah salah.

“Ternyata kerajaan silap apabila menghukum entiti yang memperjuangkan nilai demokrasi yang sebenar dan menafikan suara rakyat yang dambakan kebebasan, keadilan dan ketelusan di negara ini.

Beliau menegaskan, Bersih berjaya membuktikan bahawa ia adalah pertubuhan yang sah  dan tidak menyalahi undang-undang malah, tindakan yang dilakukan oleh Bersih juga mematuhi undang-undang negara.

Tambahan lagi, katanya semua perhimpunan Bersih yang dianjurkan sebanyak tiga kali juga tidak menyalahi undang-undang serta pesertanya juga bertindak di dalam batasan undang-undang negara.

Sehubungan itu, katanya DPPM mengingatkan kerajaan bahawa sikap ‘serkap jarang’ atau menghukum sebelum diputuskan bersalah adalah tindakan yang tidak wajar.

“Kerajaan perlu belajar dari kesilapan ini dengan memohon maaf kepada Bersih serta seluruh peserta perhimpunan Bersih di atas tindakan kasar, ganas dan keterlaluan yang dilakukan oleh pihak keselamatan dalam perhimpunan Bersih sebelum ini,” ujarnya lagi.

Penghijrahan artis: Jangan kritik, bersyukurlah


KOTA BHARU: Penghijrahan artis kepada perjuangan Islam yang diterajui PAS atau sekurang-kurangnya artis wanita daripada tidak bertudung kepada bertudung, seharusnya disambut  dengan penuh kesyukuran oleh semua pihak dan bukannya dikritik.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar), berkata mereka telah memilih perjuangan Islam mungkin kerana menyedari hanya PAS yang mampu membentuk mereka ke arah yang lebih baik.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapha Mohamed, yang mendakwa PAS semakin terdesak sehingga sanggup menjadikan artis sebagai eset perjuangan mereka.

Beliau juga tidak menafikan artis yang berhijrah sebagai asset baru untuk perjuangan parti itu.

“Bagaimanapun PAS melihat ianya suatu kejayaan pada perjuangan parti kerana berjaya melembutkan hati golongan itu untuk menyertai PAS.

“Mereka mempunyai kumpulan tersendiri yang sebelum ini sukar untuk ditembusi oleh PAS,”ujarnya.

Lagipun, tambahnya PAS tidak pernah memujuk apa lagi memaksa golongan itu menyertai perjuangan ini, sebaliknya apa yang mereka lakukan kerana memahaminya setelah meneliti sejak beberapa waktu sebelum mengambil keputusan.

Beliau juga turut menyifatkan fenomena artis menyertai perjuangan PAS kerana telah memahami dasar perjuangan parti yang berlandaskan Islam.

“Apabila golongan artis bersama PAS, memilih perjuangan kita ini bererti mesej Islam itu sudah sampai kepada mereka,”ujarnya.

Beliau turut berkata, PAS Kelantan khususnya mengucapkan tahniah bukan hanya kepada artis yang telah menyertai PAS, sebaliknya artis-artis wanita yang telah menutup aurat dengan baik.

Beliau turut menyifatkan kenyataan pemimpin tertinggi Umno Kelantan itu juga menampakkan mereka semakin diambang ketakutan.

“Kerana itu kalau kita lihat mereka buat kenyataan macam-macam khususnya apabila mengulas tentang artis, apa lagi golongan itu kurang untuk menyertai mereka,”ujarnya.

Tambahnya, bukan sahaja artis, sebaliknya golongan muda juga begitu berminat dengan perjuangan PAS.

Guan Eng jadikan rai berbuka puasa tugas rutin



(Lim Guan Eng berbuka bersama Mujahid dan Salleh)

PULAU PINANG: Seperti biasa sebagaimana di tahun-tahun sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak lepas peluang melangkah mendaki tangga masjid, surau atau pun dewan semata-mata untuk meraikan majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam.

Beliau lazimnya akan datang bersama rombongan dari pejabatnya, wartawan akhbar Cina dan sebahagian Exco Kerajaan Negeri berbangsa Tiounghua tidak segan silu untuk makan bersama kepimpinan parti PAS dan PKR.

Beliau juga kadang-kadang bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta masyarakat sekitar dengan duduk bersila, tanpa menggunakan sudu dalam keadaan sentosa dan harmoni.

Beliau mula menghadiri majlis berbuka puasa ketika PAS Negeri Pulau Pinang mengadakan majlis di Restoran Nasi Kandar Kassim Mustaffa, Seberang Jaya.

Waktu itu Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman menjemput beliau selaku Ketua Menteri untuk merasai bersama kenikmatan Umat Islam menanti saat-saat berbuka.

Ramai kepimpinan PAS berbagai peringkat hadir di hari tersebut.  Ada yang rasa terkejut melihat kesudian Lim Guan Eng untuk pertama kalinya duduk semeja menikmati juadah berbuka.

Itulah kelainan PAS yang tiada dalam parti lain kerana sanggup melebarkan kebaikan Bulan Ramadhan kepada masyarakat bukan Islam sebagai tanda mereka juga layak merasai apa yang Umat Islam laksanakan ketika bulan yang penuh dengan keberkatan ini.


(Di samping berbuka, Guan Eng juga memberikan sumbangan)

Peristiwa di tahun 2008 merupakan sejarah yang sukar dipadam sebab itulah kali pertamanya PAS menjemput seorang Ketua Menteri yang bukan Islam dengan harapan menjadi contoh pada pihak lain atau kepimpinan masyarakat lain agar tidak menyempitkan skop dakwah yang hanya tertumpu pada percakapan semata-mata.

Sebaliknya perbuatan mengajak masyarakat bukan Islam hadir ke majlis berbuka puasa, mendengar tazkiran pendek, mendengar kuliah sempena bulan keagungan Islam dan sebagainya.

Ia adalah satu tugasan yang mungkin dianggap baru selepas fenomena tsunami politik yang menyaksikan Pakatan Rakyat menguasai beberapa negeri termasuk Pulau Pinang yang selama ini berketua menterikan bukan Islam.

Semalam sekali lagi, Lim dan rombongan diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh PAS Negeri di Restoran D' Pauh Garden, Jalan Permatang Pauh berhadapan dengan Politeknik Permatang Pauh.

Kali ini di bawah kepimpinan Datuk Saleh Man yang meneruskan kelangsungan sikap yang ditunjukkan oleh bekas Pesuruhjaya PAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Permatang Pasir dari tahun 1999 sehingga 2008.

Cara pendekatan Allahyarham ketika itu banyak digali hasil pengalaman perjuangan bersama Allahyarham Ustaz Haji Zabidi Ali, pesuruhjaya PAS sebelum ini.

Selepas daripada menghadiri majlis bersama PAS ketika itu Lim Guan Eng dikatakan kerap dijemput berbuka puasa di serata masjid dan surau.

Yang anehnya, beliau tidak pernah menolak sebaliknya memenuhi undangan berkenaan walaupun ada di kalangan Umno menabur fitnah kerana terlalu dengki ekoran kegagalan mereka melakukan perkara
yang sama terhadap Koh Tsu Koon.

Lim selalu berkata ketika diberikan peluang berucap bahawa beliau rasa seronok berada dalam majlis seumpama ini dan berasa bangga dengan Umat Islam kerana sanggup tidak makan dan minum di siang hari semata-mata kerana menuruti kehendak Islam.

Jika berada dalam majlis sumbangan kepada para Huffaz pula beliau pastinya mengatakan syabas kepada golongan yang boleh menghafal ayat-ayat Al Quran dalam tempuh setahun, dua tahun dan sebagainya.

Hafalan bukan perkara mudah dan sukar dilakukan jika sekiranya mereka tidak minat, mempunyai hati yang bersih dan pemikiran jernih.

Itulah kelainan yang ada pada Ketua Menteri Pulau Pinang yang melancarkan konsep Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) serta menjadikan pemerintahan Omar Abdul Aziz sebagai pedoman yang tidak mengamalkan rasuah, kepentingan diri, penyalah gunaan kuasa dan berhati rakyat.

Munajat Perdana bantah kekejaman atas Rohingya Jumaat ini


KUALA LUMPUR: Sempena Ramadhan al Mubarak, seluruh ummat Islam prihatin digesa untuk mengadakan Munajat Perdana dan Bantah Kekejaman ke atas Ummat Islam Rohingya.

Munajat dan bantahan ini akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri dengan kerjasama ngo - ngo Islam yang lain di setiap masjid negeri masing - masing di seluruh negara.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata, program ini akan diadakan serentak di seluruh negara selepas Solat Jumaat
27 Julai 2012 ini di semua masjid negeri seluruh negara.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan seluruh Ummat Islam bangkit berdoa dan bermunajat kepada Allah Azza wa Jalla agar menyelamatkan Ummat Islam Rohingya sekaligus menghancurkan regim zalim yang melakukan pembersihan etnik ke atas ummat Islam Rohingya," kata Nasrudin dalam kenyataannya.

Pemuda PAS, katanya, turut menggesa agar Kerajaan Malaysia mengambil satu langkah berkesan untuk memastikan ummat Islam Rohingya tidak lagi disembelih dan dibantai sedemikian kejam.

Melalui Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia,  katanya, memorandum rasmi akan dihantar ke Wisma Putra dan juga kepada pihak bertanggungjawab di peringkat antarabangsa seperti OIC, NAM dan lainnya untuk segera mengambil tindakan menghentikan kekejaman tersebut.

Harga kereta: Jangan terkejut Umno kata bankrapkan negara


TEMERLOH: PAS menegaskan akan memberikan sokongan terhadap cadangan untuk menghapuskan duit eksais ke atas setiap kereta sebagai langkah mengurang beban hutang isi rumah rakyat Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat menang PRU13 nanti.

Cadangan mengurangkan harga kereta itu dibangkitkan oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pagi tadi. Rafizi berkata perkara tersebut akan menjadi satu janji utama di dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Cadangan itu bersifat serampang dua mata, di mana rakyat dapat mengurangkan pengambilan hutang untuk membayar cukai yang dikenakan ketika membeli kereta, di samping meningkatkan pendapatan boleh guna seisi rumah, terutamanya bagi rata-rata rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata duit eksais kereta sememangnya membebankan rakyat selama ini.

“Selama ini rakyat terpaksa membayar harga kereta bukan pada harga sebenar. Bahkan, perjanjian AFTA yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat dengan penurunan harga kereta, turut tidak memberi apa-apa makna kerana dasar duti tersebut,” kata beliau.

Duti eksais diperkenalkan pada tahun 2006 untuk mengimbangi cukai import yang dikurangkan kerana Asian Free Trade Agreement (AFTA) mengenakan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada harga kereta.

Tuan Ibrahim juga berkata pengumuman itu sangat dinantikan oleh rakyat, namun memberikan amaran awal kepada rakyat supaya tidak terkejut dengan reaksi para pemimpin Umno.

“Jangan terkejut kalau pemimpin Umno sekali lagi akan mengatakan negara akan bankrap bila duti eksais dihapuskan,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Rafizi berkata Pakatan akan melihat kemungkinan menghapuskan duti eksais secara berperingkat untuk mengurangkan harga kereta.

Lebuh Raya Rakyat terima sumbangan pelajar UK


KOTA BHARU: Mahasiswa Malaysia di luar negara khususnya United Kingdom (UK) dan Ireland turut menyumbang untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat oleh kerajaan Kelantan.

Sebanyak RM8,000 dikumpul oleh pelajar jurusan perubatan untuk diserahkan pada kerajaan negeri untuk menjayakan pembinaan jambatan itu yang bakal dibina tidak lama lagi.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh wakil pelajar berkenaan, Mohammad Azli Omizi, 21, Mohd Azam Omizi, 23 dan Azri Che Hassan, 21 kepada anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Azli ketika ditemui memberitahu, sumbangan berkenaan sebahagian besarnya diberikan oleh pelajar Kelantan jurusan perubatan di dua universiti tersebut.

“Ianya adalah tanggungjawab kami untuk melihat projek untuk rakyat itu berjalan baik,” ujarnya.

Sementara itu, Husam pada sidang medianya semalam berkata, sumbangan orang ramai melalui online untuk pembinaan lebuhraya itu sudah meningkat RM1 juta.

Menurutnya pelbagai pihak telah menyalurkan sumbangan untuk menjayakan pembinaan itu, termasuk individu, syarikat koprat, anak Kelantan di perantauan, golongan artis dan berbagai lagi.

Semalam kita juga menerima sumbangan daripada KGT sendiri.

“Malah pada 4 Ogos ini dengan kerjasama dengan kumpulan media dengan dibantu anak Kelantan di perantauan akan menganjurkan program memungut derma untuk tujuan yang sama,” ujarnya.

Pembinaan Lebuh Raya Rakyat sejauh 73 kilometer untuk fasa pertama yang menelan kos RM1.8 juta itu terpaksa dibina sendiri oleh kerajaan negeri berikutan Kerajaan Pusat menarik balik pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.