Wednesday, July 25, 2012

Penghijrahan artis: Jangan kritik, bersyukurlah


KOTA BHARU: Penghijrahan artis kepada perjuangan Islam yang diterajui PAS atau sekurang-kurangnya artis wanita daripada tidak bertudung kepada bertudung, seharusnya disambut  dengan penuh kesyukuran oleh semua pihak dan bukannya dikritik.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar), berkata mereka telah memilih perjuangan Islam mungkin kerana menyedari hanya PAS yang mampu membentuk mereka ke arah yang lebih baik.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapha Mohamed, yang mendakwa PAS semakin terdesak sehingga sanggup menjadikan artis sebagai eset perjuangan mereka.

Beliau juga tidak menafikan artis yang berhijrah sebagai asset baru untuk perjuangan parti itu.

“Bagaimanapun PAS melihat ianya suatu kejayaan pada perjuangan parti kerana berjaya melembutkan hati golongan itu untuk menyertai PAS.

“Mereka mempunyai kumpulan tersendiri yang sebelum ini sukar untuk ditembusi oleh PAS,”ujarnya.

Lagipun, tambahnya PAS tidak pernah memujuk apa lagi memaksa golongan itu menyertai perjuangan ini, sebaliknya apa yang mereka lakukan kerana memahaminya setelah meneliti sejak beberapa waktu sebelum mengambil keputusan.

Beliau juga turut menyifatkan fenomena artis menyertai perjuangan PAS kerana telah memahami dasar perjuangan parti yang berlandaskan Islam.

“Apabila golongan artis bersama PAS, memilih perjuangan kita ini bererti mesej Islam itu sudah sampai kepada mereka,”ujarnya.

Beliau turut berkata, PAS Kelantan khususnya mengucapkan tahniah bukan hanya kepada artis yang telah menyertai PAS, sebaliknya artis-artis wanita yang telah menutup aurat dengan baik.

Beliau turut menyifatkan kenyataan pemimpin tertinggi Umno Kelantan itu juga menampakkan mereka semakin diambang ketakutan.

“Kerana itu kalau kita lihat mereka buat kenyataan macam-macam khususnya apabila mengulas tentang artis, apa lagi golongan itu kurang untuk menyertai mereka,”ujarnya.

Tambahnya, bukan sahaja artis, sebaliknya golongan muda juga begitu berminat dengan perjuangan PAS.

No comments: