Tuesday, July 24, 2012

Muslimat PAS santuni penduduk Pulau Perhentian


BESUT: Dewan Muslimat PAS (DMP) 'memecah tradisi' apabila berjaya mengadakan program ziarah ke Pulau Perhentianyang merupakan kubu kuat Umno.


Terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20 km) ke Timur Laut Kuala Besut dengan keluasan keseluruhan 1,392.15 hektar, Pulau Perhentian merupakan salah satu salah satu unit peti undi (UPU) di Dun Kuala Besut.

(Gambar: Siti Zailah menghulurkan sumbangan Ramadhan kepada seorang penduduk Pulau Perhentian.)


UPU yang mempunyai seramai 708 pengundi berdaftar ini merupakan undi penentu bagi Dun Kuala Besut dan menjadi 'UPU jagaan Umno BN'.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut, Napisah Ismail, Umno BN giat 'menghulurkan' bantuan kepada penduduk di situ bagi mengumpan mereka agar terus memberi undi kepada mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Hal ini katanya menyebabkan penduduk takut menzahirkan sokongan terhadap PAS kerana khuatir segala bantuan akan ditarik balik.

"Senjata Umno iaitu ugutan dan wang ringgit cukup berkesan di sini. Sebenarnya agak ramai penduduk yang menyokong PAS tapi tidak berani tunjuk kerana jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung mengawal gerak-geri mereka," kata beliau kepada Harakahdaily.

Menyedari perkara itu, DMPK Besut dengan kerjasama DMPN Terengganu dan DMPP turun mendekati mereka dalam program kemasyarakatan dan kebajikan pada 19 hingga 20 Julai lalu.

Program ziarah itu turut disertai Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua DMPN Terengganu, Sapinah Jusoh yang juga bekas senator.

Selain menziarahi penduduk yang sudah dikenal pasti sebagai ahli PAS, mereka juga turut mendekati penduduk-penduduk lain.

Tertutup daripada maklumat luar

Siti Zailah berkata, penduduk di pulau itu masih tertutup daripada menerima maklumat yang tepat sebaliknya hanya bergantung kepada sumber maklumat daripada Umno BN.

Tambahan pula, mereka 'terikat' dengan bantuan dan janji-janji Umno sejak sekian lama.

"Masyarakat di sini tertutup daripada maklumat luar. Mereka hanya takut kerana diugut. Ada yang berbisik kepada saya sewaktu ziarah, dia penyokong PAS tapi terpaksa sembunyikan kerana JKKK kawal sini sungguh-sungguh.

Namun ujar Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, beliau yakin minda penduduk akan terbuka jika PAS kerap turun dan mengadakan program kemasyarakatan di kawasan tersebut.

"Kalau kita kerap turun saya yakin boleh buat perubahan tapi kita kena guna pendekatan kemasyarakatan dan kebajikan. Tak sesuai adakan program ceramah sebab orang tak akan datang," katanya.

Dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008, calon PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh dikalahkan calon BN, Dr A. Rahman Mokhtar dengan majoriti 2,631 undi.

Sekurang-kurangnya satu calon muslimat

Menyentuh soal calon muslimat di Terengganu pula, Siti Zailah berkata, pihaknya berharap sekurang-kurangnya satu calon diletakkan di negeri ini.

Beliau berkata, DMPP sudah mengemukakan beberapa calonnya ke peringkat pusat namun bergantung kepada mesyuarat dan penilaian akhir.

"Dengar khabar memang ada calon muslimat di Terengganu tapi disebabkan proses penamaan calon itu belum lagi, kadang-kadang perkara itu boleh berubah bila-bila masa.

"Tapi cadangan pihak negeri dan pusat menang nak sekurang-kuranngnya satu calon muslimat di Terengganu," kata beliau.

Tambah beliau lagi, sudah tiba masanya muslimat dipilih sebagai calon, bukan hanya menyumbang tenaga untuk kerja-kerja pilihan raya.

"Kita nak suara muslimat di Terengganu sampai ke peringkat penggubal dasar negeri dan negara sama ada peringkat Dun atau Parlimen.

"Kita tidak mahu muslimat hanya jadi pekerja. Kalau sebelum ini muslimat bekerja untuk orang mengundi, sekarang muslimat juga berhak diundi. Inilah perubahan yang kita cuba buat," katanya.

No comments: