Wednesday, July 25, 2012

Bersih sah beri lonjakan motivasi kepada Juham


Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menerima keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) adalah sebuah pertubuhan 'haram' dengan penuh rasa gembira dan bersyukur.
Penat lelah dan pengorbanan rakyat Malaysia yang dilimpahi dan dihujani dengan gas pemedih mata serta air berasid ketika menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu akhirnya menerima khabar berita yang cukup menggembirakan ini.

Bukan hanya dibedil gas pemedih mata, malah para peserta himpunan Bersih 2.0 turut dibelasah pihak polis tanpa belas kasihan, sehinggakan salah seorang daripada peserta yang diserbu polis ketika himpunan Bersih 2.0 tersebut iaitu Allahyarham Baharuddin Ahmad telah meninggal dunia.

Malah, Kerajaan Umno BN turut bertindak zalim apabila mengarahkan pihak polis melancarkan operasi penahanan habis-habisan terhadap individu-individu tertentu sebelum berlakunya perhimpunan Bersih 2.0 tersebut.

Antara penahanan yang dibuat ialah terhadap seorang yang bernama Musafri Abdullah Azmi di mana beliau telah bertindak memfailkan saman terhadap pihak Polis dan Menteri Dalam Negeri kerana mendakwa penahanan beliau adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.

Kes beliau telah ditetapkan untuk perbicaraan esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan beliau diwakili barisan peguam daripada Juham di mana keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memutuskan Bersih 2.0 adalah entiti yang sah sedikit sebanyak memberikan lonjakan motivasi yang tinggi kepada barisan eguam Juham dalam tindakan saman ini.

Rentetan daripada keganasan-keganasan yang dilakukan oleh pihak Polis ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0, Juham menggesa Kerajaan Umno BN meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada ribuan rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 tersebut.

Permohonan maaf ini adalah perlu bagi membuktikan Kerajaan Umno BN menghormati keputusan mahkamah hari ini bahawa tindakan Kerajaan Umno BN yang mengharamkan Bersih 2.0 adalah suatu tindakan yang salah dan melanggar norma-norma hak asasi manusia sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Akhirnya, Juham melihat keputusan mahkamah pada hari ini telah memberikan satu dimensi yang baru kepada hak asasi di Malaysia di mana ia membuktikan intitusi kehakiman di Malaysia seharusnya bebas daripada sebarang cengkaman Kerajaan Umno BN.

Institusi Kehakiman haruslah dilihat konsisten dalam memastikan mereka dilihat adil dan bebas serta tidak dijadikan alat oleh Kerajaan Umno BN supaya Institusi Kehakiman di Malaysia benar-benar dilihat adil dan bebas sepenuhnya.

Keputusan mahkamah hari ini juga boleh dilihat sebagai suatu penghargaan kepada perjuangan murni seluruh rakyat Malaysia yang tidak gentar dan jemu berterusan berjuang dalam menuntut suatu pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia.

Ahmad Zamri ialah Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham).

No comments: