KUALA LUMPUR: Pandangan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Datuk Seri Najib Razak tak perlu
berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengekalkan imej Najib
sebagai seorang penakut.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat,
Riduan Mohd Nor, debat dengan Anwar Ibrahim adalah peluang terbaik bagi
Najib untuk bukan sahaja menaikkan sokongan terhadap dirinya malah untuk
BN secara keseluruhan.
"Sepatutnya Datuk Tengku Adnan
mengesyorkan kepada bosnya supaya menerima pelawaan debat ini kerana
inilah peluang perdana menteri untuk meningkatkan graf sokongan dan
populariti dirinya dan BN.
"Sejarah akan mencatat DS Najib
adalah perdana menteri paling ‘gentleman’ dan berjiwa besar sehingga
sanggup duduk sepentas bersama pemimpin pembangkang demi untuk rakyat,"
katanya kepada Harakahdaily.
Beliau mengulas kenyataan Adnan
semalam bahawa Najib tidak perlu berdebat dengan Anwar seperti yang
dicadangkan oleh Dr Mazlee Malik ketika menjadi moderator Debat PTPTN
antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR
Rafizi Ramli kelmarin.
Menurut Adnan, pembangkang apatah lagi
Anwar akan sengaja dalam debat itu nanti untuk mencetuskan suatu keadaan
untuk mendapatkan 'mileage' politik.
Mengulas lanjut Riduan
berkata, alasan penolakan debat oleh Adnan itu hanya helah dan
menunjukkan bahawa BN tidak matang berpolitik dan takut menghadapi
realiti.
Sedangkan katanya, debat antara Rafizi dan Khairy
kelmarin membuktikan secara jelas bahawa tiada sebarang kekecohan
ataupun 'tercetusnya suatu keadaan untuk mendapatkan mileage politik'
seperti diperkatakan Adnan.
Masing-masing kata Riduan telah berjaya membuktikan hujah masing-masing secara akademik dan fakta yang bernas.
"Jika
PM mempunyai banyak idea dan gagasan untuk pembangunan rakyat, apa
salahnya dia berdebat bagi membuktikan BN lebih baik daripada Pakatan
Rakyat.
"Malangnya, Umno melepaskan peluang ini dan memilih menjadi gerombolan yang elit, sombong dan tidak disenangi rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment