Monday, May 21, 2012

Piala FA: Tuan Guru Nik Aziz ucap tahniah



(Pasukan Kelantan menjulang piala FA)

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar bawah) mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negeri itu yang berjaya merangkul Piala FA pada perlawanan akhir, malam ini.

“Tahniah diucapkan atas kejayaan pasukan The Red Warriors yang telah berjaya menjuarai Piala FA sebentar tadi,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Kelantan berjaya menjuarai Piala FA selepas menewaskan Sime Darby 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Gol kemenangan pasukan Red Warriors itu dijaringkan oleh Mohammed Ghaddar pada minit ke-59 menerusi sepakan penalti.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan juga mengucapkan tahniah kepada Kelantan di atas kejayan itu.

“Tahniah Kelate atas tropi yang dimiliki malam ini setelah menewaskan Sime Darby. Sime Darby cuba lagi tahun depan,” tulisnya juga melalui Facebook.

Pemuda PAS Kelantan juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan The Red Warriors.

"Saya mengira bermula dari pemain, jurulatih, pihak pengurusan bahkan pegawai-pegawai KAFA berhak untuk diberikan penghargaaan di atas kejayaan yang bersejarah ini," kata ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman.

(Para penyokong Kelantan di Stadium Bukit Jalil malam tadi)

Namun, dalam masa yang sama, beliau memohon kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan daripada kemenangan pasukan The Red Warriors menjulang Piala FA pada kali ini untuk kepentingan politik pihak-pihak yang tertentu.

"Sesungguhnya The Red Warriors ialah milik semua rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman politik.

"Memperalatkan pasukan bola sepak negeri Kelantan untuk kepentingan politik mana-mana pihak hanya akan menyebabkan budaya tidak sihat menular ke dalam sukan bola sepak," kata Latif.

Justeru, beliau mengharap agar insiden yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang khususnya ketika negara dijangka berdepan dengan pilihanraya umum yang ketiga belas bila-bila masa sahaja dari sekarang.

No comments: