Thursday, January 31, 2013

Dun S'gor dibubar awal selepas Chap Goh Meh


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, pihaknya akan menimbang untuk membubarkan Dun Selangor lebih awal dari parlimen sekiranya pusat masih berteka-teki dengan tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Katanya, kerajaan negeri akan membawa cadangan itu kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.

"Sekiranya Perdana Menteri belum buat pengumuman berkenaan tarikh pilihanraya selepas Chap Goh Meh, kami akan mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor lebih awal dari Parlimen.

"Rakyat tidak harus dibiarkan tunggu terlalu lama," katanya melalui Facebook hari ini.

Kenyataan terbaru itu sekaligus memperlihatkan tahap kesediaan kerajaan negeri berdepan pilihan raya kali ini.

Selangor sehingga kini antara negeri yang diserang hebat oleh Umno BN dalam usaha mereka merampas kembali negeri itu selepas tewas pada pilihan raya 2008 lalu.

Pelbagai usaha dilakukan bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

Bagaimanapun dalam banyak hal, Selangor sering mendapat pujian termasuk dalam Laporan Ketua Audit Negara sejak ditadbir Pakatan Rakyat.

Selangor juga dikatakan 'pusat perang' pada pilihan raya kali. Ianya juga digelar 'lubuk emas' memandangkan kekayaan hasil bumi dan kepesatan industri di sini.

Sebelum ini Abdul Khalid menyatakan, sebab utama Selangor membuat keputusan sama ada bubar DUN serentak atau tidak kerana mahu memastikan pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih.

Oleh sebab itu, kerajaan negeri mewujudkan Program Pengukuhan Demokrasi.

Program Pengukuhan Demokrasi dilaksana Kerajaan Selangor bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai hak demokrasi rakyatnya termasuk membantah pengundi tidak sah atau diragui dalam daftar pemilih SPR.

No comments: