KOTA BHARU: Notis berupa arahan perpindahan kepada para peniaga Pasar Siti Khadijah di sini yang ditemui sekitar pasar itu sejak semalam merupakan notis palsu dari pihak yang tidak bertanggungjawab.
Exco Kelantan Datuk Husam Musa berkata, beliau yakin notis palsu itu sengaja dibuat pihak tertentu dengan niat mahu menimbulkan suasana tidak elok antara Para Peniaga Pasar Siti Khadijah dengan Pihak Kerajaan Negeri Kelantan.
"Ianya ditampal di beberapa lokasi di Pasar Siti Khadijah dipercayai untuk menimbulkan masalah antara peniaga dengan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz," coretnya dalam Facebook.
Difahamkan sejak semalam, notis itu dikesan bertaburan di pasar tersebut.
Antara lain notis itu berbunyi "peniaga dan penjaja Pasar Siti Khadijah dan kawasan sekitarnya hendaklah mengosongkan kawasan ini di dalam tempoh 60 hari. Arahan ini bagi membolehkan bangunan ini dirobohkan supaya aktiviti mencarigali minyak dapat berjalan lancar. Arahan Yang Dipertua Kota Bharu Bandar Raya Islam ".
Notis itu dipercayai dibuat sebagai mengambil kesempatan di atas pengumuman Husam beberapa hari lalu berhubung penemuan minyak di atas daratan di beberapa buah lokasi di bandar Kota Bharu dan Tumpat.
Ekoran penyebaran notis palsu itu , Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan hari ini turun bertemu peniaga di pasar itu pagi tadi.
"Hari ni sempat luang masa ke Pasar Siti Khadijah sambil "mengintai" Notis Perpindahan yang disedarkan oleh Pihak tak bertanggungjawab.
"Alhamdulillah para peniaga tidak terpengaruh dengan tektik jahat pihak tak bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu - Banda Raya Islam (MPKB-BRI) telah mengadakan sidang media pagi ini memberi penjelasan dan menafikan pihaknya mengeluarkan notis tersebut.
Satu laporan polis juga akan dibuat dalam masa terdekat bagi menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap dalang yang terlibat.
No comments:
Post a Comment