Sunday, June 13, 2010

Ucapan Penangguhan (6)

9.58 pagi: Dr. Syed Azman Syed Nawawi yang merupakan pengerusi Lajnah Antarabangsa menjelaskan kepada perwakilan mengenai komitmen PAS dalam menyelesaikan konflik yang berlaku di negara luar.

Beliau berkata, PAS melalui Yayasan Amal menghantar misi kemanusiaan ke setiap wilayah yang bergolak seperti Thailand, Acheh, Mindanao dan yang sedang hangat iaitu Palestin.

Ucapan Penangguhan (5)

9.43 pagi: Dr. Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya memfokuskan kepada penubuhan DHPP.

Beliau memberi jaminan bahawa segala yang akan dilakukan oleh DHPP tidak akan bercanggah dengan prinsip dan dasar parti.

"Bukan senang untuk menubuhkan DHPP ini. Perjalanannya panjang, bermula daripada kelab Penyokong PAS."

"Saya memberi jaminan bahawa apa sahaj tindakan DHPP tidak akan bercanggah dengan prinsip parti."

Beliau juga memberitahu, Lajnah Perpaduan Nasional akan turun ke setiap negeri untuk memberikan penjelasan mengenai aturan dan peratuaran DHPP.

Selain itu, taklimat juga akan diberikan kepada ahli DHPP mengenai PAS agar mereka lebih jelas.

"Kita minta PAS setiap negeri menjadi fasilitator untuk program yang kita atur ini", katanya.

Ucapan Penangguhan (4)

9.34 pagi: AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman dalam ucapannya menjelaskan persoalan perwakilan mengenai isu Felda dan isu tanah di Sabah.

Beliau memberitahu satu NGO baru akan ditubuhkan selain ANAK iaitu Jawatankuasa Kesepakatan Bersama Peneroka.

Selain itu, beliau memaklumkan himpunan warga Felda akan diadakan di Pasir Salak pada 1 Ogos depan, sekaligus melancarkan NGO.

Mengenai isu tanah bumiputera di Sabah, beliau memaklumkan sedang mengatur satu himpunan raksasa di Sabah yang akan turut disertai presiden PAS dan penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk mendesak kerajaan negeri mengembalikan tanah mereka

Ucapan Penangguhan (3)

9.20 pagi: Ucapan penangguhan oleh AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Beliau memberitahu BERSIH akan terus mewujudkan mood rakyat menjelang PRU-13 dengan membawa dua isu besar iaitu mengenai undi pos dan negara menuju ke arah bankrap.

"BERSIH memulakan gerak kerja dari sekarang untuk meningkatkan mood rakyat untuk menolak BN".

Beliau turut melancarkan tabung bantuan untuk membina sekolah dan masjid di Gaza dan hasil derma itu akan diserahkan oleh presiden kepada pihak Palestin.

Ucapan Penangguhan (2)

9.08 pagi: Ucapan penangguhan oleh Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau berkata PAS mengorak langkah dalam melakukan perubahan dengan menubuhkan Lajnah Seni dan Budaya PAS.

Ujarnya, lajnah berkenaan berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap PAS apabila semakin ramai penggiat seni berada dalam PAS.

"Penggiat seni dan budaya selesa dengan penampilan PAS sekarang ini. Kita ingin tonjolkan kesyumulan Islam melalui hiburan yang pelbagai".

Ujarnya juga, Penampilan PAS ini menimbulkan kegerunan dikalangan Umno Barisan Nasional

Ucapan Penangguhan (1)

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Ucapan penangguhan dimulakan oleh AJK PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

8.50 pagi: Datuk Seri Muhammad Nizar dalam ucapannya menyeru seluruh pimpinan dan ahli PAS membuang sifat perkauman.

Ini kerana ujarnya rahsia orang bukan Islam di Perak menyokong PAS adalah kerana mereka selesa dengan sifat keterbukaan yang ditunjukkan PAS.

"Ayuh buangkan sifat perkauman kerana ia tidak ada tempat dalam perjuangan kita", katanya.
Beliau juga berkata, sokongan orang bukan Islam terhadap PAS tidak harus dipersiakan.

"Jangan tonjolkan elemen perkauman. Sokongan bukan Islam perlu dipelihara sebaik mungkin".

Sekitar Muktamar PAS Pusat Kali Ke 56 (2)






Sekitar Muktamar PAS Pusat Kali Ke 56 (1)






Majlis Perasmian Muktamar PAS Pusat Kali Ke 56 Di PUTIK, Kelantan


Thursday, June 10, 2010



Majlis Perasmian Muktamar Dewan - Dewan

KOTA BHARU, 9 Jun - Perasmian muktamar tahunan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dimulakan dengan upacara perbarisan kehormat oleh Unit Amal Malaysia
seramai 24 orang kira-kira jam 8 malam tadi.

Upacara tersebut diadakan di hadapan perkarangan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan(PUTIK) dekat sini yang menjadi tempat berlangsungnya perasmian muktamar ketiga-tiga dewan malam.

Majlis bermula dengan ketibaan Mursyidul Am PAS, Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul
Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ahli Majlis Syura, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,Timbalan Dewan Ulama, Hj Ahmad bin Yaakob, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz
Nasrudin Hassan Tantawi, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Muktamar yang dirasmikan Tuan Guru Nik Aziz itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku
dan lagu rasmi PAS.

Seterusnya, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah An-nisa oleh Ustaz
Abdul Bari Abdullah.

Buat kali pertamanya perasmian ketiga-tiga dewan yang diadakan serentak ini menyaksikan seramai kira-kira 3000 perwakilan dari ketiga-tiga dewan termasuk perwakilan kawasan yang
datang dari seluruh negara.

Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali dan ucapan Tuan Guru Nik Aziz melahirkan harapan tinggi kepada ketiga-tiga dewan bersama Dewan Penyokong PAS melangkah jauh kehadapan mengorak langkah PAS sebagai sebuah parti Islam di Malaysia.

Para hadirin turut dihidangkan dengan persembahan montaj Anugerah Emas DMPP sempena
Jubli Emas ke-50 dan persembahan multimedia yang dibangunkan Jabatan IT PAS Pusat.
Sebelum itu, majlis turut menyampaikan anugerah-anugerah kepada tokoh Dewan Ulama PAS
Ustaz Hassan Syukri dan tokoh Dewan Muslimat, Ustazah Jamilah Ibrahim.

Anugerah Emas pula dianugerahkan kepada Tuan Guru Nik Aziz. Majlis berakhir kira-kira jam 11 malam dengan persegaran untuk para perwakilan.

Friday, June 04, 2010

MB, ribuan rakyat solat hajat bantah kekejaman Israel






KOTA BHARU, 4 Jun: Ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat hajat yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai membantah keganasan tentera Israel terhadap umat Islam di Palestin.Solat hajat diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV pagi tadi turut disertai wakil Palestin, Abdul Hadi HJ Junaidi. Turut kelihatan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Dr Mohamad Fadzli Hassan serta wakil-wakil rakyat.

Biar pun cahaya matahari panas memancar di atas kepala, orang ramai tidak menghiraukan dan tetap berdiri menunaikan solat bagi memohon kepada Allah Taala melindungi umat Islam yang sedang ditindas di Gaza.

Sebelum itu ribuan yang hadir sejak jam 8.30 pagi mendengar kuliah khas mengenai Palestin yang disampaikan Mohd Amar.

Kehadiran penduduk tempatan yang memenuhi segenap ruang Dataran Stadium kerana simpati terhadap konvoi kemanusiaan pelbagai negara yang diserang tentera Israel ketika membawa bekalan makanan ke Gaza Isnin lalu.

Ekoran serangan itu sembilan rakyat Turki yang menaiki kapal Mavi Marmara milik negara terbabit menjadi korban.

Seramai 12 rakyat Malaysia turut bersama misi kemanusiaan tersebut yang datang daripada 40 negara.Berikutan tindakan tersebut kerajaan Turki di bawah Tayyed Erdogan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

Kerajaan Turki memberi beberapa syarat untuk memulih semula hubungan diplomatik iaitu membayar sejumlah pampasan kepada keluarga sukarelawan yang terbunuh, Israel perlu memohon maaf kepada dunia.

Selain itu mereka yang terbabit dengan jenayah hendaklah dihadapkan ke Mahkamah Antarabangsa.Perkara itu didedahkan Abdul Hadi ketika berucap di ribuan rakyat Kelantan.
Menteri Besar berkata, kaum Yahudi tidak ada belas kasihan kepada kaum lain kerana menganggap kononnya mereka sebagai anak Tuhan.

”Pegangan yang salah itu menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja terhadap orang lain.”Namun hairannya kezaliman yang serupa juga pernah berlaku di negara ini apabila Ustaz Ibrahim Libya bersama beberapa pengikut ditembak mati di Memali.

”Begitu juga tindakan kerajaan menangkap ulama dengan mengurungkan mereka dalam bilik gelap di Kem Tahanan di Batu Gajah. Ini adalah sebahagian tindakan tidak berperikemanusiaan yang turut berlaku di negara ini,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.
Pada ucapan itu beliau juga menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak yang mendakwa tidak ada parti Islam pada zaman Rasulullah saw.

Pelbagai sepanduk mengutuk serangan ganas Yahudi dijulang anak-anak muda yang membantah keganasan Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin. Tabung Cakna Palestin juga dibuka bagi sumbangan orang ramai. Program itu berakhir kira-kira jam 10.45 pagi

Wednesday, June 02, 2010

Kuliah khas bantah Yahudi 4 Jun

KOTA BHARU, 2 Jun: Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk mengadakan kuliah khas pagi Jumaat, 4 Jun ini berkaitan tindakan ganas dan tidak bertamadun rejim Israel ke atas konvoi kemanusiaan Gaza, Isnin lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kuliah mingguan itu akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan akan turut diadakan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah di tempat yang sama.

“Saya berharap kerjasama semua pihak, muslimin dan muslimat agar dapat hadir beramai-ramai sebagai tanda kita mengutuk tindakan zalim Israel dan sama-sama memanjatkan doa kepada Allah demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan umat Islam dari kerakusan Yahudi Israel ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Majls Agama Islam Kelantan turut disarankan agar mengarahkan semua masjid dapat menunaikan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta menyediakan teks khutbah khusus bagi mengutuk kekejaman Israel, Jumaat ini.

Beliau turut membidas tindakan terkutuk tersebut sambil menyeru agar seluruh ulama di dunia ini bangkit menunaikan solat hajat dan memohon pertolongan Allah SWT demi menyelamatkan umat Islam dan rakyat Palestin termasuk di Gaza.

Nik Abdul Aziz juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangs-Bangsa Bersatu (PBB) agar memberi teguran keras terhadap rejim itu.

“Saya menyeru agar OIC dan negara Islam turut menyertai bantahan ini bagi membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin,” ujar beliau.