Thursday, June 10, 2010

Majlis Perasmian Muktamar Dewan - Dewan

KOTA BHARU, 9 Jun - Perasmian muktamar tahunan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dimulakan dengan upacara perbarisan kehormat oleh Unit Amal Malaysia
seramai 24 orang kira-kira jam 8 malam tadi.

Upacara tersebut diadakan di hadapan perkarangan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan(PUTIK) dekat sini yang menjadi tempat berlangsungnya perasmian muktamar ketiga-tiga dewan malam.

Majlis bermula dengan ketibaan Mursyidul Am PAS, Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul
Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ahli Majlis Syura, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,Timbalan Dewan Ulama, Hj Ahmad bin Yaakob, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz
Nasrudin Hassan Tantawi, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Muktamar yang dirasmikan Tuan Guru Nik Aziz itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku
dan lagu rasmi PAS.

Seterusnya, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah An-nisa oleh Ustaz
Abdul Bari Abdullah.

Buat kali pertamanya perasmian ketiga-tiga dewan yang diadakan serentak ini menyaksikan seramai kira-kira 3000 perwakilan dari ketiga-tiga dewan termasuk perwakilan kawasan yang
datang dari seluruh negara.

Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali dan ucapan Tuan Guru Nik Aziz melahirkan harapan tinggi kepada ketiga-tiga dewan bersama Dewan Penyokong PAS melangkah jauh kehadapan mengorak langkah PAS sebagai sebuah parti Islam di Malaysia.

Para hadirin turut dihidangkan dengan persembahan montaj Anugerah Emas DMPP sempena
Jubli Emas ke-50 dan persembahan multimedia yang dibangunkan Jabatan IT PAS Pusat.
Sebelum itu, majlis turut menyampaikan anugerah-anugerah kepada tokoh Dewan Ulama PAS
Ustaz Hassan Syukri dan tokoh Dewan Muslimat, Ustazah Jamilah Ibrahim.

Anugerah Emas pula dianugerahkan kepada Tuan Guru Nik Aziz. Majlis berakhir kira-kira jam 11 malam dengan persegaran untuk para perwakilan.

No comments: