Monday, February 25, 2013

Episod baru di majlis penyampaian BR1M di Kelantan


Lain lubuk lain ikan, lain menteri lain ragam! Pagi itu tanggal 24 Februari 2013, langit Pengkalan Chepa redup, cuaca kurang panas, tapi khalayak yang memenuhi dewan Sekolah Menengah Beris Pancur dari jam delapan pagi sehingga lewat sore keluh kesah seperti orang kepanasan. Sebahagiannya bertindak bangun duduk, keluar masuk, mundar mandir seperti orang keresahan kerana menunggu keretapi yang tak kunjung tiba. Kalau tidak kerana sesuatu yang amat berharga bakal diterima pagi itu, pasti tiada siapa sanggup menunuggu sehingga lebih lima jam hari bekerja.

Tiga penceramah tampil silih berganti, diakhiri dengan seorang menteri yang menjaga pitih negara - Awang Adek Hussin. Sebelum membahagi-bahagikan wang BR1M (RM500) kepada warga miskin dalam Dun Pancur, si Awang berceloteh panjang, terkadang terselit kelakar yang seperti cuba dibuat-buat.

Bertanya Awang Adek kepada warga miskin penerima BR1M dengan megah “Siapa mahu Datuk Seri Najib Razak kekal Perdana Menteri Malaysia, angkat tangan”. Tak sampai dua puluh orang daripada ratusan hadirin angkat tangan tanda bersetuju.

Awang Adek bertanya lagi “Siapa mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia?” Ramai mengangkat tangan, antaranya yang duduk di saf paling depan dan paling hampir dengan Awang Adek sehingga menteri pitih itu terkejut, pucat lesi mukanya.

“Pakcik, makcik, adik kakak, mungkin tersalah dengar soalan saya tadi” kata Awang Adek dengan senyum kambing sehingga mendorongnya mengulangi lagi sekali soalan sama “Siapa mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia?” Orang yang sama terus memberi reaksi dengan mengangkat tangan tanda bersetuju Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia jika PR menang PRU13 nanti. Si Awang terbungkam.

Sementara yang lain ketawa berdekeh-dekeh melihat esisod baru telah muncul di pentas penyampaian BR1M musim kedua di Dun Pancur yang disampaikan seorang bergelar menteri kabinet Malaysia. Di dalam Dewan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertetangga dengan Pancur lain pula ceritanya. Setiap sampul surat yang yang berisi BR1M telah disertakan bersama selembar kertas “bodoh” bertulis Akur Janji.

“Dengan ini aku bersumpah dan berjanji, Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Aku akan mengundi BN dalam pilihan raya akan datang, dan saya akan kerja dan membantu Umno untuk menyatukan umat Islam bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, bukan untuk berpecah sesama Islam sepertimana Hj. Abdul Hadi b. Awang supaya orang-orang Islam @ Melayu di Malaysia berpecah @hancur”.

Warkah Akur Janji itu ditemui di Dun Tawang pada 21 Februari, mengingatkan kita betapa hinanya orang-orang miskin di mata Umno. Pemberiannya bukan mengalir dari hati nurani yang ikhlas demi membantu warga miskin terutama orang Melayu, tetapi dari hati kotor yang sarat persangka buruk kepada bangsa ini, maka benarlah seperti kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; Umno meletakkan taraf manusia itu seperti ayam, lembu.

Bingkisan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

Ceramah Kelompok dan Pelancaran Pos Di Cawangan Temangan Lama



Bingkisan saya kepada Mufti – Tuan Guru Nik Aziz


Agak kecewa saya membaca kenyataan Mufti Perak, Sohibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini 24 Februari 2013 di muka hadapan. Mengikut laporan tersebut, beliau menyatakan bahawa sikap PAS lebih teruk dari kafir kerana tidak setuju dengan pelbagai dasar dan usaha kerajaan memajukan rakyat.

Saya mengira kenyataan ini sangat berat apatah lagi jika ia keluar dari mulut seorang mufti yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak berpihak dalam pertembungan parti-parti politik. Jika ia hanya satu manipulasi media, satu penafian perlu dibuat dengan segera. Tetapi melihat kepada rekod sebelum ini di mana belum pernah kedengaran sebarang penafian dibuat terhadap laporan akhbar mengenai kenyataannya, saya kira kenyataan itu benar-benar keluar dari mulut beliau.

Saya pohon kepada Mufti Perak, agar berhati-hati di dalam membuat ulasan. Hari ini maklumat boleh diakses dengan mudah, sebarang ulasan berkenaan kenyataan saya dan pemimpin PAS yang lain khususnya eloklah dirujuk kepada sumbernya yang sahih. Rakaman ucapan saya yang didakwa menyifatkan penerima bantuan sebagai 'haiwan' juga sudah disiarkan dengan meluas, mustahil pejabat mufti Perak berhalangan untuk mendapatkannya.

Adakah dalam rakaman tersebut saya menyifatkan penerima bantuan sebagai haiwan? Tentu sekali tidak. Bahkan saya selama ini menggalakkan rakyat Kelantan yang layak menerima bantuan untuk beramai-ramai mengambil bantuan yang diberikan. Ini kerana wang yang diberikan tentu sekali bukan wang UMNO/Barisan Nasional tetapi wang kerajaan dan milik rakyat. Namun mengambil kesempatan daripada majlis pembahagian bantuan seperti ini untuk menyampaikan dakyah ideologi kepartian ialah satu perbuatan yang terkutuk.

PAS juga dituduh berkerat rotan dengan UMNO. Kenyataan begini sebenarnya berpunca daripada jahil sejarah. Rujuklah sejarah politik negara, bukankah PAS pernah menyertai Barisan Nasional? Apabila PAS berada dalam Barisan Nasional, UMNO pula mengambil pendirian untuk menendang PAS keluar kerana 'cemburu buta'. Saya ingin ulangi, bukan PAS yang keluar daripada Barisan Nasional tetapi  UMNO yang membuat ketetapan untuk menendang PAS keluar. Inilah yang termaktub di dalam ucapan Allahyarham Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977.

Justeru, Tan Sri Mufti Perak wajar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Jika perkataan sebegini keluar dari mulut saya, agaknya berbulan-bulan ia akan diratib tanpa henti oleh media massa. Pesan saya kepada Tan Sri Mufti Perak, janganlah melampau-lampau sangat menunjukkan sokongan kepada UMNO/Barisan Nasional. Jika ditakdirkan nanti UMNO tersemban dalam pilihanraya, saya bimbang ada individu yang mencari makan dengan UMNO terkial-kial kelemasan mencari pelampung!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kuala Lumpur.
13 Rabiul Akhir 1434H bersamaan 24 Februari 2013M

4 kali ramalan tarikh bubar parlimen terlepas

KOTA BHARU: Sudah empat kali ramalan tarikh pembubaran parlimen terlepas begitu sahaja. Terakhir seperti disebut ramai 22 Febuari juga tidak menjadi kenyataan.

Tiba-tiba hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) belum diumumkan kerana kerajaan mahu dasar transformasi negara benar-benar terbukti berjaya.

"Sebab itulah saya tunggu sampai kita letih hendak buat PRU, kita tunggu kerana saya hendak buktikan dasar transformasi negara benar-benar berjaya," katanya ketika melancar projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di Seremban hari ini.

Persoalannya sejuah mana kenyataan Perdana Menteri itu mempunyai asas yang kuat atau ada sesuatu di sebaliknya.

Bagaimananpun bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasuruddin Hassan Tantawi (gambar) bukan isu transformasi yang menyebabkan Perdana Menteri sering kali menukar pelan tarikh pembubaran parlimen.

“Sebenarnya ada perkara lain yang membuat Datuk Seri Najib menjadi serba salah. Sebelum ini ura-ura parlimen hendak dibubar pada Febuari 2012, namun tidak menjadi kenyataan mungkin ada kaitan Himpunan Bersih 3.0.

“Kemudian ditukar pula kepada April 2012, namun tidak juga menjadi kenyataan kerana kebangkitan rakyat pada Himpunan Hijau.

“Maklumat ini bukan kita dapat di tepi jalan sebaliknya sumber dalaman Umno sendiri. Kita pun ada agen dalam Umno,” katanya pada ceramah isu semasa di markas Unit Peti Undi Lundang di sini malam tadi.

Hadir sama artis hijrah, Hairie Othman, bekas Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Hamid Omar, Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Nor Azariza Alawi, pengarah pilihan raya, Azahari Ab Rahman dan Timbalan Pengerusi MTD Bunut Payong, Abdul Razak Mamat.

Nasruddin berkata, kemudian khabar angin tarikh pembubaran parlimen ditunda kepada Disember, namun tidak menjadi realiti selepas kehadiran lautan manusia pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.

“Sumber Umno pula menyebut pada 22 Febuari akan dibubar, namun terlepas begitu sahaja. Mengapa. Mungkin ada kaitan dengan kajian Merdeka Centre dan Universiti Malaya yang memperlihat kedudukan BN tergugat.

“Kebangkitan rakyat begitu jelas sekali. Pada awal 1990 ceramah PAS di Johor hanya dihadiri beberapa orang sahaja, namun sekarang sambutan begitu hangat.

“Begitu juga di Sabah pada awal 1990-an penduduk di sana menganggap lambang PAS seperti bola pingpong. Namun sekarang penerimaan rakyat begitu mendadak,” ujarnya.

Menurutnya pada program terbaru yang diadakan di Sabah minggu lepas kehadiran rakyat sehingga penuh dewan, dan ada anak muda yang datang membawa gitar

Sunday, February 24, 2013

Jangan lupa pulang untuk mengundi dalam PRU nanti

(Tuan Guru Nik Aziz berkata sesuatu kepada anggota Parlimen Gombak dalam pertemuan dengan anak Kelantan di Hulu Kelang)

GOMBAK: Hampir 1,000 wanita menyertai Himpunan Wanita Kelantan di Perantauan yang diadakan di Pusat Bandar Taman Melawati, petang semalam.

Himpunan yang bermula jam 4 petang itu penuh dengan  pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz spontan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, cabutan bertuah serta pameran berkaitan negeri Kelantan.

Dengan cuaca yang begitu baik, tidak panas dan tidak hujan, majlis  bermula dengan soalan-soalan kuiz berkaitan Kelantan yang penuh dengan suasana santai dan bersahaja.

Kehadiran penyanyi Aisyah turut mencuri perhatian para hadirin apabila beliau hadir untuk mengikuti program Bicara Selebriti yang dihoskan tokoh motivator muda, Amin Idris.

Selain Aisyah, turut menjadi panelis di ruang Bicara Selebriti itu bekas senator, Mumtaz Md Nawi.


(Antara wanita Kelantan yang memenuhi majlis pertemuan)

Majlis diselang-selikan dengan soalan kuiz serta cabutan nombor bertuah yang menyediakan hadiiah berbentuk hamper dan barangan elektronik.

Malah, para hadirin turut disediakan kuih tradisional negeri itu, akok secara percuma, selain kanak-kanak diraikan dengan kaunter aiskrim buat mereka.

Menjelang jam 5.30 petang, ruang bazar tersebut terus dipenuhi para hadirin, termasuk lelaki yang begitu teruja menantikan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ternyata, kehadiran susuk tubuh kecil tokoh ulama itu pada jam 6.30 petang begitu diraikan apabila beliau disambut oleh para hadirin dengan laungan takbir yang bergema.

Tidak berucap panjang kerana sudah menghampiri waktu maghrib, Mursyidul Am PAS itu mengingatkan hadirin di perantauan untuk pulang mengundi ke Kelantan bagi mempertahankan kerajaan Islam Kelantan.

Beliau kemudiannya menunaikan solat maghrib berjamaah dengan para hadirin sebelum berjamu selera dengan menu gulai kawah yang begitu sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Turut serta pada himpunan tersebut beberapa pimpinan exco kerajaan negeri, selain ahli-ahli dewan undangan negeri (Adun) Kelantan.

Himpunan itu juga turut diraikan ahli parlimen Gombak, Azmin Ali, Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, dan  Adun Batu Caves, Amiruddin Saari.

Cermah Umum Di Kg Limau Nipis, Dun Kemuning










Ceramah Pakatan Rakyat..sempena pembukaan Bilik Gerakan Upu Melaka..Dun Pulai Chondong


"BN jadikan rakyat umpama haiwan"


(Tuan Guru Nik Aziz bercakap kepada wartawan hari ini)

PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Umno dan BN bertindak menjadikan rakyat seumpama haiwan apabila terpaksa menaburkan duit untuk hadir pada majlis mereka.

Menurutnya, seharusnya sebagai pemimpin negara mereka perlu diberikan ilmu dan bukannya wang ringgit atau kebendaan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis amanat Menteri Besar Kelantan bersama warga Yik, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini tengahari ini.

“Media nak ubah kenyataan sebenar saya, ubahlah tetapi ingat mereka akan berhadapan dengan dosa, tetapi kerana tidak memahami maksud sebenar, kenapa menjadi wartawan.

“Untuk menjadi seorang wartawan, bukan putar belit cerita, sebaliknya kena cerdik, faham apa saja yang dimaksudkan penyampai berhubung sesuatu perkara,”ujarnya.

Menurutnya, Umno dan BN guna duit untuk tabur pada rakyat dalam apa juga sekalipun termasuk BR1M, seumpama memanggil manusia seperti haiwan.

“Hey itik marilah aku nak berceramah agama, mana itik nak mari (datang), jadi kena bagi hampas kelapa, baru dia datang. Kena bagi padi, nak suruh ayam, itik datang.

“Hey lembu aku nak ceramah, lembu tak akan datang sekiranya tidak diberikan rumput padanya,”ujarnya.

Jadi, sekiranya kita memanggil manusia dengan memberikan kebendaan (wang) juga, ertinya kita meletakkan manusia setaraf   haiwan.

Menurutnya, perjuangan Umno silapnya di sini kerana tidak memberikan ilmu agama pada rakyat, sebaliknya kebendaan semata-mata.

“Nak bagi macamana sebab perjuangannya tolak Islam, dalam kebangsaan mana ada Islam,”ujarnya.

Tuan Guru bagaimanapun berkeyakinan rakyat Kelantan dan seluruh Malaysia akan menolak perjuangan yang ‘menjual’ kebendaan.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana negara maju barat khususnya Amerika yang membenarkan berkahwin sesama sejenis yang diharamkan oleh Islam.

Tegasnya, tindakan itu bukan sahaja akan memupuskan pertambahan manusia, sebaliknya amalan lebih teruk dari haiwan.

“Haiwan contohnya lembu akan cari pasangannya lembu betina, dia tak cari lembu jantan, bodoh lembupun tahu keperluan sebenar,”ujarnya.

Apa yang berlaku itu, tegasnya kerana menolak landasan Islam sebaliknya memilih kehidupan mengikut nafsu sendiri.

Berhubung calon, beliau mengakui telah banyak pencalonan yang selesai walaupun belum siap sepenuhnya.

Tuan Guru yang juga Menteri Besar juga enggan mengulas bila ditanya berhubung muka-muka baru yang bakal diketengahkan.

“Tunggu dihari pengumuman atau di hari penamaan calon,”ujarnya sambil ketawa kecil.

Ceramah Umum Bersama Leftenan Adnan Di Bukit Tiu, Dun Kemuning

























Penerima BR1M haiwan: Apa komen Ustaz Azhar


KUALA TERENGGANU: Serangan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan timbalannya terhadap Mursyidul Am PAS dijawab oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (gambar).

Beliau berkata,  Tuan Guru Nik Aziz bukan kata penerima BR1M itu seperti haiwan tetapi menjadikan penerimanya seperti haiwan.

"Sebenarnya apa yang kita dengar dalam video clip bukan Tok Guru kata kepada penerima BR1M seperti haiwan, cuma Tok Guru kata orang yang memberikan BR1M tulah cuba menjadikan orang yang menerima seperti haiwan.

"Umpama bagi makan, lepas tu sembelih.

"Maknanya jahatnya orang nak bagi bantuan bila perlu sahaja, bila jauh dengan pilihanraya tak hulur pun bantuan," kata Ustaz Azhar dalam kuliahnya di Masjid Pengadang Baru dekat sini.

Beliau ditanya, "apa komen ustaz mengenai Tuan Guru Nik Aziz kata orang yang ambil BR1M ni seperti haiwan?"

Ini ekoran tuduhan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa Tuan Guru Nik Aziz menganggap penerima BR1M ini haiwan.

Bagi Ustaz Azhar, ini semua punca mencari pembalahan, "Ni buah cari baloh."

Sehubungan dengan itu, beliau meminta semua pihak berhati-hati dengan sebarang laporan media.

"Jadi lening (sekarang ini) kene hati-hati lah banyak putar belit dan spin berita nak nak musim mengundi ni.

"Yang  tak pernah nampak muka pun dan kerap masuk kampung dah. Tujuan ape? Nak tolong ke untuk kepentingan tertentu?

"Jadi kene bijoklah, jangan percaya tanpa selidik," tegas penceramah bebas dari Terengganu yang sangat terkenal itu.

Baru-baru ini, Tuan Guru Nik Aziz berkata,
"Orang yang menawarkan (wang) kepada orang, (sama seperti) kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi.

"Kalau nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami. Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu, mana datang.

"Jadi kalau kita beri barang kepada orang, beri RM10, RM50 (orang akan datang ambil).
"Ini bukan cara Islam, (cara) Islam ialah beri ilmu kepada manusia," kata Tuan Guru Nik Aziz.

Analogi haiwan

Sementara itu, para pengguna laman sosial mula menyebarkan analogi mengenai kenyataan kedua-dua pemimpin Umno itu ketika mereka mengulas isu ini.

Berikut adalah analogi itu:

Seorang atok memarahi dua orang cucunya, Ali dan Abu yang suka bergaduh..

Atok: Korang ni macam anjing dengan kucing.. pantang jumpa asyik nak bergaduh..

Ali: Sampai hati atok cakap kami haiwan....

Abu: Ali! Itu peribahasa la samdol!

BR1M: kenyataan TG Nik Aziz dimanipulasi media BN

KOTA BHARU: Rakyat di negara ini khususnya Kelantan diminta mendengar penjelasan sebenar berhubung ‘isu haiwan’ yang dimanipulasikan oleh media dan pemimpin negara.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yusof, ketika memberitahu Harakahdaily berkata, penjelasan itu perlu dirujuk dalam laman Facebook Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat jawapan sebenar.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu, sehingga kini jumlah penonton yang mendengar penjelasan Tuan Guru dan selebriti dakwah, Ustaz Azhar Idrus, berhubung perkara itu melebihi 200,000 orang.

“Sudah jelas kepada kita media Umno dan BN sanggup menggunakan cara yang lebih jijik demi untuk mendapat sokongan rakyat.

“Mereka sanggup membohongi rakyat dengan manipulasikan kenyataan sebenar, walhal rakaman berhubung perkara itu ada,”ujarnya.

Sambungnya, apa yang dimaksudkan oleh Tuan Guru kerajaan menjadikan penerima BR1M itu seperti haiwan dan bukannya menyifatkan mereka seperti haiwan tetapi cara BN untuk mendapatkan undi itu dengan cuba membuat rakyat ini seperti haiwan..

Tegasnya, kerajaan terpaksa menabur duit bagi memastikan rakyat hadir pada majlis mereka atau menagih sokongan.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat di negara ini telah memahami perkara berkenaan berikutan rakaman video ucapan sebenar Tuan Guru termasuk penjelasan Ustaz Azhar Idrus ditonton lebih 200,000.

“Saya yakin jumlah ini akan bertambah,”ujarnya.

Media arus perdana sejak malam tadi dan hari ini menyiarkan kenyataan Tuan Guru yang kononnya menyifatkan penerima BR1M sebagai haiwan.

Ianya berikutan serangan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan timbalannya terhadap Mursyidul Am itu.

Bekas tentera tekad tumbangkan Umno di peti undi

KUALA LUMPUR: Bekas tentera di seluruh negara memberikan jaminan akan membantu Pakatan Rakyat menumbangkan Umno BN melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Jaminan tersebut dinyatakan dalam Himpunan Kebangkitan Tentera di Padang Awam AU2 Keramat malam tadi yang disertai wakil Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Kerabat) dari seluruh negara.

Pengerusi Kerabat Pulau Pinang, Azizan Salleh dalam ucapannya mengajak tentera dan bekas tentera menumbangkan Umno BN kerana menyifatkan parti itu sebagai 'biadab' terhadap bekas tentera.

Tegasnya, Umno BN tidak pernah menghargai jasa dan pengorbanan tentera sebaliknya hanya menggunakan undi tentera untuk mengekalkan kuasa mereka.

"Saya sebagai tentera yang masih berkhidmat mengajak rakyat bangkit menentang Umno BN dalam PRU13.

"Mereka terlalu biadab terhadap bekas tentera. Kalau dulu mereka mengajar kami berjuang tanpa belas kasihan, tetapi sekarang kami tak ada belas kasihan terhadap Umno BN.

"Saya yakin hidup dan mati di tangan Allah, bukan di tangan Umno BN," katanya bersemangat di hadapan kira-kira dua ribu hadirin.

Pengerusi Kerabat Kedah, Kapten Zamri Ahmad pula berkata pula berkata, bekas tentera mahu menumbangkan Umno BN, bukan menumbangkan kerajaan seperti yang didakwa piha tertentu.

"Kita bukan nak tumbangkan kerajaan tapi kita nak tumbangkan Umno BN.

"Kita semua yang membentuk kerajaan. Mana-mana kerajaan yang tak elok, Pakatan Rakyat sekalipun, kita akan tumbangkan.

"Mari kita kata no no no to Umno BN supaya NNajib listen listen listen dan tak boleh tidur malam," katanya.

Turut berucap ialah bekas Jeneral, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid, Presiden Kerabat, Leftenan Kolonel (B) Nazari Mokhtar, Pengerusi-pengerusi Kerabat Sabah, Perak, Kelantan, Melaka dan Wilayah Persekutuan selain aktivis R, Jeming Hassan dan Presiden Gamis, Muhamad Azan Safar.

Manakala pimpinan yang berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, ahli jawatankuasa PAS, Mazlan Aliman, Adun Kemahang, Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman dan Adun Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin.

Mohamad dalam ucapannya berkata, Pakatan Rakyat akan mengumumkan berita gembira untuk bekas tentera dalam manifesto mereka yang akan dilancarkan pada Isnin ini.

"Dalam manifesto kita yang akan keluar pada 25 Februari nanti di antaranya ialah imbuhan kepada bekas tentera yang tak termasuk dalam skim pencen," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.