Sunday, February 03, 2013

PRU13: PAS berpantang 90 hari


SERI KEMBANGAN: PAS berada dalam tempoh berpantang selama 90 hari sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Naib Presidennya,  Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk memilih PAS pada PRU13.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia.

"Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Husam juga berkata, PAS tidak boleh mengabaikan pengundi-pengundi yang sangat penting untuk membantu kemenangan parti.

Undi yang dimaksudkan ialah undi tentera dan peneroka Felda  yang sebelum ini berpihak kepada BN.

"Kali ini kita mensasarkan 45 peratus undi tentera. Kita tak boleh abaikan undi tentera.

"Begitu juga undi Felda. Sebab itu kita memberikan fokus khas kepada Felda dengan program-program yang diatur," katanya di hadapan kira-kira 1,000 jentera dari setiap negeri yang hadir.

Jentera yang hadir merupakan wakil dari 60 Parlimen yang disasarkan bertanding pada PRU13.

Tambah Husam juga, ahli khususnya jentera harus mendekati pengundi dengan komunikasi yang paling baik selain menjaga hubungan dengan Allah.

"Dalam tempoh ini kita mesti berhubung dengan manusia lain dengan komunikasi paling baik.

"Hubungan kita dengan Allah juga harus diperbaiki dengan memperbanyak doa dan munajat kepada Allah," katanya

Kelantan dapat royalti emas RM10 juta tahun ini


(Tuan Guru menunjukkan mok cek yang diterima hasil dari royalti lombong emas di Kelantan)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dijangka menerima RM10 juta royalty emas tahun ini dari Syarikat CNMC Goldmind Ltd, memandangkan hasil bumi itu yang terletak di Sokor, Tanah Merah dijangka bertambah tahun ini.

Pada tahun 2012, kerajaan Kelantan telah menerima sebanyak RM5 juta dari syarikat berkenaan sebagai royalty hasil kejayaan syarikat itu.

Semalam, Pengarah  Eksekutif syarikat terbabit, Prof Lin Xiang Xiong, telah menyerahkan royalty terbabit kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebanyak RM386,926,97.

Manakala cek berjumlah RM347,115.45 pula dibayar kepada Ketua Ekesekutif PKINK, Haji Sabri Abdullah, mewakili anak syarikat kerajaan negeri yang turut serta dalam perlombongan itu.

Majlis ringkas itu diadakan di Pejabat Menteri Besar, yang turut dihadiri oleh Setiausaha-Setiausaha Menteri Besar, serta pegawai dari syarikat perlombongan emas itu.

Lin Xiang Xiong, berkata pihaknya menjangkakan sebanyak RM10 juta royalty bakal diberikan pada kerajaan Kelantan memandangkan syarikatnya berjaya melombong hasil bumi itu dari setahun ke setahun.

Jelasnya, di pasaran dunia harga emas kini USD153 billion untuk sekilogram.

Sementara itu, Tuan Guru berharap sekiranya syarikat luar dapat membayar balik royalty pada Kelantan melalui perlombongan emas, beliau juga berharap royalty minyak dapat juga dibayar.

Menurutnya, mana boleh ambil hak kerajaan negeri begitu sahaja, apa lagi perjanjian telah dibuat.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur kerana rezeki kerajaan negeri untuk rakyatnya akan bertambah.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah di atas rezeki yang dikurniakan Allah ini dan mudahan berkat doa kita semua rezeki yang ada dapat kita kongsikan bersama rakyat,”ujarnya.

Syarikat CNMC Holding itu mula beroperasi di Kelantan untuk carigali emas pada tahun 2007, setelah majlis perjanjian usahasama berhubung perkara itu dibuat dengan anak syarikat kerajaan negeri sebelum itu.

Apa kata tukar nama Akta Perhimpunan Aman?


KUALA LUMPUR: Memandangkan Akta Perhimpunan Aman mempunyai pelbagai kekangan yang tidak sesuai pada namanya, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata lebih elok kalau akta tersebut ditukar nama.

“Ini kerana syarat dalam akta tersebut tidak menggambarkan semangat dalam akta tersebut seperti larangan membawa kanak-kanak,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan polis untuk mencari 14 orang suspek membawa kanak-kanak ketika perhimpunan raksasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari lalu.

“Cari anak orang hilang tak secepat itu,” sindir Tuan Ibrahim.

Selain Tuan Ibrahim, ramai yang mengeluh mengenai tindakan polis yang disifatkan double standard, kerana ibu bapa yang membawa anak-anak ke himpunan yang dianjurkan Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pula diberi 'layanan' yang sama.

Oleh yang demikian, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata eloklah untuk Akta Perhimpunan Aman mengambil nama yang lain.

“Kalau aman, kenapa banyak sangat pantang larang seolah-olah tidak aman,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua mendakwa polis sedang mengikut telunjuk Umno dalam memburu 14 ibu bapa terbabit.

“Ini hanya tindakan terdesak kerajaan dengan mengerahkan polis sebagai orang suruhan. Umno BN tidak akan senang hati melihat rakyat berkumpul di HKR,” kata beliau yang dipetik Suara Keadilan.

400 Pemuda pastikan Kuala Nerus milik PAS

(Pemuda PAS berikrar menangkan PAS di semua kawasan di Kuala Nerus)

KUALA TERENGGANU: Lebih 400 pemuda PAS berikrar akan memastikan semua kawasan pilihan raya di bawah Parlimen Kuala Nerus akan dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum kali ini.

Ikrar itu dibuat dalam pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Kuala Nerus semalam.

Selain Parlimen, Kuala Nerus mempunyai tiga kawasan Dun di bawahnya iaitu Bukit Tunggal, Seberang Takir, Telok Pasu dan Tepoh.

Ketua Pemuda PAS kawasan, Ustaz Riduan Hashim dalam ucapannya berkata, perhimpunan pagi ini adalah jihad dan menandakan pemuda sudah bersiap sedia menghadapi PRU13.

"Pemuda akan memastikan semua 4 dun menjadi milik PAS dan Pakatan," katanya.

Beliau mengarahkan jentera pemuda mulai hari ini bergerak 100 % dan bersiap siaga untuk mengempur jentera musuh bagi memastikan Kuala Nerus dimenangi oleh PAS.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam ucapan perasmianya menyeru semua jentera pemuda Kuala Nerus memastikan Pakatan menawan Putrajaya pada PRU13 nanti.

"Masanya telah tiba kerajaan rakyat memerintah Malaysia dan Terengganu kembali kepada pemerintah PAS," katanya.

Kerajaan PAS Terengganu yang dimenangi pada tahun 1999 hanya bertahan satu penggal apabila dimenangi semula oleh BN melalui penipuan daftar pemilih.

Akibat manipulasi ini, banyak kawasan pilihan raya yang mencatatkan hampir 90%  pengundi yang turun.

Bagi Mohd Nor, pemuda perlu berjuang bersungguh-sungguh untuk memastikan Umno BN ditumbangkan.

"Tapi yang penting setiap petugas perlu berakhlak tinggi dan berdisiplin dalam perjuangan," katanya.

Pemuda bertanggungjawap memastikan semua bahan kempen parti tidak disabotaj Umno.

"Pemuda perlu bersikap lunak dan berhemah menghadapi para pengundi bagi memastikan setiap undi di Kuala Nerus diberikan pada PAS," tegasnya.

Beliau juga mahu pemuda memastikan keselamatan bilek gerakan dan petugas parti terjamin kerana PRU 13 adalah pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia.

"Solat hajat serta qiamulai menjadi santapan jiwa pemuda dalam memastikan kekuatan iman sentiasa berada dalam diri setiap pejuang Islam," arah beliau.

Kelantan bubar Dun ikut proses biasa


PASIR PUTEH: Kelantan masih kekal dengan pendirian sebagaimana sebelum ini, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) lebih awal.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata Kelantan akan mengikut proses biasa sebagaimana di negeri-negeri lain.

Beliau juga berkata, pelbagai perkara buruk akan berlaku sekiranya Dun Kelantan dibubar awal berbanding negeri lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menandatangani perjanjian usahasama projek pembinaan di Tok Bali yang melibatkan empat buah syarikat swasta, di Tok Aman Bali Resort, dekat sini semalam.

“Biarlah Selangor nak bubar awal pun, tetapi Kelantan tidak akan buat berasingan sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, andainya pilihan raya dibuat berasingan akan melibatkan belanja yang besar, banyak serangan dan sebagainya.

Thursday, January 31, 2013

Dun S'gor dibubar awal selepas Chap Goh Meh


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, pihaknya akan menimbang untuk membubarkan Dun Selangor lebih awal dari parlimen sekiranya pusat masih berteka-teki dengan tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Katanya, kerajaan negeri akan membawa cadangan itu kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.

"Sekiranya Perdana Menteri belum buat pengumuman berkenaan tarikh pilihanraya selepas Chap Goh Meh, kami akan mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor lebih awal dari Parlimen.

"Rakyat tidak harus dibiarkan tunggu terlalu lama," katanya melalui Facebook hari ini.

Kenyataan terbaru itu sekaligus memperlihatkan tahap kesediaan kerajaan negeri berdepan pilihan raya kali ini.

Selangor sehingga kini antara negeri yang diserang hebat oleh Umno BN dalam usaha mereka merampas kembali negeri itu selepas tewas pada pilihan raya 2008 lalu.

Pelbagai usaha dilakukan bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

Bagaimanapun dalam banyak hal, Selangor sering mendapat pujian termasuk dalam Laporan Ketua Audit Negara sejak ditadbir Pakatan Rakyat.

Selangor juga dikatakan 'pusat perang' pada pilihan raya kali. Ianya juga digelar 'lubuk emas' memandangkan kekayaan hasil bumi dan kepesatan industri di sini.

Sebelum ini Abdul Khalid menyatakan, sebab utama Selangor membuat keputusan sama ada bubar DUN serentak atau tidak kerana mahu memastikan pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih.

Oleh sebab itu, kerajaan negeri mewujudkan Program Pengukuhan Demokrasi.

Program Pengukuhan Demokrasi dilaksana Kerajaan Selangor bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai hak demokrasi rakyatnya termasuk membantah pengundi tidak sah atau diragui dalam daftar pemilih SPR.

Notis pindah dari Pasar Siti Khadijah palsu

(Gambar: Husam menyantuni Che Omar, 94 tahun seorang pengayuh beca di kawasan Pasar Siti Khadijah pagi ini)

KOTA BHARU: Notis berupa arahan perpindahan kepada para peniaga Pasar Siti Khadijah di sini yang ditemui sekitar pasar itu sejak semalam merupakan notis palsu dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Exco Kelantan Datuk Husam Musa berkata, beliau yakin notis palsu itu sengaja dibuat pihak tertentu dengan niat mahu menimbulkan suasana tidak elok antara Para Peniaga Pasar Siti Khadijah dengan Pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

"Ianya ditampal di beberapa lokasi di Pasar Siti Khadijah dipercayai untuk menimbulkan masalah antara peniaga dengan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz," coretnya dalam Facebook.

Difahamkan sejak semalam, notis itu dikesan bertaburan di pasar tersebut.

Antara lain notis itu berbunyi "peniaga dan penjaja Pasar Siti Khadijah dan kawasan sekitarnya hendaklah mengosongkan kawasan ini di dalam tempoh 60 hari. Arahan ini bagi membolehkan bangunan ini dirobohkan supaya aktiviti mencarigali minyak dapat berjalan lancar. Arahan Yang Dipertua Kota Bharu Bandar Raya Islam ".

Notis itu dipercayai dibuat sebagai mengambil kesempatan di atas pengumuman Husam beberapa hari lalu berhubung penemuan minyak di atas daratan di beberapa buah lokasi di bandar Kota Bharu dan Tumpat.

Ekoran penyebaran notis palsu itu , Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan hari ini turun bertemu peniaga di pasar itu pagi tadi.

"Hari ni sempat luang masa ke Pasar Siti Khadijah sambil "mengintai" Notis Perpindahan yang disedarkan oleh Pihak tak bertanggungjawab.

"Alhamdulillah para peniaga tidak terpengaruh dengan tektik jahat pihak tak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu - Banda Raya Islam (MPKB-BRI) telah mengadakan sidang media pagi ini memberi penjelasan dan menafikan pihaknya mengeluarkan notis tersebut.

Satu laporan polis juga akan dibuat dalam masa terdekat bagi menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap dalang yang terlibat.

200 ahli baru berhimpun dalam Ummah Bersama PAS


KUALA LUMPUR: Lebih 200 ahli baru PAS dari pelbagai latar belakang akan menyertai Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS 3 Februari ini di Hotel De Palma, Ampang.

Mereka akan berhimpun sebagai tanda sokongan kepada perjuangan PAS bersama pimpinan parti menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Selain mereka yang telah lama menyertai PAS, himpunan yang akan diadakan di Hotel De Palma, Ampang ini akan memperkenalkan beberapa tokoh yang baru menyertai PAS.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Himpunan ini, Salahudin Ayub, setiap negeri telah diminta menghantar lima ahli baru mereka yang berupa tokoh-tokoh masyarakat untuk menyertai himpunan ini.

Di peringkat pusat pula, kira-kira 100 tokoh dari pelbagai segmen masyarakat akan menyertai himpunan ini.

Ia termasuklah tokoh politik, agamawan, budayawan, artis, korporat, pegawai kerajaan, polis, tentera, penulis, blogger, sastrawan dan lain-lain lagi.

"Kita mahu memberitahu semua rakyat khasnya orang Melayu, PAS kini menjadi pilihan semua pihak dan tidak ada sebab mereka tidak bersama dengan kita dalam memperjuangkan hak kita bersama.

"Kita yakin, dengan masalah intergriti yang ada pada Barisan Nasional khasnya di kalangan pemimpin Umno ini, rakyat bijak membuat penilaian, BN tidak ada tempat lagi di hati rakyat," katanya.

Para pemimpin PAS serta rakan-rakan Pakatan yang lain, katanya, akan menunjukkan "kita bersatu dalam perbezaan yang ada untuk kepentingan rakyat."

Majlis yang bermula jam 9 pagi hingga tengahari di hotel De Palma, Ampang ini akan disertai oleh semua pimpinan kanan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Umno cuba gagalkan MB agih geran kepada peneroka


GUA MUSANG: Sekumpulan penduduk di Paloh 2 difahamkan dipengaruhi Umno cuba menggagalkan program Kerajaan Negeri Kelantan mengagihkan geran kepada peneroka di RKT Lebir hari ini.

Kira-kira 40 penduduk mengadakan demonstrasi di Simpang Paloh 2 dengan mengangkat sepanduk kertas ketika Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui kawasan itu untuk ke RKT Lebir.

Mereka melaungkan kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

Seorang ahli Umno yang mahu dikenali sebagai Pak Leh mendakwa kumpulan penyokong Umno Paloh 2 cuba menggagalkan program penyampaian geran di Lebir.

“ Saya juga merima panggilan mlm tadi supaya hadir pada demontrasi tersebut.

"Saya diberitahu mereka mahu gagalkan program penyampaian geran. Tetapi tadi ada peneroka di sini yang pergi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Lot Kediaman kepada 84 peneroka.

Penyampaian geran tersebut disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Penyelia Parlimen Gua Musang, Dr Zulkifli Muhamad, Dun Paloh, Shah Aminudin, Penyelia Dun Nenggiri, Zuki Ibrahim, Penyelia Dun Galas, Abdullah Husin dan Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Husin.

Program penyampaian geran diteruskan biarpun Umno cuba menggagalkannya.

Malah di majlis itu, 54 orang ahli Umno turut menerima geran.

Turut kelihatan di tempat demontrasi ialah isteri Adun Paloh, Datin Mariah Din.

Adun Paloh Datuk Nozula Mat Diah juga ditemui tidak jauh dari lokasi demonstrasi.

Menteri Besar turut mengakui ada pihak tidak senang dengan program berkenaan.

Katanya, rakyat tanpa mengira politik turut diberi geran hak milik bagi membolehkan mereka memiliki tanah secara sah.

Orang ramai menyifatkan tindakan kumpulan penyokong Umno itu tidak wajar kerana cuba menghalang Menteri Besar mengagihkan geran kepada rakyat.

Tuesday, January 29, 2013

TG Nik Aziz pelawa rakyat P Pinang lawat Kelantan


JELUTONG: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mempelawa rakyat negeri Pulau Pinang melawat Kelantan yang didakwa terlalu miskin oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pelawaan itu dibuat beliau ketika memberikan tazkirah Zohor sempena lawatannya ke Masjid Jamek Batu Uban iaitu masjid pertama yang dibina di Pulau Pinang tengahari tadi.

Menurutnya, mengikut kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Negeri Kelantan perlu dinaik tarafkan menjadi negeri yang lebih maju setanding negeri lain.

"Marilah pula ke Kelantan lawat negeri miskin sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri bila berkempen.  Saya pun hairan yang dikatakan miskin macamana sedangkan kapal terbang banyak yang turun menandakan banyak pelancung tiba, " jelasnya.

Beliau bersyukur memimpin negeri yang didakwa miskin kerana tidak payah mengarahkan penangkapan penyelewengan, rasuah atau memberi projek kroni.

Sebaliknya hanya mengarahkan pembangunan rohani supaya diseimbangkan dengan jasmani.

Justeru itu sambung beliau, tidak hairan tiba-tiba sahaja Perdana Menteri mengistiharkan  tujuh agenda pembangunan semula kelantan.

Agenda itu, sekadar manis di bibir dan sedap mata kerana jika diukur itulah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang jika wang royalti diperolehi.

Menyentuh  mengenai kepentingan menjagai rumah Allah s.w.t beliau yang juga Pengerusi Majlis Syura  Ulamak PAS begitu bangga dapat bersembahyang sunat di atas tapak masjid tertua di Pulau Pinang.

Sebagai umat Islam katanya, mesti memelihara masjid kerana masjid merupakan tunggak perpaduan.

"Hilangnya masjid maka hilanglah seri tunggak Islam maka sebab itu kita disuruh mengimarahkan masjid.

"Nak masuk ke masjid langkah kaki kanan manakala kaki kiri untuk ke tandas.

"Insya Allah jika kita amalkan perbuatan yang disuruh sepertimana dalam Al Quran hidup kita akan berkat buat selama lamanya," terangnya.

Hadir sama ke program itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man,  Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Husain, Adun Batu Maung, Datuk Haji Abdul Malik Abul Kasim, Adun Batu Uban, Raveentharan, Yang Dipertua PAS Jelutong, Yaacob Omar, Yang Dipertua Bayan Baru, Ahmad Rasdan Mohd Nor, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dan ramai lagi.
Batu asas dipecah

Sementara itu, batu asas pembinaan menara Masjid Jamek Batu Uban, Pulau Pinang yang akan dirasmikan oleh TG Nik Aziz telah dipecahkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab awal pagi tadi.

Ketika menghubungi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim beliau sendiri mengesahkan tanpa memberitahu siapa punya angkara.

"Pagi tadi sebelum subuh salah seorang anak qariah ternampak batu asal yang siap dibina selepas Insyak semalam runtuh.

"Ia adalah permainan individu yang tidak senang dengan kehadiran Datuk Nik Aziz untuk melawat Masjid tertua di Pulau Pinang.  Apa pun kami sedang menyiasat," tegasnya.

Menurut Iszuree,  pembinaan menara masjid amat penting sebab selama ini masjid berkenaan tidak mempunyai menara.

Sempena lawatan Tuan Guru Nik Aziz ke Pulau Pinang untuk berceramah pada malam ini di Sungai Nibung bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng, maka pihak masjid menjemputnya untuk makan tengahari di samping bertemu rakyat Batu Uban.

Mereka berada dalam dilema kerana terpaksa pindah akibat pembangunan oleh sebuah syarikat kroni Umno untuk projek perumahan.

Boleh undi calon bukan Islam - Dewan Ulama

KUALA LUMPUR: Tidak ada sebarang masalah bagi orang Islam untuk mengundi calon bukan Islam pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti jika langkah itu boleh menjuruskan ke arah menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman yang berlaku dalam negara ini.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali berkata para ulama Islam sepakat bahawa menghapuskan kezaliman adalah wajib, apatah lagi apabila melibatkan kezaliman dan kemungkaran pemerintah yang diberi amanah menjaga maslahah rakyat.

Begitu juga menegakkan kerajaan yang adil lagi berkebajikan adalah wajib. Maka sebarang usaha yang boleh membawa kepada tertegak perkara yang wajib itu juga menjadi wajib.

"Ia dijelaskan oleh banyak ayat al Quran dan Hadis. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad baginda menegaskan bahawa pengkhianatan paling besar ialah pengkhianatan pemerintah orang awam.

"Maka sebarang cara yang boleh membawa kepada terhapusnya kezaliman perlu diusahakan termasuk dengan kerjasama antara muslim dan bukan muslim dalam pilihanraya. Justeru itu mengundi calon pilihanraya bukan Islam yang boleh menyumbang kepada usaha tersebut tentulah sangat wajar sekali," katanya kepada Harakahdaily.

Atas tujuan itu juga ujarnya, memilih calon-calon bukan Islam di kalangan DAP dan PKR yang bekerjasama dengan PAS dalam konteks PRU13 adalah sangat perlu bagi menyumbang kepada usaha menggantikan sebuah kerajaan yang gagal melaksanakan amanah pemerintahan dengan kerajaan baru yang lebih berintegriti.

Apa yang jelas katanya, kerjasama antara PAS, PKR dan DAP dalam PRU13 adalah bertujuan menegakkan kerajaan yang adil dan berkebajikan.

Umat Islam yang sedar tegasnya, tidak akan mudah terpengaruh dengan sentimen kebencian kepada calon bukan Islam Pakatan Rakyat sehingga melupakan kezaliman dan kemungkaran pemerintah BN sedia ada sejak puluhan tahun.

"Justeru rakyat Malaysia wajar sekali memberikan undi yang padu kepada calon-calon pilihanraya Pakatan Rakyat termasuk kepada calon-calon bukan Islam," ujar beliau.

111 ahli Umno di Kemahang sertai PAS


Thursday, January 17, 2013

HKR112: Kehadiran 500,000 amaran akhir kepada BN



KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) menegaskan kehadiran 500,000 ke himpunan Sabtu lalu merupakan amaran akhir rakyat kepada kerajaan BN.

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu berkata, himpunan tersebut jelas menggambarkan amaran rakyat agar kerajaan menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan telus.

"Himpunan baru-baru ini merupakan amaran kepada BN agar melakukan pilihan raya dengan telus dan adil.

"Kalau berlaku penipuan, rakyat akan keluar ke jalan raya lagi untuk humban mereka," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. (Gambar atas)
Mohamad juga berkata, pihaknya sudah membuktikan bahawa mereka memberikan kerjasama kepada pihak polis dan bersedia untuk terus bekerjasama dengan pihak keselamatan.

"Pihak sekretariat beri kerjasama sebelum, semasa dan selepas himpunan ini pun kita akan terus bekerjasama dengan polis," katanya sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang terlibat menjayakan HKR.

Menjawab tuduhan sesetengah pihak bahawa HKR bertujuan menggulingkan kerajaan, beliau berkata perkara itu akan dilakukan dalam PRU ke-13.

"Ya, memang kita mahu menggulingkan kerajaan. Kita akan gulingkan kerajaan melalui peti undi dalam PRU ke-13," katanya.

HKR berjaya membuat kutipan derma dari rakyat berjumlah RM268,802.10.

Wang itu  akan digunakan bagi menampung perbelanjaan HKR yang telah dianjurkan di seluruh negara.

"Dengan ini saya merayu orang ramai agar terus menghulurkan sumbangan kepada kami ke akaun "Tabung Impian Rakyat Malaysia" Maybank 562106235615," katanya.

Asal Bukan Dali muncul di Pengkalan Chepa

PENGKALAN CHEPA: Kalau sebelum ini kita sering melihat perkataan ABU (Asal Bukan Umno), namun sekarang muncul pula ABD (Asal Bukan Dali).

Perkataan ABD ada yang dicetak pada baju t-shirt. Selain itu ada juga sepanduk yang ditulis perkataan tersebut.

Segalanya bermula 5 Januari lalu apabila lebih 50 ahli Umno daripada 23 cawangan di bahagian Pengkalan Chepa berhimpun di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menuntut Ketua Bahagian, Datuk Dali Hussin meletak jawatan.

Turut berhimpun anggota jawatankuasa Umno bahagian berkenaan dan ketua-ketua cawangan.

Ekoran tersebar pergolakan dalaman yang semakin parah itu, Umno Pengkalan Chepa cuba pula “menyerang” PAS dengan mendakwa ada bekas muslimat PAS menyertai Umno kerana kecewa tidak mendapat apa-apa bantuan.

Beberapa nama disiarkan media baru-baru ini kononnya menyertai Umno termasuk Che Semah Che Yah, 57 dan Aminah Mahmood, 57. Mereka dikatakan menyertai Kursus Kepemimpinan dan Pembangunan Insan Wanita Pengkalan Chepa.

Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Mohd Azmi Nor (gambar) berkata, tidak ada penyokong PAS yang hadir pada program berkenaan.

Malah katanya, orang yang mengaku sebagai penyokong PAS seperti disiarkan media baru-baru ini didapati bukan ahli atau penyokong PAS.

“PAS cawangan di sini tidak kenal makcik terbabit yang kononnya mendakwa sebagai bekas penyokong PAS.

“Apa yang kami dapati mereka ialah penyokong Umno yang diarah untuk mengakui pernah menyokong PAS bagi mengalih tumpuan pergolakan dalaman Umno Pengkalan Chepa sekarang,” katanya di sini.

Sementara itu Setiausaha PAS Pengkalan Chepa, Hassan Mamat berkata, seorang wanita, Zainun Jaafar dari Kampung Pulau Gajah yang mendakwa tidak pernah dibantu kerajaan negeri dan PAS adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, bantuan kepada anak-anaknya diberi setiap tahun bagi meringankan bebanan keluarganya ekoran kematian suami yang juga bekas aktivis PAS di kampung terbabit.

Beliau berkata, keluarga terbabit juga diberi bantuan membaiki rumahnya yang agak besar masih dalam pembinaan sekarang. Malah Maik juga datang meninjau rumah tersebut baru-baru ini.

“Segala dakwaannya tidak berasas sama sekali. Ini seolah-olah dia tidak berterima kasih terhadap segala bantuan diberi kerajaan negeri selama ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau percaya ibu tunggal terbabit dipengaruhi pihak tertentu dengan membawa Ketua Wanita bahagian, Zarina Md Eusope datang ke rumahnya kelmarin.

PAS himpun semua tokoh baru dalam 'Ummah Bersama PAS'

KUALA LUMPUR: PAS akan menghimpunkan semua tokoh-tokoh yang menyertainya sejak kebelakangan ini dalam satu himpunan perdana awal Februari nanti.

Program yang akan berlangsung setengah hari itu akan diadakan pada pada 3 Febuari depan di Hotel De Palma Ampang.

Menurut Pengarah program Salahuddin Ayub, tujuan himpunan itu adalah untuk meraikan semua tokoh-tokoh yang baru menyertai PAS sama ada mereka daripada bekas tokoh politik, agamawan, ekonomi, budayawan, akademik, profesional, wanita, belia mahasiswa dan artis yang telah mengisytiharkan pendirian mereka menyokong perjuangan bersama PAS.

Malah katanya, golongan ini telah memberi sumbangan mereka ke arah memperkukuhkan perjuangan PAS bersama Pakatan Rayat yang kini begitu penting dalam memposisikan PAS dalam PRU-13 nanti.

Mereka ini, jelas Salahuddin akan memberikan ucapan mewakili entiti masing-masing dan menyatakan komitmen mereka memberi sokongan kepada PAS.

"Mereka adalah tetamu kehormat yang akan diraikan oleh Mursyidul Am PAS dan Presiden sebagai membuktikan betapa PAS menghargai sokongan mereka," katanya.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turut serta dalam program itu.