Abdul Razak di kawasan rumahnya yang tiada bekalan elektrik dan air.
BENTONG: “Tinggal di kawasan Menteri Besar tidak ada
kelebihannya jika kami hanya layak digelar penumpang seperti pendatang
tanpa izin,” keluh warga Abdul Razak Ali, 65, dari Kampung Chemomoi
dekat sini.
Menurutnya, beliau telah lebih 40 tahun tinggal di situ dengan
mengusahakan lima ekar sawit tetapi oleh kerana tidak mendapat geran hak
milik beliau dinafikan sebarang bantuan seperti daripada Risda.
“Saya dah mohon geran tanah lot tapak rumah dan kebun sejak daripada
zaman mendiang Tan Sri Chan Siang Sun jadi ahli parlimen Bentong lagi.
“Tiap-tiap kali pilihan raya umum (PRU) ada tawaran untuk diberi
geran, dah beberapa kali janji tapi sampai ini tak dapat. Saya percaya
tak lama lagi ada yang akan datang tawarkan untuk beri geran. Dah jadi
macam umpan untuk undi.
“Apa yang saya bimbangkan apabila tidak ada geran bila-bila masa
kerajaan boleh ambil. Jadi sebelum ‘pejam mata’ saya rayulah dilulus
geran kami, kalau tidak apa lagi yang dapat saya wariskan kepada
anak-anak,” keluhnya.
Abdul Razak berkata, Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai wakil rakyat di
sini, memang ada sesekali datang tetapi biasanya hanya mengagihkan wang
atau bantuan sedangkan bagi penduduk di situ geran tanah lebih penting
bagi menjamin kehidupan mereka.
Kampung Chemomoi dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangau dibuka
sekitar tahun 1959 oleh penduduk tempatan dan mereka yang berhijrah dari
Negeri Sembilan. Nama Felda Chemomoi diambil daripada nama kampung
berkenaan yang terletak bersebelahan.

Pada masa ini terdapat kira-kira 100 keluarga dalam kampung berkenaan yang sebahagian besarnya bekerja kampung sebagai petani.
Seorang lagi penduduk, Zainuddin Samad, 54,
(kiri) pula kecewa berikutan tanah seluas setengah ekar tapak rumahnya masih tiada geran hak milik.
Katanya, sudah enam kali beliau mohon, dan sejak itu sudah beberapa
kali kakitangan pejabat tanah datang ukur tanah sekeliling rumahnya
tetapi lepas itu terus senyap.
“Saya hairan bagaimana kerajaan melaungkan janji ditepati, sedangkan
janji kepada kami penduduk kampung yang berada dalam kawasan Menteri
Besar Pahang ini tidak pernah ditepati.
“Kenapa buat rakyat macam pendatang asing. Kami bukan minta hak orang
lain, kami minta hak kami sendiri di tanah yang kami telah hidupkan
berpuluh tahun,” tegasnya.

Mohd
Borhan Abdul Razak, 30, pula kesal akibat tidak ada geran tanah, rumah
yang baru dibinanya tidak dapat diduduki berikutan tidak diluluskan
permohonan memasukkan bekalan air paip dan elektrik.
Bagi Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Abdul Hamid Bahatim, Adnan
sudah 26 tahun menjadi wakil rakyat di sini sepatutnya sudah boleh
selesaikan masalah rakyat terutama tanah.
Katanya, oleh kerana kesibukannya sebagai Menteri Besar duduk di
Kuantan. Dia juga Pengerusi Umno Negeri, Ahli Majlis Tertinggi Umno jadi
sudah tentu beliau sibuk sehingga ketiadaan masa untuk selesaikan
masalah rakyat.
“Hal berkaitan tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri jadi jika
menteri besar mahu beliau boleh keluarkan geran untuk penduduk di
kawasannya.
“Malangnya pada masa ini masalah tanah rakyat Umno jadikan sebagai
umpan kepada pengundi. Tak sepatutnya permohonan geran tanah rakyat
dibiarkan sampai puluhan tahun dengan hasrat nak pancing undi. Ada ugut
pulak, kalau nak geran kena undi BN,” ujarnya.
Kata Abdul Hamid, sebab itulah tawaran Pakatan Rakyat Pahang amat
relevan iaitu antaranya menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang
yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula
Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun.
Tambahnya, selain itu, PR Pahang juga berjanji untuk menyelesaikan
permohonan tanah yang tertunda sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang
sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi
syarat.
Katanya, masalah tanah banyak di kampung-kampung tradisi dan Felda dan beliau melihat sekarang rakyat dah mula sedar.