Wednesday, March 28, 2012

Pemimpin sendiri dedah Umno tipu dalam p’raya


KUALA LUMPUR, 27 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bahawa BN selama ini berkuasa kerana persempadanan kawasan mengundi menunjukkan Umno sememangnya parti yang mengamalkan penipuan bagi memenangi pilihan raya.

“Sebelum ini, bekas pimpinan tertinggi Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir pernah mendakwa Umno membeli undi bagi memenangi pilihan raya,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) dalam satu kenyataan.

Bagi DPPM, katanya dakwaan bekas-bekas pemimpin Umno tentang strategi kotor Umno dalam pilihan raya umum terdahulu merupakan suatu dakwaan yang serius.

“Jika yang mendedahkan strategi kejahatan Umno dalam sistem pilihanraya di Malaysia adalah orang awam, ia mungkin boleh dipertikaikan kesahihannya.

“Tetapi jika yang mendedahkan strategi ini adalah bekas pemimpin Umno, ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada Umno,” ujarnya.

Baginya, kedua-dua pemimpin itu adalah orang kanan Umno dan mereka tahu malah terlibat secara langsung dalam strategi Umno untuk memenangi pilihan raya umum yang mana sudah tentu dakwaan mereka berasas.

Justeru itu, ujarnya tidak hairanlah Umno mudah memenangi pilihan raya yang terdahulu meskipun rakyat sudah lama menolak Umno.

Menurutnya, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan survival kuasa mereka dapat dicapai sekalipun terpaksa mencalar nilai demokrasi di negara ini dan memperkudakan apa sahaja agensi yang dibawah pentadbiran mereka.

“Bukan suatu kebetulan semua modus operandi yang dijalankan dalam sistem pilihan raya di negara ini seperti persempadanan semula kawasan pilihan raya, pendaftaran pemilih, undi pos, dan lain-lain melainkan tujuannya adalah untuk memenangkan Umno BN,” katanya lagi.

Justeru, jelasnya DPPM amat berharap, taktik jahat Umno itu dapat dibongkarkan agar ia dipatahkan dan tidak dibuat kembali menjelang PRU13.

Beliau menambah, sudah beberapa kali pilihan raya umum berlangsung dan sudah berpuluh tahun rakyat ditipu dengan sistem pilihan raya yang kotor di negara ini.

“Akhirnya, dengan dakwaan ini membuktikan Umno BN tidak layak memerintah negara,” katanya lagi.

Beliau menambah, mereka berlagak seolah mendapat mandat daripada rakyat terbanyak, hakikatnya mereka menang dengan segala unsur penipuan.

“Rakyat perlu sedar dan bangkit supaya negara ini diselamatkan dari pemimpin dan parti yang menipu dan merompak kepercayaan rakyat,” ujarnya.

No comments: