Wednesday, March 28, 2012

Tidak perlu JK pemandu selesai air Kelantan


KUALA LUMPUR, 27 Mac: PAS mendakwa Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi tidak memahami peranan jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan sesebuah parti.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, masalah bekalan air bersih di Kelantan tidak memerlukan penubuhan jawatankuasa pemandu sebaliknya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan, peranan jawatankuasa pemandu  hanya membincangkan perkara-perkara yang mungkin melibatkan pimpinan-pimpinan parti yang diberi amanah mentadbir negeri Pakatan Rakyat hari ini.

"Dalam isu air Kelantan, jawatankuasa  pemandu tidak boleh berperanan kerana tidak ada legal ground.

"Dr Puad Zarkashi tak faham peranan jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan parti dengan peranan urus tadbir negeri yang memang melibatkan hubungan yang rapat antara kerajaan negeri dan pusat," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, isu bekalan air bersih di Kelantan adalah isu yang melibatkan hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Tambahan pula, masih terdapat perkara-perkara teknikal di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih belum selesai.

"Ini  adalah isu yang masih lagi di peringkat penyelesaian. Secara adilnya saya melihat dalam konteks yang besar, perbahasan di Parlimen ini juga membicarakan tentang isu SPAN yang masih lagi tidak selesai dari segi menyelesaikan isu teknikal antara kerajaan negeri dan pusat.

"Secara adilnya juga, isu air tidak terawat ini bukan hanya melanda Kelantan tapi juga di negeri lain seperti di Johor dan Selangor yang airnya dalam keadaan tidak selamat untuk diminum begitu sahaja," katanya.

Pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam, Dr Puad mencadangkan PAS menubuhkan jawatankuasa pemandu kerana mendakwa PAS Kelantan  gagal menyelesaikan isu air bersih di negeri itu.

No comments: