Thursday, March 29, 2012

Proses bicara pengundi pos di Ketereh tercemar?

KETEREH, 28 Mac: Perbicaraan bantahan pengundi pos di Pejabat Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam semalam mencetus tidak puas hati pembantah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan borang A yang difotostep (salinan).

Pada perbicaraan hari pertama (kelmarin) pembantah mengesan tandatangan pemohon pengundi pos tidak sama dengan borang yang ada pada SPR.

Keadaan itu menyebabkan pengadil yang terdiri daripada Pengarah SPR Kelantan, Mohamad Mahmood dan dua lagi pegawai kanan SPR menerima bantahan dibuat.

“Bagaimanapun disebabkan tandatangan borang A yang ada pada pemohon tidak sama dengan borang dimiliki SPR menyebabkan taktik baru pula dikesan dengan menampilkan borang A yang difotostep semalam.

“Saya hairan bagaimana pengadil boleh menerima pakai borang yang hanya difotostep. Kemungkinannya taktik itu dibuat bagi mengelak pembantah dapat mengesan tandatangan yang berbeza.

“Malah semalam juga perbicaraan empat isteri anggota tentera yang tidak membawa borang asal ditunda seketika, tetapi tidak lama kemudian tiba-tiba SPR memberitahu bantahan ditolak,” kata Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood (gambar).

Menurutnya ditemui juga ada anggota tentera yang dikesan sudah bersara turut disenarai sebagai pengundi pos di Dun Kok Lanas.

Kata beliau 10 bekas tentera tersebut selepas disemak di kem tempat bertugas didapati sudah menamatkan perkhidmatan, namun muncul pula sebagai pengundi pos baru.

Pada perbicaraan semalam juga 10 isteri anggota tentera hanya memiliki borang A yang difotostep. Ekoran itu menyebabkan perbicaraan kes berkenaan ditunda.

Turut ditemui pembantah ada isteri anggota tentera yang bertugas di negeri lain termasuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan juga disenarai sebagai pengundi pos di Kem Desa Pahlawan.

Ada juga kes ditemui anggota tentera yang mengaku berpindah ke negeri lain disenarai sebagai pengundi pos baru.

Malah lebih meragukan apabila ditemui seorang pengundi bernama Rosli Abdul Rashid didapati mempunyai tempat mengundi di dua lokasi berlainan iaitu di Kem Desa Pahlawan dan Pangkal Kalong.

Nik Mahadi berkata, pada perbicaraan tiga hari itu ditemui 17 bekas anggota tentera yang sudah bersara disenarai sebagai pengundi pos baru.

“Saya amat berharap SPR menyelidik terlebih dahulu permohonan pengundi pos kerana sudah terbukti ada tentera yang sudah bersara disenarai semula sebagai pengundi pos.

“Begitu juga pengundi pos di kalangan isteri anggota tentera hendaklah dibuat secara telus kerana banyak kes mereka tidak pernah memohon mengundi pos.

“Persoalannya siapa yang memohon bagi pihaknya kalau bukan sindiket yang ada kaitan dengan parti pemerintah,” katanya.

Bas TUDM

Isteri anggota tentera yang hadir pada perbicaraan hari ini dilihat datang dengan bas milik Tentera Udara Malaysia yang berpangkalan di Gong Kedak, Jertih.

Malah ramai suami (anggota tentera) mengasuh anak kecil ketika isteri memasuki bilik perbicaraan.

Difahamkan ada pihak yang membiayai kedatangan mereka biar pun tidak kelihatan wakil Umno berada di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Perbicaraan senarai pengundi pos bagi suku keempat itu membabitkan seramai 129 pemilih termasuk tiga pengundi awam.

No comments: