KOTA BHARU, 27 Mac: Angkatan Muda PKR (AMK) Kelantan akan melancarkan program Gerakan Tawan Anak Kelantan (GerTAK) sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.
Ketuanya, Azihan Che Seman (gambar) berkata, program GerTAK lebih tertumpu kepada anak-anak Kelantan yang berada di perantauan terutamanya di Lembah Klang.
Katanya, program awal membabitkan anak perantau akan diadakan pada 31 Mac ini bertempat di perkarangan Pejabat Parlimen Gombak, di Pusat Bandar Taman Melawati. Ia bermula jam 1 tengahari hingga 5 petang.
“Program itu diadakan dengan kerjasama Biro Strategi PKR Kelantan bertujuan bertemu mata dengan pengundi luar khususnya anak muda.
“Selain itu bagi mewujudkan hubungan dengan pengundi luar dan membina sistem maklumat pengundi secara lebih teratur,” katanya di sini.
Menurutnya program dikenali sebagai Bekwah Anak Kelantan Lembah Klang disasarkan kehadiran lebih 1,000 anak Kelantan yang berada di sekitar Lembah Klang.
Katanya juga kehadiran pengundi luar menjadi faktor utama kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan sejak 1990 dan ia perlu dipertahankan.
Program itu bertema Sihat Ko, Ore Kampong Kito. Aktiviti lain yang akan diadakan termasuk jamuan makan, persembahan dikir barat Kelab Pantai Timur, pertandingan mewarna bintang kecil, dialog isu-isu semasa dan kaunter daftar pemilih.
Azihan berkata, program itu dijangka dihadiri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden, Azmin Ali, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution dan pimpinan Kelantan.
Sementara itu Pakatan Rakyat Kelantan akan mengadakan solat hajat dan ceramah perdana pada malam 30 Mac ini bertempat di Padang Perdana Kota Bharu.
Program tersebut bermula dengan solat Maghrib berjemaah kemudian diikuti solat hajat.
Penceramah handalan yang bakal ditampilkan iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, penasihat PKR, Penasihat DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Program berkenaan bertema Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia. Manakala pada sebelah petang hari sama diadakan jamuan teh bagi memungut derma serta persembahan kebudayaan.
No comments:
Post a Comment