Thursday, January 03, 2013

Padanlah Ketua Pemuda Umno macam itu


KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa simpatinya dengan Pemuda Umno yang mempunyai ketua tetapi tidak dihormati langsung oleh Umno.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) yang mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mengenai 'isu Amanat Haji Hadi' hari ini.

Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa siaran langsung penjelasan Presiden PAS adalah merbahaya.

"Saya hanya ingin menyuarakan simpati kepada Pemuda Umno kerana mempunyai ketua seperti ini.

"Barangkali inilah faktornya beliau tidak terpilih menjawat apa-apa jawatan dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekalipun memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno," kata Abdul Latif dalam kenyataannya hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Abdul Latif berkata, beliau terpanggil untuk memberikan respon terhadap kenyataan beberapa orang mufti berkaitan isu permintaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk muncul di kaca televisyen secara langsung bagi memberikan penjelasan berkenaan apa yang didakwa sebagai 'Amanat haji Hadi'.

Kenyataan para mufti yang dimaksudkan ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar-akhbar pada hari ini 2 Januari 2013.

"Saya ingin melahirkan rasa terkilan dan tidak bersetuju dengan pandangan para mufti yang beranggapan bahawa siaran langsung penjelasan tersebut tidak perlu kerana akan menambah kekeliruan," katanya.

Bahkan ada yang mempertikaikan niat sebenar Presiden PAS tersebut adakah mahu memberikan penjelasan ataupun mahu mencari populariti?

"Pada saya, tidak timbul isu mencari populariti kerana pihak yang mencetuskan kembali isu yang telah berlalu tiga dekad ini ialah media massa milik UMNO/Barisan Nasional sendiri," katanya.

Katanya, Presiden PAS telah dikutuk dan dilanyak selama berminggu-minggu dengan pelbagai jenis kecaman dan tohmahan, justeru beliau berhak untuk memberikan penjelasan yang boleh diakses oleh semua pihak.

Sekiranya penjelasan Presiden PAS dibimbangi menimbulkan kekeliruan, adakah para mufti sendiri sanggup menegur sikap kerajaan yang membenarkan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen yang tentunya mempunyai kesan sosial terhadap anak muda? soal beliau.

"Adakah adil namanya apabila ucapan Presiden Umno ketika Perhimpunan Agung Umno disiarkan terus menerus secara langsung namun hak Presiden PAS untuk memberikan penjelasan ke atas fitnah yang dilemparkan hanya untuk sejam telah dinafikan?

"Tidakkah ruang sejam yang diberikan kepada Presiden PAS itu boleh dijawab semula dengan penjelasan selama berminggu-minggu oleh para mufti ini?

"Atau mufti-mufti ini merasa tidak yakin dengan kemampuan ilmu yang ada pada mereka untuk menjawab kembali penjelasan Presiden PAS?" soal beliau lagi.

Perlu diperjelaskan, katanya, beliau menghormati para mufti atas ilmu dan kedudukan yang dimiliki, "namun dalam hal ini saya memohon izin untuk berbeza pandangan."

"Pada saya, jika para mufti hanya ingin bersuara di atas kepentingan Umno/Barisan Nasional, lebih tepat jika sekiranya berundur secara terhormat dan menyertai politik sepenuh masa.

"Justeru, saya ingin mengulangi pendirian bahawa Presiden PAS berhak diberikan peluang untuk muncul secara langsung melalui televisyen bagi memberikan penjelasan.

"Adapun cadangan agar beliau menggunakan web tv melalui internet adalah tidak relevan sama sekali kerana ia tidak mampu dicapai oleh semua pihak berbanding fitnah dan tohmahan terhadap beliau yang telah diulang-ulang selama beberapa minggu melalui media massa utama," tambahnya.

No comments: