Wednesday, January 02, 2013

Pentas astaka Kemaman runtuh tutup tirai 2012


KEMAMAN: Negeri Terengganu Darul Iman menutup tirai 2012 dengan insiden bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai, Kemaman runtuh pada 30 Disember lalu.

Kejadian ‘runtuh’ seolah-olah badi bagi negeri ini selepas kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu runtuh pada 2 Jun 2009.

Tinjauan Harakahdaily mendapati sengkuap (awning) di pentas astaka berkenaan runtuh menyembah bumi dipercayai strukturnya yang lemah serta reput sekitar jam 2.30 petang.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat menggesa agar siasatan perlu dibuat secara telus bagi memastikan punca sebenar sebahagian bumbung astaka itu runtuh.

Ini kerana, katanya kejadian runtuh, roboh dan tumbang banyak berlaku di negeri ini seolah-olah membenarkan jolokan gelaran ‘Terengganu Darul Runtuh’ yang memalukan.

Sebelum ini, pelbagai jenis bangunan runtuh di Terengganu sehingga menerima jolokan 'Darul Runtuh'. Antaranya sekolah, masjid, stadium dan stesen bas. Kolam renang bertaraf nasional juga rosak iaitu bocor dengan airnya melimpah ke ruang niaga di sebelah kolam renang di Batu Burok itu.

Pelbagai pihak menyifatkan punca runtuhan itu adalah pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan akibat dari kontraktor kroni dan amalan rasuah dalam pembinaannya.

No comments: