Sunday, December 30, 2012

Teka-teki tarikh pilihan raya, Muhyiddin persenda rakyat

KUALA LUMPUR: Pilihan raya sebenarnya bukanlah hak milik parti pemerintah sekalipun mereka bertanggungjawab mentadbir dan menguruskan kerajaan, kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.

Sebaliknya, kata beliau pilihan raya adalah hak rakyat, maka menjadi tanggungjawab setiap pentadbir dan pemimpin dalam negara untuk menghormati dan menguruskan hak rakyat dengan sebaik mungkin.

“Tindakan menyembunyikan tarikh pilihan raya itu sendiri sudah dianggap mencabul prinsip demokrasi, apalagi menjadikan ianya sebagai teka-teki,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, ujar beliau kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tarikh pilihan raya dijadikan mainan dan alat untuk menggembirakan hati adalah satu kenyataan yang sangat biadap dan celupar.

“Beliau seharusnya sedar bahawa penangguhan tarikh pilihan raya ini sebenarnya telah menjejaskan aktiviti tahunan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mungkin, katanya Muhyiddin terlupa bahawa ada yang sanggup menangguhkan ibadah haji, menunda tarikh kenduri, dan pelbagai aktiviti tergendala sepanjang tahun 2012 gara-gara tindakan Umno BN yang tidak demokratik kerana menyembunyikan tarikh pilihan raya.

Tambahnya, seolah-olah mereka mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal dan menentukan pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau berkata Muhyiddin seharusnya menarik balik kenyataan tersebut.

Menurutnya, sekalipun Umno BN begitu takut untuk menghadapi pilihan raya kali ini tetapi dengan menjadikan tarikh pilihan raya sebagai teka-teki adalah mempersendakan rakyat.

No comments: