KUALA LUMPUR: Sempena dengan kehadiran Perdana Menteri di Kuala Pahang, Pekan bagi melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), semalam seramai 60 orang aktivis mahasiswa daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Negeri Pahang berkumpul untuk menyatakan protes terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang telah terbukti gagal mengurus tadbir negara dengan baik dan menjadi keperluan mendesak bagi menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusi Gamis Pahang, Ahmad Fatihi Makhtar berkata, dalam protes tersebut, mahasiswa mendesak supaya Najib mengambil perhatian serius terhadap masalah bekalan air bersih di Negeri Pahang khususnya di sekitar parlimen beliau sendiri iaitu Pekan yang tidak berkesudahan sehingga sekarang.
Katanya, reaksi penduduk sekitar Kuala Pahang terhadap Protes Aman Mahasiswa menggambarkan Parlimen Pekan bukannya kubu kuat Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, dalam sejarah PRU ke-10 pada 1999, Najib Razak yang ditentang oleh Ustaz Ramli Mohamed daripada PAS, Najib hanya menang tipis dengan majoriti 241 undi.
“Terbukti bahawa sepanjang protes aman berlangsung, ramai penduduk sekitar menunjukkan sokongan terhadap protes ini,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya lagi, mahasiswa turut menyatakan hasrat agar PRU akan datang dijalankan dengan adil, telus dan demokratik serta menuntut agar pihak kerajaan menghentikan budaya politik rasuah, politik perkauman, politik janji, politik samseng, politik ugut dan politik fitnah yang semakin subur di negara kita pada hari ini.
Selain daripada itu, ujarnya mahasiswa turut menuntut capaian media yang adil, telus & saksama semasa tempoh berkempen dijalankan.
“Menariknya, protes aman itu turut mendapat respons positif daripada pegawai-pegawai kerajaan yang melalui jalan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, terbukti mereka yang hadir hanya kerana arahan dan kerahan tetapi mereka sedar akan kepincangan negara yang berlaku di bawah pemerintahan Najib.
Walau bagaimanapun, jelasnya kekecohan dan ketegangan protes aman berlaku apabila sekumpulan ‘ahli Umno tegar’ hadir dan cuba menghalau aktivis mahasiswa yang sedang berhimpun.
Menurutnya, mereka terus menerus mengatakan bahawa anak muda pada hari ini tidak bersyukur dan tidak berterima kasih pada kerajaan yang memberi banyak kemudahan kepada pelajar.
“Apabila ditanya tentang masalah air di sekitar Pekan yang telah berlaku sekian lama, mereka mengakui dan mereka mengatakan masalah tersebut perlu berbincang dengan penghulu kampung,” katanya.
Katanya lagi, kekecohan selamat 10 minit ditenteramkan oleh beberapa anggota polis.
Selepas rundingan dibuat dengan pihak polis, ujar beliau mahasiswa bersetuju untuk menghentikan protes aman dengan mengambil pertimbangan faktor keselamatan yang tidak selamat walaupun di kawasan parlimen Perdana Menteri sendiri.
Baginya, PRU13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme, menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi sultan dan sebagainya.
“Gamis akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam PRU13 tercapai,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment