Sunday, March 03, 2013

PAS Besut rakam takziah kepada Inspektor Zulkifli


Ustaz Wan Azhar (empat dari kiri) bersama pemimpin PAS Besut turut menyertai solat jenazah Inspektor Zulkifli.

BESUT: PAS Kawasan Besut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, 29, yang terkorban dalam tragedi berdarah pagi Jumaat di Lahad Datu, Sabah, semalam.

Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata PAS Besut turut bersedih dan sangat bersimpati dengan kejadian itu serta berharap agar ahli keluarga allahyarham bersabar dengan ujian Allah SWT.

Beliau turut mendoakan agar roh allahyarham Zulkifli serta rakannya yang terkorban itu dicucuri rahmat serta mendapat pahala yang besar di sisi Tuhan.

“Saya bagi pihak PAS Kawasan Besut dan kepimpinan PAS Terengganu khususnya ucap takziah kepada ahli keluarga allahyarham Zul (Zulkifli) dan bersabarlah dengan ujian ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan dianugerahkan pahala yang besar, insya Allah,” ujarnya.

Wan Azhar berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah anggota komando PDRM itu di rumah ibu allahyarham di Kampung Kubang Ikan, Kota Putra, Besut petang tadi.

Sehubungan itu, Ustaz Wan Azhar menegaskan PAS Besut mendesak satu siasatan menyeluruh dilakukan bagaimana ‘pencerobohan’ boleh berlaku dan mereka dapat memasuki negara ini.

Katanya, masalah keselamatan negara tidak boleh berkompromi dan jika terbukti mana-mana pihak terlibat perlu diambil tindakan segera sekali pun terhadap pemimpin kerajaan yang memerintah hari ini.

“Kita sangsi dan khuatir dengan tragedi pencerobohan oleh ‘tentera Sultan Sulu’ boleh masuk tanpa disedari oleh pihak keselamatan negara.

“Sebab, kerajaan telah menyediakan peruntukan besar kepada Kementerian Pertahanan untuk tujuan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Ini memalukan rakyat dan negara di mata dunia,” ujarnya.

No comments: