Wednesday, April 10, 2013

PRU13: Pemantau Kelantan serah memo kepada SPR



KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menggunakan kuasanya untuk mengarahkan mana-mana kementerian untuk memberi ruang kepada mana-mana parti berkempen dalam setiap pilihanraya, termasuk pembangkang.

Ketua Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan, Mohamad Faizal Che Yusoff, ketika memberitahu media berkata dalam tempoh kerajaan sementara ini khususnya SPR boleh mengarahkan mana-mana kementerian untuk diberi peluang kepada pembangkang berkempen melalui saluran yang sama.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum Pemantau Pilihan Raya Kelantan kepada Pengarah SPR negeri, Mohamad Mahmood, di pejabatnya pagi tadi. (Gambar atas)

Menurut Faizal, peruntukan Bahagian 8 Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan di mana pihak SPR mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi awam bagi memastikan urusan pilihanraya berjalan baik.

“Namun apa yang kita sering dengar, SPR tidak ada kuasa, SPR tidak ada kuasa, sebenarnya mereka boleh berbuat demikian melalui peruntukan tersebut,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkata, setakat ini SPR mengakui hanya gesaan tempoh kempen selama 21 hari sahaja yang mudah diikuti.

Antara isi memorandum yang diserahkan pada SPR itu antara lain menuntut media yang bebas bagi memberi ruang yang sama pada pembangkang dalam media arus perdana.

Selain itu, Pemantau juga turut mendesak supaya daftar pemilih yang bebas dari kesilapan dan pengundi hantu agar badan itu tidak dipersoalkan lagi oleh masyarakat.

SPR juga perlu lebih berwibawa dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai badan pengendali pilihanraya yang mendapat kepercayaan awam.

No comments: