Wednesday, April 10, 2013

Salahuddin optimis 12 kerusi parlimen di Johor


KUALA LUMPUR: Calon PAS di Parlimen Pulai Salahuddin Ayub optimis Pakatan Rakyat dapat menyumbang 12 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau yang baru diisytiharkan bertanding di Parlimen Pulai oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini berkata, berdasarkan sambutan yang diterimanya sejak setahun yang lalu, Johor berpotensi menyumbang kerusi bagi mengambil alih Putrajaya.

"Saya berterima kasih kepada rakyat di Pulai yang sejak setahun lalu memberi kepercayaan dan sambutan kepada saya.

"Ini sangat menarik dan sepanjang saya legar di pejabat-pejabat kerajaan, saya melihat reaksi pegawai di Johor satu penerimaan yang sangat hangat.

"Saya akan pikul tanggungjawab ini untuk menyumbang 12 kerusi Parlimen untuk sampai ke Putrajaya," kata beliau pada sidang media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga menyatakan kesediaannya memikul tanggungjawab yang disifatkan sebagai mencabar itu.

"Walaupun tugas ini tugas yang besar dan dianggap BN saya penggali kubur di sini tapi saya telah anggap ia satu amanah dan suatu yang sangat saya sanjung tinggi.

"Perlu diketahui Pakatan tidak mungkin sampai ke Putrajaya sekiranya tidak memberi kerusi Parlimen untuk kita sampai ke Putrajaya," katanya lagi.

No comments: