KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa tidak
gentar untuk bertanding di kerusi parlimen Putrajaya walaupun ramai yang
menjangkakan kerusi itu akan 'mematikan' beliau.
Husam
ketika memberi ucapan sebaik sahaja diumumkan sebagai calon di
Putrajaya mengakui kerusi yang diamanahkan itu sukar untuk dimenangi,
namun baginya ia dilihat satu cabaran yang besar dan perlu digalasnya
dengan bijak.
P125 Putrajaya disandang oleh Setiausaha Agung Umno
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menenangi kerusi ini pada
PRU 2008 dengan majoriti sebanyak 2,734 undi.
"Dia seorang
setiausaha agung, seorang yang strategis dan tokoh yang hebat. Walaupun
cabaran yang berat, saya cabar untuk berikhtiar biar Putrajaya
diwarnakan dengan warna yang sesuai dengan rakyat.
"Di bawah lembayung kehidupan tidak salah untuk mencuba," tegasnya.
Katanya,
trend sekarang adalah trend untuk perubahan dan memerlukan beliau
menggariskan strategi ke atas Putrajaya yang bukan sahaja kerusi
parlimen tetapi sebagai pusat transformasi negara.
Husam turut
menerima nasihat daripada kalangan ahli parti agar beliau tidak
bertanding di kerusi Putrajaya kerana ia tidak selamat buatnya.
"90
peratus mereka yang berjumpa dengan saya menasihatkan saya jangan pergi
(Putrajaya) sebab saya akan 'mati'. Bagus juga macam itu, sebab ramai
yang akan doakan saya hidup," katanya.
Bagaimanapun beliau akur,
dengan keputusan parti walaupun terpaksa meninggalkan negerinya tetapi
beliau gembira apabila orang Putrajaya menyambut kedatangannya di sini.
"Saya gembira kerana penduduk Putrajaya anggap saya calon yang sesuai. Nama saya naik empat kali di Putrajaya, "katanya.
Langkah
pertama sebaik sahaja diumumkan akan bertanding di Putrajaya, Husam
berkata beliau akan berjumpa dan melawat penduduk yang terdiri daripada
kakitangan awam untuk mengetahui apa aspirasi dan masalah mereka serta
isu yang akan beliau perjuangkan.
Husam turut menasihatkan agar
tidak ada bendera parti di jalan-jalan protokal di sekitar Putrajaya
kerana menghormati pusat itu sebagai kota pentadbiran kerajaan.
Hari
ini Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan enam
calon PAS yang akan bertanding kerusi parlimen dalam PRU ini.
Timbalan
Presiden parti itu Mohamad Sabu akan bertanding di Parlimen Pendang,
manakala Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya.
Selain
itu, dua lagi Naib Presiden PAS iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin
Ayub masing-masing akan bertanding di Parlimen Pokok Sena, Kedah dan
Pulai, Johor.
Sebanyak 76 kerusi parlimen dan 230 kerusi DUN yang akan ditandingi PAS dalam PRU kali ini.
No comments:
Post a Comment