Thursday, May 10, 2012

Fokus 8 tuntutan Bersih, abai putar belit media


KUALA LUMPUR, 8 Mei: 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong Bersih 2.0 meminta semua pihak kembali fokus kepada lapan tuntutan Bersih dan tidak melayan putar belit media arus perdana.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Nahar Md Nor berkata, media seharusnya membantu Bersih 3.0 memastikan lapan tuntutan dilaksana, bukan mengalihkan isu.

"Jika ada keganasan polis atau ada peserta bertindak ganas, itu jelas perlu dilakukan siasatan bebas tapi isu yang kita nak bawa iaitu lapan tuntutan, tidak boleh hilang fokus.

"Kita nak agar isu dan tuntutan Bersih ni balik kepada asal dan kita tak mahu isu-isu lain yang cuba dialih pihak media kerajaan daripada tuntutan sebenar Bersih," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), Tan Jo Hann berkata, isu pokok yang dibawa Bersih diputar belit, dan menutup keganasan polis terhadap orang awam dan media.


“Bersih wujud bukan disebabkan personaliti, menggulingkan kerajaan, komunis yang dimainkan oleh media arus perdana.

“Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum,” katanya.

Jo Hann yang berpengalaman sebagai jurufoto di Filipina juga menyifatkan keganasan polis pada perhimpunan Bersih 3.0 sebagai melampau.

“Tujuh tahun jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian.

“Polis atau tentera jika lihat pas  media, mereka akan lindungi kami,” katanya.

Turut serta ialah Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Rahim Noor berdepan tindakan mahkamah

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka memfail saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor ekoran kegagalan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir”.

Semalam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Pengerusi lajnah terbabit, Hisham Fauzi berkata, selepas peluang yang diberi untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf tidak dimanfaatkan, maka tindakan mahkamah perlu diambil.

“Tindakan saman juga akan dikenakan terhadap NST yang menyiarkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara terbabit kerana belum melakukan pembetulan.

“Saman itu dibuat atas nama Menteri Besar sendiri. Kita juga sudah berbincang dengan pasukan peguam Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat,” katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara terbabit dalam kenyataan seperti dilapor sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam berhubung kenyataan wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang ekoran peluang diberi semalam tidak dimanfaat sepenuhnya Rahim.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pemuda PAS Tanah Merah membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Laporan berkenaan dibuat Mohd Darulhisham Kamaludin mewakili Pemuda PAS Tanah Merah. Hampir 100 pemuda PAS Tanah dan AMK hadir bagi memberi sokongan, turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.

Petang semalam laporan serupa dibuat Pemuda PAS Pasir Puteh.

Manakala Pemuda PAS Negeri Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Rahim dan menyifatkan bekas ketua polis itu seperti hilang kewarasan dan pertimbangan akal.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sindrom hilang akal dan kewarasan seperti itu bukan perkara baru kerana Rahim pernah disabitkan kesalahan kerana menumbuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bekas timbalan perdana menteri itu ditahan pada 1998.

“Jika pada masa itu beliau masih Ketua Polis Negara boleh hilang pertimbangan, maka tidak menjadi perkara pelik sekiranya kehilangan pertimbangannya berulang kembali.

“Dalam hal ini mungkin Rahim tidak dapat membezakan istilah wajib yang disebut Tuan Guru Nik Aziz dan perbezaannya dengan wajib syarie di sisi agama.

“Wajib yang disebut Menteri Besar bukanlah bererti bahawa jika tidak dilakukan jatuh kepada hukum haram tetapi hanyalah sebagai gesaan kepada rakyat menuntut pilihanraya yang adil,” katanya.

'Haram jadah'... Inikah bahasa perdana menteri?


KUALA LUMPUR: Di kala ada yang kononnya 'tersandar' selepas mendengar pengumuman durian runtuh oleh Perdana Menteri, namun ada juga yang terkejut dengan 'bahasa kesat' yang digunakan Datuk Seri Najib dalam ucapannya semalam.
(PM ketika menghamburkan kata 'haram jadah' kepada sesetengah peneroka semalam)

Najib dalam ucapannya di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Pahang semalam dengan nada tegas dua kali mengulangi perkataan 'haram jadah'.

Beliau dipercayai menujukan kata-kata itu kepada pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Menurut Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar perdana menteri.

"Tak sangka perdana menteri yang dilihat bapa kepada rakyat, tetapi mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat sendiri," katanya.

Yang menjadi persoalan kata Mazlan, apa yang menyebabkan Najib begitu marah sehingga sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu.

"Perkataan ini jarang orang guna kecuali dalam keadaan terlalu marah.

"Dengan pengumuman durian runtuh itu, perdana menteri sepatutnya gembira kerana bakal mendapat sokongan dari peneroka. Tapi kenapa sampai perlu menyumpah haram jadah," soalnya lagi.

Mazlan berkata, sepanjang pemerhatiannya dalam media arus perdana dari malam tadi dan hari ini, tiada pun media yang melaporkan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu.

Bagaimanapun ujarnya, rakyat semalam dapat melihat dan mendengar dengan jelas ucapan Najib itu yang disirkan secara langsung melalui televisyen.

Kajian: Majoriti setuju keluarga Shahrizat bayar semula wang NFC

KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati majoriti dari responden bersetuju agar keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memulangkan semula wang Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada kerajaan.

Daripada 2,282 responden, 66 peratus adalah bersetuju agar wang pinjaman RM250 juta dikembalikan, 29 peratus tidak pasti dan hanya 5 peratus tidak bersetuju.

Hasil kajian juga menunjukkan kesemua bangsa bersetuju bahawa isu skandal NFC telah menjejaskan imej Umno dan memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Kajian itu merekodkan Melayu 68 peratus bersetuju ianya memberi gambaran Umno mengamalkan rasuah, Cina 80 peratus dan India 45 peratus.

Selain itu, 48 peratus pula bersetuju isu skandal NFC ini sukar diselesaikan kerana Shahrizat merupakan ketua wanita Umno, manakala 13 peratus tidak setuju dan 35 peratus tidak pasti.

Kajian bagi melihat kecenderungan politik menjelang pilihan raya umum ke-13 itu dibuat pada 13 Mac hingga 15 April di seluruh Malaysia.

Fitnah menggila, Pemuda PAS arah puasa 3 hari


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh anggotanya dan umat Islam prihatin untuk berpuasa sunat tiga hari berturut-turut bagi menangkis fitnah yang semakin menggila sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, puasa sunat itu dicadang dibuat serentak di seluruh negara bermula Khamis, Jumaat dan Sabtu ini.

"Menolak dan menangkis segala fitnah jahat secara sistematik yang dilakukan kepada PAS maka kami Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh ummat Islam prihatin khasnya pemuda PAS agar berpuasa selama 3 hari berturut - turut iaitu bermula hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.

"Kemudian diakhiri dengan Munajat Perdana pada Hari Sabtu jam 8.45 malam serentak seluruh negara di kawasan masing - masing," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Fitnah menggila itu katanya sedang disasarkan terutama kepada PAS  serta anggota dan pemimpinnya.

Ianya termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap 'Father of Kafir' oleh Bekas Ketua Polis Negara dan disiar pula oleh NST (gambar atas).

Selain itu, Pengarah Jabatan Amal Malaysia Johari Osman diugut dengan sepucuk surat berisi sebutir peluru hidup.

Sebelumnya anggota Unit Amal Mat Kamal Ismail telah ditangkap ekoran terlibat dengan himpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Satu lagi fitnah katanya sedang ditiupkan media arus perdana seperti TV 3 dan Utusan Malaysia yang tidak henti-henti menggambarkan kononnya  Bersih 3.0 yang disokong dan disertai oleh PAS telah melakukan keganasan, memusnahkan harta benda, bermaksud menggulingkan kerajaan secara rusuhan malah turut dikait sebagai mencemarkan kesucian Tanah Suci Makkah dan Madinah

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, setiap markaz tarbiah PAS kawasan akan menganjurkan majlis solat hajat dan munajat perdana pada malam hari ketiga itu sebagai kemuncak program.

Tuesday, May 08, 2012

Fitnah: Rahim diberi 24 jam tarik balik kenyataan


KOTA BHARU, 8 Mei: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya “bapa kafir”.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi (gambar) berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

“Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya,” katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan.

Sejarah politik paling kotor sejak merdeka – Kadir


BACHOK: “Sepanjang 56 tahun bersama Umno saya tidak pernah tengok lagi politik yang paling kotor dan tidak adil berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan, berbanding sekarang.

“Sekarang sudah tidak ada negara yang mengamalkan demokrasi menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya,” kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Ahmad.

Perkarangan pejabat PAS di Pantai Irama dekat sini penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar ceramah sulung bekas veteran Umno terbabit di Kelantan.

Di sebelah jalan utama di hadapan Masjid Bandar Bachok sehingga ke tepi pantai penuh dengan orang ramai tanpa menghiraukan hujan yang turun rintik-rintik.

Hadir sama pada ceramah isu semasa tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad.

Pada sebelah pagi Abdul Kadir menemui Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim dan sebelah petang bersembang bersama rakyat di Kedai Kok Lanas.

Abdul Kadir bekas anggota jawatankuasa Pemuda Umno Kampung Air Tawar, Baling pada 1956 juga berkata, suasana begitu berbeza zaman kepemimpinan Umno di bawah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak berbanding sekarang.

Katanya, masa itu pemimpin Umno benar-benar berjuang secara ikhlas dan jujur untuk rakyat.

“Mereka tiada perangai buruk seperti pemimpin Umno la ni. Sekarang pemimpin Umno tidak perlu susah-susah kempen bagi menarik sokongan rakyat, hanya perlu hulur duit sahaja.

“Politik sekarang we need money. Hendak jadi ketua Umno tidak payah kempen hanya guna duit. Begitu juga hendak menang pilihan raya hanya guna duit.

“Umno letak orang depa dalam semua agensi penting kerajaan seperti SPR, SPRM, polis, mahkamah dan tentera. Sebab itulah depa tidak takut untuk melakukan penyelewengan dan pembaziran kerana semuanya orang kita,” katanya.

Menurutnya tindak tanduk pemimpin Umno sekarang secara jelas mahu merosakkan negara kerana semua benda menggunakan umpan wang.

PIALA AFC 2012 : KELANTAN LWN AYEYAWADY UNITED

Siaran Langsung di RTM 1

Majlis Syura PAS sedang teliti senarai calon


IPOH: Proses pemilihan calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 hampir selesai dan kini berada diperingkat akhir.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sehingga kini hampir kesemua calon di semua kerusi yang ditandingi PAS sudah disenaraikan.

Menurutnya juga, Majlis Syura sudah pun meneliti senarai nama yang dikemukakan di setiap negeri sebelum diputuskan oleh peringkat tertinggi parti itu.

“Boleh dikatakan hampir selesai, kita akan berbincang bersama Majlis Syura dalam masa terdekat sebelum diputuskan jawatankuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Perak Kali Ke-16 di Hotel Hillcity Ipoh, semalam.

Katanya, setiap kawasan telah menghantar sekurang-kurangnya dua nama dan ianya dipersetujui oleh Majlis Syura.

“Kami akan mengisytiharkan calon selepas parlimen dibubarkan kelak,” ujarnya.

Mengenai pembahagian kerusi, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata, setakat ini semuanya berjalan de­ngan lancar dan cuma ada satu dua negeri yang masih dalam perbincangan akhir.

“Tiada masalah besar dalam pembahagian kerusi ini, ianya dalam proses perbincangan dan akan selesai tidak lama lagi,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai manifesto Pakatan Rakyat, beliau berkata gabungan tiga parti sudah pun menyiapkannya dan hanya akan diumumkan menjelang pilihan raya.

Ini kerana katanya, kebiasaannya Umno akan meniru manifesto Pakatan Rakyat seperti yang terjadi kepada Buku Jingga.

Sementara itu, beliau menggesa kepada jentera seluruh jentera parti di seluruh negara untuk mengibarkan bendera parti bagi membina semangat dan momentum dalam suasana bahang pilihanraya yang semakin hampir.

Majlis Fatwa bercanggah dengan Dr Yusuf Qardawi


KUALA LUMPUR, 7 Mei: PKR berpendirian tegas bahawa pandangan Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Abdul Shukur Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan seperti yang disiarkan dalam media semalam adalah sangat bertentangan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh seorang ilmuan Islam yang sangat berautoriti, Dr Yusuf al-Qaradawi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia seperti yang tercatat dalam buku yang berjudul Thawrah al-Sha’b (Revolusi Rakyat).


Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata, Dr Yusuf berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman.

“Adalah jelas bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan Umno yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merujuk dahulu kepada beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat bagi mendapat fakta yang sebenar apa yang telah berlaku pada 28 April yang lalu.

“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak wajar berat sebelah. Yang jelas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah gagal melihat insiden 28 April secara menyeluruh,” ujarnya lagi.

Katanya, PKR yakin bahawa pihak penganjur Bersih 3.0 sejak dari awal lagi mempunyai tujuan yang jelas itu perhimpunan secara aman demi untuk mempastikan berlakunya keadilan dan ketulusan dalam pengurusan pilihanraya di Malaysia.

Justeru, ujarnya kewibawaan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai sebuah badan tertinggi dalam pembuatan fatwa amat diragukan kredibilitinya.

“Kita ingin bertanya di manakah pendirian rasmi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap amalan budaya fitnah jahat,  perbuatan mengaibkan individu Muslim serta penyebaran video seks yang begitu berleluasa penyebarannya serta mendapat perlindungan dari pemerintah?

“Apakah pandangan Jawatankuasa Fatwa terhadapan keganasan fizikal yang telah dilakukan oleh pasukan PDRM ke atas demonstran dalam demonstrasi Bersih 3.0?” tanya beliau.

Katanya, rakyat berhak mendapat jawapan-jawapan yang ikhlas dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu-isu tersebut demi kebenaran dan keadilan sejagat.

“Sesungguhnya peranan jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah untuk mempastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan memenuhi ciri-ciri kesahihan sesuatu fatwa seperti yang dikehendaki dalam Islam iaitu mempastikan fakta yang diperolehi adalah benar bukan artificial atau penuh dengan sangkaan buruk (su’ al-zann), mempunyai sandaran hukum yang berpaksi kepada al-Qur’an, Sunnah dan lain-lain sumber yang muktabar, serta adil.

“Adalah jelas bahawa fatwa Jawatankuasa Kebangsaan lebih berbaur ‘politik murahan’ dari kewibaan fatwa yang dibahaskan oleh alim ulama yang berautoriti,” katanya lagi.

Media rayakan kemungkaran media jahiliah


KUALA LUMPUR, 7 Mei: Media yang menganjurkan sikap merayakan kemungkaran dengan niat hiburan atau politik apatah dengan mengaibkan sesama Islam maka tentulah media tersebut menjadi media jahiliah, demikian tegas Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar).

Tambahnya, media jahilian tidak memiliki fikiran dan perasaan terhadap peradaban dan tidak mentaati sikap Islam sebagai agama syumul yang mencahayakan kebenaran dan kebaikan buat umat manusia.

"Islam adalah agama rasmi negara ini, maka segala perilaku, perbuatan, pemikiran dan tindakan baik secara individu, apatah lagi sebagai institusi hendaklah menempatkan sikap menghormati cara Islam menguruskan penghidupan manusia. Tentulah media juga tidak lepas dari posisi ini," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas sikap media arus perdana yang keterlaluan dalam laporan mereka akhir-akhir ini, katanya, fungsi media sebagai pemacu pembentukan jasmani yang bersih, dan rohani yang mulia adalah gerakan yang mengatasi segala kepentingan, politik atau budaya.

Malah katanya, takut pada tekanan autokrasi dengan menghalalkan rasuah, pecah amanah, penindasan, penipuan, dan pengkhianatan terhadap hak-hak manusia serta penderhakaan terhadap agama, atas alasan politik tentulah menempatkan media itu tidak lebih gerombolan munafik dan fasik.

"Yang menyamar dalam topeng yang baik walhal sebenarnya memiliki sifat dan sikap yang melampaui batas, yang menentang sistem yang telah ditetapkan oleh Islam," ujarnya.

Tegas Abu Hassan, media adalah sebuah medium intelektualisme yang sangat berpengaruh dan memainkan peranan sebagai pembentuk nilai dan identiti masyarakat, dan mempertahankan keadilan dan kesaksamaan, menganjurkan kemajuan dalam fikiran dan perasaan.

Justeru katanya, tidak ada demokrasi tanpa kebebasan media akan melemahkan kualiti media yang ada.

"Jika demokrasi sebuah kewajiban, maka penciptaan media yang bebas juga sebuah keharusan. Demikianlah setidaknya kita diberitahu tentang fungsi media, dan bagaimana mediawan, serta massa sebagai penerima mesej," katanya.

Media yang berada di bawah naugan kerajaan Islam, katanya harus mampu mempengaruhi khalayak agar menjauhi kemaksiatan, perilaku kepunahan moral dan akhlak yang lazim disebut menganjurkan perayaan hedonis sama ada secara sosial mahupun secara ekonomi dan politik.

"Media Islami tentu saja menghindari gambar-gambar ataupun ungkapan-ungkapan pornografis, menjauhkan promosi kemaksiatan, atau hal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam, seperti fitnah, memutarbelitkan fakta, berita bohong, mendukung kemungkaran, dan bersikap melampaui batas dengan menafikan keadilan, kesaksamaan dan hak-hak kemanusiaan atas apapun alasan, kapitalisme maupun kekuasaan politik," katanya.

Rantau Panjang cadang TG Nik Aziz tanding 2 kerusi


RANTAU PANJANG: Agen tempat mengundi (polling agent) PAS dan Pakatan Rakyat perlu memainkan peranan lebih berkesan memandangkan semakin ramai penjawat awam disenaraikan sebagai pengundi pos.

Malah isteri anggota tentera yang tidak ada kaitan dengan aspek keselamatan juga dimasuk dalam senarai pengundi pos.

Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah jumlah pengundi pos memberi cabaran besar kepada polling agent.

“Malah perlu juga diawasi kerana peti undi pos disimpan selama tiga hari di bawah jagaan SPR sebelum tarikh mengundi sebenar diadakan di semua kawasan terlibat,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS Rantau Panjang di Pusat Tarbiyah di sini semalam.

Beliau yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa berkata, polling agent mempunyai tugas paling mencabar sekarang kerana mereka boleh mengesan sebarang penyelewengan dan penipuan di tempat mengundi.

Turut  hadir Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Timbalan Yang Dipertua, Datuk Nasruddin Daud dan dan naib, Mohamad Awang.

Abdul Halim juga berkata, PAS perlu memperkemaskan jentera pilihan raya dan mengelakkan membuat janji-janji  untuk menyedapkan hati rakyat semata-mata.

Sementara itu PAS Rantau Panjang melulus usul cawangan Banggul Setol yang mahu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding dua kerusi dalam PRU 13 iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Semua perwakilan bersetuju menerima usul tersebut tanpa bahas memandangkan ia selari dengan kehendak parti mengatur strategi menawan Putrajaya,” kata Abdul Fatah.

Manakala Cawangan Tiang Candi mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuh Yayasan Tanah Wakaf Pendidikan bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar miskin di pusat pengajian tinggi.

Wednesday, May 02, 2012

PAS tidak tolak mungkin Bersih 4.0


HULU TERENGGANU, 1 Mei: PAS tidak menolak kemungkinan dan bersedia menghadapi himpunan Bersih 4.0 jika kerajaan gagal membuat perubahan daripada kejayaan penganjuran Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan jika kerajaan tidak membuat perubahan sebagaimana tuntutan Bersih 3.0, tidak mustahil Bersih 4.0 akan diadakan lagi.

Menurutnya, tuntutan Bersih 3.0 agar kerajaan membuat perubahan dengan kebebasan media dilaksanakan, tidak ada penipuan dalam pilihan raya, bersihkan daftar pemilih dan sebagainya.

“Kita tengok dulu Bersih 3.0 sama ada kerajaan buat perubahan atau tidak. Jika kerajaan tidak buat perubahan, media tidak bebas, pilihan raya tipu lagi, daftar pemilih tidak bersih, kita akan buat lagi.

“Celup dakwat pun belum tentu lagi, dakwat jenis mana kita tidak tahu lagi. Ketua-ketua pengarang yang cuba hendak bebas akan dipecat dan dilantik yang ikut arahan sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) kali ke-43, di Dewan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (Kudqi), Kubang Lembek, Manir, hari ini.

Ketika menjawab dakwaan kerajaan bahawa peserta Bersih 3.0 bertindak ‘ganas’ beliau mahu siasatan secara rapi dan adil dilakukan bagi mencari pihak bertanggungjawab.

Katanya, demonstrasi di negara ini cuba dibendung, disekat dan dikawal dengan kawalan-kawalan yang boleh mengongkong bukan kawalan yang boleh meluahkan rasa dengan bebas.

“Kerajaan kena siasat siapa bertanggungjawab. Minta siasatan itu secara adil dan hakim juga kena adil. Kebebasan kuasa itu kena ada antara badan kehakiman dengan eksekutif. Ini penting dalam sistem demokrasi,” tegasnya.

Bersih 3.0: Pemimpin Umno tuding jari sesama sendiri


KUALA LUMPUR, 1 Mei: Himpunan Bersih 3.0 mengakibatkan Umno semakin pening dan kini sibuk dengan pesta menuding jari antara satu sama lain, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Yang paling pening ialah (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein)," katanya.

Menurut Mohamad, sebelum himpunan Bersih 3.0 itu, menteri tersebut menuduh beliau dan Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamudin Rais mengajak mereka yang berhimpun supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.

"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran Merdeka," katanya.

Selepas himpunan Bersih pula, kata Mohamad, Hishammuddin mendakwa pula bahawa tindakan polis merampas kamera wartawan adalah sebahagian dari garis panduan operasi polis (SOP).

"Selepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) beritahu bahawa bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih 3.0 itu bukan sebahagian daripada garis panduan operasi polis SOP.

"Satu negara nampak menteri itu pening teruk. Saya nasihatkan dia pergi berehat ke Bahamas," katanya.

Beliau berkata, maklumat yang diterimanya menunjukkan Hishammuddin menjadi sasaran kemarahan kedua-dua pihak.

"Penyokong PR (Pakatan Rakyat) marah kepadanya sebab berdendam sangat terhadap kekejaman polis terhadap mereka.

"Puak Umno pula marah menteri itu kerana mereka kata dia gagal hadapi Bersih 3.0 yang meranapkan lagi  imej (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.

Menurut Mohamad, beliau diberitahu oleh mereka yang rapat dengan sumber dalaman Umno bahawa para pemimpin parti itu kini saling menuding jari kepada satu sama lain.

Bersih 3.0 menyebabkan imej Umno makin jatuh merudum, katanya, sebab itulah mereka salah menyalah sesama sendiri.

"Sejauh mana saya tak dapat pastikan tetapi saya juga diberitahu oleh orang-orang yang rapat dengan seorang bekas menteri kanan bahawa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sekarang marah sungguh kepada Najib.

"Sumber itu yang rapat dengan bekas menteri yang masih lagi di dalam Umno itu mendakwa Dr Mahathir menyifatkan Najib lembik.

"Orang kalau dah marah kepada satu sama lain, kita tak perlu hasut dah," katanya 

Menurut Mohamad, semua itu berlaku kerana mereka menyedari bahawa jumlah pengundi Melayu yang menolak Umno secara umumnya tidak berganjak.

"Di kalangan pengundi Cina pula, memang diketahui umum mereka menolak BN (Barisan Nasional) terutama Umno.

"Selepas Bersih 3.0, walaupun bergurau, saya dengar mereka kata dari 10 pengundi Cina, 9.5 tak akan undi," katanya.

Beliau yakin, Bersih 3.0 seperti lorong tanah perkuburan kepada Umno dan BN.

Fitnah jahat bersiri menjelang PRU13 - Azmin


Saya mengecam sekeras-kerasnya fitnah yang ditohmah ke atas diri saya bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Fitnah jelek ini disebarkan oleh media yang dikuasai Umno yang memetik sumber blog pro Umno.

Fitnah ini memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai saya bersama seorang wanita di dalam tandas. Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Ianya adalah fitnah ulangan menggunakan modus operandi yang sama yang digunakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya amat kesal memandangkan tindakan ini adalah fitnah bersiri terhadap saya dan keluarga selepas fitnah jijik ke atas isteri dan anak saya, disusuli dengan dakwaan pemilikan saham kemudiannya saya dituduh menghina Raja-Raja Melayu dan baru-baru ini saya ditohmah mencetuskan provokasi dalam Himpunan Aman Bersih 3.0.

Sebelum ini saya dan isteri serta anak kecil saya telahpun melakukan ujian DNA sebanyak dua kali dalam bulan Julai 1998. Kedua-dua keputusan ujian tersebut menempelak fitnah ke atas saya, isteri dan keluarga. Hasil ujian jelas menyebut serta mengesahkan saya dan isteri merupakan 'biological parent' kepada anak kami. Ujian DNA tersebut sekaligus memelihara maruah saya dan keluarga.

'The results from all three genetic loci show that the donor of blood specimen marked 'X' (putative father) is the biological father of the donor of the blood specimen marked 'Y' (child). '

Namun Umno masih mengulangi fitnah kejam tersebut sepanjang 14 tahun ini walaupun bukti sudah jelas lagi nyata bahawa tuduhan mereka terhadap saya dan keluarga merupakan pembohongan semata-mata.

Setelah kesemua fitnah tidak berjaya, mereka mengulangi skrip usang fitnah seks yang memualkan untuk mengaib dan mematahkan semangat saya. Fitnah jahat seperti ini diulang- ulang untuk membentuk persepsi rakyat terhadap maruah dan kredibiliti saya menjelang pilihan raya. Munculnya fitnah ini tatkala Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas perhimpunan BERSIH adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu sebenar iaitu isu penipuan pilihan raya dan penyelewengan dana awam.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tetap tuntas dengan perjuangan membawa obor reformasi demi rakyat.

Saya menyeru kepada pimpinan Umno supaya menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat. Saya akan terus bersama-sama pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk menjana perubahan dan membawa kemenangan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13.