Saturday, May 14, 2011

"Henti aibkan Anwar"- Nik Aziz

KOTA BHARU, 13 Mei: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta mana-mana pihak yang merancang memburukkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera menghentikan tindakan itu bagi menghormati perasaan keluarga Ketua Pembangkang itu.

Menurutnya, beliau memahami perasaan ahli keluarga Anwar termasuk isterinya, Datin Seri Wan Azizah yang begitu tersiksa dengan apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap suaminya sejak sekian lama.

"Sudah lebih 10 tahun maruah Anwar dilanyak, dihentak, dilenyek begitu tanpa ada rasa belas kasihan, isteri mana yang tidak menderita dengan apa yang berlaku,”ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azizah dalam sebuah akhbar harian semalam bahawa beliau begitu terseksa dengan fitnah itu.

Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu memohon pihak perancang yang merakam dan mendedahkan video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dihentikan segera.

Menurutnya, sebagai umat Islam mereka harus sedar tindakan memfitnah dan mengaibkan orang satu dosa yang besar.

Tegasnya, balasan buruk akibat tindakan itu akan diberikan Allah kepada orang yang memfitnah sejak di dunia lagi.

“Kita sebagai anggota masyarakat jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka yang membuat perkara buruk (fitnah) itu kerana dosanya juga akan terpalit pada kita," katanya.

Selamatkan Utusan

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Walaupun jelas yang paling membuat kerosakan hasil dari laporan "Kristian agama rasmi" adalah Utusan Malaysia, namun Umno nampaknya sedang berusaha keras menyelamatkan akhbar mereka itu.

Fokus diberikan kepada laporan salah yang dibuat oleh dua blogger yang pembacanya tidak seberapa dan Utusan selamat apabila hanya menerima satu surat amaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Satu lagi media rasmi Umno, TV3 melalui Buletin Utama mereka malam tadi langsung tidak memberikan fokus kepada kesalahan yang dibuat Utusan tetapi memberikan fokus laporan kepada dua blogger pro-Umno yang malang itu.

Kedua-duanya adalah blog Bigdog dan Marahku.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau melihat seperti wujud perancangan dalam isu ini untuk menyelamatkan Utusan dengan mengalih tumpuan kesalahan kepada dua blogger Umno yang menyiarkan tuduhan tersebut.

"Saya melihat semacam ada persefahaman dan kerjasama terancang seolah-olah KDN pejam mata terhadap laporan fitnah Utusan," kata Salahuddin kepada Harakahdaily.

Beliau juga berkata, seperti menjadi satu trend sekarang ini apabila tumpuan kini dialihkan kepada blogger

Sebelum ini, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad Hata Wahiri mendedahkan bahawa agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Hatta dalam wawancaranya dengan laman web, Free Malaysia Today (FMT) berkata, Ketua Pengarang Utusan akan menerima arahan dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap hari Isnin.

Yang hadir dalam mesyuarat itu adalah Najib, timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Husein dan Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

Agenda mingguan yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri.
Tahun lalu, akhbar China Press telah dikenakan hukuman gantung dua minggu oleh KDN di samping membuat permohonan maaf di muka depan ekoran kesilapan melaporkan berita perletakan jawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
(Utusan hanya membuat penjelasan dua para yang tidak jelas dalam muka dalamnya mengenai laporan "Kristian agama rasmi")
Pada tahun 2008, wartawan kanan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana melaporkan ucapan Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang menyebut Cina di Malaysia hanya penumpang.

Namun, Utusan yang telah mempercikkan api pertembungan agama apabila mendakwa DAP bekerjasama dengan Paderi Kristian untuk menjadikan Kristian agama rasmi hanya dikenakan surat amaran.

Untuk meredakan ketegangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menemui para pemimpin agama Kristian dalam satu majlis dialog makan malam semalam.

"Kesilapan yang dibuat Utusan jauh lebih berbahaya dan berniat jahat dari China Press. Tetapi, Utusan dibebaskan hanya dengan satu surat amaran. Mengapa tidak ada tindakan yang lebih tegas kepada Ketua Pengarang dan wartawan yang menulis berita itu?" soal anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

Lagipun, katanya, laporan Utusan itu dibuat hanya berdasarkan posting dalam dua blog pro-umno yang tidakpun cuba disahkan oleh Utusan.

Bahkan, Utusan juga tidak mendapatkan penjelasan dari Jeff Ooi yang didakwa bersekongkol dengan beberapa paderi untuk melakukan tindakan itu dan tidak juga menyiarkan penjelasan yang dibuat oleh DAP mengenainya, kata Nie Ching.

Bagi beliau, semua yang berlaku ini adalah kerana double standard yang diamalkan oleh Perdana Menteri Najib walaupun dalam kempen politiknya Najib memasarkan dasar satu standard iaitu 1 Malaysia.

"Perdana Menteri mesti menyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan tidak menikmati imuniti dengan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada editor dan wartawan yang terbabit dalam laporan yang tidak bertanggungjawab ini," kata Nie Ching.

Sebelum ini, Nie Ching juga menjadi mangsa Utusan (gambar) apabila akhbar itu melaporkan beliau memberikan 'tazkirah' di sebuah surau dalam kawasan parlimennya.

Padahal beliau hanya memberikan ucapan kepada pengundi di kawasannya dalam satu majlis yang diadakan di sebuah surau.

Hina Islam: PAS mahu presiden MCA dikena tindakan

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Dua laporan polis dibuat terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atas beberapa tindakannya yang didakwa menghina ajaran Islam.

Laporan berasingan itu dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di IPD Kota Setar manakala satu lagi oleh Dewan Pemuda  PAS Negeri Johor semalam.

Mereka mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan Soi Lek itu bukan sahaja bersifat menghina Islam, malah memprovokasi dan menyakiti perasaan umat Islam itu sendiri.

"Kami dari Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah membuat laporan polis ini terhadap Presiden MCA, Dato Seri Dr Chua Soi Lek di atas kenyataan-kenyataan beliau sejak kebelakangan ini yang begitu ketara mempamerkan sikap prejudis, permusuhan dan penghinaan terhadap Agama Islam selaku Agama bagi Persekutuan Malaysia," kata Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahaya.

Berikut antara kenyataan presiden MCA itu yang dakwa mereka terlah menghina Islam.

1) Mengaitkan Negara Islam sebagai negara teokratik  dengan mengatakan:

“The Prime Minister and other Umno stalwarts are fully aware of MCA’s stand on turning this country into a theocratic Islamic State” (sila rujuk laporan akhbar The Star bertarikh 02/05/2011 di bawah tajuk ‘MCA strongly against Islamic State’. Sila baca di  http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/5/2/nation/8592015&sec=nation).

2) Mencerca dan menghina ajaran Islam yang melarang perempuan dan lelaki berlainan muhrim dari bersentuhan apabila mengkritik tindakan calon PAS di Pilihanraya Kecil DUN Tenang , Cikgu Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki dan juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang memakai sarung tangan apabila bersalam dengan lelaki. Beliau menyatakan:

“Normala will not come here to a Chinese temple, she doesn't even shake hands with the people. I have received complaints about this. She is like Anwar Ibrahim's wife. She wears gloves when she shakes hands. If you can accept this kind of Islamic value, go ahead and vote for PAS”. (sila rujuk laporan portal berita Malaysia-Chronicle bertarikh 20/01/2011 di bawah tajuk ‘Chua slams Normala, Wan Azizah for wearing gloves when shaking hands’. Sila baca di http://www.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=6591:chua-slams-normala-azizah-for-wearing-gloves-when-shaking-hands&Itemid=2).

3) Cuba memprovokasi dan/atau menyindir sambutan Hari Raya Aidil Adha dengan menggambarkan seolah-olah Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Kelantan memaksa supaya kedai-kedai ditutup pada Hari Raya Aidiladha. Beliau menyatakan:

“Becoz of hari raya haji all shops seem to be closed for celebration or by directive from local authority? It's quiet in Kota Bahru”. (Sila rujuk akaun Twitter Dato Dr Chua Soi Lek bertarikh 17/11/2010. Sila baca di http://twitter.com/#!/drchuaSL).

4) Mengaitkan Islam sebagai punca banyak negara yang mempunyai majoriti rakyat beragama Islam menjadi negara tidak demokratik, mundur, tidak mencapai taraf pembangunan global, dipaliti rasuah dan lain-lain lagi. Antara lain beliau dilaporkan sebagai berkata :

“Do not be too optimistic that once PAS rules the government, the country will be free from corruption and other problems. Bear in mind, some of the most corrupted countries are Muslim-majority nations..... He noted that the book listed down the common characteristics of 57 Muslim-majority countries in the world which, among other things, claimed that the nations were less democratic because of its emphasis on religion. Although these countries have Cabinets and elections, they also have the Council of Muslim Elders, which enjoys absolute power to override the decisions or policies made by the government. Since these countries formulate their policy using religion as its basis, policies formulated will not be on par with the global development requirement”. Sila rujuk laporan portal berita The Malaysian Insider bertarikh 06/08/2010 di bawah tajuk ‘Soi Lek fires broadside at Umno, PAS’. Sila baca di http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/soi-lek-fires-broadside-at-umno-pas/).

"Kami percaya sekiranya Dato Seri Dr Chua Soi Lek dibiarkan berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang provokatif yang menyentuh berkaitan agama Islam tanpa memperdulikan sensitiviti umat Islam di negara ini, lambat laun pastinya akan menimbulkan suasana tegang dan tidak tenteram di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Kami juga percaya kenyataan-kenyataaan yang dinyatakan di atas bukanlah mewakili suara dan kehendak masyarakat bukan Islam di Malaysia, bahkan kami meyakini seluruh rakyat Malaysia menolak sebarang cubaan untuk memainkan sentiment agama semata-mata bagi mencapai matlamat politik," kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS Johor Mahadzir Bin Mat Zili.

Selain itu, mereka juga mendakwa kenyataan Soi Lek juga yang berjanji akan menjadi penyokong utama PKR jika parti tersebut mahu mengugurkan keistimewaan orang Melayu yang tercatat dalam perlembagaan negara boleh menimbulkan kemarahan kepada orang Melayu.
Justeru, mereka memohon agar Soi Lek disiasat dan diambil tindakan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan undang-undang  yang relevan.

Thursday, May 12, 2011

Pemimpin Umno macam pelawak tagih simpati rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Mei: Tindakan Umno BN yang mencipta pelbagai fitnah bagi memburukkan Pakatan Rakyat telah menyebabkan parti itu kini boleh disifatkan sebagai parti kurang upaya, sehingga terpaksa menagih simpati rakyat dengan cara sedemikian hina.
Namun dalam masa yang sama, fitnah-fitnah yang diciptakannya berpusing pula menjadi bahan ketawa orang ramai, apabila ia ternyata tidak berasas, tetapi hanya sengaja diada-adakan bagi mengelirukan orang ramai.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terbaru Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi rakyatnya memperjelaskan lagi realiti itu, sehingga menyebabkan para pemimpin Umno kini turut disifatkan sebagai pelawak oleh pelbagai pihak.
Menurut beliau, Umno BN boleh disifatkan sedemikian kerana yang menzalimi rakyat bukannya Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi parti itu sendiri ketika mereka memerintah Selangor dulu.
Katanya, tetapi kini setelah Selangor berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, setiap pihak boleh menilai sendiri betapa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor seperti juga Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri lain telah melakukan pelbagai tindakan bagi membantu rakyat dalam segala aspek.
"Ketika rakyat sendiri dapat melihatnya dengan jelas, mereka pula yang mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat menzalimi rakyatnya, jadi tak ke lawak tu namanya?" katanya sambil ketawa ketika diminta mengulas perkara itu, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini secara terang-terangan telah mengarahkan para pemimpin Umno BN melakukan apa sahaja untuk merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, para pemimpin Umno antara lain telah menyambutnya dengan membuat tuduhan liar dengan mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menzalimi rakyat Selangor sepanjang memerintah Selangor sejak tahun 2008 lalu.
Menurut Mahfuz, tujuan Umno BN mahu merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat pada pilihanraya akan datang sebenarnya bukanlah untuk membantu rakyat, tetapi bagi membolehkan mereka membaham khazanah negeri Selangor bagi kepentingan mereka sendiri.
Realiti itu bagaimanapun amat berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah melakukan pelbagai perkara bagi kepentingan rakyat Selangor berbanding semasa Selangor berada di bawah pemerintah BN dulu.
Antara yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor termasuklah memberikan air percuma kepada rakyatnya, warga emas yang meninggal dunia diberikan wang kifalah RM2,500, setiap bayi yang dilahirkan mendapat RM100 sehingga apabila berumur 18 tahun wangnya yang terkumpul sebanyak RM1,500.
Selain itu, turut disediakan rumah mampu milik kepada rakyatnya, di samping pelbagai perkara lain lagi yang telah dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang jelas menguntungkan setiap rakyatnya.
"Jadi, dengan berbuat begitu, dari sudut manakah ukuran yang dibuat oleh Umno BN itu sehingga dikatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi rakyatnya?
"Tidakkah itu lawak namanya? Sememangnya para pemimpin Umno BN kini cukup bijak berlawak dan mereka tidak ubah seperti pelawak-pelawak yang sedang berlawak dalam rancangan lawak Astro," ujar beliau sambil tergelak kelucuan.

Apa tindakan polis kepada Utusan, trio Umno

KUANTAN, 11 Mei: PAS menasihatkan polis agar jangan menambah kekecewaan rakyat dengan kegagalan demi kegagalan dalam mengambil tindakan dalam kes yang sudah terang lagi bersuluh jenayahnya dan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegur sikap pihak polis yang semakin dilihat bersifat dwi-standard dalam melaksanakan tugas menjamin keselamatan negara dan menegakkan keadilan undang-undang.

“Tindakan mereka dilihat jauh lebih cekap dan segera bilamana sesuatu yang boleh mengugat Umno Barisan Nasional (BN) timbul. Pihak polis harus beringat-ingat untuk melakukan pembetulan segera kerana kewibawaan polis dan juga Kementerian Dalam Negeri, di mana ia bernaung sentiasa dinilai rakyat,” ujar Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Beliau memberikan contoh bagaimana cepatnya polis bertindak dalam demo-demo anjuran Pakatan Rakyat seperti anjuran bantahan terhadap Lynas di Kuantan baru-baru ini, berbanding dengan cara polis “menjaga” demo-demo anjuran Umno dengan tidak menghadirkan diri supaya ia dapat berjalan dengan bebas.

“Ia jelas amat berbeza apabila anggota keselamatan ‘dihadapankan bagi menghadapi parti pembangkang sehingga ianya menjadi bahan ketawa rakyat – bahawa jika satu-satu demo tersebut itu kelihatan berjalan bebas tanpa polis dan FRU maka rakyat terus tahu itu semestinya demo anjuran Umno dan sekutunya.

Jikalau PR yang berhimpun, walaupun demi keselamatan rakyat, yang termasuk juga keluarga-keluarga polis dari ancaman radioaktif, mereka terus diberikan amaran,” ujarnya, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Mengulas mengenai hujah polis yang mengganggu ceramah anjuran Pakatan Rakyat kerana tiada permit, Tuan Ibrahim berkata itu hanyalah alasan semata-mata kerana kalau pihak Pakatan Rakyat memohon sekalipun, permit tetap tidak diberi.’

“Bukan tak nak minta permit, kerana dah tahu minta pun tak dapat, buat apa minta? Menyusahkan sahaja. Tidak macam negara luar, yang pihak polisnya menjadi pengawal himpunan agar berjalan dengan baik. Satu masa dulu, Umno juga dakwa demo bukan budaya kita, namun nampaknya kebelakangan ini ianya pun sudah menjadi budaya baru dalam Umno,” tambahnya.

Selain itu, Tuan Ibrahim juga berkata sikap dwi-standard polis turut kelihatan dalam dua isu sensasi terbaru ini, iaitu kes video seks yang didakwa mebabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan permainan berbahaya media tradisional milik Umno, Utusan Malaysia yang cuba melagakan penganut agama Kristian dengan orang Islam dengan membangkitkan tuduhan tidak berasas mengenai ‘negara Kristian’.

“Sebelum ini dalam isu klip video; sampai sekarang tangkapan dan dakwaan terhadap trio Umno Datuk T (yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik) tidak dilakukan, sedangkan mereka terus terang melanggar peraturan dan undang-undang negara.

Kini, satu demi satu tindakan berbahaya dan bersifat menghasut melampau oleh akhbar Utusan dan blogger pro-Umno terus dibiarkan bebas tanpa sebarang tindakan. Apakah pihak polis menunggu berlakunya tragedi malang seperti 13 Mei, yang dua hari lagi sebelum ulang tahun tragedi mendukacitakan negara itu, barulah mereka nak bertindak?” soal Tuan Ibrahim, sambil menambil bahawa kini rakyat menunggu dan menghitung hari bila polis akan ambil tindakan terhadap Utusan Malaysia selepas diam menyepi dalam isu seks video.

Ladang Rakyat cadang saman dituduh rampas tanah

KOTA BHARU, 11 Mei: Tanpa usul periksa setiap kali timbul masalah berkaitan pembangunan tanah di kawasan hulu, media segera menuding jari ke arah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.
Mengapa ia berlaku begitu. Apa yang dilaporkan sekarang seolah-olah media meletak setiap kesalahan di bahu kerajaan negeri kononnya merampas tanah rakyat.
Lalu media mempersendakan tindakan tersebut dianggap mereka bertentangan dengan konsep negeri berkebajikan yang diuar-uarkan di Kelantan sebelum ini.
Maka mengambil kira tomahan tidak berasas terbabit Ladang Rakyat tidak teragak-agak mengambil tindakan saman kepada pihak yang sengaja menjaja cerita tidak berasas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi (gambar) berkata, pihaknya bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang sering melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap agensi berkenaan.
“Seperti disengajakan kebelakangan ini apabila timbul masalah pengambilan tanah, ada pihak terus menuding jari terhadap Ladang Rakyat.
“Banyak laporan media massa sekarang mendakwa Ladang Rakyat merampas tanah rakyat. Sedangkan ada kawasan yang didakwa langsung tidak ada projek Ladang Rakyat.
”Oleh itu kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang sering melemparkan dakwaan tidak berasas,” katanya di sini.
Pada Mac lalu akhbar melaporkan 100 penduduk Kampung Serian, Gua Musang bimbang kebun mereka dirampas syarikat yang membangunkan projek tanaman kelapa sawit milik Ladang Rakyat.
Sedangkan setiap program pembangunan tanah yang mahu dilaksanakan Ladang Rakyat terlebih dahulu diadakan perbincangan dengan penduduk dan pejabat Tanah dan Jajahan.
Malah kawasan yang dituntut penduduk dikeluarkan daripada lokasi bakal dibangunkan Ladang Rakyat.
Misalnya kes di Kampung Serian dua tahun Ladang Rakyat berunding dengan peneroka dan hampir 2,000 ekar direzabkan kepada penduduk.
Sejak diwujudkan pada 2006 Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat berjaya mengurangkan jumlah penduduk miskin di Kelantan melalui dividen pengagihan bulanan sebanyak RM200.
Sehingga sekarang seramai 4,332 penduduk miskin mendapat manfaat tersebut di mana penerima dipilih melalui penghulu di setiap mukim.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan penduduk di Gua Musang berpeluang mendengar penjelasan mengenai dakwaan rampasan tanah rakyat pada ceramah khas pada malam 14 Mei ini di padang Majlis Daerah Gua Musang.

Menteri 'gula' patut letak jawatan

GOMBAK, 11 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mencadangkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Yaakob meletakkan jawatannya kerana gagal membendung kenaikan harga barangan keperluan asas khususnya harga gula.
Ketuanya, Hasbullah Ridzwan (gambar) berkata kenaikan harga gula sebanyak 20 sen menjadikannya RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam menunjukkan satu lagi kegagalan besar BN mengurus tadbir negara.
Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).
Minggu lalu, harga petrol RON97 turut mengalami kenaikan sebanyak 20 sen menjadi RM2.90.
Kerajaan bagaimanapun memberi jaminan bahawa harga barangan lain tidak akan naik ekoran kenaikan harga petrol ini.
Namun jaminan itu ternyata tidak boleh digunapakai apabila harga gula turut mengalami kenaikan.
Kerajaan memberi alasan bahawa ia akan menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta setahun.
"Alasan kerajaan untuk mengurangkan subsidi dan digunakan untuk pembangunan lain hanyalah menyerlahkan sikap berlepas tangan dan mungkin BN sudah tidak cukup duit maka rakyat dipaksa menanggungnya," kata beliau pada sidang media di pejabat PAS Kawasan Gombak, dekat sini hari ini.
DPPNS juga tidak menolak kemungkinan harga barangan keperluan asas lain turut dinaikkan atas alasan merasionalisasikan subsidi kerajaan.
Sehubungan itu, DPPNS menyeru rakyat negeri itu menolak Umno BN dalam pilihan raya umum akan datang.
"Terbukti walaupun dengan kuasa di hujung tanduk BN tetap membelakangkan kepentingan rakyat. Slogan rakyat didahulukan hanya tinggal slogan sahaja tapi taukeh dan kroni tetap diutamakan," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha DAP kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, jika nilai ringgit naik beerti harga barangan yang dimport akan turun. Ia termasuklah gula dan petrol kerana Malaysia menggunakan petrol yang diimport  kerana minyak yang dikeluarkan berkualiti tinggi dan sesuai untuk dieksport.
Nilai ringgit naik kepada bawah RM3.00 untuk satu dollar Amerika minggu lalu iaitu kenaikan tertinggi sejak diikat pada kadar RM3.60 untuk satu dollar Amerika sebelum ini.
Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli yang mengulas keniakan harga gula dari sudut kesihatan pula menolak pandangan sesetenagh pihak bahawa kenaikan harga ini akan mendorong rakyat mengurangkan pengambilan gula dan mengurangkan masalah kesihatan.
Katanya, rakyat akan tetap membeli gula walaupun harganya dinaikkan dan ini sudah tentu membebankan rakyat.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar tindakan kerajaan memberi peruntukan RM111 juta untuk 2011 kepada Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang dipengerusikan oleh Datin Seri Rosmah Mansor tapi sangat berkira dalam soal pemberian subsidi kepada rakyat.

Thursday, May 05, 2011

Tiada jaminan RON95 tidak naik harga

KUALA LUMPUR, 5 Mei: PAS tidak menolak kemungkinan harga petrol RON95 turut dinaikkan memandangkan perbezaan di antara harga RON97 dan RON95 sebanyak RM1.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenaikan harga petrol RON97 tengah malam tadi berkata.
Mengenai kenaikan RON97 itu, beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ia sangat tidak berpatutan dan membebankan rakyat.
"Kenaikan harga petrol ini satu kenaikan yang sangat tidak berpatutan kerana perbezaan antara RON97 dan RON95 hampir satu ringgit.
"Tidak akan ada jaminan RON95 tidak akan dinaikkan. Ini satu petanda yang sangat sukar diterima oleh rakyat dan membebankan mereka," katanya.
Harga petrol RON97, yang kadarnya diapungkan sejak tahun lalu, mengalami kenaikan lagi RM20 sen menjadi RM2.90 seliter mulai tengah malam tadi.
Ini merupakan kenaikan kali kedua sepanjang April hingga Mei tahun ini.
Harga petrol RON97 juga mengalami kenaikan 20 sen seliter pada 2 April lalu dan dijual RM2.70 seliter sejak itu.
Kenaikan kali ini adalah peningkatan keempat tahun ini. Ia mengalami kenaikan 10 sen seliter berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter dan kemudian RM2.40 seliter mulai awal Januari lalu.
Menurut laporan media, kenaikan RON97 itu tidak akan menjejaskan harga petrol RON95 yang kekal RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter.
Dianggarkan 90 peratus daripada rakyat negara ini menggunakan petrol RON95 untuk kenderaan mereka.

Strategi Umno BN buli Cina, tipu Melayu

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Buli Cina, tipu Melayu, itulah sahaja cara Umno BN untuk terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Pada masa yang sama, parti itu juga terpaksa menjangkitkan wabak takut Cina ke dalam pemikiran orang-orang Melayu sebagai salah satu strategi utamanya untuk menipu orang-orang Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa, kata beliau.
"Setelah menggunakan bermacam-macam cara untuk memeras ugut orang-orang Cina supaya menyokongnya, termasuk ancaman tidak ada lagi menteri dari kalangan kaum Cina jika kaum itu enggan mengundi Barisan Nasional (BN), sokongan orang-orang Cina terhadap parti itu tetap semakin pupus.
"Akibatnya, Umno hanya mengharapkan undi orang-orang Melayu sahaja. Untuk menghasut orang-orang Melayu supaya menyokongnya, parti itu terpaksa menyebarkan wabak fobia Cina dan fobia DAP.
"Itu taktik Yahudi Zionis yang digunakan oleh Amerika Syarikat yang menakut-nakutkan dunia dengan fobia Islamnya.
Tidak menghairankan jika Umno khususnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menggunakan taktik yang sama kerana Yahudi Zionis di dalam Apco Worldwide adalah tempat beliau dan parti yang dikepalainya memohon petunjuk," kata beliau ketika menolak hasutan perkauman Najib terhadap PAS.
Dengan memainkan sentimen perkauman, Perdana Menteri mendakwa penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) hanya menguntungkan DAP.
Dengan harapan untuk memudahkan partinya memenangi pilihan raya umum akan datang, Presiden Umno itu kelihatan berharap sangat agar PAS keluar dari PR.
"PAS, cukuplah dalam pakatan pembangkang, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari pakatan pembangkang," katanya ketika berucap di Kuala Terenganu Sabtu lalu.
Mahfuz menyifatkan hasutan perkauman Najib itu sebagai keluhan orang putus asa dan terdesak.
"Najib dan Umno sudah berputus asa dengan undi orang-orang Cina dan hanya mengharapkan sokongan orang Umno.
"Untuk memastikan Umno menang di kawasan-kawasan yang ditandinginya, racun perkauman digunakan habis-habisan untuk menghasut PAS supaya bersendirian dan bila ada pertandingan tiga penjuru di antara Umno, PAS dan PR, Najib menyangka mudahlah Umno memenangi kerusi-kerusi yang ditandinginya.
"Tidak perlu aktivis politik, budak berhingus pun boleh membaca muslihat yang sangat tidak cerdik itu. Apa boleh buat, setakat itu sahaja kemampuan dan kebolehan Perdana Menteri untuk berfikir bagi memastikan partinya terus berkuasa," kata Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan orang-orang Melayu agar tidak membiarkan Umno yang membawa wabak perkauman terus menipu mereka kerana jika dibiarkan, negara ini boleh terjerumus ke dalam kehancuran akibat rusuhan kaum.
"Keganasan strategi buli Cina, tipu Melayu tidak boleh terus dibiarkan.
"Jika dibiarkan dan Umno terus berkuasa, rusuhan kaum mungkin tercetus dan orang-orang Melayu pula akan terus rugi dan ketinggalan kerana parti perasuah tentulah lebih mengutamakan tuan-tuannya yang terdiri dari tauke-tauke yang selama ini menjadi rakan kongsinya, bukannya orang-orang Melayu yang tidak mampu mengenyangkan perasuah," katanya.
Beliau juga mengingatkan, orang-orang Melayu juga tidak boleh membiarkan Umno terus berkuasa untuk membuli orang-orang Cina.
"Jika dibiarkan, orang-orang Melayu juga akan terpalit dengan imej jahat itu. Orang-orang Melayu tidak boleh membiarkan Umno mempalitkan mereka dengan imej pembuli yang jahat dan gila bermusuh," kata Mahfuz.
Beliau bagaimanapun tidak nampak kemungkinan Umno akan menghentikan agenda buli Cina dan tipu Melayu itu kerana hanya itulah satu-satunya cara untuk membolehkan parti itu terus berkuasa.
"Umno nampaknya begitu selesa dengan strategi buli Cina, tipu Melayu itu," kata Mahfuz.

Friday, April 29, 2011

NUKILAN BUAT DSAI - FITNAH MEHNAH PERJUANGAN

26 Jamadil Awal 1432 H | 29 April 2011

Saya tak tahu apa yg nak dikata dan nak diluahkan apabila mengenangkan akibat yang sedang ditanggung oleh DSAI dan keluarga. 11 tahun beliau diaibkan dan satu demi satu tuduhan dikenakan ke atas beliau, dan keluarga semata-mata kerana beliau berada di pihak pembangkang.

Andainya ia berada di pihak BN, tentulah ia akan dilayan macam tiada apa yang berlaku. Lihat saja Presiden MCA yg mengaku melakukan aksi tak bermoral, langsung tak disiasat dan tiada sebarang dakwaan pun. Demikian juga Razak Baginda, tiada rayuan dibuat dan beliau kini bebas lepas.

Tekanan ini bukan perkara baru dalam sejarah dunia. Firaun pernah melakukannya ke atas Nabi Musa dan pengikutnya yg beriman. Bahkan tukang sihir Firaun yg asalnya adalah petugas yang berusaha untuk menjatuhkan Nabi Musa, ia dilayan, disanjung tetapi bilamana tukang sihir melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa mereka kemudiannya beriman dengan Allah. Maka bermulalah penentangan dan penindasan sehingga mereka disalib pada kayu salib, mereka diseksa dengan kaki tangan mereka dipotong secara bersilang. Firaun menyeksa mereka dan setelah segala rayuan dan tangisan tidak dipedulikan, akhirnya yang keluar dari mulut mereka ialah "Hukumlah apa yg kamu ingin lakukan, kerana kamu hanya berkuasa di dunia ini sahaja".

Kini Anwar secara peribadi menjadi mangsa tuduhan. Beliau belum tentu bersalah tetapi kini bukan mahkamah diminta untuk buat keputusan sebaliknya media membuat tayangan, blog memainkan sentimen dan akhbar perdana membentuk minda pembaca agar menjadi hakim dalam perkara yg telah dirancang, disusun dan diedit agar sesuai dengan kehendak pemimpin BN. Mereka mengambil pendekatan agama (bersumpah) dalam perkara yang salah, agar dengannya rakyat yakin.

Bagaimana nantinya kalau dibuktikan bahawa ia bukan sebagaimana yang dituduh? Keaiban telah berlaku, dan ada yang bertanya, "Kalau betul, bagaimana?"

Saya berpegang kepada kaedah asas bahawa sesuatu tuduhan pada peringkat awal adalah tidak benar, melainkan dibuktikan benar. Maknanya dalam keadaan sekarang ia berada pada tahap tidak benar. Kenapa diaibkan sebegitu. Kerana 'kalau benar' akan dibuktikan kemudian.

Bagaimana pula yang membuat tuduhan sanggup bersumpah? Saya ingin agar kita lihat siapa yg membawa wanita itu, siapa yang sedia bilik, siapa yg merakam, siapa yang ada bersama waktu kejadian dan melihat kemungkaran itu. Apakah orang begini boleh menggunakan nama Allah untuk bersumpah, minta Allah agar buktikan?

Dia sepatutnya menentang kemungkaran sebelum berlaku, mencegahnya bukan menyediakannya. Kalau dia seorang Islam dia harus faham bahawa dia mesti bertindak menyekat kemungkaran, bukan memberi ruang dan menyediakan agar berlaku kemungkaran. Kepada saya siapa yg melakukan itu, kalaupun tidak dapat dibuktikan di dunia nanti, di Akhirat akan terbukti jua!

Kepada DSAI dan keluarga, saya menyeru agar bersabar di atas ujian berat ini, dan ambil kaedah yang Rasulullah s.a.w sarankan : "Jangan kamu cuba lawan gelombang waktu tengah-tengah membuak, jangan lari kerana orang akan membenarkannya, dan sabarlah sehingga Allah membersihkannya".

Peristiwa fitnah ke atas Aisyah dan Safwan berlanjutan sehingga 40 hari baru Allah turunkan ayat membersihkan Aisyah, sedangkan Allah boleh menyegerakan ayatnya. Namun para mufassurin menjelaskan sengaja Allah membiarkan 40 hari agar zahir siapa munafik, siapa nuknib, siapa pembela, siapa musuh dan siapa sebenarnya sahabat.

Dekatkan diri kepada Allah kerana Allah Maha mendengar rayuan hambaNya. Wassalam

Bagusnya jika Najib umum royalti hak rakyat T’ganu

KUALA TERENGGANU, 29 April: Alangkah bagusnya pada akhir sesi lawatan kerja Datuk Seri Mohd Najib Razak ke negeri ini mengumumkan bahawa royalti adalah hak rakyat Terengganu dan rakyat seharusnya menikmati hak mereka dengan sebaik mungkin.
Sehubungan itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke Terengganu, esok.
Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah percaya kedatangan Najib adalah bukti komitmen dan kesungguhan beliau dalam melaksanakan apa yang dikatakan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Katanya, kesungguhan yang ditunjukkan tersebut bukan sekadar datang menjenguk, tetapi katanya mahu mendengar suara akar umbi rakyat di Terengganu, khususnya di Pekan Batu Enam, di Manir, Kuala Terengganu dan golongan muda melalui pertemuan dengan rakan Facebook yang dijadualkan pada petang hari tersebut.
Untuk itu, katanya Mampat mewakili suara rakyat Terengganu bagi semua golongan mengambil kesempatan di atas keprihatinan Najib mendengar rintihan rakyat Terengganu untuk mengembalikan semula ‘hak dan maruah’ mereka yang telah dinafikan selama 11 tahun.
“Kembalikan royalti kami kerana ianya adalah lambang ‘hak dan maruah’ kami yang telah dinodai’
“Dalam kesempatan ini juga, Mampat ingin mengingatkan rakyat Terengganu umumnya dan kepimpinan Terengganu pada hari ini tentang janji-janji yang pernah disebutkan Najib berkenaan royalti minyak Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Untuk makluman perdana menteri, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan olehnya.
Namun, ujarnya sehingga hari ini tiada sebarang khabar berita mengenainya walaupun bulan Mei 2011 menjelang tiba.
“Ini adalah janji kali keempat yang pernah diberikan. Rakyat Terengganu tidak akan lupa janji-janji yang telah dibuat oleh pimpinan Pusat untuk mengembalikan royalti kami,” katanya.
Beliau turut mengimbau kembali jalinan janji yang pernah diberikan kepada rakyat Terengganu sebelum ini.
Katanya, pada 14 Jun 2008, Perdana Menteri pada masa itu iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) mengumumkan bahawa royalti akan dikembalikan kepada rakyat Terengganu di mana pengumuman itu dibuat di Hotel Primula.
Tambahnya, rakyat Terengganu tidak pernah lupa bagaimana Ahmad Said dan rakyat Terengganu ditipu oleh Najib apabila menerima replika cek pada 13 Disember 2008 berjumlah RM408.6 juta yang dikatakan bayaran royalti minyak separuh kedua 2008.
Dalam majlis berkenaan, katanya Najib menyebut seolah-olah selepas ini semua wang royalti akan dimasukkan terus ke akaun kerajaan negeri.
Bagaimanapun, ujarnya hakikat sebenar tidak berlaku seperti yang dinyatakan.
Selain itu, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ahmad telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan oleh pihak menteri besar itu.
“Atas kesedaran yang sama, Mampat menyeru semua pihak sama ada kerajaan negeri, mahupun rakyat Terengganu untuk terus bertanyakan hak rakyat Terengganu ini yang seolah-olah sengaja cuba dilupakan,” katanya.
Beliau menambah, jika peluang sebaik kedatangan Najib itu tidak digunakan, Mampat percaya ruang lain yang ada sangatlah terbatas, hendak diharapkan respons pada laman Facebook Najib, sudah tentu ia seumpama mimpi sahaja.
Untuk makluman, jelasnya sehingga Mac 2011 yang lalu, genap sudah 11 tahun Kerajaan Pusat menafikan hak rakyat Terengganu menikmati royalti Minyak.
“Rakyat Terengganu sudah terlalu letih menunggu buah yang tidak gugur. Jangan nanti sehingga rakyat terpaksa menjolok buah yang tidak gugur tersebut dengan cara yang lebih keras.
“Cukup-cukuplah penghinaan yang kami terima, cukup-cukuplah janji-janji kosong yang kami terima, cukup-cukuplah mencuri hak rakyat Terengganu,” katanya.

Monday, April 25, 2011

Pemuda perlu perkuat minda bawa perubahan

PERMATANG PAUH, 25 April: Selain mempamerkan kekuatan tenaga para pemuda PAS juga perlu mempunyai kegigihan otak berfikir bagaimana mahu  membawa pemuda Malaysia  ke satu tahap yang membanggakan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi (gambar).

Barisan Nasional (BN) tambahnya, tidak ada kekuatan untuk memimpin pemuda ke arah itu kerana kepimpinanya terdedah dengan rasuah, suka menyeleweng, tidak tahan dugaan bahkan menjadi Pak Turut ketika memperkatakan sesuatu itu yang ada kepentingan BN.

Dewan Pemuda PAS, Angkatan Muda KeAdilan (AMK) dan Dapsy dari DAP adalah pilihan tepat untuk anak muda sekiranya mahu memilih parti mana sebagai wadah perjuangan tidak lagi Umno atau pemuda BN yang dilihat amat penat dan memerlukan rehat.

"Kekuatan tenaga sememangnya perlu pada pemuda.  Selain itu kita juga perlukan otak yang cerdik untuk mencari bagaimana untuk meranapkan Umno dan BN sebab keupayaan mereka untuk mendidik anak muda agak kontang sekarang ini, " tegasnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke 31 di Dewan Komplek An Nadhoh, Penanti semalam.

Umno dan BN sudah kehilangan taji untuk berentap di arena politik tanah air secara sihat maka untuk memastikan kekuasaan terus berada digengaman mereka terpaksa gunakan bahan lain yang boleh melukakan pihak lawan.

Bagi mereka luka sudah cukup untuk merencatkan perjuangan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, kepimpinan pemuda di semua peringkat wajar mendahului isu yang melanda negara agar rakyat dapat merasai peranan yang dimainkan.

Sikap curi tulang dalam perjuangan katanya, tetap berdosa kerana membiarkan orang lain ke medan bertempur manakala diri sendiri berpeluk tubuh menonton TV di rumah bersama anak dan isteri.

"Curi tulang dalam perjuangan jangan dijadikan amalan.  Ada sesetengah orang bila kalah dalam pemilihan dah berpeluk tubuh di rumah, boikot program padahal mereka yang tewas boleh berperanan dengan cara lain untuk membantu mengatasi kelemahan yang sedia ada, " tambah beliau pada muktamar bertemakan 'Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan'.

Pandangan pemuda juga mesti tajam membaca politik pihak musuh tambahan lagi pemuda BN cuba melaksanakan plan pembaharuan menjelang tarikh pilhanraya umum akan datang.

Muktamar yang berlangsung itu akhirnya mengekalkan dua muka lama iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan timbalanya, Helmi Haron manakala Nor Azman Ishak yang turut menang tanpa bertanding sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Amal Negeri.

Ceramah Perdana Ubah Sekarang di Stadium Mini Pasir Mas

KOTA BHARU, 25 April: Angkatan Muda PKR dengan kerjasama Pemuda PAS Kelantan akan menganjurkan siri ceramah perdana Pakatan Rakyat pada 28 April di Stadium Mini Pasir Mas, Kelantan dengan tema “Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia, Tolak Fitnah." 

Penceramah utama yang diraikan adalah YAB Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan), di samping Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Kubang Kerian), Ustaz Abd Latif (Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan), Mohamad Zaki Ibrahim (S/U PAS Kelantan merangkap Timbalan Speaker DUN Kelantan),  Shamsul Iskandar (Ketua AMK Pusat) dan Yusmadi (Ahli Parlimen Balik Pulau).

Penganjur menjangkakan ribuan rakyat Kelantan akan memenuhi kawasan Stadium Mini Pasir Mas, memandangkan “mood” rakyat hari ini yang menolak pemerintahan BN khususnya rakyat Sarawak.

Ceramah ini adalah julung kali diadakan selepas pemilihan pimpinan baru AMK Kelantan dan merupakan permulaan kepada siri jelajah AMK Kelantan. Tujuan jelajah ini adalah untuk menjawab segala fitnah yang sebarkan oleh UMNO keatas Dato Seri Anwar Ibrahim, kata Rusdi Mohd Zain, Ketua Penerangan AMK Kelantan.

Antara isu-isunya fitnah II (Liwat) keatas DSAI, fitnah III (fitnah video lucah) dan penerangan buku jingga. Rakyat Kelantan yang prihatin dijemput bersama-sama menyatakan sokongan kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

Pemuda PAS perlu kerap turun padang

PULAU PINANG, 25 April: Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah meminta semua anggota dewan itu sesi ini kerap turun padang bagi menceriakan program kemasyarakatan.

Sebelum ini, katanya walaupun terdapatnya program demikian tetapi masih belum kuat terpahat di hati masyarakat tentang peranan Dewan Pemuda itu sendiri. 
Katanya, banyak program yang dilaksanakan kurang pendedahan sehingga ada orang belum mengenali kepimpinan apatah lagi ahli jawatankuasa yang diamanahkan mengetuai lajnah.

Kali ini, semua gerak kerja mesti diperhalusi mempunyai strategi dan jauhkan pertelingkahan kecil yang boleh memberi ruang untuk musuh memecah belahkan dalaman parti.

"Sesi depan kita wajar kerap turun padang mendekati masyarakat kerana ia adalah perkara wajib sebagai pemimpin. Dulu bukan tiada tetapi masih kurang memadai," tambahnya ketika berucap pada muktamar dewan itu kali ke-31 yang diadakan di Dewan Kompleks An Nahdhoh, Penanti semalam.
Muktamar bertemakan 'Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan' dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi.

Sebagai anggota Dewan Pemuda, katanya seseorang pemimpin itu kena belajar menghadapi tekanan dengan cekap dan pantas selari dengan kemelut sekarang yang mahukan perubahan yang mendadak untuk bersama mengecapi kemenangan yang mutlak pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Unit Amal dan Pasti jelas berjaya meneroka satu fenomena baru dalam masyarakat sehingga sudah dikenali ramai. 
Namun yang kurang menonjol ialah lajnah-lajnah yang boleh menjadi tautan masyarakat yang sudah muak terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kita akui Pasti dan Unit Amal dah menampakan kejayaan tetapi yang kurang menyerlah ialah lajnah-lajnah.  Kali ini lajnah akan diperkemaskan, dijitukan dan diperbaharui sesuai dengan slogan PAS 'Anak Muda Geng Kita'," tegas beliau.
Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri mengekalkan jawatan ketua dan timbalannya, Ustaz Yusni Mat Piah dan Helmi Haron manakala naibnya, Nor Azman Ishak adalah muka baru.
Ketiga-tiganya menang tanpa bertanding.

Ia juga menyaksikan 10 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa sesi 2011 -2013 mereka ialah Reduan Ramli, Hasbul Nizar, Shanaz Asri, Ahmad Taufiq, Zamadi Omar, Afnan Hamimi, Asri Haron, Shafirol Rozali, Fahmi Ahmad dan Faruq. 

Kali ini menyaksikan beberapa anugerah disampaikan antaranya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diperolehi oleh 'PASTI Intanku' dari Permatang Tok Gelam dari Parlimen Tasek Gelugor, Jabatan Amal terbaik dimenangi oleh Unit Amal Kepala Batas, Dewan Pemuda PAS Kawasan terbaik juga dimenangi oleh Kepala Batas, Tokoh Terbaik Negeri, Abdullah Saad dan Tokoh Khas diberikan kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Noor Harun.

Turut hadir dalam muktamar tersebut ialah Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali, Naib Ketua AMK Negeri, Syed Mikail Rizal Aidid serta wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Pulau Pinang, Siva