Wednesday, July 06, 2011

Berhimpun di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) bercadang untuk mengadakan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di Stadium Merdeka.
Pemilihan yang dibuat ke atas Stadium Merdeka berdasarkan kedudukan stadium itu di tengah pusat bandar dan mudah didatangi orang ramai dari seluruh negara.
Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan menjelaskan, penyerahan memorandum yang mengandungi 8 tuntutan Bersih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak akan dilakukan dengan perarakan.
Sebaliknya, ia hanya akan dilakukan oleh tidak lebih 10 orang wakil Bersih yang akan berkunjung ke Istana Negara dari tempat perhimpunan diadakan di Stadium Merdeka.
"Penyerahan memorandum itu tidak membabitkan seorangpun pemimpin parti-parti politik dari Pakatan Rakyat. Mereka yang terbabit adalah dari Bersih atau NGO sahaja dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau menjelaskan, Bersih 2.0 menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan baginda menerima mengadap wakil Bersih yang terdiri daripada beliau, Datuk A Samad Said dan Zaid Kamaruddin, semalam.
Bersih 2.0 menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Tuanku di atas keprihatinan terhadap aspirasi rakyat untuk menikmati demokrasi dan hak asasi seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pada pertemuan itu, rombongan Bersih 2.0 telah mempersembahkan kepada Tuanku di antara lain kenyataan dan pendirian Bersih 2.0.
"Pertama, Bersih 2.0 menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan rapat umum di Stadium dan berharap polis memberi kerjasama untuk memastikan perhimpunan berjalan lancar, manakala wakil Bersih 2.0 tidak melebihi 10 orang akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Kedua, kerajaan menunjukkan good faith dengan membebaskan semua yang telah ditahan termasuk individu-individu yang ditahan di bawah EO dan memberhentikan tekanan, gangguan serta halangan kepada penyokong-penyokong Bersih 2.0.
"Ketiga, menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk pembaikan sistem dan proses pilihanraya," katanya.
Tuntutan Bersih 2.0
Bersih 2.0 adalah gabungan yang sah kerana disertai oleh pertubuhan-pertubuhan dan entiti yang berdaftar.
Menurut Ambiga, Bersih 2.0 menuntut satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan di dalam dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem dan proses pilihanraya yang sedia ada.
"Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai mereka yang berkaliber dan mewakili semua pihak yang berkepentingan (stakeholders)," katanya.
Lapan tuntutan jangka pendek Bersih 2.0 dipenuhi sebelum PRU Ke-13 iaitu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Menurutnya, semua yang telah ditahan berkaitan sokongan kepada Bersih 2.0 hendaklah dibebaskan termasuk enam pemimpin PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) mestilah dibebaskan serta merta atau dihadapkan ke mahkamah.
Pendakwaan terhadap mereka yang ada kaitan dengan Bersih 2.0 ditarik balik atau digugurkan dan mereka yang masih ditahan dibebaskan tanpa syarat.
Katanya, Bersih 2.0 turut menuntut agar semua gangguan (harassment), ugutan, tuduhan dan fitnah terhadap penyokong-penyokong Bersih 2.0 dihentikan dan ini bermakna rakyat dibenarkan memakai baju kuning, usaha-usaha menjayakan perhimpunan Bersih 2.0 di stadium tidak dihalang.
"Pihak polis, DBKL atau pihak-pihak lain tidak memberikan apa-apa halangan kepada semua rakyat yang menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 di Stadium Merdeka pada pukul 2 hingga 4 petang 9 Julai (Sabtu) ini.
"Bersih 2.0 bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan perhimpunan ini berjalan dengan aman dan lancar," jelasnya.
Beliau juga memberitahu, Bersih 2.0 sedang berusaha untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan segera untuk membincangkan semua tuntutan itu dan sebarang perkara berkaitan Bersih 2.0.

No comments: