KUALA LUMPUR, 5 Julai: Tindakan kerajaan Umno BN cuba  menggambarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai ganas  adalah strategi kuno dan lapuk, kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang.
Sambil menyelar tindakan itu, beliau turut  mengecam tindakan pemimpin Umno BN yang dakwanya berselindung di sebalik  pihak keselamatan untuk mengekalkan kuasa politik mereka.
"Provokasi  demi provokasi yang ditimbulkan saban hari di media cetak arus perdana  dan televisyen, untuk memberi gambaran bahawa perhimpunan aman Bersih  2.0 akan bertindak ganas dan sebagainya. 
"Kami ingin  memperingatkan mereka bahawa strategi kuno sebegini sudah lapuk dan  tidak akan berjaya memenjarakan fikiran rakyat yang sudah merdeka pada  zaman ini," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian  sebagai respon terhadap beberapa siri tangkapan dan juga penemuan  terbaru polis yang mengaitkan Bersih 2.0 sebagai himpunan ganas.
Ianya  termasuk rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di  sekitar Lembah Klang semalam antaranya 44 molotov cocktails, 23 parang  dan 48 baju T dengan logo BERSIH. 
Semuanya dirampas semasa  operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu  di sekitar kawasan pusat membeli belah Sogo, Wisma Bumi Raya dan Komplek  Pertama.
Tidak cukup dengan itu, beberapa siri tangkapan  termasuk anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sedang menyebarkan  risalah Bersih dan maklumat kepincangan negara dibawah BN kepada rakyat  Johor, juga cuba dikatkan dengan Komunis.
Antaranya ahli parlimen  Sungai Siput Dr D Michael Jeyakumar dan lima anggota PSM lain yang  ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat (EO).
Mengulas siri  tangkapan terhadap pemimpin dan penyokong Bersih itu, presiden PAS itu  mendakwa ia bukti kegelabahan Barisan Nasional yang tidak bijaksana dan  semakin tidak waras dalam menangani isu. 
"Dengan ini PAS  mendesak pihak yang berkenaan supaya membebaskan rakyat yang sudah  menjadi mangsa di tahan akibat dari tindakan rakus kerajaan pimpinan BN  ini," katanya lagi.
Himpunan Bersih 2.0 ujarnya adalah untuk  mendesak dibersihkan pilihanraya yang kotor, bukan himpunan untuk  menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi. 
Tambahnya, sememangnya  sudah sekian lama Pakatan Rakyat berusaha untuk menumbangkan Barisan  Nasional yang melakukan kerosakan dalam negara, dan ia bukan lagi suatu  yang rahsia. 
Tetapi Barisan Nasional berlagak seperti negara ini  milik peribadi mereka, merasa kebal dan tidak sedia untuk kalah  sehingga memperalatkan berbagai agensi kerajaan untuk kepentingan  mereka.
"Kerajaan Barisan Nasional sangat mundur amalan  demokrasinya, berjiwa kecil, jauh mundur berbanding negara-negara maju  yang membuka pintu demokrasi seadil-adilnya. 
"Di Australia,  seorang Perdana Menteri yang kalah dalam pemilihan partinya, sedia duduk  dibawah Perdana Menteri yang baru dengan menjawat jawatan Menteri Luar  sahaja. Ini kerana mereka meletakkan kepentingan rakyat sebagai  keutamaan, bukannya jawatan untuk kepentingan dunia dan peribadi. 
"Sebaliknya  Barisan Nasional merasakan kerajaan ini milik mereka selama-lamanya,  sehingga tidak sedia untuk kalah dan diganti dengan kerajaan yang baru.
Sehubungan  itu beliau turut mengingatkan Umno BN agar sedia berundur secara  terhormat, sebelum jatuh dalam kehinaan dan membebaskan SPR dan  jabatan-jabatan kerajaan daripada diseleweng.
"PAS menyokong sebarang usaha memulihkan demokrasi dan menggunakan pilihanraya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment