KUALA LUMPUR, 6 Julai: Jabatan Pilihan raya Dewan  Pemuda PAS Pusat (DPPP) kini telah bersiap sedia untuk menghadapi  Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Sehubungan itu, Jabatan Pilihanraya DPPP telah mengeluarkan arahan  kepada Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri supaya mengenal pasti dan membuka  sekurang-kurangnya sebuah Bilik Gerakan Pemuda di setiap kawasan.
Pengarah Jabatan Pilihanraya DPPP, Mohd Sany Hamzan menjelaskan,  bilik gerakan tersebut akan menjadi pusat perkumpulan anak muda untuk  mendapatkan pelbagai maklumat, beriadah, bersantai dan bersukan.
Menurut beliau, Jabatan Plihanraya DPPP cukup yakin  bahawa seluruh  pemuda-pemuda PAS kawasan-kawasan telah bersiap siaga untuk menghadapi  PRU Ke-13 yang akan datang.
Katanya, persediaan tersebut pasti dibuat  dengan penguasaan segala  ilmu dan taktik pilihanraya, selain daripada pengalaman-pengalaman  semasa membantu jentera parti menghadapi pilihanraya-pilihanraya kecil  lalu.
"Sesungguhnya motivasi untuk mempertahankan negeri-negeri kerajaan  Pakatan Rakyat  daripada dirampas oleh Umno BN dan menuju ke Putrajaya  sudah pastilah akan menyemarakkan gerakerja pemuda di semua peringkat,"  katanya dalam kenyataan kepada Harakahdailly, hari ini.
Jabatan Plihanraya DPPP, menurut beliau, mengucapkan tahniah kepada  PAS Kawasan Gombak di atas pelancaran Bilik Gerakan Jentera Pilihan Raya  PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Gombak Setia di Majlis Tindakan Dun  Gombak Setia yang telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri  Selangor, Saari Sungib baru-baru ini..
Katanya, dengan pelancaran itu telah menunjukkan komitmen,  kesungguhan dan keprihatinan PAS Kawasan Gombak untuk menghadapi PRU  Ke-13 yang akan dilaksanakan pada bila-bila masa mengikut perkiraaan  Perdana Menteri.
"Dengan kewujudan Bilik Gerakan ini sudah pastilah akan menyemarakkan  lagi aktiviti dan program ke arah gerakerja pilihanraya yang lebih  kemas dan tersusun," katanya.
Oleh itu, Jabatan Plihanraya DPPP, tegasnya, menuntut komitmen yang  sama daripada PAS kawasan-kawasan di seluruh negara supaya dapat  melakukan persediaan yang sama seperti itu.
"Komitmen seperti itu tidak terkecuali sama ada di kawasan-kawasan  yang PAS bertanding ataupun tidak bagi mewujudkan suasana dan gelombang  semangat gerakerja petugas-petugas parti di semua peringkat.
"Begitu juga diharapkan kepada pemuda-pemuda PAS kawasan supaya dapat  menggembleng sepenuh tenaga untuk membantu jentera pilihanraya parti di  semua peringkat," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment