KUALA LUMPUR, 6 Julai: Bersih 2.0 sudah mencapai 60%  matlamatnya iaitu kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya,  namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti  tidak melimpah hadirinnya, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan  Ibrahim Tuan Man  dalam satu kenyataannya hari ini.
“Dengan  kegigihan jawatankuasa Bersih 2.0 dan juga publisiti percuma daripada  Umno Barisan Nasional dan medianya serta tindakan Kementerian Dalam  Negeri yang mengarah polis untuk bertindak melampau dengan  mengada-adakan konspirasi tak masuk akal terhadap Bersih 2.0, pergerakan  itu kini dikenali di seluruh pelosok negara.
"Rakyat kini tahu akan apa itu Bersih 2.0, apakah tuntutan mereka dan juga keganasan kerajaan Barisan Nasional. "Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya – kebanyakan rakyat hari  ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya  perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya,” terang beliau.
Tuan  Ibrahim juga berkata rakyat usahakan 40% yang selebihnya untuk  memastikan agenda Bersih 2.0 berjaya bagi meyakinkan diri sendiri serta  orang-orang sekitarnya yang sedar tentang kewujudan dan fungsi Bersih  2.0 dengan menghadirkan diri secara beramai-ramai ke perhimpunan awam  nanti.
“Dengan stadium yang melimpah, percayalah bukan sahaja  rakyat sendiri berasa yakin mereka tergolong dalam golongan majoriti  yang menuntut perubahan dalam sistem pilihanraya, bahkan juga kerajaan  pimpinan Barisan Nasional bahawa rakyat menuntut perubahan dilakukan  segera sebelum pilihanraya ke 13 diadakan.
"Itulah 40% lagi,  yang hanya boleh diusahakan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan  dan keadilan untuk menjayakan Bersih 2.0 sepenuhnya,” seru beliau.
Beliau  juga mengucapkan syabas atas kegigihan yang ditunjukkan para penganjur  Bersih 2.0 yang berjaya menunjukkan tahap ketabahan yang mengkagumkan  sepanjang minggu lepas walaupun diasak, diugut dan dipersenda oleh  “mereka-mereka yang berkuasa tapi tidak menghormati undang-undang”  sehinggalah mendapat pengiktirafan diRaja apabila diberi peluang untuk  menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Daripada digelar sebagai satu  pertubuhan haram, diasak oleh Kementerian Dalam Negeri dengan  menggunakan polis dan akta-akta yang zalim seperti Akta Ordinan Darurat  1966 sehinggalah mendapat restu dan pengiktirafan diRaja dengan diberi  peluang menghadap Agong, rakyat perlu kagum dan bangga dengan kegigihan  aktivis-aktivis Bersih 2.0 untuk meneruskan agenda mereka tanpa gerun  demi rakyat, tambah beliau.
Walaupun tempat perhimpunan aman  bertukar daripada demonstrasi aman di jalanraya kepada stadium, PAS  menyeru seluruh ahlinya untuk tetap menghadirkan diri di stadium yang  ditentukan nanti untuk menyokong Bersih 2.0 kerana dasar perjuangannya  tetap sama iaitu untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil di  negara ini.
“Kepada para penyokong Bersih 2.0 yang kecewa dengan  kompromi ini, bersangka baiklah pada jawatankuasa Bersih 2.0 telah  melakukan yang terbaik demi rakyat,” nasihat Tuan Ibrahim, yang juga  Pesuruhjaya PAS Pahang.
PAS, katanya juga ingin menegaskan  bahawa Bersih 2.0 ialah sebuah badan bukan politik dan berkecuali, dan  PAS menyokong kerana dasar perjuangannya untuk menuntut satu pilihanraya  yang bebas dan adil demi masa depan negara dan generasi akan datang.
“PAS  menyokong Bersih 2.0, termasuklah keputusannya untuk mengadakan  perhimpunan aman pada Julai 9 ini di Kuala Lumpur,” kata beliau.
 
Ingatan kepada Pakatan Rakyat
Tuan  Ibrahim juga mengingatkan Pakatan Rakyat Rakyat bahawa sokongan rakyat  terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan  kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah  petanda sokongan rakyat kepada pembangkang.
“Rakyat menyokong  Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak  di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang  tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat  sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.
8  tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang  nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan  bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya  negara untuk kekal berkuasa,” terang beliau.
Pakatan Rakyat,  katanya juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang  lebih bersih, mereka bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional secara  automatik. 
“Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan  mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan  keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara,” tegur Tuan Ibrahim.
Untuk  kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tuan Ibrahim  berkata PAS menasihatkan agar menunaikan 8 tuntutan Bersih 2.0 ini. 
“Barisan  Nasional akan menghayati kepentingannya sekiranya di pilihanraya umum  ke 14 apabila tewas di pilihanraya ke 13 nanti,” kata beliau, sambil  menambah bahawa sekiranya diberi kuasa memerintah nanti Pakatan Rakyat  akan juga melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0.
“(Ini bagi  memastikan) supaya kita dapat bersaing secara sihat dan seimbang di  padang yang sama rata dengan semua pembangkang - dengan penuh keyakinan  daripada rakyat bahawa demokrasi negara adalah subur, telus dan tulen,”  kata beliau.
No comments:
Post a Comment