(Para hufaz yang menerima sijil mereka)
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan para hufaz tidak berbangga dengan ‘sijil’ bukti tamat menghafaz al-Quran, kerana ianya tidak ke mana andai hanya tahu membaca dan menghafaz sahaja.
Menurutnya, al-Quran bukan untuk dibaca sahaja, sebaliknya untuk difahami serta melaksanakan apa yang terkandung dalam al-Quran.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis graduasi tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) kali ke-3, di Putik, baru-baru ini.
Kata TG Nik Aziz, al-Quran jangan hanya dibaca, sebaliknya laksanakan apa yang terkandung di dalam al-Quran.
(Salah seorang hufaz menerima sijil dari TG Nik Aziz)
“Generasi hari ini bakal pelapis masa depan negara, ingat jangan sekali-kali membelakangkan sunnah dan al-Quran kerana ianya panduan untuk kita dan masyarakat seluruhnya,”ujarnya lagi.
Turut berucap pada majlis itu Pengarah Yik, Tengku Azmi Tengku Jaafar.
Seramai 247 orang pelajar tahfiz kelolaan Yik tamat hafaz al-Quran dan menerima sijil masing-masing melalui Tuan Guru dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Sempena majlis ini, pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Quran Bistanul Arifin, Muhammad Yusof Nazaruddin diumumkan tokoh tahfiz Yik tahun ini.
Hafiz terbaik sekolah, pelajar-pelajar dari MTAQ Pulai Chondong, MTS Tanah Merah Lelaki (L), MTS Tanah Merah (P), MTS Nurul Aman, MTS AlMuhammadi dan MTQ Asriah Banggol Chicha.
Al Quran tulisan tangan terbaik dimenangi Muhammad Fadzli Nasir pelajar dari MTQ Asriah Banggol Chicha.
No comments:
Post a Comment