Tuesday, July 31, 2012

AWANG ADEK NAK ALIH ISU

KELANTAN : Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan bahawa kenyataan Timbalan Pengerusi Badang Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mempersoalkan kerjasama politik di antara PAS dengan DAP sebagai cubaan untuk mengalih perhatian masyarakat daripada isu dakwaan penyalahgunaan kuasa yang menyelubungi dirinya.

Ketua Penerangan DPPNK, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari di dalam satu kenyataan menyifatkan segala dakwaan yang dinyatakan oleh Awang Adek adalah rapuh dan tidak sesuai dengan taraf dirinya sebagai seorang Timbalan Menteri di peringkat kerajaan pusat.

"Awang Adek telah mempersoalkan tindakan PAS yang masih bersama dengan DAP sekalipun katanya DAP menentang pelaksanaan Islam termasuk hukum hudud", ulas beliau yang merujuk kenyataan Awang Adek
yang disiarkan oleh Sinar Harian Isnin 30 Julai semalam

"Adakah Awang Adek sedar, ketika mana Datuk Ayub Rahmat daripada DUN Kemelah sendiri yang mencadangkan perlaksanaan hudud di Johor beliau telah ditempelak oleh Presiden MCA dan menyifatkannya sebagai hilang akal ? Apa pula pendirian UMNO mengenai hukum hudud dan mengapa beliau tidak mengulas sikap pimpinan utama UMNO yang membisu seribu bahasa sedangkan ADUNnya telah dihina sedemikian rupa oleh MCA ?", soal beliau.

Beliau juga mengingatkan bahawa perjuangan PAS sangat konsisten mengenai hukum hudud. Beliau turut membuktikan kepada Awang Adek bahawa cadangan daripada ADUN Kemelah ini telah disambut baik oleh YAB Menteri Besar Kelantan dengan mengucapkan tahniah kepada beliau begitu juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang memberi jaminan untuk bekerjasama sekiranya Johor ingin melaksanakan hudud"

Beliau juga turut mengulas tindakan Awang Adek yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan DAP yang didakwa menolak hudud, "adakah UMNO tidak menolak hudud? Dan sekiranya UMNO tidak menolak hudud, kenapa pula ia masih gagal dilaksanakan sekalipun sudah separuh abad usia kemerdekaan negara?".

"Beliau perlu berikan perhatian kepada isu-isu peribadinya terlebih dahulu sebelum mahu mempertikaikan kerjasama politik PAS dengan DAP. Mana jawapan beliau dalam isu hubungan beliau dengan ahli perniagaan, Chung Hon Cheong dan skandal percetakan RM2 sebanyak 100 juta." "

"Beliau juga perlu menjelaskan dari mana sumber dua cek bernilai RM80,000 yang dimasukkan dalam akaun beliau ketika beliau menjadi Pengerusi Skim Jejakjaya Bumiputra pada tahun 2010."

DPPNK turut mengingatkan bahawa dua keping Cek CIMB Bank yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun beliau pada 6 Disember 2010 daripada sebuah syarikat yang berkepentingan seperti yang didedahkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dua minggu lepas.

"Jadi Awang Adek tidak perlulah berlagak dalam isu hudud ini. Jangan menjadi batu api yang menyebabkan salah faham di kalangan non muslim terhadap hukum hudud. Hakikatnya hudud hanya akan dijatuhkan kepada mereka yang melakukan kesalahan. Hanya tangan pencuri sahaja yang akan dipotong dan itupun jika cukup syarat dan kadarnya. Dalam hal ini, ada kemungkinan jumlah RM80,000.00 contohnya sudah mencukupi untuk dipotong tangan sekiranya disabitkan kesalahan," tambah beliau lagi.

No comments: