Monday, July 30, 2012

MB redah jalan berbukit, iftor bersama Orang Asli



(Tok Guru Nik Aziz gembira bertemu dengan Orang Asli Gua Musang)

GUA MUSANG: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menempuh perjalanan sejauh kira-kira 100 km dari bandar Gua Musang untuk berbuka puasa bersama penduduk Orang Asli kelmarin.

Pos Tuel, Lojing dihuni seramai 40 keluarga Orang Asli, terletak jauh di pedalaman Gua Musang, penduduk bertuah dapat berbuka puasa bersama Menteri Besar.

Separuh daripada laluannya menggunakan jalan lori balak. Debu berterbangan ketika dilalui kenderaan. Jalannya terpaksa mendaki dan menuruni bukit bukau.

Turut hadir anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pengarah JAHEIK, Datuk Che Rahim Mat Jusoh dan pemimpin tempatan Gua Musang.

Program Ihya Ramadan di Pos Tuel dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dengan kerjasama Maahad Muhammadi Gua Musang julung kali diadakan.

Sehari sebelum itu seramai 40 pelajar bersama guru bermalam di rumah keluarga angkat masing-masing di pos berkenaan.

Ketibaan rombongan Menteri Besar menaiki kenderaan pacuan empat roda kira-kira jam 5 petang disambut Tok batin dan penduduk tempatan. Mereka kelihatan begitu gembira dapat bertemu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Saya berasa terharu kerana pertama kali sampai di Pos Tuel dan dapat bertemu mata dengan penduduk tempatan.

“Walau pun agak letih kerana perjalanan begitu jauh namun saya berasa gembira kerana dapat bertemu penduduk di sini,” katanya di majlis tersebut.

Biar pun kelihatan Menteri Besar menyampaikan kuliah agama menunggu masa waktu berbuka puasa bersama penduduk.

Pada majlis itu Mohd Amar menyampaikan bantuan zakat kepada penduduk Orang Asli. Mereka sudah lama menganut Islam.

Kerajaan negeri juga membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq membabitkan kos kira-kira RM500,000.

No comments: