KUALA LUMPUR: Dalam keghairahan untuk merampas
Selangor, BN diingatkan agar tidak menjadi seperti peribahasa 'yang
dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.
Sebaliknya BN perlu
meneliti suasana politik di Sabah yang muktahir ini meniupkan gelombang
perubahan pimpinan BN, sekaligus rakyat negeri di bawah bayu itu.
Pengarah
Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata BN sebelum ini
begitu yakin untuk merampas Selangor, namun 'terlepas pandang' terhadap
Sabah yang dianggap sebagai 'fix deposit' mereka selama ini.
"Jadi,
saya nasihatkan BN agar tidak membuang masa untuk mengubah suasana
harmoni di Selangor hari ini, tetapi selesaikan kemelut di Sabah hingga
menyebabkan dua pimpinan BN bertindak keluar parti," kata beliau ketika
dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai
mengulas tindakan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred
Bumburing yang mengumumkan keluar dari BN dan menyokong Pakatan Rakyat,
baru-baru ini.
Dr. Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai itu
berkata gelombang perubahan di Sabah itu bukan sahaja membabitkan
kedua-dua pimpinan terbabit, sebaliknya ia juga merupakan satu gelombang
rakyat.
Beliau juga menjangkakan BN tidak dapat membendung
gelombang perubahan tersebut, malah yakin akan ada beberapa lagi nama
lain di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan mengambil keputusan sama
seperti Lajim dan Wilfred.
Ditanya sama ada suasana tersebut
akan membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan
lagi pilihan raya, Dr. Hatta berkata ia sesuatu yang tidak mustahil.
"Kita
harap, pilihan raya dipanggil segera. Tapi, perkiraan saya Najib akan
mengambil masa yang lebih lama untuk berbuat demikian. Dia masih resah
dan mengharapkan adanya perbalahan di kalangan Pakatan Rakyat untuk
diambil kesempatan," tegas beliau lagi.
Pada 29 Julai lalu, Lajim
yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengumumkan perletakan semua
jawatannya dalam parti dan BN berkuat kuasa serta-merta, untuk
bekerjasama dengan Pakatan Rakyat di Sabah.
Perlantikan Lajim
sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dibatalkan
serta-merta setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul
Halim Mu'adzam Shah, mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang
dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara
itu, Wilfred yang mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan
menyertai Pakatan Rakyat melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang
baru diumumkan penubuhannya.
Ahli Parlimen Tuaran itu juga
berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu
Pakatan Rakyat memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.
No comments:
Post a Comment