Wednesday, August 01, 2012

Rafizi dibebas dengan jaminan RM15,000


SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan jaminan sebanyak RM15 ribu kepada Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad sebanyak RM15 ribu tiap seorang dengan seorang penjamin.

(Kanan: Rafizi dan Johari bergari di Mahkamah Sesyen Shah Alam.)

Mahkamah juga menetapkan 10 September depan bagi perbicaraan.


Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan dan tarikh tersebut setelah mendengar keterangan daripada pihak plantif dan defenden.

Sebelum itu, peguam pihak plantif yang mewakili Bank Negara meminta wang jaminan sebanyak RM100 ribu beserta pasport antarabangsa mereka berdua ditahan.

Namun, peguam defenden, N.Surendren meminta wang tersebut dikurangkan dan tidak melebihi RM5 ribu serta pasport mereka tidak ditahan.

Beliau menjelaskan penahanan pasport antarabangsa tidak wajar kerana Rafizi memerlukan passport tersebut bagi urusan rasmi beliau terhadap parti yang memerlukan beliau ke luar negara.
Rafizi dituduh di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Intitusi Kewangan 1989, manakala Johari pula di bawah Seksyen 112 (1)(c) juga di bawah akta yang sama, yang menetapkan hukuman maksimun 3 tahun penjara atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak sebagai penjamin kepada Rafizi, manakala Johari pula dijamin oleh abangnya.

Kedua-dua mereka telah digari dan dibawa ke bilik tahanan bagi menunggu urusan membayar wang jaminan selesai.

(Rafizi dan rakan-rakannya di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini)
Sebelum itu, Rafizi yang ditahan di rumahnya awal pagi tadi kira-kira jam 6.50 pagi.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pagi ini ditahan oleh pihak polis berhubung dengan pendedahan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi telah disiasat di bawah BAFIA kerana didakwa mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya.

Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mahkamah hari ini penuh dengan penyokong PKR yang hadir memberi sokongan kepada Rafizi.

No comments: